Pengikut laman ini

Thursday, April 30, 2009

Kajian Tindakan

Konsep Umum Kajian Tindakan

Pelopor kajian tindakan di bilik darjah di United Kingdom, Elliott dan Adelman (1976) berpendapat kajian tindakan ialah satu pendekatan penyelidikan yang berusaha untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru dengan cara menyelidik situasi sosial di sekolah. Tujuan penyelidikan itu adalah untuk membaiki kualiti amalan guru.

Elliott (1981) mengatakan bahawa, “kajian tindakan ialah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan yang mementingkan refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk membaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial”. Carr dan Kemmis (1986) juga menyatakan bahawa kajian tindakan ialah satu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri untuk membaiki dan memahami amalan dan situasi sosial. Kenyataan mereka:
Action research is a form of self-reflective inquiry undertaken by participants (teachers, students or principals, for example) in social (including education) situation in order to improve the rationality and justice of their social or educational practice; their understanding of these practices; and the situation (and institution) in which these practices are carried out.”

Mc. Niff (1998) menerangkan bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan menjadi bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Menurut beliau, pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif (usaha sama) sewaktu mengadakan kajian. Beliau merumuskan konsep kajian tindakan dengan mengatakan bahawa:
Action research implies adopting a deliberate openness to new experiences and processes, and, as such, demands that the action of educational research is it self educational. By consciously engaging in their own educational development, teachers gain both professionally and personally, and it is this personal commitment that counts the process of human inquiry.”

Lomax (1994) menegaskan kajian tindakan ialah penyelidikan pendidikan (educational research) yang berbeza dengan penyelidikan dalam pendidikan (research in education).

Guru-Guru Perlu Menjalankan Kajian Tindakan
Guru-guru perlu menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan yang dijalankan dapat mengenal pasti atau mengesan kelemahan pelajar dan guru perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan tersebut mengikut kesesuaian pelajar di dalam sesuatu kelas. Hal ini terbukti melalui kajian tindakan yang telah dijalankan di beberapa buah negara maju akhirnya berjaya meningkatkan pencapaian pelajar masing-masing.

Seperti yang telah diterangkan tadi, kajian tindakan ialah kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti atau mengesan punca-punca masalah dan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi, kajian semula harus dilakukan untuk mencuba langkah lain yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah itu. Dengan perkataan lain, guru-guru perlulah reflektif, kreatif dan proaktif bagi merawat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya dengan berkesan.

Dalam hal ini guru-guru sepatutnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing atau di sekolah masing-masing untuk mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Kelemahan-kelemahan dan masalah pelajar tersebut perlu ditangani oleh guru itu sendiri dan sepatutnya guru itu perlu mencari cara yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang mengajar di dalam sesebuah kelas itu sendiri yang memahami kelemahan murid-muridnya. Oleh itu, guru tersebut perlu mencuba langkah-langkah yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di dalam kelasnya sendiri.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah guru-guru itu sendiri perlu membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Perkara ini selalunya tidak disedari oleh guru-guru yang mengajar murid-muridnya di dalam kelas. Ada juga guru yang menganggap dirinya sudah sempurna dan tiada kelemahan langsung hingga menyebabkan guru tersebut tidak dapat menerima kritikan atau komen daripada murid-muridnya, pandangan rakan-rakan sejawatan ataupun pihak lain yang memberikan teguran. Sepatutnya guru-guru perlu bersikap terbuka dan sanggup menerima kritikan demi kebaikan dirinya untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan kata lain, kajian tindakan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji kelemahan diri, seterusnya memikirkan cara untuk membaiki kelemahan tersebut dan akhirnya akan dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru-guru di dalam kelas.

Kaedah Kajian Tindakan
Kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan tidaklah terlalu rumit, kerana yang pentingnya ialah hasil atau dapatan yang hendak diperoleh. Kaedah untuk mendapatkan data atau maklumat perlulah mudah dan tidak kompleks untuk mengenal pasti masalah murid-murid. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan tidak sama dengan kajian konvensional yang memerlukan kaedah kajian yang lebih lengkap dan rumit. Sampelnya pun tidak memerlukan angka atau bilangan yang besar kerana masalahnya pun tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dan antara satu kelas dengan kelas yang lain. Kebiasaannya, kajian tindakan ini bermula dengan refleksi pengajaran yang lepas. Oleh hal yang demikian, kita perlu meneliti refleksi yang ditulis dalam buku rekod mengajar dan juga perkara yang kita alami semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kaedah menganalisis data dalam kajian tindakan juga tidak memerlukan analisis yang rumit atau mengikut analisis data bagi penyelidikan yang konvensional, tetapi cukup setakat menggunakan kaporan pemerhatian, peratus atau bilangan sahaja. Perkara yang perlu diberikan penekanan untuk menganalisis data ini ialah perubahan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar itu yang biasanya dilihat dari sudut perubahan tingkah laku ataupun perubahan dari segi markah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, sampel kajian tindakan ini tidak besar dan yang pentingnya ialah dapatan yang diperoleh hasil analisis data tersebut. Oleh hal yang demikian, analisis data kajian tindakan juga kebiasaannya melibatkan kaedah kualitatif di samping kaedah yang biasa digunakan iaitu kaedah kuantitatif. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan kajian tindakan selalunya melibatkan aspek yang berkaitan dengan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim


Perkongsian Pengalaman tentang Kajian Tindakan 2009


Saya telah diminta oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sepang (Sektor Pengurusan Akademik iaitu Puan Siti Aishah, untuk berkongsi pengalaman tentang Kajian Tindakan dengan guru-guru di daerah ini. Beliau telah menyusun jadual untuk saya berkongsi pengalaman dan menyampaikan kaedah untuk menjalankan kajian kepada guru-guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 2, Sejarah Tingkatan 2 dan Pendidikan Islam. Jadual yang ditetapkan adalah seperti yang berikut:

1. Guru-guru sejarah Tingkatan 2 – 16 Julai 2009, di SMK. Seri Sepang.

2. Guru-guru Geografi Tingkatan 2 – 23 Julai 2009, di SMK. Pantai Sepang Putera.

3. Guru-guru Pendidikan Islam – 5 Ogos 2009, di PKG Salak.

Antara objektif kursus Kajian Tindakan ini adalah memberikan pendedahan kepada guru-guru untuk menjalankan kajian ini di sekolah masing-masing. Pihak PPD Sepang juga berharap agar Kajian Tindakan ini dijadikan budaya oleh guru-guru di daerah ini. Hal ini demikian kerana, pada masa ini Kajian Tindakan menjadi semakin penting untuk meningkatkan profesionalisme guru. Di samping itu, hasil kajian itu juga nanti boleh dipertandingkan di peringkat daerah, terutamanya untuk memilih guru inovatif pada setiap tahun. Hasil kajian itu juga boleh dikongsi oleh guru-guru lain di daerah ini. Kajian Tindakan turut menjadi syarat untuk memohon jawatan Guru Cemerlang. Selepas dilantik menjadi Guru Cemerlang pula, mereka perlu meneruskannya dan menjadikannya sebagai amalan atau budaya di sekolah. Oleh itu, budaya menjalankan kajian ini memang perlu digalakkan dalam kalangan guru pada masa ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, April 27, 2009

Komponen Sastera SPM - Prosa Tradisional

Untuk anak-anak murid cikgu yang masih kurang faham ceritanya, sila baca dan fahami sinopsis kedua-dua cerita tersebut sebagai panduan untuk memahaminya.

Cerita Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya

Sinopsis / ringkasan cerita

Burung bayan telah bercerita kepada Bibi Zainab hingga menyebabkannya terlupa untuk berjumpa dengan kekasihnya. Burung bayan bercerita tentang seekor bayan yang mempunyai tiga ekor anak tinggal di dalam sebuah lubang kayu. Anak-anak bayan bersahabat dengan anak cerpelai. Ibu bayan marah dan mengatakan bahawa anak cerpelai tidak setia. Perbuatan anak-anak bayan itu disifatkan seperti cerita anak kera yang bersahabat dengan anak saudagar. Bapa bayan pun bercerita tentang anak kera yang beramain catur dengan anak saudagar. Akibat kalah dalam permainan itu anak kera menghamburkan buah catur kepada anak saudagar. Anak saudagar berasa malu dan menghunus pisau lalu terkena anak kera. Anak kera melontarkan pisau itu semula lalu terkena anak saudagar. Apabila melihat keadaan anaknya itu, bapa kera menasihati anaknya supaya jangan bermain dengan anak saudagar lagi. Anak kera engkar akan nasihat bapanya.
Apabila luka anak kera sudah sembuh, luka anak saudagar masih belum sembuh lagi. Menurut tabib, bagi menyembuhkan luka itu anak saudagar perlu memperoleh hati anak kera. Saudagar pun membunuh dan mengambil hati anak kera untuk mengubati anaknya. Menurut bayan, itulah balasan terhadap orang yang tidak menurut kata ibu bapanya.
Anak bayan terus bersahabat dengan anak cerpelai. Pada suatu hari seorang kanak-kanak telah menangkap anak cerpelai. Cerpelai amat sedih lalu pergi berjumpa dengan serigala. Serigala menasihatinya dengan memberi jalan supaya kanak-kanak itu turut menangkap anak bayan. Kanak-kanak yang sudah tahu akan tempat tinggal anak bayan. Selepas itu kanak-kanak itu pergi ke tempat anak bayan tinggal pada waktu malam untuk menangkapnya. Kanak-kanak itu menutup lubang pokok dan datang semula keesokannya untuk menangkap bayan yang terperangkap dalam batang pokok. Malangnya, bayan membuat helah dengan berpura-pura mati. Semua bayan yang disangka mati oleh kanak-kanak itu dicampak ke tanah. Sebaik-baik tercampak ke tanah, bayan-bayan itu pun terbang untuk menyelamatkan diri kecuali bayan tua.
Kanak-kanak itu hendak mengambil bayan tua, tetapi bayan tua membuat helah lagi. Bayan tua mengatakan bahawa tidak kenyang jika dagingnya dimakan. Bayan tua mencadangkan dirinya dijual kepada raja kerana menurut tabib, penyakit sopak pada kaki dan tangan raja boleh diubati oleh bayan. Kanak-kanak it uterus membawa bayan ke istana raja. Bayan dijual dengan harga empat ribu dinar. Penyakit raja akhirnya sembuh. Setelah beberapa lama, bayan memohon izin untuk pulang bagi melihat bini dan anak-anaknya, lalu raja mengizinkannya.
Bayan menamatkan cerita “Anak Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya” itu kepada Siti (Bibi Zainab), isteri kepada saudagar Khojah Maimun yang sudah bersiap-siap hendak bertemu dengan kekasihnya. Ketika itu, hari sudah hampir siang. Apabila menjelang malam keesokan harinya, sambil memuji-muji kecantikan Siti, bayan menyambung ceritanya lagi. Siti pula mengatakan bahawa dia amat seronok mendengar cerita bayan. Bayan pun terus bercerita.


Peminangan Puteri Gunung Ledang
Sinopsis / ringkasan cerita

Permaisuri Sultan Mahmud baharu saja mangkat dan baginda hendak mencari penggantinya. Namun begitu, baginda hendak berkahwin bukan dengan orang biasa tetapi dengan Puteri Gunung Ledang. Tun Mamat, Laksamana, dan Sang Setia diperintahkan oleh Sultan Mahmud pergi meminang Puteri Gunung Ledang untuk dijadikan isteri baginda. Dalam perjalanan mendaki Gunung Ledang, mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan dan kesukaran.
Namun demikian, akhirnya Tun Mamat berjaya menemui seorang perempuan tua yang bernama Dang Raya Rani iaitu pengetua Tuan Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan hajat Sultan Mahmud. Tuan Puteri mengenakan beberapa syarat yang ketat dan luar biasa. Antara syarat tersebut ialah satu jambatan emas dan satu jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, hati nyamuk tujuh dulang dan hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan dan air pinang muda setempayan, darah anak raja yang bernama Raja Ahmad semangkuk. Setelah mendengar syarat-syarat tersebut Sultan Mahmud terpaksa membatalkan niatnya kerana tidak dapat memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan itu.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, April 18, 2009

Panduan Menjawab Soalan Alih Bentuk Teks STPM


Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM. Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.

Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.

2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.

3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.

4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.

5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.

6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.

7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.

9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.

Jadi, kali ini saya akan memaparkan petikan Syair Singapura Terbakar untuk dijadikan latihan.

Bahagian C
6. Alih bentuk bahasa syair di bawah kepada bentuk prosa biasa.

Syair Singapura Terbakar
Serta terpandang api menjulang,
Rasa arwahku bagaikan hilang,
Dijilatnya rumah serta barang-barang,
Seperti anak ayam disambar helang.

Seberang-menyeberang rumah habis rata,
Apinya cemerlang tak dapat buka mata,
Bunyi gempar terlalu gempita,
Lemahlah tulang sendi anggota.

Pakaianku menyalahi seperti kertas,
Limau manis pun meletup seperti petas,
Orang menolong pun terlalu pantas,
Merebut barang-barang terlalu lekas.

Ringgitpun hancur seperti timah,
Habis meleleh ke bawah rumah,
Tiadalah tentu barang yang dijamah,
Pencuri pun mengangkut sama termengah-mengah.

Barang yang hendak kubawa pulang,
Beberapa pinggan mangkuk, cawan dan dulang,
Sekaliannya itu habislah pulang,
Harapnya hatiku bukan kepalang.

Abdullah MunsyiPuisi Melayu Klasik, 1996
Oscar Book International.

Selepas membuat latihan dengan mengalih teks syair tersebut, bincangkanlah jawapannya dengan guru atau rakan-rakan anda. Anda perlu mendapatkan komen dan pandangan daripada guru dan rakan-rakan anda sendiri untuk membaiki kesilapan yang telah dilakukan. Dengan cara tersebut, diharapkan jawapan soalan Alih Bentuk Teks anda akan menjadi lebih mantap dan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan nanti.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, April 11, 2009

Pelbagaikan Teknik P & P KOMSAS


Komponen Sastera yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia meliputi karya sastera dalam bentuk puisi, prosa tradisional, cerpen, dan novel. Hasil karya penulis yang berpengalaman dan juga yang baharu memang pelbagai bentuknya. Oleh hal yang demikian, guru-guru juga haruslah mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran komsas agar menjadi lebih menarik dan tidak membosankan murid. Namun demikian, terdapat beberapa masalah yang akan dihadapi oleh guru-guru yang mengajarkan komsas, antaranya ialah masalah guru yang kurang mahir dengan komsas. Hal ini demikian kerana, mungkin guru tidak ada asas atau pengalaman dalam sastera dan juga masih baharu dalam p&p Bahasa Melayu. Jadi, sudah tentu guru-guru yang baharu mengajarkan komsas, kurang pengalaman untuk mempelbagaikan teknik pengajaran komsas kepada murid-murid.

Sebenarnya, bahan komsas sudah digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebelum ini, tetapi tidak ditetapkan sumber atau genrenya. Jadi, selepas komsas diperkenalkan, genrenya sudah jelas dan memudahkan guru dan murid untuk mempelajarinya. Bahan-bahan sastera seperti prosa tradisional, cerpen, drama, novel, puisi tradisional dan sajak boleh juga digunakan semasa guru membincangkan aspek tatabahasa dalam Bahasa Melayu. Sebagai contohnya, guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata, jenis-jenis ayat, dan kesalahan bahasa yang terdapat dalam bahan komsas tersebut. Oleh hal yang demikian, semasa mengajarkan komsas, guru-guru turut mengajarkan tatabahasa kepada murid secara tidak langsung.

Semasa mengajarkan sajak, guru-guru bolehlah meminta murid melagukan sajak tersebut mengikut melodi lagu yang diminati oleh mereka. Sebelum itu guru perlu mengarahkan murid berbincang dalam kumpulan untuk membincangkan melodi lagu yang diminati oleh mereka dan menyesuaikannya dengan sajak yang sedang dibincangkan. Selepas itu, guru bolehlah menyuruh murid menyampaikan persembahan di hadapan rakan-rakan di dalam kelas. Teknik ini biasanya digemari oleh murid-murid kerana kebanyakan murid pada masa ini memang suka menyanyi. Hal ini mungkin disebabkan oleh pengaruh media massa seperti televisyen yang banyak menganjurkan pertandingan nyanyian. Selain itu, guru juga boleh meminta murid membawa alat muzik seperti gitar atau juga muzik instrumental daripada MP3 untuk digunakan mereka semasa membuat persembahan agar persembahan mereka menjadi lebih menarik. Selepas persembahan itu, barulah guru membincangkan aspek yang hendak dikaji daripada bahan komsas itu.

Bagi puisi tradisional pula, guru perlu menggalakkan murid bersyair atau bergurindam di dalam kelas. Guru juga seharusnya menunjukkan contoh cara melagukan syair atau gurindam sekiranya mampu untuk berbuat demikian. Sekiranya guru tidak mampu untuk bersyair atau bergurindam, gunakanlah bahan bantu belajar seperti kaset, cakera padat atau MP3 tentang syair atau gurindam yang boleh didapati di pasaran atau dimuat turun daripada internet. Sekiranya puisi tradisional atau sajak ini dibaca seperti pembacaan biasa sudah tentu hal ini membosankan murid. Jadi, dengan melagukannya sudah tentu hal ini menimbulkan kelainan dan pastinya akan menarik perhatian murid serta mereka lebih mudah untuk menghayati maksud puisi atau sajak tersebut.

Bagi bahan komsas seperti cerpen, drama, prosa tradisional dan novel, guru-guru haruslah merancang aktiviti p & p yang menarik perhatian murid. Sebagai contohnya, guru-guru boleh menggunakan teknik lakonan, main peranan, simulasi dan kerusi panas semasa mengajarkan bahan komsas tersebut. Dengan cara ini, murid-murid tidak akan berasa bosan kerana aktiviti tersebut memang menarik perhatian mereka. Selain itu, guru-guru juga hendaklah mempelbagaikan hasil karya daripada sesuatu bahan karya itu. Sebagai contohnya, daripada bahan komsas seperti novel atau cerpen, guru boleh meminta pelajar menerangkan perwatakan, pengajaran atau nilai dari cerpen tersebut dalam bentuk sajak, pantun, atau syair yang dihasilkan oleh pelajar sendiri. Bahan komsas lain seperti sajak, syair atau gurindam juga boleh diadaptasi ke dalam bentuk tulisan yang lain contohnya, guru-guru boleh meminta murid untuk menulis karangan berformat cerpen (karya kreatif) berdasarkan bahan komsas tersebut. Guru-guru juga boleh meminta murid menulis karangan berformat ulasan daripada novel atau cerpen yang dibincangkan di dalam kelas.

Dalam kesempatan ini saya ingin memaparkan beberapa contoh hasil karya yang telah dihasilkan oleh murid-murid saya menerusi cerpen ‘Menatap Wajahnya’ semasa pengajaran dan pemelajaran dijalankan di dalam kelas.

Sajak yang ditulis oleh murid saya ini, diadaptasi daripada cerpen ‘Menatap Wajahnya’.


Muliati

Kelahiranmu di dunia
membawa sejuta kegembiraan
riang tawamu menggelikan hati
namun,
luka di hatimu masih berdarah
setiap kegembiraanmu diragut
tanpa mengira siapa dirimu.

Ketabahanmu jelas terpancar
onak duri kehidupan menjadi lali padamu
kesusahan hidup menjadi teman karibmu
tetapi kecekalanmu
tetap menjadi pendorong,
itulah
Muliati.

Nukilan;
Nor Asilah Binti Abdul Razak
4 ST1

Gurindam yang ditulis oleh murid saya ini juga diadaptasi daripada cerpen ‘Menatap Wajahnya’.

Gurindam Muliati

Pelbagai nilai boleh didapati,
Sikap tekun gigih Muliati.

Ketentuan Ilahi perlu dikuti,
Supaya hidup diberkati.

Hendaklah kita mengenang budi,
Jasa baik orang bersimpati.

Nukilan;
Noor Hanisah Binti Abdul Hamid
4 ST1

Saya berpendapat bahawa guru-guru yang sudah berpengalaman mengajarkan komsas sudah biasa menggunakan teknik tersebut, tetapi bagi guru-guru yang baharu mengajarkan komsas dan masih kurang pengalaman, diharapkan teknik yang dibincangkan tadi dapat membantu mereka. Hal ini demikian kerana, guru-guru perlulah kreatif untuk mencuba teknik atau cara yang menarik dan berkesan seperti yang dikatakan oleh Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman melalui artikelnya yang terbaharu dalam Dewan Siswa keluaran April 2009, ‘Guru Kreatif Pelajar Aktif’. Jadi, guru-guru bolehlah mencuba teknik ini agar pengajaran dan pembelajaran komsas menjadi lebih menarik. Sekiranya pengajaran dan pembelajaran tersebut menarik, sudah pastilah objektif pelajaran akan tercapai dan isi kandungan pelajaran tersebut akan kekal lama dalam fikiran dan seterusnya terpahat dalam hati murid.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, April 10, 2009

Latihan Karangan STPM

Latihan Karangan STPM

Selepas diberikan pendedahan dan bimbingan tentang teknik untuk menulis karangan dengan lebih sistematik pada hari Khamis (9 April) lepas, saya berharap agar pelajar-pelajar prauniversiti SKMBBST dapat memantapkan pengolahan karangan masing-masing. Oleh itu, saya masih menunggu sekurang-kurangnya dua perenggan karangan daripada anda untuk disemak dan dianalisis. Pilihlah mana-mana isu yang telah saya cadangkan ataupun berdasarkan topik yang telah diberikan oleh Cikgu Puvana sebelum ini.

Anda perlu mendisiplinkan diri mulai sekarang untuk menulis karangan sekurang-kurangnya satu atau dua perenggan karangan setiap hari agar kemahiran berfikir dan kemahiran mengolah karangan itu menjadi satu kebiasaan atau amalan melalui latihan yang berterusan. Anda perlu mempertahankan pencapaian pelajar-pelajar tahun lepas dan lebih baik lagi, sekiranya jumlah pelajar yang mendapat Prinsipal A akan terus bertambah pada tahun ini. Diharapkan juga janji dan azam anda kepada saya untuk meningkatkan kecemerlangan seperti yang dilafazkan pada hari Khamis lepas akan menjadi kenyataan. Semoga sekolah kita akan terus cemerlang dalam peperiksaan STPM pada tahun 2009.

Pelajar-pelajar STPM SMKBBST, sila e-melkan karangan anda itu bagi yang ada kemudahan internet di rumah dan yang tiada kemudahan internet, hantarlah kepada saya dengan segera.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, April 8, 2009

Perkongsian Pintar Melalui Lawatan ke SMK.ST


Lawatan Pelajar-pelajar dan Guru-guru Tingkatan 6 Atas ke SMK. Seri Tanjong, Melaka.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh warga SMK. Seri Tanjong, Melaka yang telah menyambut kami dengan layanan yang istimewa dalam lawatan pada 8 April 2008. Ucapan ini khususnya ditujukan kepada Pengetua SMK. Seri Tanjung, Puan Shaleha Abdol, Penolong Kanan, Puan Rosni Leman, Pemangku Penolong Kanan Program Persediaan Universiti, Cikgu Borhan Md. Nor, Pemangku GPK Kokurikulum, Encik Khalid Bujang, Penolong Kanan Petang, Tuan. Haji Harun Hashim, Puan. Hjh. Rosni Adom, Guru Cemerlang dan guru-guru PPU SMK. ST. Banyak perkara yang telah kami pelajari daripada sekolah ini. Nampaknya SMKST benar-benar inovatif dan bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kelas Tingkatan 6 untuk menarik minat para pelajar. Oleh itu SMK.ST telah membuat penjenamaan semula Tingkatan 6 kepada Program Persediaan Universiti (PPU) agar dapat menyuntik semangat baru kepada pelajar-pelajarnya.

SMKST sepatutnya dijadikan model atau contoh bagi sekolah yang menawarkan kelas Tingkatan 6 atau prauniversiti. SMKST telah membuktikan bahawa pendidikan prauniversiti boleh dimartabatkan dengan menggunakan cara mereka yang kreatif dan inovatif atas sumbangan idea daripada Pengetuanya. Bagi Pengetuanya yang baharu, Puan Saleha, para pentadbir dan guru-guru PPU, tahniah dan syabas atas usaha anda semua. Semoga usaha dan idea mantan Pengetua yang sudah bersara itu dapat diteruskan. Kami akan jadikan SMKST sebagai model untuk terus memartabatkan kelas prauniversiti. Semua program yang baik akan kami jadikan panduan dan contoh untuk dilaksanakan di sekolah kami. Idea inovatif yang telah dilaksanakan oleh SMK.ST ini benar-benar berupaya untuk menarik pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6. Bukan sahaja nama Tingkatan 6 sudah diubah menjadi nama yang lebih relevan, malahan kaedah pengajaran dan pembelajaran juga lebih berorientasikan usaha untuk menyediakan mereka dengan suasana dan cara pembelajaran di universiti.

Guru-guru prauniversiti dari SMK. BBST bersama-sama dengan 40 orang murid yang mengikuti rombongan ini telah mendapat suntikan semangat dan idea baru selepas berkunjung ke SMK.ST. Perkongsian pintar antara sekolah kita perlu diperluas dalam pelbagai bentuk untuk kebaikan pelajar-pelajar sekolah kita juga. Semoga manfaat daripada perkongsian pintar ini akan melonjakkan keputusan STPM sekolah kita pada tahun ini. Semua idea yang kami peroleh daripada SMK. ST akan dibincangkan dengan pihak pentadbir SMK. BBST untuk dilaksanakan mengikut kemampuan kami.

Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada seluruh warga SMK.ST. Semoga SMK.ST akan terus maju dan berjaya untuk memartabatkan kelas persediaan pelajar-pelajar ke universiti.


Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, April 4, 2009

Calon STPM Perlu Tetapkan Sasaran

Calon Bahasa Malaysia STPM Perlu Menetapkan Sasaran

Calon-calon yang mengambil kertas Bahasa Malaysia STPM hendaklah melanggan majalah-majalah yang berkaitan dengan STPM terutamanya Pelita Bahasa. Majalah Pelita Bahasa yang diterbitkan setiap bulan ini banyak membincangkan perkara atau isu yang berkaitan dengan bahasa dan juga panduan serta teknik untuk menjawab soalan Bahasa Malaysia STPM. Di samping itu terdapat juga rencana atau artikel tentang peperiksaan seperti STPM. Dalam edisi terbaru bagi bulan April, majalah Pelita Bahasa turut membincangkan satu topik yang penting tentang Bahasa Malaysia STPM yang ditulis oleh Cikgu Nawi Ismail yang juga Guru Cemerlang Bahasa Melayu. Artikel Cikgu Nawi yang bertajuk ‘Penetapan Sasaran dalam Bahasa Melayu STPM’, halaman 30 hingga 32 telah menyarankan calon-calon STPM agar menetapkan sasaran dalam kertas Bahasa Malaysia STPM. Calon-calon STPM perlulah membaca artikel tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu yang dibincangkan oleh Cikgu Nawi.

Untuk pengetahuan calon-calon STPM, Cikgu Nawi memang sudah tidak asing lagi dengan Pelita Bahasa dan berpengalaman luas dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia STPM. Oleh itu bacalah pandangan dan cadangan beliau kerana saya berpendapat bahawa perkara ini sangat penting untuk calon-calon yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia STPM. Cikgu Nawi mencadangkan agar calon-calon STPM menetapkan sasaran bagi setiap soalan dalam Kertas Bahasa Malaysia STPM. Sekiranya sasaran awal sudah dicapai, pelajar-pelajar bolehlah meningkatkan sasaran yang seterusnya. Sekiranya usaha dan proses ini diamalkan dan menjadi budaya, sudah pasti pelajar-pelajar akan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM nanti. Hal ini terbukti berdasarkan pengalaman guru dan pelajar yang telah mengamalkan cara ini sebelum ini. Jadi, bagi calon-calon STPM, jangan lupa untuk membaca artikel yang penting dan menarik daripada Cikgu Nawi Ismail dalam majalah Pelita Bahasa keluaran yang terkini, April 2009.
Oleh Cikgu Khir

Friday, April 3, 2009

Rumusan STPM

Bahagian B : Rumusan STPM

Selain soalan karangan, calon-calon STPM juga perlu bersiap sedia untuk menjawab soalan rumusan. Sebenarnya, soalan rumusan lebih mudah untuk dijawab berbanding dengan soalan karangan kerana semua isi yang dikehendaki dalam soalan ini memang ada dalam petikan. Hal ini demikian kerana, isi utama terdapat dalam perenggan pertama, isi-isi sokongan lain terdapat dalam perenggan-perenggan yang berikutnya dan kesimpulan pula sudah tentu terdapat dalam perenggan yang terakhir. Namun demikian, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan jawapan pelajar semasa menjawab soalan ini kerana kurang mementingkan teknik menjawab soalan rumusan yang betul semasa menjawab soalan tersebut. Oleh itu, cikgu akan menyenaraikan kelemahan-kelemahan tersebut untuk dibaiki dan pelajar-pelajar perlu memahami teknik yang betul untuk menjawab soalan rumusan.

Kelemahan Umum Soalan Rumusan STPM
• Perenggan rumusan – ada calon yang menulis satu perenggan atau dua perenggan sahaja, ada juga yang melebihi 3 perenggan.
• Menulis atau menyalin ayat daripada petikan 100 peratus.
• Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung dengan maksud asalnya.
• Ayat-ayat yang dibina itu tergantung iaitu ayat tiada subjek atau predikat.
• Menulis Isi Utama (IU) dan kesimpulan (K) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.
• Menulis Isi Sokongan (IS) melebihi 6 isi, menyebabkan rumusan menjadi terlalu panjang dan melebihi had perkataan yang ditetapkan.
• Mencampuradukkan Isi Sokongan (IS) dalam satu ayat sehingga isi tersebut tidak teratur.
• Kesalahan mekanis yang kurang diberikan perhatian seperti tanda bacaan dalam ayat.
• Tidak menulis jumlah perkataan pada akhir rumusan.

Jadi, calon-calon STPM perlu mengelakkan kesalahan umum yang kerap dilakukan oleh mereka ketika menjawab soalan rumusan. Calon-calon STPM SMKBBST, cuba buat latihan rumusan di bawah dan e-melkan jawapan tersebut kepada saya untuk disemak.

Soalan Contoh

Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan. [20]

Walaupun Malaysia sudah tercatat sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia, tetapi tidak semestinya gelaran itu akan kita pegang selama-lamanya. Jika dilihat dari sudut itu, memang ternyata ada halangan yang perlu dihadapi oleh negara kita untuk terus kekal sebagai peneraju dalam pengeluaran minyak sawit dunia. Berdasarkan perkara itu, jelaslah bahawa memang halangan tersebut akan mempengaruhi produktiviti minyak sawit Malaysia. Tambahan pula, promosi dan kempen penggunaan minyak sawit agak kurang diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab dalam industri tersebut pada masa ini. Hal ini pasti akan menyebabkan minyak sawit terpaksa menghadapi cabaran dan saingan yang hebat daripada minyak masak yang lain. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam industri ini perlu bersiap sedia untuk menghadapi cabaran dan saingan tersebut di peringkat global.

Seperti yang diketahui umum, Malaysia bukanlah satu-satunya negara pengeluar minyak sawit dunia malah negara-negara di selatan Amerika dan benua Afrika turut menanam pokok kelapa sawit untuk mendapatkan minyaknya. Senario ini seterusnya akan menjadikan negara pengimport tidak tertumpu hanya kepada satu negara sahaja kerana mereka berpeluang untuk membuat pilihan dan memilih negara yang menawarkan kualiti minyak yang terbaik untuk menjadi pembekal minyak sawit ke negara mereka. Selain itu kewujudan pelbagai minyak sayuran lain seperti minyak daripada kacang soya, bijan, bunga matahari dan jagung memberi saingan hebat kepada minyak sawit terutama di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Namun begitu kuantiti eksport minyak sawit yang melebihi 13 juta tan pada 2003 ke lebih 150 negara pengguna membuktikan minyak sawit masih diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Halangan dan cabaran lain yang paling ketara dan memberi tamparan hebat kepada minyak sawit adalah apabila terdapat negara pengeluar minyak sayuran lain terutamanya minyak kacang soya telah melancarkan kempen yang bertujuan untuk memburuk-burukkan minyak sawit pada hujung abad ke-20. Namun begitu, negara kita mampu menangkis serangan berkenaan dengan bukti-bukti kukuh yang diperoleh daripada penyelidikan yang dijalankan oleh PORIM. Kesan buruk kempen yang dijalankan oleh negara-negara pengeluar minyak sayuran tersebut tidak menjejaskan pasaran dan permintaan daripada negara-negara pengeksport minyak sawit yang sudah lama berdagang dengan negara kita.

Jika dilihat dari sudut penanaman sawit pula, ada beberapa halangan yang wujud seperti serangan penyakit terhadap pokok kelapa sawit. Selain itu serangga perosak juga turut merosakkan pokok kelapa sawit. Serangan penyakit seperti ganoderma dan serangga seperti kumbang badak adalah amat biasa dihadapi oleh penanam sawit di negara ini. Serangan secara besar-besaran mampu menggugat pengeluaran minyak sawit kerana pokok kelapa sawit yang diserang musnah sama sekali. Di samping itu, cuaca panas dan kemarau serta berjerebu turut mendatangkan kesan buruk kepada pokok kelapa sawit. Satu lagi masalah yang terpaksa dihadapi dalam industri sawit adalah kurangnya pekerja yang hendak bekerja di ladang atau kebun kelapa sawit. Hal ini telah menyebabkan buruh asing terpaksa dibawa masuk untuk menampung kekurangan pekerja dalam sektor ini.

Oleh hal yang demikian, agensi kerajaan yang terlibat dalam industri sawit, iaitu PORIM perlulah memainkan peranannya dengan berkesan untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh industri ini. Agensi kerajaan tersebut haruslah berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan kualiti minyak sawit akan terus ditingkatkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R & D) serta berupaya untuk mempelbagaikan kegunaannya. Para penyelidik dalam industri ini diseru agar memainkan peranan bagi memastikan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat perhatian dan menjadi pilihan negara pengimport yang sudah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan negara kita. Kajian-kajian perlu ditingkatkan untuk menghasilkan penemuan baharu dalam bidang ini untuk memastikan negara kita kekal sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Halangan Dalam
Industri Sawit, Berita Harian, 5 Februari 2005)
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim