Pengikut laman ini

Sunday, April 16, 2017

Teknik untuk Mengesan Ragam Ayat (STPM P2)

Jika pelajar hendak mengesan ragam ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja  yang digunakan dalam ayat tersebut. Kata kerja tersebut menggambarkan ayat itu ayat aktif atau ayat pasif. Sebagai contohnya, analisis soalan di bawah.

Soalan STPM Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
25  Yang manakah ayat pasif?
I    Saya terpanggil untuk menulis dalam ruangan ini.
II   Kami terpandang wajah tuan puteri yang cantik itu.
III  Pelbagai jenis kuih sudah terhidang di atas meja itu.
IV  Beberapa ekor haiwan liar terjatuh ke dalam gaung itu.
A   I dan II
B   I dan III
C   II dan IV
D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat pasif.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan ragam ayat yang terdiri daripada ayat pasif dengan mengenal pasti kata kerjanya. Jawapannya B kerana  ayat I dan ayat III merupakan ayat pasif yang berimbuhan –ter (yang boleh digantikan dengan imbuhan –di) manakala ayat II dan ayat IV merupakan ayat aktif kerana imbuhan –ter membawa maksud melakukannya dengan tidak sengaja.

Ayat pasif bagi ayat I sama dengan ayat pasif dengan imbuhan pasif di- iaitu "Saya dipanggil untuk menulis dalam ruangan ini." Ayat pasif bagi ayat III sama dengan ayat pasif dengan imbuhan pasif di- iaitu "Pelbagai jenis kuih sudah dihidang di atas meja itu."

Ayat II dan ayat IV ialah ayat aktif. Ayat II sama dengan "Kami memandang wajah tuan puteri yang cantik itu." (Memandang dengan cara tidak sengaja) Ayat IV sama dengan "Beberapa ekor haiwan liar jatuh ke dalam gaung itu." (Jatuh dengan cara tidak sengaja) Ayat II dan ayat IV juga tidak boleh dipasifkan kerana jika dipasifkan kata kerja, ayat tersebut menjadi ayat yang tidak gramatis.

Thursday, April 13, 2017

Teknik untuk Mengesan Ayat Majmuk (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif
Jika pelajar hendak mengesan ayat majmuk, pelajar perlu mengenal pasti kata hubung yang terdapat dalam ayat tersebut. Kata hubung tersebut menghubungkan dua klausa. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah ini.

Soalan STPM Penggal 2 2015

Analisis soalan dan jawapan:

23 Yang manakah bukan ayat majmuk?
A   Perabot yang rosak itu dibaikinya kemudian dijualnya.
B   Ali membaca manakala rakannya yang kepenatan berehat.
C   Setiausaha mencatat nama ahli yang hadir yang memerlukan kenderaan.
D   Motosikal anak penghulu itu telah terbakar di tepi jalan pada minggu lalu.

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat yang bukan ayat majmuk. Oleh itu, pelajar perlu mengenal pasti ayat majmuk dan yang bukan ayat majmuk. Jawapannya D kerana ayat dalam jawapan tersebut merupakan ayat tunggal dan bukannya ayat majmuk kerana tiada kata hubung dalam ayat itu. Ayat dalam jawapan A, B, dan C pula ialah ayat majmuk iaitu ayat majmuk campuran yang menggunakan sekurang-kurangnya dua kata hubung dalam satu ayat. Kata hubung yang digunakan dalam ayat tersebut ialah “yang”, “kemudian”, dan “manakala”.

Saturday, April 8, 2017

Teknik untuk Mengesan Penggolongan Ayat (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif

Terdapat beberapa teknik atau petua yang boleh digunakan oleh pelajar untuk mengesan penggolongan ayat. Kenal pasti perkara-perkara yang berikut sebagai cara untuk membantu pelajar mengesan penggolongan ayat dalam soalan objektif Penggal 2. Sebagai contohnya;

Ayat dasar dan ayat tunggal
         Kenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut.
     Ayat dasar mesti mematuhi empat pola ayat iaitu subjeknya ialah FN dan predikatnya terdiri daripada FN atau FK atau FA atau FS. (FN+FN; FN+FK; FN+FA; FN+FS). Ayat dasar juga mestilah terdiri daripada ayat aktif dan ayat penyata.
     
      Ayat tunggal pula mesti mempunyai satu klausa sahaja iaitu satu subjek dan predikat seperti ayat dasar. Namun begitu, ayat tunggal boleh terdiri daripada ayat pasif, ayat songsang, atau ayat perintah. Pastikan juga ayat tunggal tiada kata hubung kerana kalau ada kata hubung, ayat tersebut sudah menjadi ayat majmuk.

Ayat majmuk
         Kenal pasti kata hubung dalam ayat tersebut.
      Ayat majmuk terdiri daripada sekurang-kurangnya dua klausa atau lebih. Oleh itu, ayat majmuk kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya satu kata hubung. Jenis kata hubung dalam ayat itu akan menentukan jenis ayat majmuk tersebut.

Ragam ayat – ayat aktif dan ayat pasif
         Kenal pasti kata kerja yang digunakan dalam ayat tersebut.
      Kata kerja aktif boleh terdiri daripada kata kerja transitif (KKT) dan kata kerja tak transitif (KKTT). Namun demikian, ayat aktif transitif sahaja yang boleh dipasifkan kerana kata kerjanya boleh dipasifkan dan ada objek yang kena. Ayat aktif tak transitif sudah tentu tidak boleh dipasifkan kerana kata kerjanya tidak boleh dipasifkan dan tiada objek yang kena.

Jenis ayat
         Kenal pasti kata kunci yang digunakan dalam ayat tersebut.
      Jenis ayat tersebut ditentukan oleh kata kunci atau tanda yang terdapat dalam ayat tersebut. Sebagai contohnya, jenis ayat perintah ditentukan oleh kata kunci yang menggambarkan perintah tersebut seperti "jangan" dan "usah" untuk jenis ayat larangan (melarang sesuatu perkara). Ayat tanya pula biasanya mengandungi kata tanya atau partikel tanya serta mesti ada tanda tanya. Begitu juga dengan ayat seruan yang memerlukan kata seru dan tanda seru. Ayat penyata pula akan menyatakan sesuatu.

Susunan Konstituen Ayat
    Kenal pasti subjek, predikat, dan frasa keterangan serta analisis kedudukannya dalam ayat tersebut.
      Ayat susunan biasa mestilah terdiri daripada subjek dan predikat iaitu sama seperti dalam empat pola ayat dasar.
      Ayat susunan songsang pula tidak mengikut pola ayat dasar iaitu subjeknya di sebelah kiri. Bagi ayat susunan songsang, predikatnya berada di sebelah kiri atau di hadapan dan subjeknya di kanan atau di sebelah kanan.  

Ayat dasar dan ayat tunggal
Jika pelajar hendak mengesan ayat dasar atau ayat tunggal, pelajar perlu mengenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut. Ayat dasar perlu menepati 4 pola ayat dasar iaitu satu subjek dan satu predikat (satu klausa). Ayat tunggal tidak semestinya menepati 4 pola walaupun masih mempunyai satu klausa tetapi juga sudah dipasifkan, disongsangkan susunannya, atau jenis ayatnya sudah berubah iaitu menjadi jenis ayat yang lain dan bukannya ayat penyata sahaja.
 

Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Ulangan Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
23   Yang manakah ayat dasar?
        I   Di sungai inilah pelancong itu mati lemas.
       II   Seekor anak burung murai telah terperangkap.
       III  Pemain simpanan juga perlu menjalani latihan.
       IV  Masalah penyalahgunaan dadah sukar ditangani.
       A   I dan II
       B   I dan IV
       C   II dan III
       D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat dasar.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan pola ayat yang menepati pola ayat dasar seperti yang dikehendaki oleh soalan. Jawapannya C kerana pola ayat II (FN + FK) dan pola ayat III (FN + FK) menepati pola ayat dasar. Ayat I ialah ayat songsang yang bukan ayat dasar dan ayat IV ialah ayat pasif yang juga bukan ayat dasar tetapi kedua-duanya ialah ayat tunggal.

Ayat I bukan ayat dasar kerana ayat itu merupakan ayat songsang (ayat tunggal). Ayat I merupakan ayat songsang kerana mengalami proses songsang sebahagian predikat iaitu frasa keterangannya (FK) berada di hadapan ayat. Ayat dasarnya ialah "Pelancong itu mati lemas di sungai ini." Ayat IV juga bukan ayat dasar kerana ayat tersebut sudah dipasifkan. Ayat aktifnya (ayat dasar) ialah "Kerajaan sukar menangani masalah penyalahgunaan dadah." (Subjeknya digugurkan apabila dipasifkan)