Soalan Contoh
Program
motivasi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bertujuan untuk membantu
kecemerlangan pelajar dari pelbagai aspek. Huraikan kelebihan program tersebut kepada pelajar.
Rangka Esei
Pendahuluan
-
pelbagai
program motivasi dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk kecemerlangan akademik
dan sahsiah
Isi-isi Penting
i.
melatih
pelajar dari aspek ketahanan diri dan bersikap yakin diri
ii.
murid
didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
iii.
teknik
mengurus masa secara bijaksana
iv.
mencungkil
potensi pelajar melalui aktiviti
berkumpulan
v.
menekankan
nilai keagamaan dan kerohanian
Penutup
-
program
motivasi merupakan medan terbaik untuk mendisiplinkan diri dan menjadi insan
yang cemerlang
Esei Contoh
Program motivasi yang telah dianjurkan
oleh pelbagai pihak adalah untuk manfaat pelajar. Perkara ini turut
diuar-uarkan menerusi media massa untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan
awam. Program motivasi seperti Kem Bina Minda Cemerlang, Kem Motivasi Cuti
Sekolah, Summer Camp Anak Soleh dan
sebagainya menjadi mangkin kecemerlangan pelajar. Dengan menyertai program
motivasi itu, pelajar bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dalam akademik
tetapi juga kecemerlangan dalam sahsiah. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai
perkara yang menyebabkan program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah
dan swasta itu dapat membantu
kecemerlangan pelajar.
Program motivasi melatih pelajar
dari aspek ketahanan dan sikap yakin diri. Hal ini dikatakan demikian kerana
selepas mengikuti program itu, para pelajar mampu menghadapi cabaran dalam
pelajaran dan dalam kehidupan. Sebagai contohnya, dalam program motivasi itu
para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahan fizikal
dan keyakinan diri para pelajar. Pengalaman dan pendedahan itu membolehkan para
pelajar bersiap sedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang pastinya akan
dihadapi oleh setiap orang. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa program
motivasi berupaya untuk meningkatkan daya tahan pelajar untuk menempuh
kehidupan yang penuh dengan cabaran.
Dalam program motivasi, para pelajar didedahkan tentang teknik belajar dan teknik menjawab soalan
yang betul. Penganjur program kebiasaannya akan menyediakan pakar-pakar yang
mahir dalam kemahiran belajar, ibarat jauhari
yang mengenal manikam. Melalui cara itu, para pelajar akan menggunakan
pengetahuan mereka untuk belajar secara berkesan selepas menamatkan program
tersebut. Di samping itu, para pelajar dapat mengetahui teknik untuk menjawab
soalan seperti yang dikehendaki oleh pemeriksa dalam peperiksaan. Jelaslah
bahawa program ini memberikan kebaikan yang banyak kepada pelajar untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Melalui program motivasi ini, para
pelajar diperkenalkan tentang teknik mengurus masa yang berkesan. Perkara itu dapat membantu pelajar mengurus
masa dengan bijaksana dan berkesan. Jadi, aktiviti seharian pelajar dapat
dijalankan secara teratur kerana masa mereka terisi dengan perkara yang sesuai
dan berfaedah. Sebagai contohnya, program seperti itu membantu pelajar membuat
perancangan aktiviti harian, mingguan dan bulanan yang berkesan untuk manfaat
pelajar. Hal ini memang membuktikan bahawa program tersebut berupaya untuk
menjadikan pelajar itu bijak mengurus masa kerana masa itu emas.
Program motivasi yang dijalankan itu
turut mencungkil potensi pelajar dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dilihat
melalui aktiviti berkumpulan yang dimasukkan sebagai pengisian program yang
penting. Melalui aktiviti tersebut, pelajar akan sedar akan potensi diri
sendiri yang selama ini terpendam kerana tuah
ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Di samping itu, program
seperti itu dapat membantu murid agar sentiasa bersikap dan berfikiran positif
dalam apa-apa aktiviti yang dilakukan. Potensi diri yang terpendam itu pula dapat digilap dan dibimbing ke arah yang lebih baik demi kemajuan diri pelajar
dalam segenap bidang.
Tidak ketinggalan juga, program
motivasi turut menekankan nilai keagamaan dalam diri pelajar. Para pelajar akan
sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara,
dan agama. Pihak penganjur program biasanya akan menyediakan pakar motivasi
dalam bidang agama untuk membimbing pelajar ke arah penghayatan terhadap agama
yang sebenar. Pakar-pakar itu akan menekankan aspek pengetahuan, kefahaman dan
penghayatan terhadap tanggungjawab setiap insan terhadap pencipta-Nya. Secara
tidak langsung, perkara ini akan membentuk sahsiah dan memantapkan aspek
kerohanian yang cemerlang dalam kalangan pelajar yang menyertai program itu.
Sebagai kesimpulannya, program
motivasi merupakan medan yang terbaik untuk setiap pelajar mendisiplinkan diri
dan menjadi insan yang cemerlang. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah menghantar
anak mereka untuk menyertai program motivasi yang sesuai untuk anak-anak mereka.
Jangan biarkan masa anak-anak terbiar dan tidak diisi dengan aktiviti yang
tidak berfaedah semasa cuti sekolah yang panjang. Jadi, ibu bapa harus memberikan galakan dan
menyokong usaha pelbagai pihak yang menganjurkan program itu untuk kebaikan
anak-anak mereka. Dengan cara itu, kita berharap agar para pelajar ini akan
menjadi orang yang cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan
mereka.
(613 perkataan)
No comments:
Post a Comment