Kes
jenayah yang semakin banyak berlaku di negara kita pada masa ini amat
membimbangkan anggota masyarakat. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan
oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus meningkat.
Kes jenayah dikatakan
semakin meningkat dan semakin sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di
negara kita. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor yang menyumbang ke arah
berlakunya jenayah pada masa ini. Kes jenayah yang sering dilaporkan berlaku
adalah seperti kes pembunuhan, rompakan, penculikan, pecah rumah, dan
sebagainya. Kes tersebut amat membimbangkan pelbagai lapisan masyarakat yang
ingin akan kehidupan yang aman dan tenteram. Oleh itu, usaha-usaha perlu
dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus
meningkat di negara kita.
Pihak berkuasa perlu
memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan yang sering berlaku kejadian
jenayah. Kamera tersebut dapat mengimbas atau merakam segala perbuatan jenayah
yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kamera
tersebut perlu diletakkkan di kawasan bank, pusat beli-belah, taman permainan
kanak-kanak, dan sebagainya. Perkara ini akan menakutkan penjenayah dan dapat
menghalang mereka daripada melakukan jenayah. Jadi, kes jenayah akan dapat
dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan jika pihak berkuasa
memasang kamera litar tertutup di kawasan “panas”.
Pihak berkuasa harus meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya
jenayah. Perkara ini akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab
untuk melakukan jenayah. Sebagai contohnya, polis melakukan rondaan yang lebih
kerap di pusat beli-belah, bank, kedai emas, dan sebagainya. Melalui cara itu,
kes jenayah dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan.
Perkara itu jelas membuktikan bahawa tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan
melalui rondaan yang lebih kerap oleh pihak berkuasa di kawasan yang sering
berlaku kegiatan jenayah.
Langkah lain yang perlu
dilakukan ialah pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen kesedaran tentang
jenayah kepada masyarakat. Perkara itu penting kerana anggota masyarakat akan
mendapat maklumat tentang cara untuk menghindarkan diri daripada jenayah. Dalam
kempen tersebut, anggota masyarakat diberikan kesedaran tentang aspek
keselamatan di tempat awam dan pihak polis boleh menunjukkan cara untuk
menghadapi penjenayah melalui demonstrasi atau iklan di media massa. Dengan
cara itu, kesedaran tentang jenayah dapat dipertingkatkan dalam kalangan
masyarakat. Tegasnya, jenayah dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam
dapat ditingkatkan melalui kempen-kempen kesedaran tentang jenayah.
Kes jenayah juga dapat dikurangkan
melalui penubuhan Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) di sesuatu kawasan perumahan. JKKK boleh menjadi mata dan
telinga kepada pihak polis dan membantu pihak berkuasa untuk membanteras
jenayah. Contohnya, mereka boleh menjadi “Rakan Cop” dan memberikan maklumat
kepada polis tentang kegiatan jenayah. Perkara ini dapat mencegah jenayah atau
mengurangkan kes jenayah daripada menjadi lebih serius. Jadi, jelaslah bahawa
penubuhan Rukun Tetangga atau JKKK di sesuatu kawasan dapat mengurangkan kes
jenayah.
Pihak berkuasa wajar menambah bilangan pondok polis di kawasan bandar dan juga kawasan perumahan.
Hal ini dapat menghalang penjenayah daripada melakukan aktiviti jenayah. Pondok
polis boleh berfungsi sebagai pusat kawalan, pemantauan, dan tempat untuk orang
ramai membuat aduan tentang kes jenayah. Jadi, pihak berkuasa perlu membina
pondok polis di tempat yang strategik di kawasan bandar seperti di kawasan
tumpuan orang ramai. Perkara ini akan menakutkan penjenayah kerana pihak polis boleh
bertindak dengan lebih pantas untuk menangkap penjenayah.
Pihak berkuasa hendaklah
meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan jenayah yang dilakukan oleh
orang yang didapati bersalah melakukan jenayah. Tindakan itu perlu dilakukan
kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai untuk
melakukan jenayah. Sebagai contohnya, hakim perlu menjatuhkan hukuman penjara
mandatori dan sebatan rotan kepada penjenayah di khalayak bagi kesalahan
melakukan rompakan atau pecah rumah. Dengan cara itu, orang ramai tidak berani
untuk melakukan jenayah. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa denda atau
hukuman yang berat dapat mengurangkan kes jenayah.
Sebagai kesimpulannya,
terdapat pelbagai usaha yang perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk
memastikan kes jenayah dapat ditangani dengan berkesan. Walau bagaimanapun, semua
pihak perlu berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan kes jenayah
dapat dikurangkan dan keselamatan awam terjamin. Sekiranya langkah tersebut
tidak diambil, sudah pasti kes jenayah sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu
perkara tersebut berlaku kerana kita tidak mahu keamanan dan keselamatan anggota
masyarakat terjejas. Jadi, kita berharap agar masalah jenayah dapat ditangani
dengan berkesan demi keamanan dan kesejahteraan rakyat negara ini. (648 perkataan)