LAPORAN KAJIAN TINDAKAN
Meningkatkan Penguasaan Pelajar dalam Penulisan Esei dengan Menggunakan Teknik Formula
Meningkatkan Penguasaan Pelajar dalam Penulisan Esei dengan Menggunakan Teknik Formula
Mohd. Khir Kassim
Kolej Tingkatan Enam
Petaling Jaya
46150 Petaling Jaya
Selangor
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan
penguasaan pelajar dalam penulisan esei melalui Teknik Formula. Tinjauan awal
menunjukkan bahawa kemahiran tersebut masih belum dikuasai dengan baik oleh
sebahagian besar pelajar. Buktinya perenggan esei pelajar tidak diolah dan
dikembangkan dengan baik dalam latihan yang diberikan. Perkara itu juga menyebabkan
pelajar gagal untuk mendapatkan markah yang tinggi kerana esei mereka tidak
menepati ciri perenggan yang kohesi dan koheren seperti yang ditetapkan dalam
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu STPM Penggal 1. Selain itu, kebanyakan
pelajar menulis esei yang pendek dan kurang daripada 600 patah perkataan. Jadi,
penulisan esei dengan menggunakan teknik formula diperkenalkan kepada pelajar
Tingkatan 6BK7 yang terdiri daripada 13 orang pelajar untuk menulis esei yang
menepati ciri kohesi dan koheren. Teknik yang diperkenalkan ini dimulakan
dengan formula perenggan pendahuluan
iaitu IKCHF (Ayat isu, ayat
huraian isu kenapa, ayat contoh isu, ayat huraian contoh, dan ayat fokus
soalan). Formula perenggan isi
pula ialah IKCHP (Ayat isi, ayat
huraian isi kenapa, ayat contoh isi, ayat huraian contoh, dan ayat penegasan
isi). Formula perenggan penutup
ialah KCAHH (ayat kesimpulan, ayat
cadangan umum, ayat ancaman, ayat huraian ancaman, dan ayat harapan).
Selepas dilaksanakan tindakan dengan menggunakan Teknik Formula, pelajar
dapat menghasilkan perenggan esei yang menepati ciri wacana yang kohesi dan
koheren atau jalinan idea dan jalinan ketatabahasaannya turut menepati ciri
perenggan yang utuh dan mantap.
|
1. 0 REFLEKSI
MASALAH
Setelah menyemak latihan esei pelajar-pelajar Tingkatan
6BK7, didapati bahawa pelajar tidak dapat mengolah esei dengan baik kerana pelajar
lemah dalam penguasaan kemahiran penulisan esei. Kebanyakan pelajar
tidak menghadapi masalah yang besar untuk mencari isi esei tetapi menghadapi
masalah apabila hendak mengolah atau mengembangkan isi-isi esei tersebut. Oleh hal
yang demikian, kebanyakan pelajar tidak dapat menulis esei dengan baik kerana
gagal mengolah dan mengembangkan isi-isi esei tersebut secara kohesi dan
koheren. Hal ini disebabkan oleh pelajar-pelajar tidak memiliki kemahiran
tentang teknik menulis esei yang betul dan sistematik.
Esei yang ditulis oleh pelajar agak ringkas dan tidak
mencapai jumlah perkataan yang dikehendaki, iaitu antara 600 hingga 650
perkataan pada peringkat Tingkatan 6. Ada juga pelajar yang cuma dapat menulis esei
sekitar 300 hingga 400 patah perkataan sahaja. Boleh dikatakan sebahagian besar
pelajar saya memperoleh satu markah sahaja dalam satu perenggan esei mereka. Ada
pula pelajar yang menulis esei tetapi perenggannya tidak seimbang iaitu ada
perenggan yang terlalu pendek dan ada perenggan yang terlalu panjang. Perkara
ini sudah tentu menyebabkan markah esei mereka agak rendah dan akan menjejaskan
markah keseluruhan Kertas 1 Bahasa Melayu STPM.
Setelah menganalisis masalah itu dan mendapatkan maklum
balas daripada mereka, didapati bahawa antara punca yang menyebabkan pelajar saya
tidak dapat mengolah isi esei dengan baik ialah kaedah pengajaran esei yang
biasa dan tidak menggalakkan pelajar mengaplikasikan kemahiran berfikir yang
berkesan.
2. 0 MASALAH YANG DIKAJI
Dalam
proses pembelajaran esei, setiap pelajar memiliki cara, pemikiran dan persepsi yang
berbeza antara satu dengan yang lain. Perkara yang menjadi persoalannya ialah
terdapat sebahagian pelajar yang lemah dalam kemahiran mengolah isi esei berdasarkan
soalan yang diberikan. Dalam hal ini, kemahiran menulis esei memang berkaitan
dengan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran berfikir, kemahiran mengolah,
atau mengembangkan isi esei. Pengetahuan mengenai aspek pengolahan isi esei
sangat penting dalam kemahiran menulis esei.
Kemahiran
menulis esei mempunyai pelbagai objektif seperti yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran
Bahasa Melayu STPM. Kemahiran menulis esei merupakan kemahiran kognitif, iaitu
kemahiran menyatakan idea yang hendak disampaikan dan mengembangkan idea
tersebut dalam perenggan esei. Kemahiran
tersebut diperlukan terutamanya semasa menjawab soalan peperiksaan Penggal 1.
Secara keseluruhannya sebahagian besar pelajar tidak dapat menulis esei dengan
baik kerana gagal mengolah dan mengembangkan isi-isi esei tersebut. Hal ini disebabkan
oleh mereka tidak memiliki kemahiran tentang teknik atau cara mengolah esei
yang betul dan sistematik. Perkara itu telah menyebabkan pelajar gagal
menghasilkan esei yang baik, iaitu bentuk penulisan esei yang memiliki ciri wacana
yang kohesi dan koheren. Tambahan pula, ada esei pelajar yang tidak menepati ciri-ciri
esei yang baik dan relevan. Oleh itu, Teknik Formula diperkenalkan bagi
meningkatkan penguasaan pelajar dalam penulisan esei yang perlu memiliki kohesi
dan koheren yang baik dan berkesan.
3. 0 OBJEKTIF KAJIAN
3.1 Objektif Umum
Meningkatkan
penguasaan dan keterampilan penulisan dan pengolahan esei pelajar.
3.2Objektif
Khusus
3.2.1 Meningkatkan teknik olahan ayat atau jalinan ayat yang
kohesi dan koheren dalam perenggan esei
3.2.2 Mengembangkan penguasaan kemahiran berfikir secara
kritis, kreatif, dan analitis dalam penulisan esei
4. 0 KUMPULAN
SASARAN
Kajian ini melibatkan pelajar tingkatan 6BK7 yang akan
menduduki peperiksaan STPM Penggal 1. Responden kajian terdiri daripada 13
orang pelajar. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar yang berpencapaian
tinggi, sederhana, dan rendah.
5. 0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1
Tinjuan Masalah
Pengesanan
terhadap pengajaran esei dalam proses pengajaran dan pembelajaran menunjukkan
bahawa pelajar tidak dapat menulis esei dengan baik. Hal ini dikatakan demikian
kerana pelajar-pelajar tidak dilatih dan tidak didedahkan dengan teknik dan
cara mengolah isi esei yang betul. Di samping itu, proses pengajaran dan
pembelajaran tidak menggunakan teknik yang menyeronokkan serta tidak menarik minat
dan perhatian mereka dalam penulisan esei. Teknik yang digunakan juga lebih
berpusatkan guru, tidak menggalakkan pelajar mengembangkan kemahiran berfikir
dan membosankan mereka. Oleh itu, teknik pengajaran telah diubah dengan menjalankan
teknik pengajaran yang menarik dan menggunakan bahan rangsangan serta bahan
bantu belajar yang sesuai dengan tajuk esei. Penggunakan projektor LCD,
power-point, klip video, jadual berfikir, gambar, dan sebagainya bermula dengan
set induksi dan dalam langkah yang seterusnya hinggalah bahagian penutup.
Perkara ini dilakukan untuk menarik perhatian mereka agar mereka dapat belajar
dalam suasana yang menyeronokkan. Secara tidak langsung teknik ini dapat merangsang
kemahiran berfikir dan membolehkan pelajar menulis serta mengolah esei dengan
baik.
5.2 Analisis Tinjauan Masalah
5.2.1 Tinjauan dan mengenal pasti masalah
Segala masalah yang berlaku
semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran esei dikaji dan
dianalisis iaitu melalui pemerhatian di
dalam kelas, penyemakan latihan esei, dan analisis markah Peperiksaan Percubaan Penggal
1, serta markah Pascapercubaan Penggal 1. Berdasarkan penyemakan latihan esei
pelajar, saya didapati 11 daripada 13 orang mendapat satu markah sahaja
daripada tiga markah yang diperuntukkan untuk setiap perenggan.
Bil
|
Pelajar
|
Markah satu perenggan esei [3]
Praujian
|
1
|
Pelajar
1
|
2
|
2
|
Pelajar
2
|
2
|
3
|
Pelajar
3
|
1
|
4
|
Pelajar
4
|
1
|
5
|
Pelajar
5
|
1
|
6
|
Pelajar
6
|
1
|
7
|
Pelajar
7
|
1
|
8
|
Pelajar
8
|
1
|
9
|
Pelajar
9
|
1
|
10
|
Pelajar
10
|
1
|
11
|
Pelajar
11
|
1
|
12
|
Pelajar
12
|
1
|
13
|
Pelajar
13
|
1
|
Jadual 1: Markah esei dalam
satu perenggan
5.2.2 Melalui instrumen temu
bual tidak berstruktur, didapati tiga orang sahaja daripada 13 orang pelajar
yang suka dan berminiat untuk menulis esei. Hampir semua pelajar mengatakan
mereka tidak berminat dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan tidak berminat
untuk menulis esei kerana pengalaman mereka yang membosankan semasa mereka belajar
karangan di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Setelah maklumat tersebut dianalisis,
tindakan atau teknik yang dirasakan sesuai untuk mengubah amalan pengajaran dan
juga amalan pembelajaran pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih
berkesan dan menyeronokkan serta pelajar dapat mengolah esei mereka dengan
lebih baik.
5.2.3 Soalan esei untuk praujian dan pascaujian telah diberikan kepada pelajar dan digunakan dalam aktiviti latihan
dan ujian apabila teknik formula ini digunakan. Keputusan ujian dicatat dalam
bentuk markah bagi satu-satu perenggan atau jumlah markah yang diperoleh bagi
setiap soalan esei yang meliputi praujian dan juga pascaujian.
5.2.4
Praujian dijalankan untuk memperoleh maklumat tentang keberkesanan pada peringkat awal kaedah pengajaran yang lebih menekankan kaedah
yang konvensional dan kaedah penerangan oleh guru serta tidak berpusatkan pelajar.
Pelajar juga menulis esei berdasarkan pengetahuan dan pengalaman mereka sahaja
serta tidak menggunakan sebarang teknik untuk menghuraikan perenggan esei.
5.3 Tindakan untuk Menangani Masalah
5.3.1 Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran esei dijalankan selama dua bulan dan sebanyak dua masa diperuntukkan
bagi setiap sesi pengajaran untuk melaksanakan aktiviti tersebut. Pelajar
dipastikan berbincang dengan rakan dalam kumpulan masing-masing untuk membuat
rangka bagi isi esei, kemudian mereka mengolahnya dengan menggunakan jadual
berfikir berdasarkan formula esei dan membentangkannya di dalam kelas. Pelajar
dalam kumpulan lain diminta untuk mengemukakan soalan dan memberikan komen atau
pandangan terhadap isi dan huraian isi yang dibentangkan. Saya akan memastikan
perbincangan dan pembentangan dijalankan dengan lancar serta memberikan
bimbingan.
5.3.2 Pelajar-pelajar diminta untuk
membuat rujukan daripada akhbar, majalah, dan maklumat daripada internet semasa
mencari isi-isi esei dan maklumat lain untuk mengembangkan perenggan
pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan penutup esei.
5.4 Cara Pelaksanaan
5.4.1 Pelajar-pelajar diminta untuk menggunakan teknik formula esei,
iaitu formula untuk perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan penutup (IKCHF,
IKCHP, dan KCAHH) semasa berfikir untuk menghuraikan dan mengembangkan isi esei.
Pelajar juga diberikan jadual teknik formula yang perlu diisikan oleh pelajar
semasa perbincangan dijalankan.
5.4.2
Contoh Langkah Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan Esei
Set Induksi: Guru menunjukkan gambar atau klip video
tentang isu atau topik esei dan pelajar diminta untuk memberikan pandangan atau
jawapan terhadap soalan yang dikemukakan oleh guru.
Langkah 1: Pelajar dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu 3
- 4 orang pelajar dalam satu kumpulan.
Setiap
kumpulan diberikan tugasan yang berbeza berdasarkan fokus soalan. Setiap
kumpulan dikehendaki berbincang tentang;
Kumpulan 1 – pengolahan perenggan pendahuluan esei
Kumpulan 2 – satu
isi dan mengolah isi esei tersebut dalam satu perenggan
Kumpulan 3 – satu
isi dan mengolah isi esei tersebut dalam satu perenggan
Kumpulan 4 – pengolahan
perenggan penutup esei
Langkah 2: Pelajar membentangkan hasil perbincangan
kumpulan masing-masing dan pelajar lain diminta untuk mengemukakan soalan atau
pandangan, serta guru memberikan bimbingan.
Pengukuhan:
Guru membuat kesimpulan dan penerangan kepada pelajar-pelajar tentang proses
penulisan esei dan pengolahan isi esei. Pelajar-pelajar diminta menulis tiga
perenggan esei di rumah.
5.5 Membuat
Refleksi Kajian
5.5.1 Refleksi keputusan ujian sebelum dan
selepas penggunaan kaedah formula esei.
Bil
|
Pelajar
|
Jantina
|
Markah
Sebelum
(50)
|
Markah
Selepas
(50)
|
Perubahan
Markah
|
STPM
K1
|
1
|
Pelajar
1
|
P
|
27
|
30
|
+3
|
A
|
2
|
Pelajar
2
|
L
|
24
|
26
|
+2
|
A
|
3
|
Pelajar
3
|
P
|
8
|
22
|
+14
|
C
|
4
|
Pelajar
4
|
P
|
23
|
27
|
+4
|
A
|
5
|
Pelajar
5
|
P
|
9
|
16
|
+7
|
C
|
6
|
Pelajar
6
|
L
|
18
|
22
|
+4
|
B+
|
7
|
Pelajar
7
|
P
|
9
|
20
|
+11
|
A-
|
8
|
Pelajar
8
|
P
|
12
|
24
|
+12
|
A
|
9
|
Pelajar
9
|
P
|
12
|
18
|
+6
|
B
|
10
|
Pelajar
10
|
P
|
25
|
26
|
+1
|
B
|
11
|
Pelajar
11
|
P
|
15
|
17
|
+2
|
B+
|
12
|
Pelajar
12
|
P
|
4
|
8
|
+4
|
F
|
13
|
Pelajar
13
|
P
|
23
|
22
|
-1
|
A-
|
Jadual 2 : Keputusan Praujian dan
Pascaujian Soalan Esei yang Lengkap
Keputusan ujian pengesanan menunjukkan bahawa pelajar-pelajar lebih berupaya untuk menulis esei yang baik kohesi dan koherennya sekiranya didedahkan dengan teknik mengolah isi esei yang betul dan menarik perhatian mereka. Selain itu, pelajar-pelajar didedahkan dengan penggunaan bahan bantu belajar yang menarik seperti surat khabar, majalah, projektor, power-point, klip video, gambar, dan bahan-bahan daripada internet. Terdapat perubahan dalam pencapaian pelajar selepas penggunaan teknik formula dan bahan-bahan rangsangan serta bahan bantu belajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Markah tertinggi yang dicapai dalam ujian pasca ialah 30 berbanding dengan 27 sebelum penggunaan teknik atau formula esei. Markah terendah dalam ujian pasca pula ialah 8 berbanding dengan sebelumnya, iaitu 4.
5.5.2 Keberkesanan kaedah pengajaran dinilai
dengan membuat pemerhatian, penelitian dan juga melalui analisis prestasi dalam
peperiksaan. Didapati kaedah yang dipraktikkan terbukti dapat menarik perhatian
pelajar dan memudahkan mereka untuk mengolah isi esei atau mengembangkannya
dengan baik iaitu ada tautan (kohesi) dan runtutan (koheren) antara ayat dengan
ayat dan antara perenggan dengan perenggan esei. Pelajar-pelajar yang terlibat
dalam kajian ini didapati menunjukkan perubahan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran dan mereka semakin berani dan yakin untuk memberikan pandangan
serta dapat berfikir dengan lebih kreatif. Proses pengajaran dan pembelajaran
esei menjadi semakin menyeronokkan dan pelajar melibatkan diri dengan aktif
dalam perbincangan dan pembentangan serta bersoal jawab dan memberikan hujah. Selain
itu, pelajar juga menyatakan bahawa mereka semakin seronok untuk menulis esei
dan mereka dapat menghuraikan isi esei dengan lebih cepat daripada sebelumnya
selepas menggunakan teknik formula tersebut. Jumlah perkataan mereka juga
semakin meningkat iaitu puratanya 70 hingga 80 perkataan dalam satu perenggan
berbanding dengan 50 hingga 60 perkataan sahaja dalam satu perenggan. Hal ini
dikatakan demikian kerana pemikiran pelajar saya menjadi lebih kritis dan
kreatif. Mereka juga dapat membina ayat majmuk dalam esei berbanding dengan
ayat mereka yang pendek-pendek atau ayat tunggal sahaja sebelum ini. Markah esei
dalam satu-satu perenggan juga turut meningkat dan menunjukkan perubahan iaitu
enam orang pelajar mendapat dua markah dalam pascaujian berbanding dengan 2
orang dalam ujian pra seperti yang ditunjukkan dalam rajah 3 di bawah.
Bil
|
Pelajar
|
Markah satu perenggan esei [3]
Pascaujian
|
1
|
Pelajar
1
|
2
|
2
|
Pelajar
2
|
2
|
3
|
Pelajar
3
|
1
|
4
|
Pelajar
4
|
2
|
5
|
Pelajar
5
|
1
|
6
|
Pelajar
6
|
1
|
7
|
Pelajar
7
|
2
|
8
|
Pelajar
8
|
2
|
9
|
Pelajar
9
|
1
|
10
|
Pelajar
10
|
1
|
11
|
Pelajar
11
|
1
|
12
|
Pelajar
12
|
1
|
13
|
Pelajar
13
|
2
|
Jadual 3: Markah esei dalam
satu perenggan
5.5.3 Walaupun
kajian tindakan yang dijalankan ini cuma meliputi sebahagian kecil pelajar, namun
diyakini kajian ini dapat menggambarkan secara umum tentang pelaksanaan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam penulisan dan pengolahan esei pelajar.
Teknik ini didapati berkesan dan memberikan satu dorongan baharu dalam proses
PdPc. Formula esei ini mencetuskan idea kepada pelajar untuk mencipta formula
mereka sendiri bagi mengingat sesuatu fakta atau mengembangkan fakta dalam mata
pelajaran lain.
6.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
6.1 Oleh sebab maklum balas yang diterima
adalah positif dan pelajar lebih berminat dalam pengajaran dan pembelajaran esei
serta prestasi pelajar yang agak membanggakan dalam peperiksaan, Teknik Formula
tersebut akan terus digunakan dan ditambah baik.
6.2 Kajian untuk penambahbaikan ini
penting untuk membantu dan membimbing pelajar dalam mengolah isi esei dan
seterusnya menulis esei yang baik dan cemerlang. Bagi guru-guru, kajian ini
akan menyuburkan budaya menyelidik, membuat rujukan, dan berbincang dengan
rakan-rakan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah penulisan esei yang
menepati ciri kohesi dan koheren. Kajian ini juga akan dikongsi bersama dengan
guru-guru Bahasa Melayu yang lain khususnya di kolej ini dan secara amnya
guru-guru dari kolej atau sekolah yang lain. Seterusnya, kajian tentang aspek
lain dalam penulisan esei yang lebih berkesan perlu dijalankan selepas ini. Dicadangkan
agar aspek kelemahan pelajar dalam penulisan esei seperti masalah kesilapan tatabahasa
sebagai kajian seterusnya.
Bibliografi
Awang Sariyan. 1984. Teknik Mengarang Kertas Am
dan Bahasa Melayu I, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.
Awang Sariyan.
2006. Tertib Mengarang: Asas Retorik
untuk Pelajar dan Pendidik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Md. Sidin Ahmad
Ishak, Mohd Saleeh Rahamad. 2005.
Strategi Bahasa: Panduan Nahu dan Retorik Untuk Penulisan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Mohd Khir Kassim
dan Suhaimi Mohd Salleh. 2015. Bahasa
Melayu STPM Penggal 1, SAP Publication Sdn. Bhd., Shah Alam.
Sulaiman Masri. 1988. Penulisan dalam bahasa Malaysia Baku, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lampiran
Lampiran
1
Teknik Mengolah Esei dengan Menggunakan Formula
1. Perenggan Pendahuluan
Teknik/Formula
IKCHF (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Fokus) – Ayat Isu, Ayat Kesan/Kenapa, Ayat Contoh, Ayat Huraian
contoh, Ayat Fokus)
Contoh olahan perenggan pendahuluan
Statistik kemalangan jalan raya seringkali
meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan anggota masyarakat berasa bimbang
akan keselamatan mereka semasa di jalan raya. (K) Sebagai contohnya, banyak kecederaan berlaku di samping banyak juga
nyawa manusia yang terkorban. (C) Jadi, perkara ini benar-benar memberikan kesan
negatif kepada anggota masyarakat di negara kita. (H) Oleh hal yang demikian, terdapat banyak usaha yang perlu
dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya
daripada terus meningkat di negara kita. (F) (78 perkataan)
Contoh olahan perenggan
pendahuluan
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau
tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal
ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah
yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
(K) Sebagai contohnya, terdapat beberapa kes
seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu
Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C) Perkara ini menambahkan beban bagi
pembeli-pembeli rumah yang terpaksa menyewa rumah lain untuk dijadikan tempat tinggal.
(H) Jadi, terdapat langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi
masalah yang terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah
tersebut. (F) (89
perkataan)
2. Perenggan Isi
Teknik/Formula Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai (IKCHP – Ayat Isi, Ayat Kesan/Kenapa, Ayat Contoh, Ayat Huraian contoh, Ayat Penegasan)
Contoh olahan perenggan isi
Kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap
pengguna jalan raya yang cuai ketika memandu kenderaan. (Isi) Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu
kenderaan di jalan raya. (Kenapa)
Mereka kebiasaannya akan menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan,
memandu kereta dalam keadaan mengantuk, dan memandu kenderaan sambil berbual
dengan penumpang di sebelah. (Contoh –
Apa contoh perbuatannya) Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan pemandu
kenderaan hilang kawalan dan sering terbabas hingga melanggar kenderaan lain. (Hurai – apa kesannya) Oleh itu, para
pengguna jalan raya yang cuai semasa memandu kenderaan menjadi punca berlakunya
kemalangan yang boleh meragut nyawa manusia yang tidak berdosa. (Penegasan)
3. Perenggan Penutup/kesimpulan
i. Kita Cuma Ada Harapan Hidup (KCAHH – Ayat Kesimpulan, Ayat Cadangan,
Ayat Ancaman, Ayat Huraian, Ayat Harapan)
Contoh olahan perenggan
kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera
oleh pihak berkuasa di negara kita. (K)
Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlu mengadakan kempen secara
besar-besaran tentang keburukan rasuah melalui media-media massa arus perdana
dan juga melalui ceramah yang dijalankan oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah. (C) Hal ini dikatakan
demikian kerana masalah rasuah amat berbahaya dan boleh merosakkan jentera
pentadbiran negara serta kita semua juga yang akan menerima padahnya.(A) Perkara ini tentunya akan merugikan
semua pihak dan tidak menguntungkan sesiapa. (H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani
dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat. (H)
(89 perkataan)
Contoh olahan perenggan
kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. (K) Oleh itu, semua pihak perlu
berganding bahu untuk menangani masalah ini daripada manjadi lebih serius.(C) Sekiranya tindakan itu tidak dijalankan,
tentunya masalah tersebut sukar untuk ditangani. (A) Jadi, kita tidak mahu masalah tersebut terus
meningkat kerana kita tidak mahu nyawa yang tidak berdosa akan melayang akibat
kemalangan jalan raya. (H) Kita
berharap agar bilangan kes kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna
jalan raya dapat menggunakan jalan raya dengan selamat. (H)
(82 perkataan)
2 comments:
ASSALAMUALAIKUM CIKGU, SAYA MOHON IZIN AMBIL BAHAN SEBAGAI RUJUKAN DAN PANDUAN YA.. TERIMA KASIH CIKGU
Waalaikumussalam. Ya silakan. Sama-sama.
Post a Comment