Pengikut laman ini

Wednesday, August 30, 2017

Teknik Menjawab Soalan Pembacaan Kritis dan Analitis

Untuk soalan terakhir soalan Pembacaan Kritis dan Analitis, pelajar dicadangkan untuk menggunakan teknik ITCH dalam setiap perenggan.

I  –  Isi (Ayat isi)
Tanya (Ayat huraian terhadap isi - Tanya Kenapa @ Bagaimana)
CContoh (Ayat contoh daripada ayat isi)
HHuraian (Ayat huraian terhadap contoh – hasil @ kesan)

Contoh Soalan dan Jawapan Pembacaan Kritis dan Analitis

Soalan: Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah pencemaran alam.

Untuk menangani masalah pencemaran alam, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas.(I) Hal ini dikatakan demikian kerana hukuman atau denda yang berat akan menakutkan anggota masyarakat.(T) Sebagai contohnya, hukuman penjara atau denda wang tunai dikenakan sekurang-kurangnya RM100,000.(C) Jadi, hukuman dan denda yang berat dapat mengelakkan atau mencegah perkara itu daripada berlaku.(H)
        Pihak berkuasa perlu membuat pemantauan di kawasan yang sering tercemar. Jadi, pihak berkuasa dapat mengesan kesalahan tersebut lebih awal. Contohnya, pihak penguat kuasa perlu membuat rondaan di kawasan sungai yang menjadi tempat pembuangan sisa toksik. Perkara ini dapat mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar.
        Pihak yang bertanggungjawab perlu menganjurkan kempen kesedaran tentang alam sekitar kepada semua pihak. Hasilnya, anggota masyarakat akan menghayati kepentingan alam sekitar. Contohnya, kempen “Cintailah Alam Sekitar” atau kempen “Selamatkan Bumi Kita” perlu dianjurkan. Kempen-kempen itu dapat menyedarkan anggota masyarakat agar tidak merosakkan alam sekitar yang menjadi punca bencana alam.
(146 perkataan)

Saturday, May 6, 2017

Teknik untuk Mengesan Jenis Ayat (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif
Jika pelajar hendak mengesan jenis ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kunci  yang digunakan dalam ayat tersebut. Kata kunci yang digunakan dalam ayat tersebut menggambarkan perintah seperti kata “usah” atau “jangan” iaitu membawa maksud larangan. Sebagai contohnya, analisis soalan di bawah dengan mengesan kata kunci tersebut.

Soalan STPM Penggal 2 2015
Analisis soalan dan jawapan:

20
Asal kapas menjadi benang
      Benang ditenun dibuat baju
Barang yang lepas usah dikenang
     Bukalah sahaja lembaran baru
Jenis ayat perintah yang terkandung dalam pantun di atas ialah
I    Ayat ajakan
II  Ayat suruhan
III Ayat larangan
IV Ayat permintaan
A   I dan II
B   I dan IV
C   II dan III
D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat perintah yang terkandung dalam pantun di atas. Oleh itu, pelajar perlu menentukan jenis ayat yang terkandung dalam pantun tersebut. Petuanya, pelajar perlu mengenal pasti dan menandakan kata kunci yang menggambarkan jenis ayat perintah tersebut. Jawapannya C kerana ayat II ialah ayat suruhan, ditandai oleh kata “Bukalah” dan ayat III ialah ayat larangan, ditandai oleh kata “usah”.

Sunday, April 16, 2017

Teknik untuk Mengesan Ragam Ayat (STPM P2)

Jika pelajar hendak mengesan ragam ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja  yang digunakan dalam ayat tersebut. Kata kerja tersebut menggambarkan ayat itu ayat aktif atau ayat pasif. Sebagai contohnya, analisis soalan di bawah.

Soalan STPM Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
25  Yang manakah ayat pasif?
I    Saya terpanggil untuk menulis dalam ruangan ini.
II   Kami terpandang wajah tuan puteri yang cantik itu.
III  Pelbagai jenis kuih sudah terhidang di atas meja itu.
IV  Beberapa ekor haiwan liar terjatuh ke dalam gaung itu.
A   I dan II
B   I dan III
C   II dan IV
D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat pasif.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan ragam ayat yang terdiri daripada ayat pasif dengan mengenal pasti kata kerjanya. Jawapannya B kerana  ayat I dan ayat III merupakan ayat pasif yang berimbuhan –ter (yang boleh digantikan dengan imbuhan –di) manakala ayat II dan ayat IV merupakan ayat aktif kerana imbuhan –ter membawa maksud melakukannya dengan tidak sengaja.

Ayat pasif bagi ayat I sama dengan ayat pasif dengan imbuhan pasif di- iaitu "Saya dipanggil untuk menulis dalam ruangan ini." Ayat pasif bagi ayat III sama dengan ayat pasif dengan imbuhan pasif di- iaitu "Pelbagai jenis kuih sudah dihidang di atas meja itu."

Ayat II dan ayat IV ialah ayat aktif. Ayat II sama dengan "Kami memandang wajah tuan puteri yang cantik itu." (Memandang dengan cara tidak sengaja) Ayat IV sama dengan "Beberapa ekor haiwan liar jatuh ke dalam gaung itu." (Jatuh dengan cara tidak sengaja) Ayat II dan ayat IV juga tidak boleh dipasifkan kerana jika dipasifkan kata kerja, ayat tersebut menjadi ayat yang tidak gramatis.

Thursday, April 13, 2017

Teknik untuk Mengesan Ayat Majmuk (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif
Jika pelajar hendak mengesan ayat majmuk, pelajar perlu mengenal pasti kata hubung yang terdapat dalam ayat tersebut. Kata hubung tersebut menghubungkan dua klausa. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah ini.

Soalan STPM Penggal 2 2015

Analisis soalan dan jawapan:

23 Yang manakah bukan ayat majmuk?
A   Perabot yang rosak itu dibaikinya kemudian dijualnya.
B   Ali membaca manakala rakannya yang kepenatan berehat.
C   Setiausaha mencatat nama ahli yang hadir yang memerlukan kenderaan.
D   Motosikal anak penghulu itu telah terbakar di tepi jalan pada minggu lalu.

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat yang bukan ayat majmuk. Oleh itu, pelajar perlu mengenal pasti ayat majmuk dan yang bukan ayat majmuk. Jawapannya D kerana ayat dalam jawapan tersebut merupakan ayat tunggal dan bukannya ayat majmuk kerana tiada kata hubung dalam ayat itu. Ayat dalam jawapan A, B, dan C pula ialah ayat majmuk iaitu ayat majmuk campuran yang menggunakan sekurang-kurangnya dua kata hubung dalam satu ayat. Kata hubung yang digunakan dalam ayat tersebut ialah “yang”, “kemudian”, dan “manakala”.

Saturday, April 8, 2017

Teknik untuk Mengesan Penggolongan Ayat (STPM P2)

Soalan STPM Penggal 2 – Soalan Objektif

Terdapat beberapa teknik atau petua yang boleh digunakan oleh pelajar untuk mengesan penggolongan ayat. Kenal pasti perkara-perkara yang berikut sebagai cara untuk membantu pelajar mengesan penggolongan ayat dalam soalan objektif Penggal 2. Sebagai contohnya;

Ayat dasar dan ayat tunggal
         Kenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut.
     Ayat dasar mesti mematuhi empat pola ayat iaitu subjeknya ialah FN dan predikatnya terdiri daripada FN atau FK atau FA atau FS. (FN+FN; FN+FK; FN+FA; FN+FS). Ayat dasar juga mestilah terdiri daripada ayat aktif dan ayat penyata.
     
      Ayat tunggal pula mesti mempunyai satu klausa sahaja iaitu satu subjek dan predikat seperti ayat dasar. Namun begitu, ayat tunggal boleh terdiri daripada ayat pasif, ayat songsang, atau ayat perintah. Pastikan juga ayat tunggal tiada kata hubung kerana kalau ada kata hubung, ayat tersebut sudah menjadi ayat majmuk.

Ayat majmuk
         Kenal pasti kata hubung dalam ayat tersebut.
      Ayat majmuk terdiri daripada sekurang-kurangnya dua klausa atau lebih. Oleh itu, ayat majmuk kebiasaannya memerlukan sekurang-kurangnya satu kata hubung. Jenis kata hubung dalam ayat itu akan menentukan jenis ayat majmuk tersebut.

Ragam ayat – ayat aktif dan ayat pasif
         Kenal pasti kata kerja yang digunakan dalam ayat tersebut.
      Kata kerja aktif boleh terdiri daripada kata kerja transitif (KKT) dan kata kerja tak transitif (KKTT). Namun demikian, ayat aktif transitif sahaja yang boleh dipasifkan kerana kata kerjanya boleh dipasifkan dan ada objek yang kena. Ayat aktif tak transitif sudah tentu tidak boleh dipasifkan kerana kata kerjanya tidak boleh dipasifkan dan tiada objek yang kena.

Jenis ayat
         Kenal pasti kata kunci yang digunakan dalam ayat tersebut.
      Jenis ayat tersebut ditentukan oleh kata kunci atau tanda yang terdapat dalam ayat tersebut. Sebagai contohnya, jenis ayat perintah ditentukan oleh kata kunci yang menggambarkan perintah tersebut seperti "jangan" dan "usah" untuk jenis ayat larangan (melarang sesuatu perkara). Ayat tanya pula biasanya mengandungi kata tanya atau partikel tanya serta mesti ada tanda tanya. Begitu juga dengan ayat seruan yang memerlukan kata seru dan tanda seru. Ayat penyata pula akan menyatakan sesuatu.

Susunan Konstituen Ayat
    Kenal pasti subjek, predikat, dan frasa keterangan serta analisis kedudukannya dalam ayat tersebut.
      Ayat susunan biasa mestilah terdiri daripada subjek dan predikat iaitu sama seperti dalam empat pola ayat dasar.
      Ayat susunan songsang pula tidak mengikut pola ayat dasar iaitu subjeknya di sebelah kiri. Bagi ayat susunan songsang, predikatnya berada di sebelah kiri atau di hadapan dan subjeknya di kanan atau di sebelah kanan.  

Ayat dasar dan ayat tunggal
Jika pelajar hendak mengesan ayat dasar atau ayat tunggal, pelajar perlu mengenal pasti subjek dan predikat ayat tersebut. Ayat dasar perlu menepati 4 pola ayat dasar iaitu satu subjek dan satu predikat (satu klausa). Ayat tunggal tidak semestinya menepati 4 pola walaupun masih mempunyai satu klausa tetapi juga sudah dipasifkan, disongsangkan susunannya, atau jenis ayatnya sudah berubah iaitu menjadi jenis ayat yang lain dan bukannya ayat penyata sahaja.
 

Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Ulangan Penggal 2 2016
Analisis soalan dan jawapan:
23   Yang manakah ayat dasar?
        I   Di sungai inilah pelancong itu mati lemas.
       II   Seekor anak burung murai telah terperangkap.
       III  Pemain simpanan juga perlu menjalani latihan.
       IV  Masalah penyalahgunaan dadah sukar ditangani.
       A   I dan II
       B   I dan IV
       C   II dan III
       D   III dan IV
Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat dasar.  Oleh itu, pelajar perlu menentukan pola ayat yang menepati pola ayat dasar seperti yang dikehendaki oleh soalan. Jawapannya C kerana pola ayat II (FN + FK) dan pola ayat III (FN + FK) menepati pola ayat dasar. Ayat I ialah ayat songsang yang bukan ayat dasar dan ayat IV ialah ayat pasif yang juga bukan ayat dasar tetapi kedua-duanya ialah ayat tunggal.

Ayat I bukan ayat dasar kerana ayat itu merupakan ayat songsang (ayat tunggal). Ayat I merupakan ayat songsang kerana mengalami proses songsang sebahagian predikat iaitu frasa keterangannya (FK) berada di hadapan ayat. Ayat dasarnya ialah "Pelancong itu mati lemas di sungai ini." Ayat IV juga bukan ayat dasar kerana ayat tersebut sudah dipasifkan. Ayat aktifnya (ayat dasar) ialah "Kerajaan sukar menangani masalah penyalahgunaan dadah." (Subjeknya digugurkan apabila dipasifkan)

Tuesday, March 14, 2017

Perbandingan antara Tingkatan 6 dengan Kursus Diploma dan Matrikulasi


Pelajar lepasan SPM tentunya sedang membuat perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka mungkin sedang membuat pertimbangan untuk membuat pemilihan sama ada ke universiti, kursus asasi, matrikulasi, politeknik, tingkatan 6, dan sebagainya. Pelajar boleh membuat pilihan selepas membuat pertimbangan dan perbandingan daripada maklumat di bawah ataupun daripada banyak sumber yang lain daripada internet.

Aspek Perbandingan
Tingkatan 6
Diploma
Tempoh masa
1 tahun 6 bulan (3 penggal)
3 tahun (6 semester)
Kos
Yuran sekolah dan baucar buku/kad debit (percuma) RM250.00
Minimum RM15,000 (pinjaman PTPTN)
Peluang ke universiti
2.8 ke atas  biasanya diterima oleh UPU (3.8 – 4.0 ditawarkan tempat di 5 IPTA utama)
3.5 ke atas dan terpaksa bersaing dengan pelajar matrikulasi & STPM
Sistem pembelajaran
Peperiksaan STPM (90% akademik, 10% kokurikulum)/
Sistem penggal (purata)
Sistem semester (5 bulan 1 semester – markah ditambah dengan kerja kursus
Tempat
Sekolah/kolej T6
Politeknik, IPTA & IPTS
Peluang kerja
Boleh memohon pekerjaan selepas STPM/Gaji STPM
Boleh memohon pekerjaan selepas diploma
Kebaikan
Dapat masuk ke universiti untuk kursus ijazah dalam j/k masa yang singkat (1 tahun setengah)
Dapat masuk ke universiti untuk kursus ijazah selepas 3 tahun
Keburukan
Kena fokus/serius, kalau tidak buang masa sahaja
Kalau tidak serius dapat pointer rendah dan gagal ke universiti
Pembelajaran
Perlu  belajar dengan tekun dan serius – ada kerja kursus – individu/berkumpulan
Markah peperiksaan ditambah dengan kerja kursus, ada yang berkumpulan

Bil.
Tingkatan 6
Matrikulasi
1.
Tempoh pengajian 3 penggal
Tempoh pengajian 2 semester @ 4 semester
2.
Aliran Sains dan Sains Sosial
Aliran Sains Hayat, Sains Fizikal & Perakaunan
3.
Sijil diiktiraf untuk ke IPTA, IPTS & ke luar negara
Sijil diiktiraf oleh universiti yang berkenaan sahaja
4.
Kos lebih rendah berbanding dengan diploma/matrikulasi
Kos lebih tinggi (ada biasiswa)
5.
Berdekatan dengan keluarga
Berjauhan dengan keluarga
6.
Sijil diiktiraf oleh JPA
Sijil tidak diiktiraf oleh JPA
7.
Setaraf dengan A  Level
Tiada pengiktirafan
8.
Pusat  T6 di seluruh negara (Mod 1, Mod 2 & Mod 3)
Di Kolej Matrikulasi (KM) atau di kampus universiti

Buatlah pilihan yang terbaik. Keputusan di tangan anda.

Thursday, February 9, 2017

Latihan Soalan Morfologi Berdasarkan Soalan STPM P2 2016

1   Yang manakah pernyataan yang benar tentang morfologi?
            I     Bidang yang mengkaji pembentukan kata.
            II    Bidang yang mengkaji bunyi dan makna kata.
            III   Bidang yang mengkaji fonem, morfem, dan kata.
            IV   Bidang yang mengkaji bentuk struktur dan golongan kata.
A   I dan II
B   I dan IV
C   II dan III
D   III dan IV
·         Analisis soalan dan jawapan:
    
    Soalan meminta pelajar untuk memilih pernyataan yang benar tentang morfologi daripada pernyataan yang disenaraikan. Oleh itu, pelajar perlu mengetahui bidang kajian dalam morfologi dan membuat pilihan daripada pernyataan yang diberikan. Jawapannya B kerana pilihan I dan IV merupakan bidang kajian dalam morfologi berbanding dengan II dan III bukan bidang kajian dalam morfologi sahaja tetapi terdapat juga bidang fonologi dan semantik. 

2   Yang manakah padanan yang betul antara jenis penggandaan dengan contohnya?


Jenis penggandaan

Contoh

I
Berentak bebas

P
Remeh-temeh sedu-sedan

II
Berentak pengulangan vokal
Q
Suku-sakat, bolak-balik

III
Bersisipan
R
Cerai-berai, pekik-mekik

IV
Berentak pengulangan konsonan
S
Tali-temali, jari-jemari







I
II
III
IV
A
P
Q
S
R
B
R
P
Q
S
C
P
R
S
Q
D
R
S
P
Q

Analisis soalan dan jawapan
·           
      Soalan meminta pelajar untuk memilih padanan yang betul antara jenis penggandaan dengan contohnya. Oleh itu, calon perlu mengetahui jenis kata ganda dan memadankannya dengan contoh yang betul. Jawapannya C kerana contoh penggandaan berentak bebas ialah “remeh-temeh” dan “sedu-sedan”.  Contoh penggandaan berentak pengulangan vokal ialah “cerai-berai” dan “pekik-mekik”. Contoh penggandaan bersisipan ialah “tali-temali” dan “jari-jemari”. Contoh penggandaan berentak pengulangan konsonan ialah “suku-sakat” dan “bolak-balik”. 

     3   Yang manakah pasangan kata yang kedua-duanya kata majmuk?
            I    Bukit-bukau, berperibadi
            II   Berprasangka, berurus niaga
            III  Berbulan madu, berkecil hati
            IV  Bertanggungjawab, berpenat lelah
A   I dan II
B   I dan IV
C   II dan III
D   III dan IV

Analisis soalan dan jawapan:
·        
     Soalan meminta pelajar untuk memilih pasangan kata yang kedua-duanya kata majmuk. Oleh itu, calon perlu mengetahui bentuk kata iaitu kata majmuk dengan contohnya. Jawapannya D kerana kedua-dua perkataan dalam III dan IV merupakan kata majmuk iaitu “berbulan madu” dan “berkecil hati” serta “bertanggungjawab” dan “berpenat lelah”. Jawapan I dan II salah kerana perkataan “berbukit-bukau” ialah kata ganda dan “berprasangka” ialah kata berimbuhan pra-.