Pengikut laman ini

Saturday, December 18, 2010

Prosa Tradisional Tingkatan 5 2011

Hikayat Langlang Buana

Sinopsis Cerita

Inang kepada Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mengatakan bahawa dia bermimpi pada malam sebelumnya dan tuan puteri juga bermimpi perkara yang sama. Inang mengatakan bahawa itulah tandanya tuan puteri akan mendapat jodohnya. Seperti biasa, tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik yang dijaga oleh peri. Peri itu pula memberitahu perkara itu kepada Raja Indera Bumaya dan menyuruhnya supaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri itu dan apabila baginda terpandang akan tuan puteri itu, baginda terus tertarik kepadanya.

Raja Indera Bumaya pun menjadikan dirinya seekor burung bayan yang cantik iaitu matanya dibuat daripada intan dan bulunya daripada pusparagam dan kakinya daripada emas. Tuan puteri tertarik oleh burung bayan itu dan meminta inangda supaya menangkap burung itu. Namun begitu semua dayangnya gagal untuk menangkap burung bayan itu hinggalah dayang-dayang menyarankan supaya tuan puteri sendiri yang menangkapnya. Tuan puteri berasa sangat gembira kerana burung bayan itu terus hinggap pada tangan tuan puteri. Burung bayan itu bukan sahaja cantik, malahan pandai berpantun dan berkata-kata serta boleh menukar dirinya menjadi burung nuri dan bunga yang sudah dikarang. Burung bayan itu sebenarnya datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur lalu dibawa ke mahligai tuan puteri.

Burung bayan yang sebenarnya Raja Indera Bumaya itu telah bertukar menjadi burung nuri dan seterusnya menjadi bunga yang sudah digubah lalu dicium oleh tuan puteri dan Raja Indera Bumayapun mengembalikan dirinya yang asal dan tuan puteri jatuh cinta kepadanya. Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang. Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal tuan puteri dari bawah mahligai, menyampaikan berita tentang tuan puteri membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa iaitu ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Perkara itu menyebabkan Raja Bahrum Dewa sangat murka dan menitahkan hulubalang serta rakyat mengepung lelaki itu pada malam itu juga.

Setelah tuan puteri mengetahui berita tentang hulubalang dan rakyat datang ke mahligainya untuk mengepung dan menangkap Raja Indera Bumaya, dia berasa takut dan sedih kerana tidak sanggup berpisah dengannya. Raja Indera Bumaya pun menyeru geliga daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat jin yang menyerupai manusia yang lengkap bersenjata untuk menangkis serangan hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa. Hulubalang dan rakyat Raja Bahrum Dewa itu gagal untuk menangkap Raja Indera Bumaya. Perkara ini menyebabkan Raja Bahrum Dewa menjadi semakin murka dan menitahkan semua rakyatnya mengepung Raja Indera Bumaya. Perkara itu menyebabkan tuan puteri berasa semakin takut tetapi perkara itu membuktikan cinta dan sayangnya kepada Raja Indera Bumaya. Raja Indera Bumaya kemudiannya menyeru gemala hikmat daripada Raja Johan Shahperi dan keluarlah empat ribu jin yang akan berperang dengan rakyat Raja Bahrum Dewa. Dalam peperangan itu banyaklah darah yang tumpah ke bumi.

Tema
Kasih sayang yang mendalam terhadap orang yang tercinta.

Persoalan
1. Kebijaksanaan dalam memikat orang yang disayangi.
2. Keberanian dalam menempuh rintangan
3. Menghormati tetamu yang datang
4. Ketaatan kepada raja atau ketua
5. Tolong-menolong dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan
1. Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
i. Puteri Raja Bahrum Dewa
ii. Penyayang – sayang kepada Raja Indera Bumaya
iii. Penyedih – menangis kerana takut kepada ayahandanya yang hendak menangkap Raja Indera Bumaya.
iv. Menghormati tetamu – menghormati Raja Indera Bumaya dan melayan baginda dengan baik dan menjamu baginda.

2. Raja Indera Bumaya
i. Putera raja dari negeri Lela Gambar
ii. Boleh bertukar rupa menjadi burung bayan, burung nuri dan bunga.
iii. Bijaksana - bijaksana untuk memikat tuan puteri
iv. Penyayang - sayang akan tuan puteri
v. Memiliki geliga sakti

3. Peri
i. Penjaga tasik tempat tuan puteri mandi.
ii. Suka menolong orang - menyuruh Raja Indera Bumaya bersembunyi untuk melihat tuan puteri.

4. Raja Bahrum Dewa
i. Ayahanda Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi
ii. Garang dan tegas - menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya.

5. Inangda
i. Sentiasa menemani tuan puteri
ii. Patuh akan arahan tuan puteri - menurut perintah tuan puteri agar menangkap burung bayan.

Gaya Bahasa

1. Pantun
Gambar di dalam puan,
      Dang Jirat duduk menyuji;
Jika beta khabarkan tuan,
     Tuan nescaya ghairat dalam di hati.

2. Simile – seperti bunga raya yang baharu kembang

3. Bahasa klasik – syahadan, alkisah, perwara, bercetera, berlangir

4. Bahasa istana – baginda, tuan puteri, tuanku, santap

Teknik Plot
1. Pemerian – pemerian tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dengan dayang-dayang pergi ke kolam untuk mandi.

2. Dialog – dialog antara tuan puteri dengan Raja Indera Bumaya semasa di dalam mahligai tuan puteri

3. Saspens - Raja Indera Bumaya hendak ditangkap oleh menteri dan rakyat Raja Bahrum Dewa.

Latar
Masa
1. Waktu pagi
2. Waktu siang
3. Waktu malam

Tempat
1. Di tasik - Tuan puteri mengajak inang-inangnya mandi di tasik.
2. Di mahligai tuan puteri - Tuan puteri menjamu Raja Indera Bumaya dan seterusnya mereka bergembira dan bergurau senda dengan semua dayang.
3. Di istana Raja Bahrum - Empat orang menteri dan empat orang hulubalang yang mengawal mahligai tuan puteri itu menyampaikan berita tentang Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi membawa masuk lelaki ke dalam mahligainya kepada Raja Bahrum Dewa.
4. Negeri Lela Gambar - Burung bayan datang dari negeri Lela Gambar iaitu dari kawasan matahari naik atau dari Timur.

Masyarakat
1. Masyarakat feudal - susun lapis masyarakat yang terdiri daripada raja, pembesar dan rakyat.
2. Masyarakat peri - masyarakat jin yang menyerupai manusia dan bertugas menjaga tempat mandi tuan puteri
3. Masyarakat manusia yang berani - Raja Indera Bumaya berani menentang semua cabaran dan bahaya untuk mendapatkan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Masyarakat yang penyayang - Inderaputera sayang akan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi dan begitu juga sebaliknya.

Nilai
1. Kebijaksanaan - Raja Indera Bumaya menggunakan kebijaksanaannya untuk memikat tuan puteri.
2. Kasih sayang - Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi sayang akan Raja Indera Bumaya dan berasa takut sekiranya Raja Indera Bumaya ditangkap.
3. Tolong-menolong - Peri menolong Raja Indera Bumaya dengan memberikan cadangan tentang cara Raja Indera Bumaya hendak melihat Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi.
4. Tegas - Raja Bahrum Dewa menitahkan menteri dan rakyatnya menangkap Raja Indera Bumaya yang berada di dalam mahligai tuan puterinya itu.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertindak dengan bijaksana dalam melakukan sebarang tindakan.
2. Kita hendaklah menyayangi orang yang dicintai sampai bila-bila.
3. Kita mestilah menolong orang yang sedang memerlukan pertolongan.
4. Sebagai ketua kita perlulah tegas dengan pendirian atau tindakan.




2 comments:

Anonymous said...

Salam. Terima kasih kerana menulis prosa ini. ini akan memudahkan saya membuat pembentangan di kelas saya. terima kasih sekali lagi diucapkan..

Anonymous said...

apakah maksud langlang buana?