Pengikut laman ini

Monday, January 30, 2017

Kajian Tindakan: Satu Perkongsian dengan guru-guru Kolej T6 PJ




Contoh Format Kertas Cadangan Kajian Tindakan

KERTAS CADANGAN KAJIAN TINDAKAN

1.0 Nama Sekolah
2.0 Tajuk kajian

Peningkatan Penguasaan Topik Morfologi dan Sintaksis Pelajar Tingkatan 6AK7 Melalui Teknik SoFT

3.0 Nama Penyelidik

4.0 Refleksi
Kajian ini dijalankan selepas saya mendapati pelajar-pelajar agak sukar untuk mengingat rumus atau hukum tatabahasa (morfologi dan sintaksis) yang terdapat dalam Penggal 2. Ada pula pelajar yang tidak dapat mengemukakan contoh bagi sesuatu kata dalam topik mofologi dan contoh ayat dalam topik sintaksis. Selain itu, terdapat juga pelajar yang tidak dapat membezakan golongan kata dengan bentuk kata. Kebanyakan alasan yang diberikan oleh pelajar ialah mereka keliru  dan sukar untuk mengingati rumusnya.  
Pelajar kerap kali juga kurang keyakinan diri semasa pembentangan kumpulan dijalankan di dalam kelas. Sepatutnya mereka sudah dapat menguasai kemahiran tersebut kerana perkara ini sudah didedahkan semasa dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Setelah diteliti dan diperhatikan, pelajar-pelajar masih tidak dapat menguasai rumus tatabahasa dan teknik menjawab soalan dengan berkesan. Pelajar-pelajar seringkali mengatakan bahawa mereka sukar untuk menghuraikan atau menerangkan rumus dan contoh sesuatu aspek tatabahasa dalam topik-topik tersebut secara spontan dalam pembentangan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka kurang pendedahan tentang cara untuk menguasai rumus dan teknik menganalisis soalan objektif dan aneka pilihan. Selain itu, mereka tidak tahu untuk menggunakan teknik yang betul dan kurang diberikan peluang untuk bercakap atau memberian penerangan di hadapan rakan-rakan.
Oleh hal yang demikian, saya mengambil langkah yang proaktif dengan mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini disebabkan oleh para pelajar kerap kali menolak permintaan rakan dan guru apabila disuruh bercakap dan membentangkan hasil perbincangan di hadapan kelas. Selain itu, kajian ini dirasakan boleh membantu pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran lisan atau pengucapan awam di samping mendapat pendedahan tentang cara untuk menganalisis soalan tatabahasa dengan lebih berkesan. Selain itu, pelajar diharapkan dapat memberikan jawapan yang betul selepas menganalisis sesuatu soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar akan diberikan rawatan yang sesuai iaitu Teknik SoFT (Soal, Fikir, Terangkan)  yang dapat menarik perhatian pelajar dan membolehkan mereka menganalisis soalan dan memberikan jawapan yang betul dengan lebih mudah dan meyakinkan.
5.0 Fokus Kajian
Saya akan memfokuskan kajian ini terhadap masalah penguasaan topik morfologi dan sintaksis dalam Penggal 2. Di samping itu, semasa pembentangan kumpulan dijalankan, saya juga akan meminta pelajar-pelajar lain menegur atau memberikan komen terhadap kesalahan lain yang kerap kali dilakukan oleh rakan-rakan mereka dalam aspek kesalahan tatabahasa. Sekiranya kelemahan pelajar dalam kedua-dua aspek tersebut dapat diatasi, saya yakin bahawa keputusan peperiksaan Bahasa Melayu STPM Penggal 2 kolej ini akan dapat ditingkatkan dari segi kuantiti dan kualiti.
6.0 Objektif Kajian
Selepas kajian ini dijalankan, pelajar-pelajar diharap akan mencapai objektif yang berikut:

6.1. Objektif Am
Pelajar dapat menjawab soalan morfologi dan sintaksis dengan menggunakan teknik SoFT.
6.2. Objektif Khusus
      Pelajar dapat;
  6.2.1 menguasai rumus atau hukum tatabahasa dalam topik morfologi,
  6.2.2 menguasai rumus atau hukum tatabahasa dalam topik sintaksis.
  
7.0 Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 6AK7 yang akan menduduki peperiksaan STPM Penggal 2 pada bulam Mei nanti. Responden kajian terdiri daripada 12 orang pelajar yang berbangsa Melayu dan seorang pelajar berbangsa India. Kajian ini dijalankan berdasarkan keputusan markah Ujian Pengesanan Penggal 2 yang kurang memberangsangkan. 13 orang pelajar itu terdiri daripada pelajar tingkatan 6AK7 yang berpencapaian sederhana dan rendah dalam ujian tersebut.
8.0 Tindakan yang Dicadangkan
8.1 Tinjauan Masalah
Sebelum langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap masalah yang dikenal pasti akan dibuat dengan tujuan untuk memahami masalah ini dengan lebih mendalam. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data melalui cara yang berikut:
8.1.1      Latihan topikal dan soalan tutorial mingguan.
8.1.2      Pemerhatian terhadap respons pelajar di dalam kelas. 
8.2 Langkah-langkah yang Dijalankan
8.2.1 Guru menggunakan kaedah kumpulan untuk pelajar berbincang bagi menganalisis soalan dan guru akan membimbing mereka semasa perbincangan dijalankan.
8.2.2 Guru meminta pelajar menggunakan teknik SoFT iaitu teknik berfikir secara logik/rasional semasa mereka menganalisis soalan atau menguasai rumus tatabahasa.
8.2.3 Guru menggunakan bahan bantu belajar yang menarik perhatian pelajar.
8.2.4 Pelajar diminta untuk memberikan penerangan selepas perbincangan dijalankan.
8.2.5 Pelajar-pelajar lain diminta untuk memberikan pandangan dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh rakan semasa pembentangan kumpulan dijalankan.

9.0 Jadual Pelaksanaan
Bil.
Aktiviti
Tarikh
1.
Sesi penerangan dan penjelasan
Minggu ketiga Jan
2.
Membuat Tinjauan Awal/Ujian pra
Minggu keempat Jan
3.
Menyediakan proposal
Minggu pertama Februari
4.
Merancang tindakan
Minggu kedua Februari
5.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu ketiga Februari
6.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu keempat Februari
7.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu kelima Februari
8.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu pertama Mac
9.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu kedua Mac
10.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu ketiga Mac
11.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu keempat Mac
12.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu kelima Mac
13.
Melaksanakan tindakan/rawatan
Minggu pertama April
14.
Mengumpul data dan membuat analisis
Minggu kedua April
15.
Menulis Laporan
Minggu ketiga April

10.0 Perbelanjaan
11.0 Kesimpulan

Kajian ini penting untuk membantu dan membimbing pelajar dalam menguasai topik morfologi dan sintaksis serta penguasaan kemahiran menjawab soalan dengan teknik yang berkesan. Selain itu, kajian ini diharapkan dapat menyuburkan budaya menyelidik, membuat rujukan, perbincangan dengan rakan-rakan dan menyelesaikan masalah secara sistematik dan berkesan. Kajian ini juga akan dikongsi bersama dengan guru-guru Bahasa Melayu yang lain khususnya di kolej ini dan secara amnya guru-guru dari sekolah yang lain.

Sunday, November 13, 2016

Soalan Esei Peperiksaan Percubaan STPM P1 2016

Calon-calon STPM tahun 2016 bolehlah meneliti soalan percubaan STPM P1 negeri Selangor, Pahang, Kelantan, dan Terengganu 2016 seperti yang dipaparkan di bawah ini. Gunakan soalan tersebut untuk membuat latihan dan persediaan sebelum menghadapi peperiksaan P1 pada 17 November nanti. Tulislah esei berdasarkan soalan tersebut. Kemudian, semaklah esei anda itu dan buat analisis sendiri atau dengan bantuan rakan dan guru. Anda perlu mengesan kesalahan terutamanya kesalahan bahasa agar anda tidak mengulanginya lagi dalam peperiksaan yang sebenar nanti. Selain itu, pastikan juga aspek kohesi dan koheren dalam setiap perenggan yang ditulis itu benar-benar mantap. 

Negeri
Soalan





Selangor
1 Pengangguran dalam kalangan rakyat di negara kita berpunca daripada pertambahan kemasukan pekerja asing. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat ini?

2  Masyarakat di Malaysia kini semakin gemar melancong ke luar negara. Hal ini sedikit sebanyak akan menjejaskan sektor pelancongan tempatan. Cadangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan rakyat melancong di dalam negara.

3  Hubungan antara ahli keluarga dalam masyarakat kita, sama ada masyarakat di bandar atau di luar bandar kian renggang. Jelaskan sebab kerenggangan hubungan antara ahli keluarga dalam masyarakat di negara ini.

Negeri
Soalan





Terengganu
1 Peningkatan kes jenayah di negara ini turut dikaitkan dengan pertambahan kemasukan tenaga kerja asing. Jelaskan faktor-faktor penglibatan pekerja asing dalam kegiatan jenayah di negara ini.

2  Kini, isu kenaikan harga rumah sering diperkatakan oleh pelbagai pihak. Huraikan punca-punca permasalahan tersebut berlaku di negara ini?

3  Pihak kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan kejayaan seseorang atlet dalam bidang sukan yang diceburinya, khususnya pada peringkat antarabangsa. Huraikan kesan kejayaan tersebut kepada atlet, masyarakat, dan negara.

Negeri
Soalan







Pahang
1 Jumlah pelajar asing yang melanjutkan pengajian tinggi di negara ini semakin meningkat, malah dijangkakan akan terdapat 200,000 orang pelajar menjelang tahun 2020 kelak.  Pertambahan jumlah mereka menjadi petunjuk bahawa Malaysia amat berpotensi untuk menjadi hab pendidikan global.  Jelaskan faktor yang mendorong mereka meneruskan pengajian di sini.

2  Gagasan 1Malaysia bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara rakyat berbilang kaum menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang menggugat kesejahteraan hidup mereka.  Pada pendapat anda, bagaimanakah Gagasan 1Malaysia ini dapat direalisasikan?

3    Bidang sukan mampu menaikkan nama negara di persada dunia.  Oleh itu, seseorang atlet yang berjaya mengharumkan nama negara telah dijanjikan dengan pelbagai ganjaran.  Sejauh manakah pemberian ganjaran kepada atlet oleh kerajaan mampu meningkatkan mutu sukan negara?

Negeri
Soalan






Kelantan
1 Pekerja yang berkualiti menjadi aset penting kepada sesebuah organisasi dan negara.  Setiap majikan bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerjanya. Jelaskan peranan majikan dalam meningkatkan kualiti tenaga kerja di negara kita.

2  Kini, masyarakat dunia sering terdedah kepada ancaman peperangan  yang boleh meninggalkan pelbagai kesan kepada kehidupan sejagat.  Nyatakan kesan  ancaman tersebut kepada kehidupan sejagat.

3    Perniagaan secara elektronik atau e-dagang pada masa ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.  Melalui  e-dagang, perniagaan dilakukan hanya di hujung jari. Bincangkan kebaikan dan keburukan perniagaan secara elektronik ini.

Sunday, October 30, 2016

Panduan Menjawab Soalan Penggal 3

      Tidak lama lagi pelajar penggal 3 akan menduduki peperiksaan. Oleh itu, teruskan ulang kaji dengan bersistematik dan gunakan panduan di bawah sebagai satu daripada bentuk bantuan semasa berada di dalam dewan peperiksaan.
  1. Rancang  agihan masa (90 minit) – soalan objektif (20 soalan – dicadangkan 30 minit) & soalan struktur (45 markah – dicadangkan 60 minit)
  2. Soalan yang dikemukakan semestinya berdasarkan Sukatan Pelajaran Peperiksaan (SPP) STPM  terkini dan merujuk kepada hasil pembelajaran yang tercatat dalam SPP.
  3. Pelajar boleh mendapatkan sukatan tersebut dengan melayari laman web MPM.
  4. Gunakan buku rujukan yang berwibawa seperti buku terbitan Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) dan buku-buku lain di pasaran.
  5. Maksud konsep mesti betul dan menepati kehendak soalan.
  6. Baca arahan dan kehendak soalan dengan teliti.
  7.  Kuasai dan fahami konsep serta ciri-ciri dalam setiap topik.
  8.  Konsep/ciri dan contoh perlu betul (contoh akan diterima jika konsep juga betul dan begitu sebaliknya)
  9. Tulis jawapan berdasarkan kehendak soalan atau markah (Kalau beri lebih isi, isi tersebut tidak diterima)
  10. Tepati arahan soalan semasa menulis wacana atau ayat yang memerlukan dua atau tiga ciri.
  11. Jika anda diminta untuk menulis wacana, pastikan sekurang-kurangnya dua ayat atau lebih.
  12. Mesti ada elemen perbezaan jika soalan  meminta perbezaan (dalam satu ayat). Kalau perbandingan mesti ada persamaan atau perbezaan.
  13. Bagi soalan bina ayat daripada perkataan, jangan tambah imbuhan atau ubah perkataan tersebut.
  14. Kekalkan ayat asal bagi soalan yang memerlukan pelajar mengembangkan ayat tersebut. (Soalan Teknik Penyampaian Idea)
  15. Susunan gelaran dan panggilan hormat dalam kesantunan berbahasa mesti betul.
  16. Konsep atau istilah mestilah betul, tidak boleh diubah (contoh, penanda penghubung pertentangan (tentangan), penggantian bukan gantian, bahasa berulang bukan ulangan)
  17. Berhati-hati dengan soalan yang ada dua bahagian, (a) dan (b). Jawapan (a) harus selaras dengan soalan (a), dan jawapan (b) perlu selaras dengan soalan (b).

Saturday, October 8, 2016

Kelemahan dalam Peperiksaan STPM P1

Kelemahan dan Kesilapan yang Sering Dilakukan oleh Pelajar dalam Peperiksaan STPM P1

Pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Penggal 1 tidak lama lagi perlu mengelakkan kesilapan yang disenaraikan di bawah. Pelajar masih ada masa lagi untuk berlatih dan membiasakan diri dengan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan topik Penggal 1.

Kelemahan dalam Soalan Objektif (Bahagian A)

1.        Pelajar tidak menguasai topik atau konsep penting dalam Penggal 1. 
2.      Pelajar tidak mengulang kaji topik-topik yang telah dipelajari.
3.        Pelajar menukar jawapan yang sepatutnya betul kerana kurang yakin.
4.        Pelajar kurang faham atau keliru dengan kehendak soalan.
5.        Pelajar tidak menguasai teknik menjawab soalan objektif Penggal 1.

Kelemahan dalam Soalan Pembacaan Kritis dan Analitis (Bahagian B)

1.   Pelajar memberikan maksud frasa atau rangkai kata yang kurang tepat.       
2.   Pelajar memberikan jawapan yang tidak tepat dan tersasar daripada kehendak soalan            bagi soalan pemahaman dan mesej penulis berdasarkan petikan.
3.    Pelajar menulis jawapan soalan pemahaman terlalu panjang sedangkan markahnya              cuma 2 sahaja.
4.   Pelajar juga banyak melakukan kesalahan bahasa iaitu dari segi morfologi dan sintaksis        serta aspek mekanis (ejaan dan tanda baca) dalam soalan pemahaman.
5.  Bagi soalan terakhir Bahagian B, ada pelajar yang menulis perenggan pendahuluan dan penutup (sepatutnya tidak perlu perenggan pendahuluan dan penutup). Selain itu, ada pelajar yang menggabungkan isi utama dengan contoh dan huraiannya sekali dalam satu ayat. Pelajar juga banyak melakukan kesalahan bahasa dalam jawapan mereka, contohnya banyak kesalahan sintaksis iaitu ayat tergantung atau ayat tiada subjek atau predikat. Selain itu, ada pelajar yang tidak menghuraikan isi utama dengan baik ataupun mereka cuma memberikan satu ayat huraian sahaja atau memberikan beberapa isi utama sahaja tanpa huraian isi. Perkara itu menyebabkan jawapan pelajar terlalu ringkas dan kurang daripada 100 perkataan. Terdapat sebahagian pelajar pula yang menulis jawapan melebihi had yang ditetapkan iaitu 150 perkataan. Selain itu, hampir kesemua pelajar tidak menulis jumlah perkataan bagi soalan ini. Sepatutnya pelajar perlu menulis jumlah perkataan selepas menyiapkan jawapan.


Kelemahan dalam Soalan Esei (Bahagian C)

1.    Pelajar tidak menguasai kemahiran mengarang esei dengan baik.
2.    Pelajar tidak membuat perancangan masa (menyebabkan esei tidak lengkap atau                  perkataan kurang daripada 600 perkataan).
3.    Pelajar kurang membuat latihan berdasarkan soalan standard MPM.
4.    Pelajar keliru atau kurang jelas dengan kehendak soalan esei (fokus soalan esei).
5.    Ada pelajar yang menjawab soalan tanpa meneliti dan memahami kehendak soalan.
6.    Tulisan pelajar tidak kemas dan sukar dibaca oleh pemeriksa.
7.    Esei pelajar terlalu pendek tetapi ada pula pelajar yang menulis perenggan terlalu                  panjang.
8.   Isi esei kurang tepat (Isi Lemah) dan ada yang tidak relevan (TR); isi umum tidak                   diterima (perlu isi yang khusus terhadap fokus atau kehendak soalan).
9.    Isi tidak dihuraikan dengan baik berdasarkan aspek kohesi dan koheren (Dicadangkan           supaya calon menggunakan teknik atau formula IKCHF (Pendahuluan); IKCHP (Isi);              KCAHH (Penutup).
10.  Pelajar banyak melakukan kesalahan bahasa – morfologi (kata), sintaksis (frasa dan ayat), semantik (makna), dan aspek Mekanis (ejaan dan tanda baca). Contoh kesalahan frasa: pada masa kini (sepatutnya pada masa ini); Hal ini kerana (sepatutnya Hal ini dikatakan demikian kerana); meningkatkan lagi kemajuan ekonomi (sepatutnya meningkatkan kemajuan ekonomi lagi); sehubungan itu (sepatutnya sehubungan dengan itu); berbanding pencapaian tahun lalu (sepatutnya berbandingan dengan pencapaian tahun lalu); antara langkah-langkah (sepatutnya antara langkah) dan sebagainya.

Thursday, October 6, 2016

Analisis Soalan Penggal 3 2015

Pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM Penggal 3 pada bulan November ini boleh menjadikan analisis soalan yang berikut sebagai panduan untuk mengulang kaji topik-topik pelajaran dalam Penggal 3. Pelajar boleh membuat pertimbangan tentang topik-topik yang penting dan perlu diberikan penekanan semasa membuat ulang kaji. Berikan penekanan yang lebih terhadap topik-topik yang penting berdasarkan bilangan soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas.


Analisis Soalan STPM Penggal 3 Tahun 2015 
Bil
Tajuk/Topik
Soalan Objektif
Soalan Struktur
2015
(U) 2015
2015
(U) 2015
1
Wacana
2
3
2
1
2
Retorik
3
3
1
2
3
Variasi Bahasa
4
3
2
2
4
Laras Bahasa
2
2
2
1
5
Semantik
4
4
1
2
6
Pragmatik
5
5
3
2

Jumlah
20
20
11
10