Pengikut laman ini

Friday, November 22, 2024

Kesalahan-Kesalahan dalam Perenggan Esei Pelajar

1. Kesalahan memulakan ayat dalam sesuatu perenggan

2. Kesalahan Tatabahasa

3. Kesalahan perenggan terlalu panjang

Contoh Perenggan yang Bermasalah

//seterusnya, langkah lain yang boleh digunakan untuk mempopularkan sastera melayu tradisional dengan menggunakan media sosial untuk menyebarkan lebih mendalam tentang sastera melayu tradisional.  //Dengan melalui media sosial, anggota masyarakat dapat menerima pendedahan akan sastera melayu tradisional dengan lebih cepat memandangkan anggota masyarakat pada masa kini lebih banyak menghabiskan masa menggunakan media sosial. //Contohnya, maklumat-maklumat yang disebarkan melalui media sosial lebih cepat disampaikan dan mudah difahami untuk menambah pengetahuan akan sastera Melayu tradisional pada waktu yang selalu digunakan untuk menggunakan media sosial. //Anggota masyarakat akan lebih memilih untuk menggunakan sastera melayu tradisional di media sosial mereka.  //Jelaslah bahawa media sosial dapat membantu pendedahan yang meluas tentang sastera Melayu tradisional.   (120 perkataan)

Contoh Perenggan yang Sudah Dibaiki

Kerajaan boleh mempopularkan sastera Melayu tradisional dengan menggunakan media sosial.  Melalui media sosial, anggota masyarakat akan mendapat maklumat tentang sastera Melayu tradisional dengan lebih mudah dan cepat memandangkan anggota masyarakat pada masa ini lebih banyak menghabiskan masa mereka dengan media sosial. Maklumat boleh disebarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan melalui media sosial seperti “tiktok”, “Instagram”, “facebook”, dan sebagainya. Perkara itu dapat meluaskan pengetahuan masyarakat tentang sastera Melayu tradisional.  Tegasnya, media sosial merupakan medium yang sesuai dan berkesan untuk membantu kerajaan bagi menyebarkan maklumat tentang sastera Melayu tradisional kepada anggota masyarakat.  (90 perkataan)


No comments: