Pengikut laman ini

Wednesday, March 24, 2010

Latar Novel Melunas Rindu

Latar bermaksud semua keterangan atau gambaran yang berkaitan dengan tempat, masa atau masyarakat. Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah cereka kerana dapat menjelaskan cerita itu lagi. Latar dapat menjelaskan sesuatu cerita berdasarkan pelaku, tempat, dan masa peristiwa itu berlaku. Latar dapat menjelaskan sama ada masanya singkat atau lama. Selain itu, latar turut menjelaskan latar belakang masyarakat dari segi kaum, agama, kepercayaan, amalan, atau budayanya. Latar juga kadang-kadang dipanggil citra, dibahagikan kepada tiga jenis iaitu latar masa, tempat dan masyarakat.

Latar Masa
Latar masa menggambarkan masa atau waktu, zaman, dan tempoh berlakunya peristiwa-peristiwa dalam cereka. Dari segi masa, mungkin peristiwa tersebut berlaku pada waktu subuh, pagi, petang, dan malam. Tempoh masanya pula mungkin berlaku selama beberapa minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, atau abad. Zaman berlakunya peristiwa terssebut mungkin berlaku semasa zaman sebelum kemerdekaan, darurat, zaman Jepun, zaman selepas merdeka atau pada masa ini, iaitu era globalisasi.

Latar Masa Dalam Novel Melunas Rindu
Semua peristiwa yang digambarkan dalam novel ini berlaku pada zaman sekarang iaitu dalam era globalisasi. Hal ini terbukti dengan adanya penggunaan telefon bimbit, kereta Proton Iswara dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tempoh masa keseluruhan cerita dalam novel ini adalah lebih kurang beberapa bulan sahaja tetapi diolah oleh pengarang dengan menyelitkan teknik imbas kembali pada zaman darurat. Peristiwa-peristiwa dalam novel ini berlaku pada waktu-waktu tertentu seperti kehidupan manusia iaitu waktu pagi, petang, dan malam. Yang berikut disenaraikan contoh latar masa tersebut:

Waktu pagi
Fuad sampai di Sekolah Menengah Seri Setia untuk memulakan tugasnya sebagai guru pada pukul tujuh lima belas pagi. Rujuk halaman 35.

Waktu petang
Fuad mengajak Farhana keluar dan makan pada hari ulang tahun Farhana pada waktu petang. Rujuk halaman 137.

Waktu malam
Fuad pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam. Rujuk halaman 7.

Latar Tempat
Latar tempat merujuk kepada tempat berlakunya perisstiwa dalam sesebuah cereka itu. Biasanya, pengarangan menggambarkan latar tempat ini secara umum sahaja, contohnya pengarang menggambarkan tempat-tempat seperti di kampung, di rumah, di bandar, di warung, di kaki lima, di klinik, di sekolah, di dalam kereta, di surau dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam novel ini pengarang menyatakan nama-nama tempat yang khusus seperti di Kuala Terengganu, Pantai Batu Buruk, Dungun, KLIA, di Dungun, di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, di Sekolah Menengah Seri Setia, Losong, Kuala Lipis, Lembah Klau, dan Sungai Ruan. Rujuk halaman 217 dan 80.

Di restoran
Fuad dan Farhana mengelilingi pusat bandar dahulu sebelum singgah di Restoran Terapung di Taman Syahbandar. Rujuk halaman 137.

Di rumah Pak Mail
Pak Ismail sudah bersiap-siap untuk ke surau pada pukul tujuh dua puluh ketika Fuad tiba di rumah Pak Ismail. Rujuk halaman 16.

Di sekolah
Suasana di sekolah iaitu di bangunan Blok C, Sekolah Menengah Seri Setia masih bising dan hingar-bingar walaupun kelas lanjutan sudah dijalankan. Rujuk halaman 122.

Di rumah Farhana di Kuantan
Fuad bersolat di rumah Farhana pada suatu petang dan selepas menunaikan solat dia pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah bapa saudaranya. Rujuk halaman 85.

Di hospital
Fuad terus bertanya kepada pengawal keselamatan apabila dia sampai di ruang legar hospital di tingkat bawah. Rujuk halaman 183.


Latar Masyarakat
Latar masyarakat bermaksud gambaran yang berkaitan dengan masyarakat dalam sessebuah cereka. Gambaran masyarakat biasanya merangkumi aspek latar belakang masyarakat seperti kaum, bangsa, keturunan, adat resam, kepercayaan, aktiviti seharian, dan pekerjaan anggota masyarakatnya.

Latar Masyarakat Dalam Novel Melunas Rindu
Masyarakat yang digambarkan oleh pengarang dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, dan masyarakat yang memeluk agama Islam iaitu mualaf. Selain itu, pengarang juga menggambarkan masyarakat yang tinggal di kampung, masyarakat yang bekerja sebagai guru, dan masyarakat yang menjadi ahli perniagaan. Pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai dan budaya murni dalam kehidupan. Pengarang menggambarkan latar ini seperti dalam petikan yang berikut:

Masyarakat yang suka menolong orang yang memerlukan pertolongan
Contohnya, Fuad menolong kawannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Masyarakat yang taat dan patuh akan agama
Contohnya, Fuad dan Pak Ismail tidak pernah mengabaikan solat lima waktu dan mereka kerap pergi ke surau untuk menunaukan solat secara berjemaah. Rujuk halaman 5.

Masyarakat guru yang dedikasi terhadap tugas
Contohnya, Farhana dan Fuad begitu komited dan dedikasi terhadap tugas mereka ssebagai guru dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid mereka. Rujuk halaman 50.

Masyarakat majmuk yang saling memahami
Contohnya, Robert Lim memahami bahawa orang Islam perlu menunaikan solat lima waktu. Rujuk halaman 170.

Masyarakat yang mengamalkan perkahwinan campur
Contohnya, Robert Lim yang berbangsa Cina berkahwin dengan Mariana yang berbangsa Melayu. Rujuk halaman 99.

Masyarakat yang menghormati tetamu
Contohnya, Pak Ismail dan Mak Salmah sangat menghormati tetamu yang datang ke rumah mereka. Rujuk halaman 168.

Masyarakat yang rajin bekerja
Contohnya, Peter Lim rajin bekerja untuk menyara keluarganya. Rujuk halaman 87 hingga 88.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, March 22, 2010

Peratus SPM 2009 Kekal

Tahniah kepada semua pelajar SPM SMKBBST tahun 2009. Anda telah berjaya mengekalkan peratus kelulusan iaitu berada pada paras 98% ke atas. Peratus yang diperoleh pada tahun lepas ialah 98.3% iaitu kurang 0.3% berbanding dengan tahun 2008. Kualiti yang mendapat A juga telah meningkat iaitu 74 orang (A+), 34 orang (A) dan 45 orang (A-).

Tahniah juga saya tujukan khususnya kepada pelajar-pelajar 5KM yang saya ajar pada tahun lepas. Walaupun saya mengambil alih kelas ini mulai Jun 2009, anda telah menunjukkan kesungguhan untuk membuat latihan dan seterusnya terbukti anda telah mencapai kejayaan dengan cemerlang. Jumlah pelajar kelas 5KM yang mendapat A adalah seramai 9 orang iaitu 2 orang (A) dan 7 orang (A-). Walau bagaimanapun, terdapat 2 orang pelajar yang gagal bagi kelas 5KM. Kedua-dua orang pelajar ini memang terlalu kerap ponteng sekolah dan tidak suka dibimbing oleh guru yang bersedia untuk membimbing mereka. Selain itu, dua orang pelajar lagi yang gagal ialah dari kelas 5PD (1 orang) dan Pendidikan Khas (1 orang).
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, March 9, 2010

Seminar Kesusasteraan Melayu di UPSI

Seminar Pengenalan Teks Terbaharu Kesusasteraan Melayu SPM di UPSI
Pada hari Rabu yang lepas iaitu pada 3 Mac 2010, saya telah diundang oleh Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, UPSI untuk menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Teks Antologi Anak Global – Kajian Sepintas Lalu dan Teknik P&P Berkesan. Seminar ini telah dihadiri oleh guru-guru pelatih Kesusasteraan Melayu semester 2, 4 dan 6. Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur seminar khususnya penasihat jawatakuasa seminar ini, iaitu Dr. Hajah Siti Khariah Mohd Zubir, pensyarah kanan di Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu UPSI yang juga merupakan rakan lama saya dalam pengajaran Kesusasteraan Melayu suatu masa dahulu di daerah Kuala Langat & Sepang.

Saya telah membincangkan karya-karya yang terdapat dalam teks Anak Global secara sepintas lalu. Karya-karya yang telah dibincangkan ialah sajak, cerpen dan drama. Antara aspek penting yang disentuh ialah tema, gaya bahasa sajak, sinopsis cerpen, serta watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerpen dan drama. Di samping itu, saya telah berkongsi pengalaman tentang teknik p&p Kesusasteraan Melayu yang hampir sama dengan KOMSAS untuk menarik perhatian pelajar agar berminat untuk mengikuti pelajaran di dalam kelas. Guru-guru pelatih haruslah kreatif dan sentiasa memikirkan teknik yang menarik dan berkesan agar pelajar tidak bosan semasa p&p Kesusasteraan Melayu atau KOMSAS dijalankan di dalam kelas. Sebenarnya, ada beberapa perkara lagi yang ingin dikongsi dengan guru-guru pelatih UPSI, tetapi oleh sebab kekangan masa, perkara tersebut tidak sempat untuk dibincangkan.

Selain saya, terdapat dua orang pembentang kertas kerja lagi iaitu Dr. Ghazali Lateh yang juga penulis novel Dari Lembah ke Puncak yang terpilih sebagai teks novel Kesusasteraan Melayu SPM mulai tahun ini. Tajuk kertas kerja Dr. Ghazali ialah Imbasan Struktural Novel Dari Lembah ke Puncak. Guru-guru pelatih bertuah kerana dapat menimba pengalaman daripada penulis novel itu sendiri. Dr. Ghazali banyak meluahkan pengalaman beliau dalam menghasilkan novel tersebut di samping pengalaman beliau menghasilkan pelbagai karya sastera yang seperti sajak dan cerpen. Di samping itu, banyak soalan juga telah dilontarkan oleh guru-guru pelatih yang ingin tahu dalam pelbagai perkara yang berkaitan dengan pengalaman Dr. Ghazali sebagai penulis yang sedang mengukir nama dalam bidang sastera di negara kita.

Seorang lagi pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut ialah Cikgu Faridah Mohd. Shereef, guru Kesusasteraan Melayu SMK. Serendah. Cikgu Faridah telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam pengajaran dan pemeriksaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM. Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk Sekilas Pandang Novel Jeriji Kasih. Beliau membincangkan aspek struktural novel tersebut di samping memberikan petua atau teknik menjawab soalan dan penandaan kertas Kesusasteraan Melayu SPM.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, March 8, 2010

Karangan Format Pidato SPM - Memartabatkan Bahasa Melayu


Soalan:

Anda akan menyertai pertandingan pidato sempena Kempen Bulan Bahasa peringkat daerah. Tajuk pidato itu ialah "Memartabatkan Bahasa Melayu".

Sediakan teks pidato itu selengkapnya.


Teks Pidato Contoh

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula, bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama ialah pemupukan kesedaran kepada anak-anak sejak kecil penting untuk memartabatkan bahasa Melayu. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua ialah kerajaan harus menjalankan kempen melalui media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan, sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah pihak kerajaan hendaklah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

Sebagai kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, March 5, 2010

Karangan Format Perbahasan Ala Parlimen


Bahas Ala Parlimen


Soalan
Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Palimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.
Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Perbahasan Menteri Kedua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,
Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Bangunan Bersejarah Tidak Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri sebentar tadi, iaitu “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah ini memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah.

Memang benar kata Ketua Pembangkang bahawa bangunan bersejarah yang perlu dipulihara dan dijaga daripada musnah atau rosak itu memerlukan belanja yang banyak. Namun demikian, kita perlu ingat bahawa kos tersebut tidak sama dengan nilai sejarahnya yang tidak boleh dijual beli. Jadi bangunan tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi. Hal ini demikian kerana, kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai sejarahnya ini rosak kerana bangunan tersebut sebenarnya tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Sekiranya bangunan tersebut digantikan dengan bangunan yang baharu sekalipun, sudah tentu nilai sejarahnya tidak sama dengan bangunan yang asal. Tambahan pula, pada tahun lepas Melaka dan Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Hal ini sudah tentu membuktikan betapa pentingnya bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita itu perlu dikekalkan dan dipelihara daripada musnah. Pengumuman Tapak Warisan Dunia bagi kedua-dua buah negeri tersebut juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi daripada UNESCO kepada negara kita.

Tuan Yang Dipertua,
Bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Seperti yang kita sedia maklum terdapat banyak bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita, seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan Stadhuyst di Melaka. Selain itu terdapat juga bangunan bersejarah yang lain seperti Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Menara Jam Condong di Telok Intan, dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Terdapat banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur sejarah yang tinggi ini. Aspek tersebut ialah teknologi binaan, bahan-bahan yang digunakan untuk membina bangunan tersebut serta kaitan bangunan itu dengan fakta sejarahnya dan sosiobudaya masyarakat tempatan. Kata orang, “Tak kenal maka tak cinta”, jadi para pengkaji ini akan melaporkan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan seterusnya difahami oleh masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.

Tuan Yang Dipertua,
Hujah saya yang kedua berpaksikan frasa menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Hal ini demikian kerana, para pelancong yang datang ke negara kita adalah semata-mata untuk melihat kesan-kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Sebagai contohnya, bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Istana Banda, di Jugra dan Kellie’s Castle di Perak, perlu dipulihara agar keasliannya dapat dikekalkan.
Pelancong juga akan tertarik oleh keunikan dan kesenian bangunan-bangunan bersejarah itu. Hal ini membuktikan bahawa, orang zaman dahulu sudah memiliki kemahiran dan ilmu kesenian dalam senibina bangunan. Oleh hal yang demikian, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan keasliannya. Dengan cara itu, bangunan-bangunan tersebut akan kekal sampai bila-bila, seperti kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan datang.

Tuan Yang Dipertua,
Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.
Sekian, terima kasih.