Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan jawapan yang telah disediakan. Jika soalan meminta pelajar
mengenal pasti binaan ayat pasif songsang yang betul, maka pelajar perlu mengesan
ayat asal iaitu ayat aktif bagi setiap pilihan jawapan yang disediakan dalam pilihan A, B, C, dan D. Jadi, pelajar perlu menguasai binaan ayat aktif, dan kemudian pelajar perlu mempasifkan ayat tersebut dengan menepati rumus ayat
pasif yang betul.
Semasa mempasifkan ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja transitifnya kerana
kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan berbanding dengan kata kerja
tak transitif yang tidak boleh dipasifkan. Pelajar juga perlu mengenal pasti kata
ganti nama dalam ayat tersebut. Bagi ayat pasif ganti nama diri pertama dan
kedua, rumusnya ialah kata ganti nama tersebut perlu berada di hadapan kata
kerja. Bagi ayat pasif ganti nama diri ketiga pula, kata ganti namanya perlu
berada di belakang kata kerja. Pelajar perlu berhati-hati dengan rumus frasa
kerja pasif tersebut. Selepas dipasifkan, maka ayat itu perlu disongsangkan. Sebagai
contohnya, analisis kehendak soalan yang berikut.
20. Yang
manakah binaan ayat pasif songsang yang betul? (STPM U 2017)
A Kita akan tolong mangsa banjir itu.
B Kamu belum lagi hantar buku latihan itu.
C Telah kamu minum semalam air limau itu.
D Mereka susun kerusi meja di dalam kelas itu.
Ayat
A tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kita
akan menolong mangsa banjir itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Mangsa
banjir itu akan kita tolong.” (Kata ganti nama diri pertama - kita) Apabila
disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Akan kita tolong mangsa banjir itu.”
Ayat
B juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kamu
belum lagi menghantar buku latihan itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut
menjadi “Buku latihan itu belum lagi kamu hantar.” (Kata ganti nama diri kedua -
kamu) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Belum lagi kamu hantar buku
latihan itu.”
Ayat
C menepati rumus ayat pasif songsang iaitu ayat aktifnya ialah “Kamu telah
minum air limau itu semalam. Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Air
limau itu telah kamu minum semalam.” (Kata ganti nama diri kedua - kamu) Apabila
disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Telah kamu minum semalam air limau itu.”
Ayat
D juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang yang betul kerana ayat aktifnya
ialah “Mereka menyusun kerusi meja di dalam kelas itu.”
Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Kerusi meja di dalam kelas itu disusun oleh mereka.” (Kata ganti nama diri ketiga - mereka) Apabila disongsangkan,
ayat tersebut menjadi “Disusun oleh mereka kerusi meja di dalam kelas
itu.”