Pelajar
perlu mengesan kata kunci atau
kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam pilihan
jawapan. Garisi kata kerja transitif, objek
tepat, dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat
aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Petuanya ialah objek
tepat menjadi penyambut selepas kata kerja transitif dan kemudian diikuti oleh
objek sipi. Kebiasaannya, kata kerja transitif yang diikuti oleh objek tepat
dan objek sipi berimbuhan meN-...-kan dan meN-...-i. Contoh kata kerja
transitif tersebut adalah seperti memasakkan, memotongkan, menghadiahi,
menjatuhi, dan sebagainya.
Cuba analisis
kehendak soalan yang berikut.
23 Frasa
kerja + objek 1 + objek 2 + frasa keterangan
Ayat yang manakah yang binaannya seperti di atas? (STPM 2018)
A Ibu mahu menjahitkan baju kurung nenek di
dalam bilik saya.
B Mereka telah menyelamatkan beberapa ekor anak
buaya di sungai itu.
C Kami
akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari lahirnya.
D Seorang jururawat
membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka anaknya.
Ayat A
tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja
transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Sepatutnya ayat
yang mengandungi objek tepat dan objek sipi ialah “Ibu mahu menjahitkan
nenek baju kurung di dalam bilik saya.”
Ayat B tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja
transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Mereka telah menyelamatkan
beberapa ekor anak buaya di sungai itu.” cuma mengandungi satu objek. Frasa
kerja “menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu” cuma mengandungi
satu objek. Frasa “beberapa ekor anak buaya” merupakan satu objek sahaja dan
frasa “di sungai itu” merupakan frasa keterangan.
Ayat C menepati rumus ayat yang mengandungi dua
objek
iaitu frasa kerja transitifnya didikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Kami akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari
lahirnya.”
mengandungi kata kerja transitif “menghadiahi”, “Cikgu Wati” sebagai objek
tepat dan “sepasang baju” sebagai objek sipi. Jadi, ayat C menepati binaan dalam soalan.
Ayat D tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja
transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Dalam ayat “Seorang jururawat membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka
anaknya.” cuma mengandungi satu objek sahaja. Frasa “ibu muda” merupakan satu
objek sahaja.