Dapatkan Mesej Bergambar di Sini Guru Pembina Negara BangsaSaya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mendidik saya dahulu dan semua warga pendidik di seluruh negara. Ucapan ini juga dikhususkan kepada rakan-rakan guru di SMKBBST, di Daerah Sepang, Kuala Langat dan seterusnya rakan-rakan dari daerah lain di negeri Selangor terutamanya yang mengenali saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan guru terutamanya guru Bahasa Melayu dari negeri lain seperti Cikgu Suraini dan Cikgu Nawi (Terengganu), Cikgu Alias dan Dr. Ismail (IPI) (Perak), Cikgu Ku Halim dan Cikgu Jaizah (IPP) (Perlis), Cikgu Ramlah (Kak Ram GC) dan Cikgu Rahim (IPSAH) (Kedah), Cikgu Muhamad (Kelantan), Cikgu Adzman (KMKP) dan Cikgu Zakaria (Negeri Sembilan), Cikgu Borhan dan Cikgu Shaleha (Melaka), Cikgu Mazlan, Cikgu Arsani dan Cikgu Hairul Badrul (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Cikgu Zanariah dan Cikgu Azizul (Johor).
Tidak lupa juga ucapan Selamat Hari Guru ditujukan kepada rakan-rakan pengendali blog Bahasa Melayu seperti Cikgu Razak, Cikgu Ghalib, Dr. Ghazali Lateh, Cikgu Aminhad, Cikgu Azman, Cikgu Suhaimi, Cikgu Bukharis, Cikgu Zaki, Cikgu Taufiq, Cikgu Tan C.L dan banyak lagi nama yang tidak dapat saya senaraikan dalam ruangan ini.
Tahniah dan syabas kepada rakan-rakan guru yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai pendidik dan teruskan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan bagi mendidik anak bangsa. Bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, tugas kita memang sangat mencabar dalam era globalisasi ini dan kuatkan azam untuk terus menjadi pembina negara bangsa yang cemerlang. Teruskan komitmen rakan-rakan untuk membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa akan datang. Bacalah sajak di bawah yang saya cipta khusus untuk semua guru di Malaysia.
Modal Insan PerkasaTertanam sudah benih perasaan yang luhur
Telah mengalir darah suci seorang guru
Cita-cita murni yang tak pernah padam
Sudah berakar tunjang jiwa perkasa
Hasrat murni mendidik anak bangsa
Makin membara dalam ribut globalisasi
Tuntutan zaman semakin menghambat
Memburu masa menagih jasa
Kecemerlangan terus dijana
Tunas bangsa modal berharga
Sebatikan dalam cermin paradigma
Guru Cemerlang bangunkan diri
Dalam sukar terus bermandiri
Meneguhkan perjuangan suci
Melahirkan modal insan berkualiti
Bermaruah tinggi berbudi pekerti
Menjadi cerminan akal budi
Sudah terukir dan terpahat namamu
Dipupuk dan dipelihara dalam jiwa
Tunas bangsa dibelai dan dibaja
Sudah pasti subur di persada negara
Alunkan lagu dengan irama kemajuan
Alunkan melodi kecemerlangan
Bangunkan modal insan perkasa
Nyalakan jiwa yang masih muda
Lahirkan minda kelas pertama
Kita bina mahligai wawasan
Yang mengangkat martabat bangsa
Menjulang nama di dalam peta dunia
Meletakkan diri dalam kelas pertama
Setanding dengan negara ternama.
Oleh Mohd Khir Kassim
SMK. BBST, Sepang, Selangor.
Mei 2009