Topik atau isu lain yang penting dalam Bahagian A Kertas 2 ialah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Oleh itu, saya cadangkan soalan seperti di bawah ini untuk dijadikan panduan dan latihan sebelum peperiksaan STPM.
Soalan Contoh:
Isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berlaku di negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Huraikan kesan-kesan isu tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasinya.
Karangan contoh di bawah ini ditulis oleh seorang daripada anak murid saya iaitu Nurzafirah bt. Rahim (6A2) berdasarkan tugasan mingguan yang telah diberikan kepadanya sebelum ini.
Pendahuluan
- Masalah kebanjiran PATI – perlu tindakan
Isi-isi Pentingi. masalah jenayah
ii. memonopoli peluang pekerjaan
iii. ancaman kepada keselamatan negara
iv. langkah penguatkuasaan undang-undang
v. penyelesaian secara diplomatik
Penutup
- timbulkan kesan negatif – perlu ditangani
Karangan Contoh
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang datang ke negara kita secara senyap-senyap sudah lama berlaku dan hal ini menyebabkan kebanjiran pendatang berkenaan secara besar-besaran. Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing dari Indonesia yang tiada permit ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang demikian, banyak kesan yang perlu ditanggung dan langkah yang berkesan perlu diambil oleh pihak yang berkuasa untuk menangani masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita.
Terdapat pelbagai kesan akibat kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini dan salah satunya ialah kesan negatif iaitu timbulnya masalah jenayah dalam kalangan mereka. Masalah jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya tidak dinafikan turut didalangi oleh pendatang tanpa izin ini. Kehadiran mereka tanpa permit sukar untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa. Lantaran itu, mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan kesempatan tersebut ibarat pepatah, "Sambil menyelam minum air", untuk melakukan jenayah secara berselindung tanpa diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Masalah jenayah sedemikian jika tidak dibanteras sudah tentu akan menyusahkan masyarakat tempatan dan turut menyebabkan imej negara tercalar.
Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Oleh hal yang demikian, mereka mengambil kesempatan untuk berhijrah ke negara jiran untuk mencari pekerjaan melalui sindiket pekerjaan yang tidak sah. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.
Kesan lain akibat masalah tersebut ialah keselamatan negara akan turut terancam dengan kehadiran beribu-ribu pendatang asing tanpa izin. Hal ini dikatakan demikian kerana selain melakukan jenayah, kehadiran mereka yang ramai serta kualiti kesihatan yang tidak dijaga turut menjejaskan kesihatan rakyat tempatan. Penyakit berjangkit seperti selesema burung dan pelbagai penyakit lagi yang memudaratkan kesihatan akan disebarkan secara tidak langsung. Pemantauan seperti pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan oleh imigran dari luar negara tidak dilakukan kerana kehadiran mereka ke negara ini adalah secara haram dan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Akibatnya, masyarakat tempatan akan berasa tidak selamat dengan persekitaran luar dan berasa waswas untuk keluar bekerja dan sebagainya.
Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita iaitu salah satunya dengan menguatkuasakan undang-undang. Tidak dinafikan, pendatang asing tanpa izin yang bolos ke negara kita disebabkan oleh bantuan individu yang berkuasa kerana kegiatan rasuah yang menular. Walau bagaimanapun, setelah pelbagai inisiatif diambil masih ada lagi kes pendatang asing tanpa izin yang berjaya melepasi sempadan. Perkara itu tentunya berkaitan dengan kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara. Jadi, tindakan tegas perlu diambil untuk membendung gejala itu dan penguatkuasaan yang ketat. Hukuman atau denda yang berat kepada pesalah yang mendalangi kegiatan tersebut perlu diambil. Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang dapat mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin.
Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya. Misalnya, negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini dan seterusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.
Sebagai kesimpulannya, kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya membawa kesan yang negatif kepada negara. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu berganding bahu untuk menangani masalah tersebut daripada menjadi semakin serius. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera dengan berkesan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jadi, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana akibat buruknya begitu sukar untuk ditanggung malah akan memburukkan keadaan lagi. Kita berharap agar masalah tersebut dapat ditangani dengan bijaksana agar negara kita tidak lagi menjadi tempat lambakan pendatang asing tanpa izin.
Oleh; Nurzafirah Rahim.