Pengikut laman ini

Tuesday, December 1, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan - Esei Semester 1

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Esei merupakan wacana yang terhasil daripada jalinan ayat yang mempunyai hubungan atau pertalian yang mantap antara satu sama lain. Dalam wacana, jalinan ayat yang mantap tersebut mesti mempunyai unsur kohesi dan koheren. Kohesi bermaksud tautan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana. Koheren pula bermaksud jalinan atau kesinambungan idea yang mantap antara ayat dalam sesuatu wacana atau juga dikenali sebagai runtutan. Jadi, esei yang mantap dapat dibina daripada perenggan yang mempunyai kedua-dua unsur tersebut.

Dari segi teknik penyampaian idea dalam retorik pula, terdapat beberapa teknik penyampaian idea dalam penghasilan perenggan esei. Perenggan-perenggan yang dihasilkan tersebut akan membentuk suatu esei atau wacana. Antara teknik yang popular dan seringkali digunakan ialah teknik eklektik. Teknik tersebut dimulakan dengan ayat pernyataan umum (ayat topik), kemudian diikuti pula oleh beberapa ayat pernyataan khusus (ayat huraian dan ayat contoh), dan diakhiri dengan ayat pernyataan umum (ayat penegasan). Jadi, untuk memudahkan pelajar STPM Semester 1 menulis esei tidak berformat yang mantap, dicadangkan supaya pelajar menggunakan teknik menulis esei yang sistematik dan mudah diaplikasikan iaitu “Formula 2K” yang membawa maksud formula Kohesi (K) iaitu tautan dan Koheren (K) iaitu runtutan. 

Dengan menggunakan teknik tersebut, jalinan idea dalam perenggan tersebut akan menjadi lebih mantap. Kepanjangan setiap ayat akan menjadi lebih seimbang dan jumlah perkataannya juga seimbang dalam setiap perenggan. Setiap perenggan seharusnya mengandungi 80 hingga 90 perkataan sahaja. Jika pelajar menulis 8 perenggan esei dan didarabkan dengan 80 perkataan jadi jumlahnya ialah 640 perkataan. Sekiranya pelajar menulis 7 perenggan esei dan didarabkan dengan 90 perkataan jadi jumlahnya ialah 630 perkataan. Hal ini disebabkan oleh setiap perenggan telah disediakan teknik atau cara untuk pelajar membina setiap ayatnya. Ayat-ayat tersebut pula akan membentuk perenggan yang mantap dari segi kohesi dan koherennya atau tautan dan runtutan. Dicadangkan supaya pelajar membina lima atau enam ayat dalam setiap perenggan. Teknik tersebut akan dihuraikan dan dijelaskan dalam perbincangan yang berikut.

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan pendahuluan dengan menggunakan formula 2K.

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan

Teknik IKCHF (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Faham)

·       Ayat Isu (Isu dalam soalan)

·       Ayat huraian – Tanya (kenapa, bagaimana, atau apa)

·       Ayat Contoh (Contoh daripada ayat isu)

·       Ayat Huraian contoh (Ayat hasil jika baik dan ayat akibat jika tidak baik)

·       Ayat Fokus soalan

Contoh Soalan:

Pada masa ini banyak rumah yang telah siap dibina tetapi dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Menggunakan Formula 2K

I - Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. (I) – Ayat isu dalam soalan

K - Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. (K) – Ayat kenapa perkara dalam ayat isu berlaku

C - Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. (C) – Ayat contoh daripada ayat isu

H - Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. (H) - Ayat huraian daripada ayat contoh

F - Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (F) – Ayat yang menyentuh fokus soalan (85 perkataan)

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Lengkap

Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (85 perkataan) 

Contoh Perenggan Pendahuluan Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Aktiviti kokurikulum yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan memang banyak kebaikannya kepada para pelajar. Aktiviti kokurikulum merupakan kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah iaitu selepas waktu persekolahan dan melibatkan kegiatan persatuan, kelab permainan, dan pasukan beruniform. Aktiviti tersebut termasuklah Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Kelab Badminton, Kelab Bola sepak, Pasukan Pengakap, Pandu Puteri, dan sebagainya. Jadi, para pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang telah diwajibkan oleh pihak kementerian kepada mereka. Kegiatan kokurikulum telah terbukti memberikan pelbagai manfaat kepada  para pelajar. (83 perkataan)

Teknik penulisan perenggan isi dan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

No comments: