Pages

Tuesday, November 18, 2008

Tips 2 Karangan STPM 2008

Topik atau isu lain yang penting dalam Bahagian A Kertas 2 ialah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Oleh itu, saya cadangkan soalan seperti di bawah ini untuk dijadikan panduan dan latihan sebelum peperiksaan STPM.

Soalan Contoh:

Isu kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berlaku di negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Huraikan kesan-kesan isu tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasinya.


Karangan contoh di bawah ini ditulis oleh seorang daripada anak
murid saya iaitu Nurzafirah bt. Rahim (6A2) berdasarkan tugasan mingguan yang telah diberikan kepadanya sebelum ini.
Pendahuluan
- Masalah kebanjiran PATI – perlu tindakan

Isi-isi Penting
i. masalah jenayah
ii. memonopoli peluang pekerjaan
iii. ancaman kepada keselamatan negara
iv. langkah penguatkuasaan undang-undang
v. penyelesaian secara diplomatik

Penutup
- timbulkan kesan negatif – perlu ditangani

Karangan Contoh

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang datang ke negara kita secara senyap-senyap sudah lama berlaku dan hal ini menyebabkan kebanjiran pendatang berkenaan secara besar-besaran. Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing dari Indonesia yang tiada permit ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang demikian, banyak kesan yang perlu ditanggung dan langkah yang berkesan perlu diambil oleh pihak yang berkuasa untuk menangani masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita.

Terdapat pelbagai kesan akibat kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini dan salah satunya ialah kesan negatif iaitu timbulnya masalah jenayah dalam kalangan mereka. Masalah jenayah seperti rompakan, ragut dan sebagainya tidak dinafikan turut didalangi oleh pendatang tanpa izin ini. Kehadiran mereka tanpa permit sukar untuk dikenal pasti oleh pihak berkuasa. Lantaran itu, mereka dengan sewenang-wenangnya menggunakan kesempatan tersebut ibarat pepatah, "Sambil menyelam minum air", untuk melakukan jenayah secara berselindung tanpa diketahui oleh pihak berkuasa tempatan. Masalah jenayah sedemikian jika tidak dibanteras sudah tentu akan menyusahkan masyarakat tempatan dan turut menyebabkan imej negara tercalar.

Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Oleh hal yang demikian, mereka mengambil kesempatan untuk berhijrah ke negara jiran untuk mencari pekerjaan melalui sindiket pekerjaan yang tidak sah. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.

Kesan lain akibat masalah tersebut ialah keselamatan negara akan turut terancam dengan kehadiran beribu-ribu pendatang asing tanpa izin. Hal ini dikatakan demikian kerana selain melakukan jenayah, kehadiran mereka yang ramai serta kualiti kesihatan yang tidak dijaga turut menjejaskan kesihatan rakyat tempatan. Penyakit berjangkit seperti selesema burung dan pelbagai penyakit lagi yang memudaratkan kesihatan akan disebarkan secara tidak langsung. Pemantauan seperti pemeriksaan kesihatan yang sepatutnya dilakukan oleh imigran dari luar negara tidak dilakukan kerana kehadiran mereka ke negara ini adalah secara haram dan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Akibatnya, masyarakat tempatan akan berasa tidak selamat dengan persekitaran luar dan berasa waswas untuk keluar bekerja dan sebagainya.

Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara kita iaitu salah satunya dengan menguatkuasakan undang-undang. Tidak dinafikan, pendatang asing tanpa izin yang bolos ke negara kita disebabkan oleh bantuan individu yang berkuasa kerana kegiatan rasuah yang menular. Walau bagaimanapun, setelah pelbagai inisiatif diambil masih ada lagi kes pendatang asing tanpa izin yang berjaya melepasi sempadan. Perkara itu tentunya berkaitan dengan kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara. Jadi, tindakan tegas perlu diambil untuk membendung gejala itu dan penguatkuasaan yang ketat. Hukuman atau denda yang berat kepada pesalah yang mendalangi kegiatan tersebut perlu diambil. Tegasnya, penguatkuasaan undang-undang dapat mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin.

Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya. Misalnya, negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini dan seterusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.

Sebagai kesimpulannya, kebanjiran pendatang asing tanpa izin sememangnya membawa kesan yang negatif kepada negara. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu berganding bahu untuk menangani masalah tersebut daripada menjadi semakin serius. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera dengan berkesan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jadi, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana akibat buruknya begitu sukar untuk ditanggung malah akan memburukkan keadaan lagi. Kita berharap agar masalah tersebut dapat ditangani dengan bijaksana agar negara kita tidak lagi menjadi tempat lambakan pendatang asing tanpa izin.
Oleh; Nurzafirah Rahim.

Tips 1 Karangan STPM 2008

Tips 1 Karangan STPM 2008

Satu topik atau isu penting yang perlu diberikan perhatian dalam soalan karangan STPM tahun ini ialah kenaikan harga barang. Oleh itu, saya sertakan karangan contoh dengan rangka karangannya sekali di bawah ini.

Soalan contoh:Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita. Jelaskan kesan-kesan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

Rangka Karangan

Pendahuluan (IKCHF @ IKTHF)
Kenaikan harga petrol – kenaikan harga barang – perlu tingkatkan usaha – kenaikan harga boleh dikawal – perlu berusaha untuk kawal kenaikan

Isi-isi Penting (IKTHP @ IKCHP)
i. Kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit – kuasa beli berkurangan – harga barang keperluan dapur meningkat – mendatangkan kesan kepada pengguna – perlu bijak berbelanja.
ii. Kadar inflasi meningkat – ekonomi bermasalah – beri contoh – menyusahkan masyarakat – perlu jimatkan perbelanjaan.
iii. Jalankan kempen jimat cermat – sampaikan mesej – gunakan media arus perdana – beri kesedaran – kenaikan harga dapat ditangani.
iv. Rancang perbelanjaan seharian – beli barang yang perlu – beli barang yang murah – dapat jimatkan wang – kurangkan masalah.
v. Pengguna digalakkan menanam sayur – tak perlu beli sayur – tanam sayur sendiri – berikan kepada jiran – eratkan hubungan

Kesimpulan (RCAHH @ KCAHH)
Amalan berjimat cermat – sedar akan kenaikan harga – timbulkan banyak masalah – jangan sudah terhantuk baru nak tengadah – tangani kenaikan harga barang.


Harga petrol yang meningkat di seluruh dunia telah menyebabkan kenaikan harga bahan bakar tersebut tidak dapat dielakkan dan turut meningkat di negara kita. Kenaikan tersebut telah memberikan kesan negatif kepada pengguna kerana banyak barang juga turut meningkat harganya. Barang-barang keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, susu, ikan, ayam telah mengalami kenaikan harga. Perkara tersebut tentunya menyusahkan pengguna atau anggota masyarakat terutamanya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, terdapat pelbagai kesan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh pengguna dan langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk menanganinya.

Kenaikan harga barangan telah memberikan kesan kepada semua, antaranya ialah masalah ini akan menyebabkan kehidupan golongan yang berpendapatan rendah semakin terhimpit. Hal ini dikatakan demikian kerana kuasa beli mereka semakin berkurangan dan pendapatan mereka menjadi semakin berkurangan. Sebagai contohnya, barang-barang keperluan dapur semakin meningkat dan dianggarkan meningkat dalam lingkungan 20 hingga 50 peratus daripada harga yang sebelumnya. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada mereka kerana pendapatan mereka sebelum ini cuma cukup makan sahaja. Tegasnya, kehidupan masyarakat semakin sukar akibat kenaikan harga barang.

Kesan lain yang melibatkan semua pengguna ialah kadar inflasi akan meningkat di negara kita. Apabila kadar inflasi meningkat. sudah tentu ekonomi kita akan menghadapi masalah untuk berkembang dan seterusnya pertumbuhan ekonomi akan lembab. Sebagai contohnya, sebelum bulan Jun 2008 kadar inflasi di negara kita masih berada di bawah paras 3 peratus, tetapi apabila harga petroleum meningkat pada bulan Jun, kadar inflasi juga meningkat hingga melebihi 7 peratus. Oleh itu, kesan inflasi ini sudah tentu akan menimbulkan masalah kepada semua golongan masyarakat. Jadi, jelaslah bahawa masalah inflasi akan terus mencengkam pengguna akibat kenaikan harga barang.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dan anggota masyarakat di negara kita untuk menangani masalah ini. Langkah tersebut ialah pihak kerajaan perlu menjalankan kempen jimat cermat dalam kalangan pengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen yang dijalankan akan menyebarkan mesej kerajaan untuk menggalakkan masyarakat supaya berjimat cermat akan mendatangkan hasil. Kempen tersebut boleh dijalankan melalui media massa arus perdana seperti televisyen, radio, dan juga media cetak. Kempen tersebut juga sekurang-kurangnya diharapkan dapat memberikan kesedaran tentang perbelanjaan berhemat kepada para pengguna. Dengan cara itu, kesan kenaikan harga barang akan dapat ditangani dengan lebih berkesan dalam kalangan pengguna.

Langkah seterusnya ialah para pengguna perlu merancang perbelanjaan seharian dengan lebih berhemat. Hal ini akan menjadikan para pengguna di negara kita lebih bijak semasa berbelanja iaitu mereka cuma perlu membeli barang-barang yang diperlukan sahaja. Barang-barang yang kurang diperlukan tidak perlu dibeli atau mungkin ada barangan alternatif yang lain dan lebih murah harganya di pasaran. Para pengguna boleh membeli barang makanan yang dimakan setiap hari sahaja berbanding dengan makanan sampingan yang kurang penting. Oleh itu, wang yang digunakan untuk membeli barang-barang yang kurang diperlukan itu dapat dijimatkan dan digunakan untuk keperluan lain yang lebih penting. Perkara ini serterusnya dapat mengurangkan masalah yang timbul akibat kenaikan harga barang yang dihadapi oleh semua pengguna.

Anggota masyarakat yang juga merupakan pengguna digalakkan untuk menanam sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan harian. Dengan cara ini, para pengguna tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran di pasar setiap hari. Anggota masyarakat boleh menanam sayur-sayuran yang mudah ditanam di belakang rumah ataupun di dalam pasu seperti cili, kangkung, sawi, kunyit, serai, tomato, dan sebagainya. Selain untuk kegunaan sendiri, sayur-sayuran itu juga boleh diberikan kepada jiran-jiran yang berhampiran. Sudah tentu tindakan ini akan menjimatkan perbelanjaan dan secara tidak langsung, cara ini juga boleh merapatkan hubungan sesama jiran dan seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Sebagai kesimpulannya, para pengguna hendaklah mengamalkan langkah-langkah yang berkesan untuk menangani masalah kenaikan harga barang. Oleh itu, semua pengguna perlulah sedar akan kesan buruk akibat kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Sekiranya para pengguna tidak tidak mengendahkan perkara tersebut, sudah tentulah kenaikan harga barang akan menimbulkan masalah yang serius kepada mereka sendiri. Jadi, kita tidak mahu perkara itu berlaku dan langkah yang proaktif perlulah diambil agar tidak menjadi seperti peribahasa nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Kita berharap agar masalah kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan pada masa ini akan dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negara kita.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, November 15, 2008

Latihan Alih Bentuk Teks BM STPM

Latihan Alih Bentuk Teks Bahasa Malaysia STPM (Kertas 2)

Tahun ini dijangkakan soalan Alih Bentuk Teks akan menggunakan petikan prosa atau puisi klasik. Oleh itu saya sediakan soalan latihan mengalih teks prosa klasik kepada bentuk prosa moden untuk calon-calon STPM yang akan menjawab soalan Bahasa Malaysia Kertas 2 pada 25 November nanti. Saya juga telah menyediakan jawaban contoh untuk dijadikan panduan sekiranya diminta oleh calon. Selamat mencuba soalan tersebut.

Soalan 6.
Alih bentuk prosa klasik di bawah kepada bentuk prosa Melayu moden. [15 markah]

Adapun segala anak cucu Telanai Terengganu semuanya lari ke Melaka, maka dipersembahkanlah ke bawah duli Sultan Alau’d-Din, “Bahawa Telanai telah dibunuh Sultan Muhammad, sebab mengadap ke Melaka. Seri Akar Raja yang datang membunuh,” dan peri raja Pahang hendak melanggar balairung Melaka, akan merebut kerajaaan Baginda itu, semuanya dipersembahkan. Maka Sultan Alau’d-Din pun terlalu murka; titah baginda, “Raja Pahang hendak menunjukkan makarnya kepada kita. Baiklah kita suruh serang negerinya.” Maka baginda menyuruh berlengkap hendak menyerang Pahang. Maka sembah Bendahara Paduka Raja, “Ampun tuanku, beribu-ribu ampun di atas batu kepala patik, pada bicara patik, hamba tua ini, jangan taajal kita membinasakan Pahang itu; barang suatu hal paduka kakanda, tunkulah yang rugi. Baik patik itu Laksamana kita utuskan ke Pahang.” Maka titah Sultan Alau’d-Din, “Baiklah, yang mana kata Bendahara kita turut.” Maka ada cucu Telanai Terengganu tiga orang lelaki; disuruh Sultan Alau’d-Din peliharalah baik-baik kanak-kanak itu. Megat Sulaiman seorang namanya; Megat Hamzah seorang namanya; dan lagi seorang Megat Omar namanya. Maka Laksamana pun berlengkaplah; setelah mustaed, maka surat pun diarak oranglah ke perahu. Setelah itu maka Laksamana pun pergilah.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, hlm. 181-182, DBP, 1996)

Jika calon memerlukan jawaban contoh sebagai panduan, sila nyatakan alamat e-mel dalam ruangan komentar.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Peringatan Akhir Kepada Calon STPM 2008

Kertas 2 Bahasa Melayu STPM 2008
Peringatan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan
Peringatan tentang Masa:Pastikan anda membuat perancangan masa mengikut soalan dan masa yang diperuntukkan.

Peringatan tentang teknik menjawab soalan:
Karangan1. Baca semua soalan dan pilih satu daripada 4 soalan yang dikemukakan berdasarkan pengetahuan yang anda miliki tentang kehendak soalan tersebut.
2. Baca soalan itu sekali lagi dengan teliti dan garisi kata kunci dalam soalan.
3. Setelah memahami kehendak soalan, buatlah perancangan dengan membuat rangka karangan iaitu dengan menyenaraikan 5 isi penting karangan.
4. Fikirkan juga perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dan penutup karangan.
5. Selepas itu mulakan jawaban anda dengan menulis perenggan pendahuluan, seterusnya 5 perenggan isi dan perenggan kesimpulan. Jadi, jumlah perenggan nya sebanyak 7 perenggan.
6. Gunakan formula atau teknik untuk mengolah karangan yang telah dipelajari sebelum ini.
7. Pastikan karangan anda dijalin dengan ayat-ayat yang mempunyai pertalian dan pertautan atau mempunyai kohesi dan koheren.
8. Patuhi had perkataan karangan iaitu lebih kurang 650 – 700 perkataan. Pastikan setiap perenggan seimbang dari segi fizikalnya iaitu bilangan perkataannya adalah antara 90 – 100 perkataan.
9. Ingat, jumlah perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa dan sekiranya jumlah perkataan kurang daripada had yang ditetapkan, markah akan dipotong.
10. Masukkan ungkapan menarik atau peribahasa yang sesuai dalam mana-mana perenggan.
11. Elakkan daripada kesalahan bahasa yang biasanya kurang diberikan perhatian oleh calon-calon, contohnya elakkan penggunaan kata hubung pada awal ayat.
12. Semak sepintas lalu karangan yang sudah siap ditulis agar kesilapan dapat dibaiki.

Rumusan
1. Baca petikan sepintas lalu sambil menandakan isi utama dan isi-isi sampingan yang berkaitan.
2. Isi utama terdapat dalam perenggan pertama.
3. Cari 5 - 6 isi sokongan daripada perenggan-perenggan yang lain.
4. Kesimpulan pula terdapat dalam perenggan yang akhir.
5. Sila tulis rumusan anda dalam 3 perenggan dan tulis jumlah perkataan di dalam kurungan bahagian bawah, sebelah kanan rumusan selepas menamatkan jawaban.
6. Sila patuhi had perkataan yang dinyatakan dalam soalan, biasanya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa.
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.

Alih Bentuk Teks1. Baca teks asal sepintas lalu dan fahami maksudnya.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu baku.
3. Masukkan semua isi penting yang terdapat dalam teks asal.
4. Elakkan daripada membuat ulasan atau memberikan pendapat.
5. Jangan salin teks asal sepenuhnya.
6. Tulis dalam perenggan mengikut kesesuaian teks (tidak melebihi 3 perenggan)
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.
8. Semak jawapan dengan membaca ayat-ayat yang telah ditulis.

Analisis Kesalahan Bahasa1. Baca petikan sepintas lalu dan tandakan kesalahan bahasanya.
2. Buat 3 lajur iaitu untuk menulis kesalahan bahasa, sebab kesalahan dan pembetulannya.
3. Cari sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa daripada petikan dan beri sebab kesalahan dan pembetulan bagi setiap kesalahan.
4. Sebab kesalahan mestilah berdasarkan peraturan bahasa atau sistem bahasa mengikut Tatabahasa Dewan.
5. Biasanya calon dapat mengesan kesalahan kata, frasa atau binaan ayat dalam petikan tersebut. Kesalahan yang paling popular berdasarkan tahun-tahun yang lepas ialah kesalahan morfologi.

Selamat menjawab soalan dan saya doakan agar semua calon yang mengambil kertas Bahasa Melayu mendapat keputusan yang cemerlang.
Daripada Cikgu Khir Kassim

Friday, November 14, 2008

STPM 2008

Kepada Calon-calon STPM 2008 (khususnya yang mengambil kertas Bahasa Malaysia 2)

Selamat menduduki peperiksaan STPM yang akan bermula pada 18 November ini. Semoga calon-calon dapat menjawab soalan dengan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Bagi calon-calon yang mengambil Kertas Bahasa Melayu 2, ingat segala pesanan daripada guru-guru, fokuskan perhatian anda kepada soalan, jangan gopoh, teliti kata-kata kunci dalam soalan. Ingat, jawab perkara yang ditanya dan jangan jawab apa yang anda tahu. Jangan lupa untuk membahagikan masa bagi menyemak jawaban yang telah ditulis sebelum dihantar kepada pengawas. Kemungkinan besar ada kesilapan yang boleh dibaiki. Akhirnya, berdoalah, semoga jawaban anda menepati kehendak soalan.
Selamat berjuang dan menempa kejayaan yang cemerlang kepada semua calon STPM 2008. Prinsipal A dalam genggaman anda!! Yakin boleh!!! Insyaallah.
Tips terakhir menjelang hari peperiksaan akan menyusul kemudian.

Daripada Cikgu Khir Kassim

Analisis Kertas 2 STPM 2002 - 2007

Analisis Soalan STPM Bahasa Melayu Kertas 2 (2002 - 2007)

Soalan Bahagian A : Karangan

2002
1. Faktor yang mempengaruhi kestabilan institusi kekeluargaan. (Format umum)
2. Kesan pertumbuhan pasar raya. (Format umum)
3. Langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. (Format umum)
4. Punca kekurangan bekalan air dan langkah mengatasinya. (Format khusus - Laporan)

2003
1. Kesan negatif pencemaran sungai dan langkah mengatasinya. (Format umum)
2. Sebab kelembapan pasaran buku ilmiah dan cadangkan langkah untuk mepertingkatkannya. (Format umum)
3. Faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan cetak rompak dan kesan-kesannya. (Format umum)
4. Kelemahan sistem pengangkutan awam dan langkah mengatasinya. (Format khusus -Laporan)

2004
1. Usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk melalui sistem pendidikan. (Format umum)
2. Kesan buruk penggunaan racun serangga dan langkah mengatasi masalah. (Format umum)
3. Ulasan tentang faktor kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran dalam mencapai kemajuan negara. (Format umum)
4. Cara memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar. (Format khusus - Ucapan)

2005
1. Kepentingan aktiviti sukan dalam kehidupan warga Malaysia. (Format umum)
2. Dapatkah Malaysia menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. (Format umum)
3. Cara-cara Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi. (Format khusus - Ceramah)
4. Kesan negatif penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga. (Format umum)

2006
1. Kebaikan aktiviti kitar semula kepada masyarakat dan negara. (Format khusus - Ceramah)
2. Penjelasan tentang sebab-sebab siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian. (Format umum)
3. Penyataan kekesalan tentang kesan negatif program bersifat realiti yang disiarkan melalui televisyen. (Format khusus - Memorandum)
4. Sebab golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan. (Format umum)

2007
1. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, jelaskan tindakan yang perlu dilakukan untuk memperkukuh patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini. (Format umum)
2. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan gejala obesiti atau kegemukan dikatakan berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat. (Format umum)
3. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kegiatan seni budaya tradisional kini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. (Format umum)
4. Jelaskan penyataan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memasukkan komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi para pelajar tingkatan satu hingga lima boleh memberikan kesan yang positif kepada pelajar. (Format umum)

Soalan Bahagian B : Rumusan

2002
Petikan tentang teknologi Internet

2003
Petikan tentang usaha meningkatkan sektor pertanian

2004
Petikan tentang sekolah sebagai institusi untuk memupuk perkembangan individu secara menyeluruh

2005
Petikan tentang masalah sosial dalam kalangan remaja dan program yang dilaksanakan untuk mengatasinya.

2006
Petikan yang berkaitan dengan industri pengiklanan.

2007
Petikan tentang sektor pertanian – Potensi dan masa depan.

Soalan Bahagian C : Alih Bentuk Teks

2002
Dialog – Petikan drama
Dialog – Petikan cerpen

2003
Sajak
Iklan

2004
Dialog – Bahan kreatif
Sajak

2005
Prosa klasik
Dialog – Petikan cerpen

2006
Dialog
Iklan

2007
Dialog – Petikan cerpen Kelapa Nan Sebatang
Dialog - Perbualan


Soalan Bahagian D : Analisis Kesalahan Bahasa

2002
Kata pemeri, kata sendi nama, ejaan, kata bilangan, binaan ayat pasif, dan ayat tiada subjek.

2003
Kata sendi nama, binaan ayat pasif, kata ganda, kata kerja transitif aktif, dan penjodoh bilangan.

2004
Penjodoh bilangan, ayat tiada subjek, kata hubung pancangan relatif, binaan ayat pasif, kata adjektif dengan imbuhan ‘memper...kan’, dan ejaan.

2005
Kata hubung komplemen, kata pemeri, kata sendi nama ‘di’, binaan ayat pasif diri ketiga, kata nama ‘pada’ dan kata kerja aktif transitif.

2006
Kata hubung pancangan keterangan, ayat aktif transitif, ejaan, penggunaan kata hubung pada awal ayat, ayat majmuk pancangan relatif, dan kata ganda.

2007
Kata hubung pancangan keterangan, kata nafi, kata hubung pancangan keterangan, kata tanya, ayat pasif kata ganti nama pertama, dan kata seru.


Berdasarkan analisis soalan-soalan STPM yang lepas, anda dapat meneliti trend soalan dan membuat jangkaan bagi tahun ini.

Semoga berjaya.

Daripada Cikgu Khir.