1. Gunakan Persembahan Power Point – 5-10 slide.
2. Masa – 10 – 15 minit setiap kumpulan.
3. Persembahan akan dinilai daripada pelbagai aspek iaitu:
• Pengenalan
• Isi Kandungan
• Penutup
• Bahasa Lisan
• Bahasa Badan (Body language)
• Penggunaan Teknologi Multimedia
• Keyakinan
• Penerapan Nilai Insaniah.
Cadangan Slide 1
Muka depan – aplikasikan kreativiti dan inovasi masing-masing
2. Tajuk penyelidikan
3. Nama penyelidik
4. Guru pembimbing
Cadangan Slide 2
Latar belakang kajian
1. Penyataan masalah
2. Tujuan kajian
3. Kepentingan kajian
4. Batasan kajian
Cadangan Slide 3
Tinjauan kajian lampau (Literature review) atau penulisan yang berkaitan
1. Pengenalan
2. Beri definisi frasa penting tajuk penyelidikan
3. Nyatakan dapatan/hasil kajian lampau
Cadangan Slide 4
Metodologi
1. Sampel
2. Instrumentasi
3. Kesahihan instrumen
4. Pentadbiran soal selidik
5. Temu bual
6. Pemerhatian (sekiranya ada)
7. Analisis data secara kualitatif – terangkan secara umum
8. Analisis data secara kuantitatif
Cadangan Slide 5
Analisis data
1. Pengenalan
2. Tunjukkan analisisnya – beri penjelasan
Cadangan Slide 6
1. Perbincangan hasil dapatan
2. Kesimpulan
3. Cadangan
Oleh : Cikgu Mohd Khir Kassim
Pengikut laman ini
Tuesday, June 29, 2010
Monday, June 14, 2010
Karangan Pelajar Pra-U - Perniagaan Internet
Peperiksaan Pertengahan Tahun baru sahaja berlalu dan ada pelajar sudah mengetahui markah masing-masing. Di samping itu, ada juga yang sudah mendapat kertas jawaban daripada guru. Oleh itu, para pelajar seharusnya meneliti dan menganalisis kesalahan yang telah ditandakan oleh guru dan cuba baiki setiap kesalahan yang telah dilakukan itu. Selain itu, sila teliti kelemahan-kelemahan yang telah dilakukan dan buatlah pembetulannya, semoga dengan cara itu para pelajar akan berupaya untuk meningkatkan prestasi dalam ujian atau peperiksaan yang bakal dilalui selepas ini.
Saya selalu menekankan perkara ini kerana kebanyakan pelajar tidak membuat analisis bagi setiap kesalahan yang telah dilakukan dalam setiap soalan yang telah dijawab dalam peperiksaan.
Untuk tujuan tersebut, di bawah ini saya paparkan karangan yang telah ditulis oleh pelajar saya, iaitu Nurul Naziera bt. Md. Nizam (6A1). Sila teliti dan analisis kelemahan dan kekuatan karangan ini sebagai latihan.
Soalan: Perniagaan internet semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam era globalisasi ini.
Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan internet kepada masyarakat pada masa ini.
Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa ini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di peringkat globalisasi. Di samping itu, perniagaan internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat besar, tetapi juga untuk syarikat kecil. Walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan internet juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri.
Perniagaan internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui internet sahaja.
Pasaran bagi perniagaan internet tentunya dapat dikembangkan dengan cara yang meluas ke serata dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berkualiti dengan harga yang murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barangan ke luar negara bukan sahaja dapat memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan peniaga dari luar negara. Peniaga dari luar negara mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mereka akan menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.
Perniagaan internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara. Impak tersebut dapat dilihat dalam sektor pelancongan. Melalui kemudahan internet, setiap hotel dan pusat pelancongan akan memperkenalkan produk pelancongan mereka dengan membuat promosi mereka melalui internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat tetapi juga persaingan antara negara maju yang lain juga dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi seperti internet.
Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila peniaga menceburkan diri dalam perniagaan internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak biasa menggunakan teknologi maklumat. Di samping itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan internet. Oleh itu, peniaga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang diganti itu semula demi kepuasan pengguna. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum mereka menerima dan boleh menggunakannya.
Pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sesetengah daripada produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam internet tidak secantik seperti yang ditunjukkan melalui iklan dalam internet. Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan. Hal ini menyebabkan berlakunya tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu oleh promosi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.
Sebagai kesimpulannya, perniagaan internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna tetapi juga memberikan kemudahan dan kelebihan kepada peniaga. Walau bagaimanapun, kita bukan sahaja menerima kebaikan dan faedahnya, malahan perniagaan tersebut turut memberikan impak negatif juga kepada negara. Jadi kita tidak mahu kelemahan tersebut menjejaskan negara kita dan kita mahu terus bersaing dengan negara maju yang lain. Selain itu, pihak peniaga dan pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa atau kerajaan haruslah mengawal dan memantau aktiviti perniagaan melalui internet ini supaya bentuk perniagaan dan kemudahan ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang bertanggungjawab kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.
Subscribe to:
Posts (Atom)