Pengikut laman ini

Saturday, October 8, 2016

Kelemahan dalam Peperiksaan STPM P1

Kelemahan dan Kesilapan yang Sering Dilakukan oleh Pelajar dalam Peperiksaan STPM P1

Pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Penggal 1 tidak lama lagi perlu mengelakkan kesilapan yang disenaraikan di bawah. Pelajar masih ada masa lagi untuk berlatih dan membiasakan diri dengan menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan topik Penggal 1.

Kelemahan dalam Soalan Objektif (Bahagian A)

1.        Pelajar tidak menguasai topik atau konsep penting dalam Penggal 1. 
2.      Pelajar tidak mengulang kaji topik-topik yang telah dipelajari.
3.        Pelajar menukar jawapan yang sepatutnya betul kerana kurang yakin.
4.        Pelajar kurang faham atau keliru dengan kehendak soalan.
5.        Pelajar tidak menguasai teknik menjawab soalan objektif Penggal 1.

Kelemahan dalam Soalan Pembacaan Kritis dan Analitis (Bahagian B)

1.   Pelajar memberikan maksud frasa atau rangkai kata yang kurang tepat.       
2.   Pelajar memberikan jawapan yang tidak tepat dan tersasar daripada kehendak soalan            bagi soalan pemahaman dan mesej penulis berdasarkan petikan.
3.    Pelajar menulis jawapan soalan pemahaman terlalu panjang sedangkan markahnya              cuma 2 sahaja.
4.   Pelajar juga banyak melakukan kesalahan bahasa iaitu dari segi morfologi dan sintaksis        serta aspek mekanis (ejaan dan tanda baca) dalam soalan pemahaman.
5.  Bagi soalan terakhir Bahagian B, ada pelajar yang menulis perenggan pendahuluan dan penutup (sepatutnya tidak perlu perenggan pendahuluan dan penutup). Selain itu, ada pelajar yang menggabungkan isi utama dengan contoh dan huraiannya sekali dalam satu ayat. Pelajar juga banyak melakukan kesalahan bahasa dalam jawapan mereka, contohnya banyak kesalahan sintaksis iaitu ayat tergantung atau ayat tiada subjek atau predikat. Selain itu, ada pelajar yang tidak menghuraikan isi utama dengan baik ataupun mereka cuma memberikan satu ayat huraian sahaja atau memberikan beberapa isi utama sahaja tanpa huraian isi. Perkara itu menyebabkan jawapan pelajar terlalu ringkas dan kurang daripada 100 perkataan. Terdapat sebahagian pelajar pula yang menulis jawapan melebihi had yang ditetapkan iaitu 150 perkataan. Selain itu, hampir kesemua pelajar tidak menulis jumlah perkataan bagi soalan ini. Sepatutnya pelajar perlu menulis jumlah perkataan selepas menyiapkan jawapan.


Kelemahan dalam Soalan Esei (Bahagian C)

1.    Pelajar tidak menguasai kemahiran mengarang esei dengan baik.
2.    Pelajar tidak membuat perancangan masa (menyebabkan esei tidak lengkap atau                  perkataan kurang daripada 600 perkataan).
3.    Pelajar kurang membuat latihan berdasarkan soalan standard MPM.
4.    Pelajar keliru atau kurang jelas dengan kehendak soalan esei (fokus soalan esei).
5.    Ada pelajar yang menjawab soalan tanpa meneliti dan memahami kehendak soalan.
6.    Tulisan pelajar tidak kemas dan sukar dibaca oleh pemeriksa.
7.    Esei pelajar terlalu pendek tetapi ada pula pelajar yang menulis perenggan terlalu                  panjang.
8.   Isi esei kurang tepat (Isi Lemah) dan ada yang tidak relevan (TR); isi umum tidak                   diterima (perlu isi yang khusus terhadap fokus atau kehendak soalan).
9.    Isi tidak dihuraikan dengan baik berdasarkan aspek kohesi dan koheren (Dicadangkan           supaya calon menggunakan teknik atau formula IKCHF (Pendahuluan); IKCHP (Isi);              KCAHH (Penutup).
10.  Pelajar banyak melakukan kesalahan bahasa – morfologi (kata), sintaksis (frasa dan ayat), semantik (makna), dan aspek Mekanis (ejaan dan tanda baca). Contoh kesalahan frasa: pada masa kini (sepatutnya pada masa ini); Hal ini kerana (sepatutnya Hal ini dikatakan demikian kerana); meningkatkan lagi kemajuan ekonomi (sepatutnya meningkatkan kemajuan ekonomi lagi); sehubungan itu (sepatutnya sehubungan dengan itu); berbanding pencapaian tahun lalu (sepatutnya berbandingan dengan pencapaian tahun lalu); antara langkah-langkah (sepatutnya antara langkah) dan sebagainya.

No comments: