Pengikut laman ini

Sunday, December 6, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Isi - Esei Tidak Berformat STPM

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan isi dengan menggunakan formula 2K. Jadi, pelajar perlu menggunakan formula yang sama untuk mengolah atau mengembangkan kesemua isi.

Teknik Penulisan Perenggan Isi yang Menggunakan Formula 2K 

Teknik IKCHP (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai)

p  Ayat Isi (Ayat topik)

p  Ayat huraian – Ayat Kenapa / ayat bagaimana

p  Ayat Contoh (contoh daripada ayat isi)

p  Ayat Huraian contoh

p  Ayat Penegasan atau penerangan lanjut terhadap contoh

Pastikan setiap perenggan terdapat sekurang-kurangnya 5 ayat.  Kemudian, pastikan ada 5 atau 6 isi dalam satu esei (5 - 6 perenggan = 5 - 6 isi). Setiap perenggan isi menggunakan teknik atau cara yang sama.

Contoh Soalan:

Banyak rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Olahan Perenggan Isi                                                             

I - Harga rumah yang terlalu mahal telah menyebabkan pembeli tidak mampu untuk membelinya. (I)  - Ayat isi/ topik esei

K - Harga rumah yang mahal akibat harga bahan binaan yang meningkat menyebabkan pembeli terbeban oleh hutang jika mereka membeli rumah tersebut. (K) – Ayat kenapa ayat isi berlaku

C - Sebagai contohnya, harga simen, pasir, bata, dan besi  telah meningkat dengan mendadak hingga menyebabkan harga rumah melebihi RM400,000 sebuah. (C) – Ayat contoh daripada ayat isi

H - Harga yang terlalu mahal telah menyebabkan rumah yang siap dibina tidak dapat dijual kerana kekurangan pembeli yang mampu untuk membelinya. (H) – Ayat huraian daripada contoh

P - Hal ini membuktikan bahawa rumah yang dibina tidak dibeli oleh pembeli rumah kerana harga rumah terlalu mahal. (P) – Ayat penegasan daripada ayat isi        (88 perkataan)

Contoh Perenggan Isi Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Manfaat utama yang akan diperoleh ialah guru dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar. Melalui aktiviti tersebut, para pelajar akan lebih terdedah kepada kegiatan yang dilaksanakan secara bekerjasama dalam satu pasukan. Aktiviti seperti pemasangan khemah semasa perkhemahan memerlukan kerjasama yang jitu dan sikap tolong-menolong antara satu sama lain, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Aktiviti kokurikulum seperti itu mampu untuk memupuk sifat-sifat yang mulia dalam diri setiap pelajar. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat menggalakkan pembentukan sahsiah dan melahirkan remaja yang mempunyai budi pekerti yang mulia. (89 perkataan)

Teknik penulisan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Tuesday, December 1, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan - Esei Semester 1

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Esei merupakan wacana yang terhasil daripada jalinan ayat yang mempunyai hubungan atau pertalian yang mantap antara satu sama lain. Dalam wacana, jalinan ayat yang mantap tersebut mesti mempunyai unsur kohesi dan koheren. Kohesi bermaksud tautan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana. Koheren pula bermaksud jalinan atau kesinambungan idea yang mantap antara ayat dalam sesuatu wacana atau juga dikenali sebagai runtutan. Jadi, esei yang mantap dapat dibina daripada perenggan yang mempunyai kedua-dua unsur tersebut.

Dari segi teknik penyampaian idea dalam retorik pula, terdapat beberapa teknik penyampaian idea dalam penghasilan perenggan esei. Perenggan-perenggan yang dihasilkan tersebut akan membentuk suatu esei atau wacana. Antara teknik yang popular dan seringkali digunakan ialah teknik eklektik. Teknik tersebut dimulakan dengan ayat pernyataan umum (ayat topik), kemudian diikuti pula oleh beberapa ayat pernyataan khusus (ayat huraian dan ayat contoh), dan diakhiri dengan ayat pernyataan umum (ayat penegasan). Jadi, untuk memudahkan pelajar STPM Semester 1 menulis esei tidak berformat yang mantap, dicadangkan supaya pelajar menggunakan teknik menulis esei yang sistematik dan mudah diaplikasikan iaitu “Formula 2K” yang membawa maksud formula Kohesi (K) iaitu tautan dan Koheren (K) iaitu runtutan. 

Dengan menggunakan teknik tersebut, jalinan idea dalam perenggan tersebut akan menjadi lebih mantap. Kepanjangan setiap ayat akan menjadi lebih seimbang dan jumlah perkataannya juga seimbang dalam setiap perenggan. Setiap perenggan seharusnya mengandungi 80 hingga 90 perkataan sahaja. Jika pelajar menulis 8 perenggan esei dan didarabkan dengan 80 perkataan jadi jumlahnya ialah 640 perkataan. Sekiranya pelajar menulis 7 perenggan esei dan didarabkan dengan 90 perkataan jadi jumlahnya ialah 630 perkataan. Hal ini disebabkan oleh setiap perenggan telah disediakan teknik atau cara untuk pelajar membina setiap ayatnya. Ayat-ayat tersebut pula akan membentuk perenggan yang mantap dari segi kohesi dan koherennya atau tautan dan runtutan. Dicadangkan supaya pelajar membina lima atau enam ayat dalam setiap perenggan. Teknik tersebut akan dihuraikan dan dijelaskan dalam perbincangan yang berikut.

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan pendahuluan dengan menggunakan formula 2K.

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan

Teknik IKCHF (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Faham)

·       Ayat Isu (Isu dalam soalan)

·       Ayat huraian – Tanya (kenapa, bagaimana, atau apa)

·       Ayat Contoh (Contoh daripada ayat isu)

·       Ayat Huraian contoh (Ayat hasil jika baik dan ayat akibat jika tidak baik)

·       Ayat Fokus soalan

Contoh Soalan:

Pada masa ini banyak rumah yang telah siap dibina tetapi dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Menggunakan Formula 2K

I - Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. (I) – Ayat isu dalam soalan

K - Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. (K) – Ayat kenapa perkara dalam ayat isu berlaku

C - Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. (C) – Ayat contoh daripada ayat isu

H - Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. (H) - Ayat huraian daripada ayat contoh

F - Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (F) – Ayat yang menyentuh fokus soalan (85 perkataan)

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Lengkap

Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (85 perkataan) 

Contoh Perenggan Pendahuluan Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Aktiviti kokurikulum yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan memang banyak kebaikannya kepada para pelajar. Aktiviti kokurikulum merupakan kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah iaitu selepas waktu persekolahan dan melibatkan kegiatan persatuan, kelab permainan, dan pasukan beruniform. Aktiviti tersebut termasuklah Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Kelab Badminton, Kelab Bola sepak, Pasukan Pengakap, Pandu Puteri, dan sebagainya. Jadi, para pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang telah diwajibkan oleh pihak kementerian kepada mereka. Kegiatan kokurikulum telah terbukti memberikan pelbagai manfaat kepada  para pelajar. (83 perkataan)

Teknik penulisan perenggan isi dan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Sunday, April 12, 2020

Latihan Analisis Kesalahan Bahasa

Pelajar Semester 2 boleh menggunakan soalan Analisis Kesalahan Bahasa di bawah sebagai latihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan sekarang. Jadi, pelajar boleh mencuba latihan di bawah dengan menganalisis kesalahan bahasa yang terdapat di dalam petikan tersebut. Pelajar perlu mengenal pasti tiga kesalahan seperti kesalahan kata, frasa, atau ayat dalam petikan tersebut. Setelah mengenal pasti tiga kesalahan, pelajar perlu memberikan alasan bagi setiap kesalahan tersebut berdasarkan rumus tatabahasa yang telah dipelajari dan menulis pembetulannya.

Soalan
Baca petikan yang berikut dan kenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.       
[9]
Fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berupaya untuk menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Ketua Pengarah Kesihatan menjelaskan bahawa keyakinan itu bersandarkan kepada perkembangan statistik penularan wabak terbabit. Kesinambungan kawalan yang menyaksikan kejayaan hingga penyakit tersebut dapat dikurangkan menerusi PKP fasa pertama dan kedua harus diteruskan pada fasa ketiga. Dengan kerjasama semua pihak dapat mengurangkan bilangan pesakit Covid-19. Jika kita boleh melakukannya, kita akan dapat menangani wabak tersebut dengan jayanya. Tambahan pula, hingga ke hari ini, hampir separuh daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini sudah pulih sepenuhnya.

Bil.
Kesalahan
Sebab kesalahan
Pembetulan
(a)






(b)








(c)








Jawapan cadangan boleh didapati daripada channel Youtube saya di alamat: https://www.youtube.com/watch?v=iwVvLE2U_sU


Saturday, March 28, 2020

Kuiz Morfologi dan Sintaksis Siri 2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua.

Seperti yang dijanjikan, saya telah memuat naik soalan kuiz Morfologi dan Sintaksis Siri 2 untuk dijadikan latihan oleh pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan STPM Semester 2 nanti. Walaupun tarikh peperiksaan Semester 2 telah ditunda pada tarikh yang baharu iaitu dari 18 hingga 24 November 2020, soalan-soalan tersebut boleh digunakan untuk menguji pemahaman dan penguasaan pelajar terhadap topik-topik dalam Semester 2. Pelajar perlu memikirkan alasan atau sebab bagi sesuatu jawapan yang diberikan itu betul ataupun salah dengan menggunakan rumus tatabahasa yang betul. Setiap soalan perlu dianalisis dengan betul dan digunakan untuk merancang strategi belajar yang berkesan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Semester 2 nanti. 

Soalan kuiz tersebut boleh dilayari di sini. (https://forms.gle/CMq3UKyGtMD45KpG8)
Selamat belajar.

Tuesday, March 24, 2020

Kuiz Morfologi dan Sintaksis Siri 1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Pelajar digalakkan untuk belajar secara on-line dengan guru melalui pelbagai aplikasi internet dan mendapatkan bahan-bahan pembelajaran daripada pelbagai sumber dalam internet sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dikuatkuasakan oleh kerajaan. Jadi, saya ingin berkongsi bahan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar STPM Semester 2 ini iaitu soalan kuiz morfologi dan sintaksis. Soalan tersebut berbentuk objektif dan mengandungi 15 soalan setiap siri. Saya akan memuat naik kuiz tersebut secara berperingkat-peringkat. Soalan tersebut sekurang-kurangnya boleh digunakan oleh pelajar untuk membuat latihan dan menguji kefahaman terhadap setiap topik dan subtopik morfologi dan sintaksis untuk Semester 2. Soalan kuiz tersebut boleh dilayari di sini. (https://forms.gle/Su2n55NQJ3DDiWa5A)
Selamat belajar.

Tuesday, January 7, 2020

Morfologi - Bidang Morfologi

Bidang Morfologi STPM

Menganalisis Kehendak Soalan bidang morfologi (Soalan Semester 2 tahun 2019)

1      Yang manakah yang benar tentang kajian morfologi?
I    Pengklasifikasian kata mengikut golongan
II   Susunan bunyi dalam sesuatu kata
III  Peraturan membentuk kata
IV  Asal usul sesuatu kata

A  I dan III      B  I dan IV     C  II dan III     D  II dan IV

Soalan meminta pelajar untuk membuat pilihan terhadap pernyataan yang benar tentang kajian morfologi. Calon perlu menguasai konsep bidang morfologi dan jangan keliru dengan bidang fonologi dan sintaksis. Jawapan yang betul bagi kajian morfologi merujuk pengklasifikasian kata mengikut golongan kata dan peraturan membentuk kata iaitu pernyataan I dan III. Pernyataan II iaitu susunan bunyi dalam sesuatu kata ialah kajian fonologi. Pernyataan IV iaitu asal usul sesuatu kata pula merujuk sejarah perkembangan bahasa.

Morfem

Menganalisis kehendak soalan morfem (Soalan Ulangan Semester 2 tahun 2019)

1      Yang manakah yang menepati konsep morfem bebas?

I     Unit terkecil dalam bahasa
II    Terdiri daripada imbuhan
III   Boleh berdiri sendiri
IV   Mempunyai makna

A  I dan II      B  I dan IV     C  II dan III     D  III dan IV

Soalan meminta pelajar untuk membuat pilihan terhadap pernyataan yang menepati konsep morfem bebas. Calon perlu menguasai konsep morfem untuk menjawab soalan ini. Jawapan yang betul bagi konsep morfem bebas ialah morfem tersebut boleh berdiri sendiri dan mempunyai makna iaitu pernyataan III dan IV. Pernyataan I iaitu unit terkecil dalam bahasa ialah fonem. Pernyataan II iaitu terdiri daripada imbuhan pula merujuk morfem terikat.