Pengikut laman ini

Friday, December 31, 2021

Esei STPM Semester 1 - Isu Penyeludupan

Soalan:

Aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita dikatakan semakin sukar dikawal oleh pihak berkuasa. Huraikan langkah-langkah untuk menangani aktiviti penyeludupan di sempadan negara kita.

Pendahuluan 

· Kes penyeludupan sering dipaparkan di media massa dewasa ini

·  Kes penyeludupan seperti penyeludupan beras, gula, petroleum, dan sebagainya

· Walau bagaimanapun, langkah-langkah perlu diambil untuk menangani masalah penyeludupan


Isi Penting

IS1: Memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kejadian penyeludupan

IS2: Meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya penyeludupan

IS3:  Mengadakan kempen kesedaran tentang penyeludupan

IS4: Menambah bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara

IS5: Meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan

Penutup

·   Terdapat pelbagai langkah yang perlu dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan.

·    Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan kes penyeludupan dikurangkan demi kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Contoh Esei

            Media massa sering memaparkan berita tentang kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita. Perkara ini menunjukkan bahawa masalah ini semakin serius dan membimbangkan kerana bilangan kes semakin meningkat dan sukar dibendung oleh pihak berkuasa. Barang-barang seperti beras, gula, petroleum, minyak masak, rokok, hidupan liar, senjata api, dan sebagainya merupakan contoh barangan yang diseludup di kawasan sempadan negara kita. Kes penyeludupan tersebut melibatkan nilai rampasan yang besar dan perkara itu merugikan negara kerana penyeludup mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan. Oleh itu, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk menangani aktiviti penyeludupan di kawapan sempadan negara kita dengan negara jiran.

Langkah yang perlu diambil ialah pihak berkuasa perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kejadian penyeludupan. Kamera tersebut dapat mengimbas atau merakam segala perbuatan jenayah yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kamera tersebut perlu diletakkkan atau dipasang di kawasan sempadan negara kita dengan negara lain, di kawasan sempadan atau di kawasan perairan, dan sebagainya. Perkara ini akan menakutkan penyeludup dan dapat menghalang mereka daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Jadi, dengan cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan jika pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup di kawasan “panas” atau di kawasan yang sering berlaku aktiviti penyeludupan.


Pihak berkuasa perlu meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya penyeludupan. Perkara ini akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, pihak imigresen melakukan rondaan yang lebih kerap di kawasan sempadan negara atau di kawasan perairan sempadan negara, dan sebagainya. Melalui cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian akibat kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan. Perkara itu jelas menunjukkan bahawa masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan melalui rondaan yang lebih kerap oleh pihak berkuasa di kawasan yang sering berlaku aktiviti tersebut.

       Langkah lain yang boleh diambil ialah pihak berkuasa perlu mengadakan kempen kesedaran tentang keburukan penyeludupan kepada masyarakat. Perkara itu penting kerana anggota masyarakat akan mendapat maklumat dan kesedaran tentang kepentingan mengangani kes penyeludupan. Contohnya, anggota masyarakat diberikan kesedaran tentang bahaya atau keburukan akibat kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dan pihak imigresen boleh menerangkan cara untuk menangani masalah penyeludupan melalui demonstrasi atau iklan di media massa. Dengan cara itu, kesedaran tentang kegiatan penyeludupan dapat ditangani dan dikurangkan di kawasan sempadan. Tegasnya, bilangan kes atau aktiviti penyeludupan dapat dikurangkan melalui kempen-kempen kesedaran tentang pencegahan kes penyeludupan.

           Pihak berkuasa juga perlu menambah bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara. Hal ini dapat menghalang penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Pondok kawalan boleh berfungsi sebagai pusat pemantauan dan tempat orang ramai untuk membuat aduan tentang kes penyeludupan. Jadi, pihak berkuasa perlu membina pondok kawalan imigresen di tempat yang strategik atau di kawasan sempadan negara seperti di sempadan Malaysia dengan Thailand dan sempadan Malaysia dengan Indonesia. Perkara ini tentunya akan menakutkan penyeludup kerana pihak imigresen dapat bertindak dengan lebih pantas untuk menangkap penyeludup yang melakukan aktiviti penyeludupan.

    Pihak berkuasa hendaklah meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Tindakan itu perlu dilakukan kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, hukuman penjara mandatori dan sebatan rotan kepada penyeludup di khalayak berupaya untuk menakutkan orang ramai dan menyedarkan penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Dengan cara itu, kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian negara dapat diminimumkan. Jadi, jelaslah bahawa denda atau hukuman yang berat dapat mengurangkan kes penyeludupan.

       Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang perlu dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat dikurangkan di kawasan sempadan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah pasti masalah tersebut sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kita tidak mahu kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat negara kita terjejas. Jadi, kita berharap agar masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan supaya rakyat negara kita hidup makmur dan sejahtera tanpa aktiviti penyeludupan. (618 perkataan)

Wednesday, December 29, 2021

Isu Esei STPM 2013 – 2021 (Sistem Modular)

Isu Esei Tidak Berformat (Semester 1)

1. 2013

    (i) Amalan berbudi bahasa

    (ii) Kepentingan hutan

    (iii) Kemalangan di tempat kerja

2. 2014 & (U) 2013

    (i) Kerja sukarela

    (ii) Keselamatan awam

    (iii) Kebersihan alam sekitar

3. 2015 & (U) 2014

    (i) Batik

    (ii) Mata pelajaran Sejarah

    (iii) Perkhidmatan rawatan kecantikan dan produk kecantikan

4. 2016 & (U) 2015

    (i) Penderaan kanak-kanak

    (ii) Pencapaian negara dalam bidang sukan

    (iii) Teknologi maklumat dan komunikasi

5. 2017 & (U) 2016

    (i) Pemanasan global

    (ii) Rumah sukar dijual

    (iii) Kedatangan pelajar luar Negara

6. 2018 & (U) 2017

    (i) Pengemis

    (ii) Bersenam

    (iii) Kejayaan seseorang atlet

7. 2019 & (U) 2018

    (i) Pengabaian ibu bapa

    (ii) Pencemaran udara

    (iii) Perniagaan dalam talian

8. 2020 & (U) 2019

    (i) Semangat kejiranan

    (ii) Banjir kilat

    (iii) Industri pembuatan kereta

9. 2021 & (U) 2020

    (i) Makanan segera

    (ii) Aktiviti rekreasi

    (iii) Amalan menderma darah

Antara isu lain yang belum keluar ialah:

(i) Penyeludupan

(ii) Vandalisme

(iii) Jenayah siber

(iv) Jurulatih import

(v)  Pendatang asing

(vi) Kepentingan filem

(vii) Penyakit berbahaya

(viii) Industri pelancongan

(ix) Masalah pengangguran 

(x) Kepentingan sungai/laut

(xi) Kepentingan sektor pertanian

(xii) Sastera Melayu tradisional

(xiii) Kenaikan harga barang

(xiv) Pelaburan asing

(xv) Kes buli   

   

Saturday, April 3, 2021

Teknik Analogi

 Teknik Analogi

Teknik analogi ialah teknik penyampaian idea yang dimulakan dengan membina satu ayat pernyataan atau gagasan terhadap suatu perkara. Ayat kedua pula diikuti oleh ayat alasan atau hujah terhadap pernyataan atau gagasan dalam ayat pertama. Kemudian ayat ketiga akan dikaitkan dengan suatu pernyataan lain yang hendak dibandingkan dengan ayat pertama. Ayat keempat ialah ayat alasan atau hujah berdasarkan ayat ketiga.

Ayat gagasan

+

Ayat hujah/alasan

+

Ayat perbandingan dengan gagasan

+

Ayat hujah/alasan


 

Contoh perenggan teknik analogi

Thailand merupakan sebuah negara yang telah berjaya menarik kemasukan ramai pelancong asing. Rahsia kejayaan negara itu ialah keupayaannya mengekalkan dan mempopularkan keindahan pantai serta alam semula jadinya. Malaysia juga boleh berjaya dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan jika negara kita dapat melaksanakan langkah yang sama. Negara ini mempunyai keindahan pantai dan alam semula jadi yang boleh dimajukan dan dipopularkan.

Soalan Latihan

Berdasarkan permulaan petikan yang diberikan di bawah, hasilkan sebuah wacana dengan menggunakan teknik analogi. Wacana yang terhasil hendaklah tidak melebihi 40 patah perkataan.  [3]

Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang perindustrian.  

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................



Wednesday, March 31, 2021

Teknik Induksi dan Eklektik

Teknik Induksi

Teknik induksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan suatu pernyataan khusus dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri dengan pernyataan umum. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan huraian dan contoh yang bersifat khusus serta kemudiannya diakhiri dengan ayat topik yang bersifat umum.

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat topik

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik induksi

Ada petani yang melakukan pembakaran terbuka seperti membakar kawasan hutan untuk bercucuk tanam. Mereka melakukan pembakaran hutan kerana kawasan tersebut perlu dibersihkan sebelum pelbagai jenis tanaman ditanam. Jadi, pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pencemaran udara berlaku.

 Teknik Eklektik

Teknik eklektik bermaksud penyampaian idea yang menggabungkan dua teknik iaitu teknik deduksi dengan teknik induksi. Dengan perkataan lain, teknik eklektik dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus serta diakhiri oleh pernyataan umum. Oleh itu, dalam perenggan eklektik ini, ayat pertamanya ialah ayat topik (ayat topik yang merupakan pernyataan umum), kemudiannya diikuti oleh huraian/sokongan dan contoh, serta diakhiri dengan ayat kesimpulan (ayat kesimpulan merupakan pernyataan umum). 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat kesimpulan

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik eklektik

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Tegasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka telah menyebabkan udara tercemar.

 Teknik analogi akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Tuesday, March 30, 2021

Retorik - Teknik Penyampaian Idea

Teknik penyampaian idea merupakan subtopik Retorik. Terdapat empat teknik penyampaian idea yang sering kali digunakan untuk menyampaikan wacana dengan berkesan iaitu teknik deduksi, teknik induksi, teknik eklektik, dan teknik analogi.

Teknik Deduksi

Teknik deduksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri juga dengan pernyataan khusus. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan ayat topik yang bersifat umum dan kemudiannya diikuti oleh ayat huraian dan contoh yang bersifat khusus.

 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

 

Contoh perenggan teknik deduksi

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam atau membuka ladang.

Petua atau tips untuk membezakan pernyataan umum dengan pernyataan khusus:  

1.  Ayat pernyataan umum bersifat umum dan tidak spesifik atau tidak jelas. Ayat pernyataan umum masih boleh disoal untuk mendapatkan penjelasan.

2.  Ayat perrnyataan khusus bersifat khusus dan spesifik atau jelas. Ayat pernyataan umum tidak perlu disoal lagi untuk mendapatkan penjelasan.

3.  Contoh ayat pernyataan umum dan ayat pernyataan khusus terdapat dalam perenggan contoh teknik deduksi di atas.

Teknik penyampaian idea lain akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Thursday, February 11, 2021

Teknik Penulisan Perenggan Penutup Esei

 Teknik KCAHH (Kena Cermat Atau Hati Hati)

p  Ayat Kesimpulan

p  Ayat Cadangan umum

p  Ayat Argumen

p  Ayat Huraian argumen

p  Ayat Harapan umum

 Contoh Olahan Perenggan Penutup

K - Sebagai kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan masalah rumah yang siap dibina tetapi tidak dibeli oleh orang ramai. (K) – Ayat Kesimpulan/ Ayat rumusan

C - Oleh itu, pihak berkuasa dan pihak pemaju perlu memastikan rumah yang dibina dapat dijual kepada pembeli rumah. (C) – Ayat cadangan umum

A - Sekiranya faktor-faktor tersebut tidak dapat diatasi, pastinya pemaju perumahan dan anggota masyarakat akan menerima kesan buruknya. (A) – Ayat argumen

H - Jadi, kita tidak mahu kesan buruk tersebut menjejaskan orang ramai untuk memiliki rumah. (Hu) – Ayat huraian terhadap argumen

H - Akhirnya, kita berharap agar masalah tersebut diberikan perhatian oleh pihak berkuasa supaya setiap keluarga dapat memiliki rumah sendiri dan hidup dengan selesa. (Ha) Ayat harapan umum   (88 perkataan)

Contoh Perenggan Penutup Lain yang Menggunakan Formula 2K 

 Sebagai kesimpulannya, para pelajar akan mendapat banyak manfaat dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Oleh itu, aktiviti kokurikulum yang telah diwajibkan kepada para pelajar di negara ini wajar diperkasakan agar kegiatan ini relevan dengan peredaran zaman. Sekiranya perkara itu tidak dilakukan, tentunya hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang seimbang akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana negara memang bermatlamat untuk mewujudkan modal insan kelas pertama bagi mengharungi cabaran pada hari-hari yang mendatang. Jadi, kita berharap agar aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang seimbang demi menghadapi dunia globalisasi yang semakin mencabar.  (93 perktaan)