Soalan Contoh
Saban tahun, kemalangan maut dilaporkan semakin
meningkat ketika menjelangnya musim perayaan di negara kita. Huraikan punca-punca kemalangan tersebut berlaku
dan kemukakan cadangan untuk menanganinya.
Karangan Contoh
Apabila musim perayaan menjelang tiba,
anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing,
terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan rindu mereka sangat mendalam, bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang
sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu,
anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang melibatkan kereta atau van yang
sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim
perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan perkataan lain, terdapat
beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk
mengatasinya perlu dilakukan.
Kemalangan jalan raya kebiasaannya berlaku disebabkan oleh kelalaian
manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan
kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan
tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan
mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan
kereta yang tidak diservis dan tayar yang “botak” ini akan mengakibatkan kereta
itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan
berlakunya kemalangan maut. Tegasnya, kesan kelalaian manusia yang alpa dan
tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan
tersebut berlaku.
Kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang gagal
merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Pengguna jalan raya yang tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan
menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung menyebabkan mereka bertindak dengan terburu-buru di jalan raya. Perkara ini
seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya hilang kesabaran dan
mengikut hawa nafsu lalu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan
berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini
seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku. Kemalangan tersebut tentunya melibatkan kecederaan atau meragut nyawa mangsa.
Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan oleh keadaan jalan
raya yang kurang memuaskan atau terdapat kerosakan. Kemalangan jalan raya boleh berlaku kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak
rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya.
Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut,
kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka juga mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan. Perkara itu bukan sahaja menyebabkan kemalangan berlaku malah boleh merosakkan harta awam yang terdapat di jalan raya. Tegasnya, keadaan atau
faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan
kemalangan berlaku.
Kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dapat ditangani dengan pelbagai langkah. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah melalui kempen-kempen
di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan
televisyen juga boleh memaparkan iklan kepada audiens supaya mereka tidak lupa akan
perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan atau semasa perjalanan. Sebagai
contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang bahaya pemandu yang letih dan
mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka disyorkan suapaya berhenti di kawasan rehat. Kempen
dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat
melihat atau menonton iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah bahawa melalui kempen,
perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya.
Langkah
seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan
yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya
tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu
diturap dengan sempurna oleh pihak Jabatan Kerja Raya supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna
berasa selesa ketika memandu kenderaan dan melancarkan perjalanan pwnggun jalan raya yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan
raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita.
Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor berlakunya kemalangan jalan raya dan pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan
perjalanan serta memandu kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat.
Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan
maut boleh berlaku tanpa mengira masa. Jadi, mereka perlu ingat akan orang yang
tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh
itu, semua pengguna jalan raya dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan
kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu, kita berharap agar pengguna jalan raya di Malaysia
dapat menggunakan jalan raya dengan selesa dan sampai dengan selamat ke destinasi masing-masing.