Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)
Kali
ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan isi dengan menggunakan
formula 2K. Jadi, pelajar perlu menggunakan formula yang sama untuk mengolah
atau mengembangkan kesemua isi.
Teknik Penulisan Perenggan
Isi yang Menggunakan Formula 2K
Teknik IKCHP (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai)
p Ayat Isi (Ayat topik)
p Ayat huraian – Ayat Kenapa / ayat bagaimana
p Ayat Contoh (contoh daripada ayat isi)
p Ayat Huraian contoh
p Ayat Penegasan atau penerangan lanjut terhadap contoh
Pastikan setiap perenggan terdapat sekurang-kurangnya 5 ayat. Kemudian, pastikan ada 5 atau 6 isi dalam satu esei (5 - 6 perenggan = 5 - 6 isi). Setiap perenggan isi menggunakan teknik atau cara yang sama.
Contoh Soalan:
Banyak
rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda,
mengapakah perkara itu berlaku?
Contoh Olahan Perenggan Isi
I - Harga
rumah yang terlalu mahal telah menyebabkan pembeli tidak mampu untuk membelinya. (I) - Ayat isi/ topik esei
K - Harga
rumah yang mahal akibat harga bahan binaan yang meningkat menyebabkan pembeli
terbeban oleh hutang jika mereka membeli rumah tersebut. (K) – Ayat kenapa ayat isi berlaku
C - Sebagai contohnya, harga
simen, pasir, bata, dan besi telah meningkat dengan mendadak hingga
menyebabkan harga rumah melebihi RM400,000 sebuah. (C) – Ayat contoh daripada ayat isi
H - Harga
yang terlalu mahal telah menyebabkan rumah yang siap dibina tidak dapat dijual
kerana kekurangan pembeli yang mampu untuk membelinya. (H) –
Ayat huraian daripada contoh
P - Hal ini membuktikan
bahawa rumah yang dibina tidak dibeli oleh pembeli rumah kerana harga rumah
terlalu mahal. (P) – Ayat
penegasan daripada ayat isi (88 perkataan)
Contoh Perenggan Isi Lain yang Menggunakan Formula
2K
Contoh Soalan:
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan
semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana
banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum
kepada para pelajar.
Manfaat utama yang akan
diperoleh ialah guru dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar.
Melalui aktiviti tersebut, para pelajar akan lebih terdedah kepada kegiatan
yang dilaksanakan secara bekerjasama dalam satu pasukan. Aktiviti seperti
pemasangan khemah semasa perkhemahan memerlukan kerjasama yang jitu dan sikap
tolong-menolong antara satu sama lain, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Aktiviti
kokurikulum seperti itu mampu untuk memupuk sifat-sifat yang mulia dalam diri
setiap pelajar. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat menggalakkan pembentukan
sahsiah dan melahirkan remaja yang mempunyai budi pekerti yang mulia. (89
perkataan)
Teknik penulisan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.