Pengikut laman ini

Monday, March 19, 2012

Teks Ucapan Penggulungan Bahas Ala Parlimen

Assalamualaikum dan selamat sejahtera Tuan Yang Dipertua, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Bertemu sekali lagi dalam sesi penggulungan kali ini. Dalam sesi penggulungan ini saya akan membidas ketiga-tiga hujah pincang yang telah dikemukakan oleh barisan pembangkang sebentar tadi dan seterusnya saya akan merumuskan hujah-hujah kerajaan.

Saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh pihak pembangkang iaitu bangunan bersejarah itu memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah. Sebenarnya, kita perlu sedar bahawa kos yang dibelanjakan tersebut tidak sama dengan nilai sejarah yang terdapat pada bangunan tersebut yang tidak boleh dijual beli atau ditukar ganti. Jadi, bangunan tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai sejarahnya ini rosak atau musnah kerana bangunan tersebut tidak dapat digantikan dengan bangunan yang baharu kerana bangunan yang baharu itu tidak sama nilai sejarahnya dengan bangunan yang asal.

        Hujah kedua pembangkang pula ialah saingan dengan bangunan baharu. Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah tidak perlu dikekalkan sebagai warisan negara kerana adanya faktor saingan dengan bangunan baharu. Saya membidas hujah ini kerana kita sedia maklum bahawa bangunan baharu sememangnya lebih cantik, besar, unik dan canggih. Namun demikian, bangunan yang baharu dibina ini tidak mempunyai nilai sejarahnya seperti bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita. Kita memang boleh membina banyak bangunan baharu tetapi apakah unsur sejarah yang terdapat pada bangunan tersebut? Sudah tentu jawapannya, tiada unsur sejarah yang hendak ditonjolkan berbanding dengan bangunan-bangunan bersejarah tinggalan penjajah yang sarat dengan unsur sejarah yang tidak boleh ditukar ganti dengan bangunan baharu.

Tuan Yang Dipertua,
            Beralih pula kepada hujah ketiga pembangkang, iaitu kesukaran untuk mengekalkan keaslian akibat dipulihara. Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah tidak perlu dikekalkan sebagai warisan negara kerana memang sukar untuk mengekalkan keaslian bangunan tersebut akibat proses pemuliharaan yang dilakukan terhadap bangunan tersebut. Semasa proses memulihara bangunan bersejarah itu dijalankan, sudah tentu akan berlaku kerosakan pada bangunan tersebut. Hal ini demikian kerana, bangunan tersebut sudah lama dibina dan mungkin ada yang sudah tidak kukuh lagi. Saya membidas hujah pembangkang ini kerana semasa kerja-kerja pemuliharaan dijalankan, pihak kerajaan akan memastikan pekerja-pekerja yang menjalankan kerja-kerja pemuliharaan haruslah terdiri daripada pekerja-pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam kerja-kerja pemuliharaan bangunan lama dan bersejarah. Jadi, pihak kerajaan akan memastikan bahawa langkah ini akan dijalankan semata-mata untuk mengekalkan keaslian bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

Tuan Yang Dipertua,
Seterusnya saya akan merumuskan ketiga-tiga hujah kerajaan seperti yang telah dikemukakan dalam sesi pertama sebentar tadi. Hujah kerajaan yang pertama berdasarkan indikator mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi bukan sahaja kepada negara kita, malahan kepada dunia. Hal ini jelas terbukti dengan perisytiharan Tapak Warisan Dunia yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui UNESCO pada tahun lepas kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang. Badan dunia yang disegani ini sudah tentu memilih kedua-dua buah negeri tersebut kerana di Melaka dan Pulau Pinang memang banyak terdapat bangunan yang bersejarah dan nilai sejarahnya itu amat tinggi.  
Hujah kerajaan yang kedua berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur sejarah yang tinggi ini. Para pengkaji atau penyelidik akan melaporkan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan seterusnya difahami oleh  masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.   
  Hujah kerajaan yang ketiga iaitu berpaksikan frasa, menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Para pelancong yang datang ke negara kita pastinya hendak melihat kesan-kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Jadi, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan keasliannya sampai bila-bila, seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tetap mempertahankan usul yang dibentangkan ini iaitu bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara. Jadi, berdasarkan rumusan hujah mantap yang saya nyatakan tadi, saya memohon usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan sebulat suara.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.        

Saturday, March 17, 2012

PENCAPAIAN STPM SMKBBST 2011

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua calon STPM SMKBBST tahun 2011 kerana telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang (96.4%) dalam peperiksaan STPM yang diumumkan pada hari Rabu lepas.  Tahniah juga kepada 1 orang murid cemerlang yang telah memperoleh 3 Prinsipal A dan 1 Prinsipal B+ iaitu Rosafiza Zakaria. Anda telah berjaya membuktikan bahawa anda berupaya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang jika ada kesungguhan dan usaha gigih tanpa mengenal putus asa. Saya bersyukur kerana pencapaian yang telah ditunjukkan oleh semua calon STPM 2011 ini telah mengharumkan nama sekolah dan daerah Sepang. Semua guru dan pentadbir berasa bangga atas kejayaan anda semua dan berazam untuk meneruskan usaha bagai meningkatkan kecemerlangan STPM pada tahun ini. Kejayaan anda juga akan menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada calon-calon STPM tahun ini.
Sekalung tahniah kepada 7 orang murid yang telah mendapat Prinsipal A (Rosafiza Zakaria, Muhammad Fakhrurazy Abd. Majid, Raja Muhammad Hanafi Raja Iskandar, Fatin Amira Mohd Nor, Nurul Atiqah Habidin, Nurul Farhana Zainor, dan Nurul Natasha Shaharuddin) dan 4 orang lagi mendapat Prinsipal A- (Thiparani Thangaraju,  Nur Edleen Ezzaty Mat Zaki, Nur Suliana Samsudin, dan Siti Fatimah Mohd Zainal Abidin) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Peningkatan ini merupakan pencapaian yang paling baik berbanding dengan 2 orang sahaja pelajar yang mendapat Prinsipal A dan 3 orang pelajar memperoleh A- pada tahun 2010.
Tahun 2012 juga menunjukkan bahawa mata pelajaran Bahasa Melayu mencapai 88.9% lulus berbanding dengan 75.6% tahun 2010. Hal ini bermakna, seorang murid sahaja gagal dan dua orang lagi Lulus Sebahagian. Usaha anda selama ini akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan semua warga SMKBBST. Anda telah membuktikan bahawa anda memang layak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Karangan beberapa orang pelajar yang telah saya paparkan dalam blog ini telah mendapat Prinsipal A dan B+. Nurul Nastasha dan Raja Muhammad Hanafi telah memperoleh Prinsipal A dan Munirah Ali Mohamed mendapat Prinsipal B+.
Tahniah juga saya ucapkan kepada 14 orang pelajar yang mendapat 4 Prinsipal dalam 4 mata pelajaran. Impian anda sebelum ini akhirnya benar-benar menjadi kenyataan. Saya ingin menasihatkan pelajar agar meneruskan azam dan usaha anda untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang semasa berada di universiti nanti. Jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan kepada anda ini.
Bersyukurlah dengan kejayaan yang telah anda peroleh ini dan jadikannya sebagai titik permulaan untuk mencapai kejayaan yang seterusnya. Semua guru dan ibu bapa anda juga semestinya sentiasa mendoakan kejayaan anda semua. Saya mendoakan pelajar-pelajar yang mendapat CGPA 2.5 ke atas juga akan memperoleh tawaran daripada universiti tempatan. Insya-Allah, semoga semua yang lulus akan mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian sama ada IPTA atau IPTS di negara kita ini.

Keputusan STPM SMKBBST 2011

Jumlah Calon - 28 orang

Peratus lulus (sekurang-kurangnya lulus 1 mata pelajaran) - 27 orang (96.4%)

Lulus 4 Prinsipal - 14 orang (51.9%)
Lulus 3 Prinsipal – 7 orang (25.9%)
Lulus 2 Prinsipal – 4 orang (14.8%)
Lulus 1 Prinsipal – 2 orang (7.4%)
Gagal semua         - 1 orang (3.7%)

CGPA 3.0 ke atas - 9 orang
CGPA 2.5 - 2.9 - 6 orang
CGPA 2.0 - 2.4 - 8 orang

Jumlah 2.0 ke atas - 23 orang

Kurang daripada 2.0 - 4 orang

ANALISIS KEPUTUSAN MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU SMKBBST STPM 2011

Jumlah Pelajar = 27 orang


Prinsipal
Kertas 1
Kertas 2
Keseluruhan
A
12 (44.4%)
7 (25.9%)
7 (25.9%)
A-
5 (18.5%)
1 (3.7%)
4 (14.8%)
B+
1 (3.7%)
3 (11.1%)
1 (3.7%)
B
3 (11.1%)
2 (7.4%)
3 (11.1%)
B-
0 (0.0%)
4 (14.8%)
3 (11.1%)
C+
3 (11.1%)
0 (0.0%)
4 (14.8%)
C
1 (3.7%)
3 (11.1%)
2 (7.4%)
Jumlah/Peratus Mendapat Prinsipal
25 (92.6%)
20 (74.1%)
24 (88.9%)
C-
1 (3.7%)
7 (25.9%)
2 (7.4%)
D+
0 (0.0%)
0 (0.0%)
0 (0.0%)
D
0 (0.0%)
0 (0.0%)
0 (0.0%)
Jumlah Lulus Sebahagian
1 (3.7%)
7 (25.9%)
2 (7.4%)
F
1 (3.7%)
7 (25.9%)
1 (3.7%)

Jumlah Pelajar
27
27
27


Gred Purata  =  2.95

Saturday, March 3, 2012

Kurikulum Baharu Tingkatan 6 Sesi 2012/2013

Untuk pengetahuan semua, pada 4 Januari 2012 yang lalu, jemaah menteri dalam mesyuaratnya telah meluluskan Kurikulum Baharu Tingkatan 6 yang turut melibatkan perubahan Sistem Pentaksiran STPM. Perkara ini merupakan satu inovasi dalam kurikulum dan sistem pentaksiran STPM. Pelaksanaannya akan bermula pada penggal kedua nanti iaitu untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah sesi 2012. Kurikulum baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran ini merupakan antara transformasi pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan. Hal ini bersesuaian dengan keperluan pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang lebih matang kerana mereka akan melangkahkan kaki ke universiti. Jadi, pedagogi, yang digunakan sebelum ini ditukar kepada andragogi yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6.
      Dengan terlaksananya kurikulum baharu ini, Kementerian Pelajaran akan dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, berfikiran analitikal, inovatif, kreatif dalam mendepani cabaran dunia globalisasi. Selain itu, kurikulum baharu Tingkatan 6 ini akan berupaya untuk memberikan nafas baharu kepada pelajar dengan menyediakan satu suasana dan sistem pembelajaran yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 atau Pra-U ini. Secara tidak langsung, perkara ini dirasakan dapat menarik perhatian pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian mereka ke Tingkatan 6.
      Kurikulum baharu ini sebenarnya tidak melibatkan perubahan sistem persekolahan yang diamalkan pada masa ini. Sistem baharu ini cuma melibatkan perubahan kurikulum dan sistem pentaksirannya sahaja tanpa mengubah sistem persekolahan yang sedia ada. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 akan mengikuti pengajian selama 3 penggal iaitu Penggal 1, 2, dan 3. Para pelajar pula akan menduduki peperiksaan berpusat bagi setiap penggal. Selain peperiksaan berpusat, pelajar-pelajar juga akan menghadapi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pada penggal ke-2 dan ke-3. Keputusan peperiksaan bagi setiap penggal pula akan diumumkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia selepas penggal berakhir. Selepas penggal ke-3 berakhir, Gred Purata Keseluruhan akan dikeluarkan oleh MPM. Bagi pelajar-pelajar yang berhasrat untuk membaiki gred purata mata pelajaran masing-masing, mereka dibenarkan untuk berbuat demikian pada Penggal ke-2 atau ke-3. Pelajar-pelajar cuma dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM50.00 bagi setiap mata pelajaran untuk menduduki peperiksaan itu semula.    
     Berdasarkan kurikulum baharu Tingkatan 6 ini, para pelajar akan lebih berfokus dalam pengajian mereka. Isi kandungan pelajaran yang dipelajari dalam setiap penggal akan diuji dan dinilai dalam penggal itu sahaja.  Perkara ini samalah seperti kurikulum yang diamalkan di kolej matrikulasi dan di universiti, cuma perbezaannya ialah mereka menggunakan sistem semester, tetapi Tingkatan 6 menggunakan sistem penggal. Bagi guru-guru Tingkatan 6 pula, mereka perlu memfokuskan pengajaran mereka dalam setiap penggal berdasarkan topik-topik yang telah ditetapkan oleh MPM dalam Sukatan Pelajaran yang terbaharu itu. Selain itu, guru-guru juga diberikan kuasa untuk membuat penilaian terhadap kerja kursus atau kertas penyelidikan pelajar dan markah tersebut akan dihantar melalui atas talian kepada MPM. Perkara ini dirasakan dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti guru dalam menjayakan transformasi sistem baharu Tingkatan 6 ini. 
    Di samping itu, guru-guru perlulah memberikan penekanan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baharu iaitu berasaskan kuliah dan tutorial bagi menjadikan proses pembelajaran itu suatu pengalaman yang menarik dan berkesan di samping mampu melahirkan murid yang berfikiran kritis, analitis dan mempunyai minda teroka yang tinggi. Dengan kata lain, guru harus lebih proaktif dalam memainkan peranan dengan jayanya untuk mendukung kurikulum seperti yang diamanahkan oleh Kementerian Pelajaran ini. Untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran ini, guru-guru haruslah meningkatkan pengetahuan yang berkaitan dengan kaedah dalam menjalankan kajian, keupayaan melaporkan dapatan kajian dan yang paling utama adalah untuk menterjemahkan dapatan kajian tersebut kepada tindakan yang lebih bermakna dan berkesan.  Oleh hal yang demikian, budaya menjalankan kajian, seperti Kajian Tindakan perlulah menjadi amalan guru-guru Tingatan 6. 
    Dengan terlaksananya transformasi kurikulum Tingkatan 6 ini, diharapkan sistem pendidikan di Malaysia akan berjaya mencapai hasrat untuk mencapai kecemerlangan dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Keupayaan dan kepakaran guru dalam mengajarkan dan menyempurnakan sukatan pelajaran berdasarkan pelbagai kaedah yang dirancang atau yang diterima semasa berkursus, diharapkan dapat memberikan ilmu yang berguna kepada anak-anak didik dalam menghadapi peperiksaan dan mengaplikasikannya dalam kehidupan demi kemajuan dan pembangunan negara.