Pengikut laman ini

Friday, November 15, 2013

Penulisan Esei Tidak Berformat - Isu Program Motivasi

Soalan Contoh

Program motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut kepada pelajar.

Rangka Esei
Pendahuluan
-        pelbagai program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah
Isi-isi Penting
i.                 melatih pelajar dari aspek ketahanan diri dan bersikap yakin diri
ii.                murid didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
iii.              teknik mengurus masa secara bijaksana
iv.              mencungkil potensi pelajar  melalui aktiviti berkumpulan
v.               menekankan nilai keagamaan dan kerohanian
Penutup
-        program motivasi merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang


Esei Contoh
Program motivasi yang telah dianjurkan oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan pelajar. Dengan menyertai program motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai perkara yang menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta itu dapat  membantu kecemerlangan pelajar. 
Program motivasi melatih pelajar dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahan fizikal dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan dihadapi oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program motivasi berupaya untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Dalam program motivasi, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan pakar-pakar yang mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari yang mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan pengetahuan mereka untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program tersebut. Di samping itu, para pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab soalan seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah bahawa program ini memberikan kebaikan yang banyak kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini, para pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan.  Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat dijalankan secara teratur kerana masa mereka terisi dengan perkara yang sesuai dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu membantu pelajar membuat perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang berkesan untuk manfaat pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut berupaya untuk menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan itu turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program yang penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri sendiri yang selama ini terpendam kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Di samping itu, program seperti itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan berfikiran positif dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula dapat digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar dalam segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara, dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak mereka. Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi,  ibu bapa harus memberikan galakan dan menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan mereka.
(613 perkataan)