Pengikut laman ini

Tuesday, August 14, 2018

Esei Tidak Berformat - Isu Amalan Berbudi Bahasa

Soalan STPM 2013


Amalan berbudi bahasa amat penting dan perlu menjadi budaya rakyat negara ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

Esei Contoh

Budi bahasa memang penting untuk diamalkan oleh setiap anggota masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana budi bahasa melambangkan identiti individu dan kebiasaannya amalan tersebut diamalkan sejak kecil. Amalan seperti bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan orang lain ketika melayan pelanggan atau ketika bertugas di kaunter memang perlu dijadikan budaya oleh anggota masyarakat kita. Perkara ini dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Jadi, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
                          
        Satu daripada langkah yang boleh dilakukan ialah pihak ibu bapa perlulah memberikan pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak sejak kecil. Perkara ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak. Kebiasaannya anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka terutamanya ketika bercakap atau berinteraksi dengan orang lain. Hal ini disebabkan anak-anak mudah dibentuk ketika kecil dan amalan berbudi bahasa akan menjadi budaya dalam kehidupan. Tegasnya, pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak perlu dipupuk oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

        Langkah yang seterusnya ialah pihak sekolah hendaklah menekankan amalan berbudi bahasa semasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jadi, amalan tersebut dapat dipupuk di dalam kelas secara formal. Sebagai contohnya, amalan berbudi bahasa dapat dipupuk melalui mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh itu, pendidikan formal lebih berkesan untuk memupuk amalan tersebut. Jelaslah bahawa amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda dapat dipupuk melalui pendidikan formal dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

        Langkah yang lain ialah pihak kerajaan perlulah menjalankan kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa. Dengan cara itu, anggota masyarakat dapat diberikan kesedaran tentang amalan yang murni tersebut. Sebagai contohnya, kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” boleh disiarkan melalui televisyen dan radio serta media massa arus perdana yang lain. Jadi, kempen yang dijalankan tersebut terbukti memberikan kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Perkara tersebut membuktikan bahawa kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa yang dijalankan oleh kerajaan dapat membentuk amalan bersopan santun dalam kalangan generasi muda.

        Pihak media massa pula haruslah menerbitkan dan menyiarkan rancangan atau program yang berunsurkan amalan berbudi bahasa. Rancangan yang disiarkan perlulah menarik perhatian anggota masyarakat yang menontonnya. Contohnya, penerbit program televisyen boleh memilih rancangan yang berbentuk program realiti yang digemari oleh masyarakat. Program tersebut akan ditonton oleh remaja dan mereka akan dipupuk dengan amalan berbudi bahasa. Jelaslah bahawa rancangan yang berunsurkan amalan berbudi bahasa berkesan dalam memupuk amalan tersebut.

        Selebriti terkenal yang menjadi idola atau tokoh dalam pelbagai bidang perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Perkara ini dikatakan demikian kerana mereka lebih berpengaruh kepada generasi muda dan dijadikan idola atau ikutan oleh mereka. Contohnya, artis, pelakon, dan penyanyi atau selebriti terkenal boleh mempengaruhi generasi muda. Tingkah laku atau amalan yang baik daripada mereka berkesan untuk mengubah sikap generasi muda agar menjadikan amalan berbudi bahasa sebagai budaya. Terbuktilah bahawa selebriti ternama yang menjadi ikon memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda.

        Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta harus mengadakan program tertentu yang boleh membentuk amalan berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertubuhan tersebut boleh mengadakan sebarang aktiviti yang lebih berkesan untuk mempengaruhi masyarakat. Pertubuhan seperti PIBG, PERKIM, PENGASIH, dan sebagainya boleh mengadakan “Kempen Budi Bahasa Amalan Mulia”. Pertubuhan tersebut dikatakan lebih hampir dengan anggota masyarakat dan sering menjalankan aktiviti yang dapat memupuk amalan berbudi bahasa. Perkara ini membuktikan bahawa NGO memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat tersebut.

        Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mencapai hasrat tersebut. Namun demikian, jika usaha tersebut tidak dilakukan maka usaha tersebut akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana hasrat murni tersebut memang penting untuk dilaksanakan. Jadi, kita berharap agar usaha murni tersebut akan dapat dicapai demi keamanan, keharmonian, dan kesejahteraan negara pada masa akan datang.
(640 perkataan)