Pengikut laman ini

Friday, November 15, 2013

Penulisan Esei Tidak Berformat - Isu Program Motivasi

Soalan Contoh

Program motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut kepada pelajar.

Rangka Esei
Pendahuluan
-        pelbagai program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah
Isi-isi Penting
i.                 melatih pelajar dari aspek ketahanan diri dan bersikap yakin diri
ii.                murid didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
iii.              teknik mengurus masa secara bijaksana
iv.              mencungkil potensi pelajar  melalui aktiviti berkumpulan
v.               menekankan nilai keagamaan dan kerohanian
Penutup
-        program motivasi merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang


Esei Contoh
Program motivasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai perkara yang menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta itu dapat  membantu kecemerlangan pelajar. 
Program motivasi melatih pelajar dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahan fizikal dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan dihadapi oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program motivasi berupaya untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Dalam program motivasi, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan pakar-pakar yang mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan pengetahuan mereka untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program tersebut. Di samping itu, para pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini memberikan kebaikan yang banyak kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini, para pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan.  Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat dijalankan secara teratur kerana masa mereka terisi dengan perkara yang sesuai dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu membantu pelajar membuat perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang berkesan untuk manfaat pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut berupaya untuk menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan itu turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program yang penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri sendiri yang selama ini terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Di samping itu, program seperti itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan berfikiran positif dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula dapat digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara, dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak mereka. Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi,  ibu bapa harus memberikan galakan dan menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka.
(613 perkataan)

Friday, October 25, 2013

Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.
                                                                                                                         [30 markah]

Masalah pelupusan sampah bukan sahaja dihadapi di negara kita tetapi juga berlaku di negara-negara maju seperti Jepun. Berdasarkan jumlah sampah yang semakin meningkat setiap tahun, pelupusan sampah secara konvensional sudah tidak praktikal lagi pada masa ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan mahu rakyat bersedia untuk berkongsi bersama-sama bagi menanggung kos pelupusan sampah dengan menggunakan sistem yang lebih berkesan termasuklah penggunaan teknologi moden seperti insenarator bagi memastikan penjagaan alam sekitar terjamin.

Oleh itu, negara kita akan menggunakan teknologi insenarator ini bagi menggantikan kaedah pelupusan sampah yang sedia ada pada masa ini. Langkah ini perlu diambil untuk menangani masalah pelupusan sampah yang kurang efisien pada masa ini. Pelbagai cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Antara cadangan itu termasuklah pembinaan loji insenarator seperti yang digunakan oleh negara-negara maju.

Antara teknologi insenarator moden yang dimajukan adalah dengan menggunakan gasifikasi dan peleburan abu yang dapat mengurangkan pengeluaran dioksin pada tahap yang memenuhi piawaian antarabangsa. Asap dan gas yang berbahaya kepada manusia tidak dilepaskan ke udara tetapi diserap dan dikumpulkan oleh alat tersebut. Oleh itu, teknologi insenarator tidak akan menjejaskan kesihatan manusia dan tidak mengganggu keselesaan penduduk yang tinggal  berhampiran dengan pusat pelupusan sampah tersebut.

            Selain dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, teknologi insenarator juga mampu menjana tenaga yang dapat memenuhi keperluan untuk menggerakkan loji berkenaan. Di samping itu, teknologi tersebut berupaya untuk menjual tenaga yang dihasilkan kepada syarikat utiliti yang membekalkan tenaga kepada masyarakat. Selain insenarator yang kekal terdapat juga insenarator bergerak yang menggunakan roda dan berupaya mengendalikan dua tan sisa termasuklah pepejal. Insenarator seumpama itu dicipta khusus dan berkonsepkan mesra alam serta tidak mencemarkan alam.

            Oleh hal yang demikian, kita berharap pembinaan insenarator tersebut akan menjadi kenyataan pada masa yang telah dijangkakan. Hakikat yang perlu kita terima ialah kaedah pelupusan yang digunakan sekarang tidak lagi mampu menampung sampah yang kita buang setiap hari. Walaupun kos insenarator ini agak tinggi, namun dalam jangka masa panjang, teknologi ini menguntungkan manusia dan tidak merosakkan alam sekitar yang sudah sedia tercemar.
(Disesuaikan daripada ‘Penggunaan Insenarator
Tidak Dapat Dielakkan’, Berita Harian, 10 Mac 2007)

1.  Apakah kelebihan teknologi insenarator dalam usaha untuk melupuskan sampah dengan lebih efisien?  [4]

Skema jawapan cadangan  
- Dapat mengurangkan pengeluaran dioksin
- Tidak menjejaskan kesihatan manusia
- Tidak mengganggu keselesaan penduduk
- Mampu menjana tenaga
- Mesra alam atau tidak mencemarkan alam
                                                                                                                                                                                                                                                                
2. Jelaskan tiga harapan yang dinyatakan oleh penulis dalam petikan di atas.     [6]

Skema jawapan cadangan
-   Rakyat bersedia untuk berkongsi kos pelupusan sampah dengan kerajaan – sistem ini lebih berkesan
-   Negara kita dapat gunakan insenarator – cara sekarang kurang efisien
-  Pembinaan insenarator  akan jadi kenyataan – cara sekarang tidak dapat menampung sampah yang dibuang setiap hari.

3.  Pada pendapat anda, apakah peranan anggota masyarakat di negara ini untuk membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sampah? Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.  [20]

Skema jawapan cadangan
- Buang sampah di tempat yang disediakan
- Berikan pendidikan kepada anak-anak tentang amalan membuang sampah
- Jalankan aktiviti kutipan sampah dan membersihkan kawasan
- Libatkan diri dalam kempen membersihkan kawasan
- Nasihati orang lain dan jadi contoh amalan membuang sampah di tempat yang sesuai. 

Friday, October 11, 2013

Penulisan Esei Tidak Berformat - Isu Dasar Satu Murid Satu Sukan

Soalan Contoh
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid. 
Huraikan manfaat program tersebut kepada murid-murid sekolah.

Pendahuluan
- Dasar 1Murid 1Sukan - pembangunan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar   penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.

Isi
i. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah - mengelakkan gejala negatif.
ii.  Mencungkil bakat murid – menyuburkan bakat tersebut
iii. Mewujudkan budaya mementingkan kesihatan -  badan mereka menjadi sihat
iv. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan - setiap murid berpeluang
v. Memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum

Penutup
- Program ini banyak manfaatnya - perlu disokong oleh semua pihak 

Karangan Contoh

Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Program tersebut dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Dasar tersebut berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.
Pendek kata, dasar 1Murid 1Sukan merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.   

Tuesday, March 26, 2013

PBS Tingkatan 6 - Esei berformat Syarahan


Soalan Contoh:  Anda akan mewakili sekolah dalam
pertandingan syarahan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di daerah anda. Tajuk syarahan itu  ialah “Punca-punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.” Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.

Karangan ini ditulis oleh Mohd Azrin bin Salleh, 6 A3 SMK. BBST.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, para pelajar, dan hadirin sekalian, assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur pertandingan ini. Pada pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk “Punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.”
Hadirin sekalian,
Kini, masyarakat tempatan memang tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.  Kesan daripada permasalahan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu rumah banyak dikuasai oleh warga asing. Sebagai contohnya, pembantu rumah itu kebanyakannya berasal dari Indonesia, Kampuchea, dan Filipina. Fenomena ini menyebabkan berlakunya pergantungan terhadap pembantu rumah warga asing. Sebenarnya terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
         Satu daripada puncanya disebabkan oleh faktor gaji yang rendah. Gaji sebagai pembantu rumah lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerjaan yang lain. Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka. Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan tidak tertarik untuk berkecimpung dalam bidang ini. Akibat daripada permasalahan ini, majikan terpaksa menggunakan khidmat warga asing yang sanggup menerima gaji yang rendah. Perkara ini membuktikan bahawa gaji yang rendah menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.
            Hadirin yang dikasihi sekalian,
          Tahap pendidikan warga tempatan yang tinggi tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Hal ini demikian kerana tahap pendidikan masyarakat tempatan yang tinggi membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik. Di negara ini, tahap pendidikan masyarakat sekurang-kurangnya hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan boleh memilih pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka daripada menjadi pembantu rumah. Mereka lebih suka untuk bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di sektor awam atau swasta daripada bekerja sebagai pembantu rumah.
            Bertititik tolak daripada itu, persepsi negatif masyarakat turut menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu menceburkan diri dalam bidang ini. Perkara ini disebabkan oleh masyarakat menganggap bahawa pekerjaan sebagai pembantu rumah dianggap hina dan rendah statusnya. Selain itu, mentaliti masyarakat negara kita hanya memandang ke arah pekerjaan yang bergaji tinggi. Oleh itu, masyarakat tempatan berasa segan atau malu untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana takut dipandang rendah oleh orang lain. Jelaslah bahawa persepsi negatif masyarakat merupakan salah satu punca masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.
            Di samping itu, pekerjaan sebagai pembantu rumah ini tidak menjamin masa depan yang cerah. Hal ini demikian kerana pekerjaan ini kebiasaannya tidak dilaksanakan mengikut saluran undang-undang buruh atau pekerja. Perkara ini menyebabkan orang gaji boleh diberhentikan pada bila-bila masa oleh majikan. Selain itu, mereka juga tidak diberikan perlindungan insurans, caruman KWSP, dan SOCSO. Hal ini tentunya akan menyebabkan masyarakat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
            Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah pekerjaan ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pembantu rumah harus melayan kerenah majikan dan anak-anak majikan itu sendiri. Selain itu, pembantu rumah perlu melakukan kerja yang banyak seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak, dan sebagainya. Perkara ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup atau tiada masa untuk berehat langsung. Oleh itu, jelaslah bahawa perkara ini menyebabkan warga tempatan tidak tertarik untuk menjadi pembantu rumah.
            Hadirin yang budiman,
            Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai punca rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah. Oleh hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab haruslah bertindak untuk menarik minat masyarakat tempatan untuk menceburi bidang ini. Pekerjaan sebagai pembantu rumah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang hina seperti anggapan masyarakat sebelum ini. Pekerjaan ini juga halal di sisi agama jika semuanya dilakukan dengan betul dan mengikut saluran undang-undang. Jadi, kita berharap agar masalah kekurangan pembantu rumah ini dapat diselesaikan dengan segera untuk mengelakkan majikan yang memerlukannya menghadapi masalah yang lebih serius. Selain itu, alternatif lain juga perlu difikirkan untuk mengelakkan kebergantungan terhadap pembantu rumah.
            Sekian sahaja syarahan saya kali ini. Terima kasih.  

Tuesday, January 29, 2013

PBS STPM – Esei Berformat Laporan

Soalan: Sebagai Setiausaha Kelab Pencinta Bahasa, anda diminta untuk menyediakan laporan tentang punca-punca masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat dan usaha-usaha untuk menanganinya. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Esei ini ditulis oleh saudari Aine Maizatul bt. Mohd Khuzaini, Kelas 6 Atas 2, SMK.BBST.

Laporan tentang Punca-punca Masalah Pencemaran Bahasa dalam Kalangan Masyarakat
dan Usaha-usaha untuk Menanganinya

1.0 Pendahuluan
Masyarakat kita sering dicemari oleh pelbagai budaya negatif. Hal ini termasuklah juga pencemaran bahasa yang semakin membimbangkan masyarakat. Pencemaran bahasa itu banyak dilakukan dalam pertuturan seharian, tulisan, dan penggunaannya dalam media massa seperti radio, televisyen dan iklan. Masalah ini telah memberikan impak negatif kepada negara. Oleh itu, suatu kajian telah dilakukan oleh Kelab Pencinta Bahasa untuk mengenal pasti punca-punca terjadinya fenomena ini dan usaha-usaha untuk menanganinya. Yang berikut ialah laporan hasil kajian tersebut.

2.0 Senarai Ahli Jawatankuasa
      Pengerusi         : Datuk Dr. Muhammad Ali bin Abu
      Naib Pengerusi : Datuk Haji Muskamal bin Mustafa
      Setiausaha       : Cik Sandra Park
      Bendahari        : Dr. Jannah binti Bahar
Ahli Jawatankuasa
1) Dr. Amir bin Hatin Ali
2) Tuan Haji Shazwan bin Jamaludin
3) Puan Shahanem binti Suratman

3.0 Punca-punca Masalah Pencemaran Bahasa
      3.1 Kurang Pengetahuan tentang Peraturan Bahasa Melayu
Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah individu yang kurang pengetahuan tentang peraturan bahasa Melayu adalah sangat tinggi. Hal ini demikian kerana sejak kecil lagi, individu-individu berkenaan tidak didedahkan dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Sebagai contohnya, mereka sentiasa didedahkan dengan penggunaan dialek negeri semasa berada di rumah. Hal ini dapat dibuktikan melalui tinjauan di negeri-negeri di Pantai Timur yang kebanyakan penduduknya lebih selesa bertutur dengan menggunakan dialek negeri masing-masing.

3.2 Pengaruh Rakan Sebaya
Kajian juga mendapati bahawa pencemaran bahasa berlaku disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Pencemaran bahasa yang dimaksudkan ini bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan “bahasa rojak” tetapi juga bahasa yang kurang sopan yang menjadi trend pada masa ini dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah. Perkara ini tidak sukar dielakkan kerana pada usia remaja, mereka mudah terpengaruh dengan perkara-perkara atau fenomena baharu yang berlaku di dalam dunia tanpa sempadan ini. Perkara ini tentunya amat membimbangkan masyarakat umumnya.

4.0 Usaha-usaha untuk Menanganinya
4.1 Penggunaan Bahasa Melayu yang Betul oleh Media Massa
Penggunaan bahasa Melayu yang betul oleh media massa, contohnya televisyen, radio, internet, dan sebagainya mampu untuk membantu masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Hal ini demikian kerana media massa merupakan medium yang paling hampir dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Oleh itu, pencemaran bahasa dapat ditangani dengan adanya kerjasama antara pihak media dengan pihak yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan bahasa Melayu iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

4.2 Peranan Sistem Pendidikan atau Sekolah
Untuk menangani masalah ini, kerajaan haruslah memperluas penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam aspek pendidikan. Hal ini demikian kerana melalui aspek pendidikan, pengetahuan tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dapat disemai dalam diri individu sejak mereka di bangku sekolah lagi. Hal ini seterusnya akan memberikan impak positif dalam diri individu terbabit apabila individu itu meningkat dewasa kelak. Penggunaan bahasa Melayu yang betul dan sebati dalam diri individu dapat mengurangkan pencemaran bahasa pada masa akan datang.

4.3 Menanam Nilai Patriotisme tentang Bahasa Melayu dalam Diri
Usaha lain yang boleh dilakukan untuk menangani masalah ini adalah dengan menanam nilai patriotisme dalam diri individu. Nilai yang dimaksudkan tersebut ialah rasa cinta kepada bahasa, bangsa, dan negara kita. Nilai ini boleh dilestarikan melalui kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti kempen “Budi Bahasa Budaya Kita”. Pihak berkuasa boleh memberikan motivasi kepada masyarakat dengan mengambil negara Jepun sebagai contoh. Orang Jepun tetap menggunakan bahasa ibunda mereka walaupun negara mereka maju. Mereka amat bangga dengan bahasa ibunda mereka. Impaknya, jika perkara yang sama berlaku di negara kita, pastinya masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.

5.0 Penutup
Kajian ini telah mengenal pasti beberapa punca berlakunya masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat. Punca-punca ini telah dikaji dan dianalisis dengan mendalam. Oleh itu, beberapa usaha telah dicadangkan untuk menangani fenomena negatif yang semakin berleluasa ini. Hal ini penting kerana jika masalah ini dapat ditangani, misi negara untuk menjadikan bahasa kita sebagai bahasa yang penting di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan akan menjadi kenyataan. Perkara ini seterusnya akan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Laporan disediakan oleh,                                                                               16 Januari 2013

Sandra
(SANDRA PARK)
Setiausaha
Kelab Pencinta Bahasa Daerah Sepang,
Selangor Darul Ehsan.