Soalan contoh:
Sebagai pegawai kanan di
Jabatan Pengajian Tinggi, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah
kepada sekumpulan pelajar Prauniversiti
di sebuah daerah dalam majlis pelancaran Karnival Pendidikan dan Kerjaya
Peringkat Daerah. Fokus ceramah itu menekankan kepentingan pendidikan yang
berkualiti di negara kita. Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.
Yang
dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pegawai Pendidikan Daerah
Sepang, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum
dan selamat sejahtera. Sebagai pegawai kanan di Jabatan Pengajian Tinggi, saya
akan menyampaikan ceramah yang berfokus kepada kepentingan pendidikan yang
berkualiti di negara kita.
Hadirin
yang dihormati sekalian,
Walaupun negara kita mementingkan
aspek pendidikan, namun universiti terbaik tempatan iaitu Universiti Malaya
masih berada di tangga ke-169 dunia berbanding dengan kedudukan Universiti
Nasional Singapura yang berada di tangga ke-24 dunia. Perkara ini jelas
menunjukkan bahawa pendidikan kita masih belum setanding dengan pendidikan di
negara maju yang lain. Ekoran daripada itu, pihak kerajaan perlulah memainkan
peranan bagi meningkatkan taraf pendidikan di negara kita. Hal ini dikatakan
demikian kerana terdapat banyak kepentingan pendidikan yang berkualiti di
negara kita.
Pendidikan berkualiti mampu
menjadikan Malaysia sebagai hab atau pusat pendidikan serantau. Impaknya ialah perkembangan tersebut dapat memajukan negara kita standing
dengan negara maju yang lain. Sebagai contoh, beberapa buah universiti
penyelidikan di negara kita bertungkus lumus untuk menjalankan penyelidikan
dalam pelbagai aspek untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Hasil daripada
penyelidikan tersebut, banyak sektor tempatan dapat dimajukan dari semasa ke
semasa. Oleh itu, terbuktilah bahawa
pendidikan yang berkualiti berupaya untuk menjadikan negara kita sebagai hab
pendidikan serantau sekali gus dapat memajukan pendidikan negara.
Ekonomi negara dapat ditingkatkan
hasil daripada pendidikan yang berkualiti. Perkara ini dikatakan demikian
kerana pelajar-pelajar dari luar negara akan memilih universiti tempatan untuk menyambung
pengajian mereka. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan pengaliran mata wang asing
ke negara kita. Sebagai contohnya, kebanyakan kolej swasta di negara kita dapat
menarik banyak pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di negara kita kerana
kualiti pendidikan negara kita yang semakin baik. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan ekonomi
negara kita.
Hadirin
sekalian,
Pendidikan yang
berkualiti juga dapat melahirkan banyak tenaga pakar di negara kita. Perkara itu dapat memberikan banyak kemahiran dan meningkatkan taraf pendidikan ke arah yang baik setanding
dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara maju. Sebagai
contohnya, penyediaan kemudahan dan prasarana yang lengkap dapat digunakan oleh tenaga pengajar untuk mempelbagaikan teknik pengajaran kepada para pelajar dan seterusnya dapat meningkatkan
kemahiran mereka. Melalui kemahiran yang dimiliki, mereka boleh menjadi
golongan pakar yang dapat membangunkan banyak sektor di negara kita. Oleh itu,
jelaslah bahawa pendidikan berkualiti mampu melahirkan banyak tenaga pakar.
Pendidikan yang
berkualiti dapat menjadikan negara kita diiktiraf dan dihormati oleh
negara-negara lain. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti mampu
menyediakan banyak keperluan yang penting kepada para pelajar untuk menuntut ilmu.
Selain itu, pendidikan yang berkualiti juga berupaya untuk melahirkan banyak
pelajar yang cemerlang di mata dunia. Disebabkan hal ini, negara-negara lain
tidak mampu bersuara dan mempersoalkan kebolehan serta kemampuan negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa pengiktirafan dan penghormatan daripada
negara-negara lain dapat diperoleh jika negara kita dapat menyediakan taraf
pendidikan yang berkualiti.
Hadirin
yang dihormati,
Akhir sekali, pendidikan yang
berkualiti dapat mewujudkan persaingan yang sihat antara negara kita dengan
negara maju yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan berkualiti mampu
menyediakan pendidikan yang baik setaraf dengan mutu pendidikan negara maju.
Sebagai contoh, negara kita telah mengadakan program pertukaran pelajar
tempatan dengan pelajar dari United Kingdom. Melalui program ini, para pelajar
dapat melibatkan diri mereka dengan pelbagai bentuk perkongsian pintar yang
lain. Hasilnya, akan wujudlah daya saing
yang baik antara Malaysia dengan negara tersebut. Tegasnya, persaingan yang sihat dapat diwujudkan melalui pendidikan yang berkualiti antara negara kita dengan negara-negara
maju yang lain.
Kesimpulannya, kualiti pendidikan
sangat penting bagi kemajuan sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, pihak
kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab perlulah berusaha untuk mewujudkan pendidikan
yang berkualiti di negara kita. Sekiranya mutu pendidikan kita tidak ditingkatkan maka negara kita
akan ketinggalan dalam pendidikan yang sangat diperlukan untuk membangunkan negara pada masa hadapan. Oleh itu,
marilah kita bersama-sama menyokong tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia
untuk meningkatkan kualiti pendidikan yang sedia ada ke tahap yang lebih baik demi kemajuan pendidikan negara.
Setakat ini sahaja ceramah saya kali ini dan saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan tutur bicara semasa saya menyampaikan ceramah tadi.
Setakat ini sahaja ceramah saya kali ini dan saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan tutur bicara semasa saya menyampaikan ceramah tadi.
Sekian,
terima kasih.
(642 perkataan)