Plot
Plot bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.
Binaan PlotBinaan plot bermaksud plot cerita terbina daripada beberapa bahagian penting. Kebiasaannya, binaan plot terdiri daripada lima bahagian, iaitu permulaan (eksposisi), perkembangan, perumitan, puncak (klimaks), dan peleraian. Bahagian permulaan atau eksposisi merupakan bahagian yang memperkenalkan watak-watak. Watak-watak akan diperkenalkan dari segi fizikal, emosi serta berkaitan dengan persekitaran dan watak-watak lain. Kemudian watak-watak itu akan berkembang dan berinteraksi pada bahagian perkembangan cerita. Seterusnya, perhubungan antara watak itu akan menimbulkan konflik yang kemudiannya menjadi rumit pada bahagian perumitan. Pada peringkat tersebut selalunya konflik akan berterusan dan menjadi bertambah rumit.
Plot akan terus bergerak ke bahagian puncak atau klimaks cerita. Pada peringkat ini, keadaan menjadi semakin mendebarkan, kritikal, ngeri, dan cemas akibat konflik atau pertentangan antara watak. Selanjutnya, bahagian puncak itu akan mencapai ke satu tahap, iaitu sampai ke tahap penyelesaian. Akhirnya, plot bergerak terus ke tahap peleraian, iaitu semua konflik dan pertentangan akan diselesaikan atau terlerai.
Permulaan (Eksposisi)
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.
Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.
Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.
Puncak (Klimaks)
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.
Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.
Teknik Plot
Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.
Dialog
Dialog bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, Fuad berdialog dengan Borhan tentang rancangannya untuk membawa anak Borhan dan Masnah yang demam panas ke klinik pada suatu malam.
Monolog
Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk menghadapi dugaan.
Monolog Dalaman
Teknik ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Fuad berkata dalam hatinya tentang nama ibu Farhana.
Pemerian
Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi.
Imbas Kembali
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Swee Lan teringat akan kepulangan Fuad pada suatu senja lebih setahun yang lalu.
Imbas Muka
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan Cikgu Abas akan meluahkan perasaan marahnya kepada guru yang enggan melaksanakan tugas dalam mesyuarat guru esok harinya.
Saspens
Teknik ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa Fuad mendapati akaun banknya mengandungi wang lebih daripada dua ratus ribu ringgit telah menimbulkan perasaan ingin tahu para pembaca tentang wang yang begitu banyak yang terdapat di dalam akaun bank Fuad. Pembaca ingin tahu dari mana sumber wang tersebut diperolehnya.
Kejutan
Teknik ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Fuad yang terkejut apabila mendapati bahawa emak Farhana bernama Mariana binti Osman. Peristiwa tersebut mengejutkan para pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa nama Mariana sama dengan nama ibu Fuad. Perkara ini juga membawa maksud bahawa mereka berdua ialah adik-beradik kandung.
Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim