Pengikut laman ini

Wednesday, February 2, 2022

Kelemahan Esei Tidak Berformat STPM Semester 1

 Kelemahan Aspek Kohesi Dan Koheren dalam Perenggan Isi

Di samping itu, usaha lain untuk menangani masalah pengangguran ialah kerajaan menghantar rombongan perdagangan ke luar negara. //Hal ini dikatakan demikian kerana ingin menarik lebih ramai modal asing ke Malaysia dan pelabur asing agar melabur di dalam Malaysia. Contohnya, kerajaan menjalankan beberapa projek besar bagi memastikan ekonomi Malaysia berjalan dengan rancak semula.  //Hal demikian kerana tidak mahu ekonomi negara terjejas dan sentiasa berjalan dengan lancar. Ringkasnya, usaha menghantar rombongan ke luar negara mampu meningkatkan pertumbuhan negara. (75 perkataan)

Komen:

  1. Ayat ketiga iaitu ayat contoh tidak koheren dengan ayat kedua dan ayat pertama.
  2. Ayat keempat juga tidak koheren dengan ayat sebelumnya.
  3. Kesalahan lain seperti memulakan ayat dengan menggunakan penanda wacana dalam ayat pertama bagi sesuatu perenggan. 
  4. Ayat keempat tidak gramatis kerana tiada subjek.

Setelah dibaiki, perenggan di atas menjadi seperti yang berikut.

Kerajaan boleh menangani masalah pengangguran dengan menghantar rombongan ke luar negara untuk menarik pelaburan asing ke negara kita. Dengan cara itu, modal asing melalui pelaburan diharapkan masuk ke negara kita. Jadi, menteri dan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu menarik pelabur dari negara seperti China, Jepun, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat untuk melabur di sini. Hasilnya, para pelabur tersebut akan melaburkan modal mereka dan membina kilang di negara kita. Kilang-kilang tersebut pula dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negara ini. Seterusnya, masalah  pengangguran akan dapat dikurangkan. (88 perkataan)