Esei ini ditulis oleh saudari Immazaitul
Nor Aim binti Naim, Kelas 6 Rendah 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.
Soalan Contoh
Kita sering
mendapati bahawa banyak kemudahan awam yang disediakan oleh pelbagai pihak
telah dirosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Pada pandangan anda,
apakah faktor-faktor yang menyebabkan kejadian ini berlaku?
Kemudahan awam yang disediakan oleh
pihak kerajaan dan swasta adalah untuk kegunaan orang ramai. Akan tetapi, ada
kemudahan yang disediakan itu telah dirosakkan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab. Mereka merosakkan kemudahan awam yang disediakan seperti memutuskan
gagang telefon awam, menconteng dinding tandas awam, merosakkan alat permainan
di taman permainan kanak-kanak, dan sebagainya. Perkara itu menyebabkan orang
lain pula yang akan menerima kesannya kerana tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemudahan awam ini dirosakkan oleh
orang yang tidak bertanggungjawab.
Seperti yang kita sedia maklum, antara
faktor yang menjadi puncanya disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral
di rumah. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli keluarga itu sendiri tidak menunjukkan
contoh yang baik serta tidak menitikberatkan soal agama dan moral. Oleh itu, mereka merosakkan kemudahan awam tanpa
memikirkan akibat dan kesukaran yang akan dihadapi oleh orang lain. Jadi, tanpa didikan
agama dan moral daripada keluarga, perkara ini akan menyebabkan remaja tidak
dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Hal ini menunjukkan bahawa didikan
agama dan moral yang kurang dititikberatkan oleh ibu bapa menjadi faktor kemudahan
awam dirosakkan.
Faktor lain yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan ialah
remaja terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka. Perkara
ini berlaku kerana mereka kebiasaannya akan melakukan atau mencontohi tindakan rakan-rakan yang lain. Kebiasaannya,
remaja akan mengikut contoh atau melakukan tindakan yang dilakukan oleh rakan yang merosakkan kemudahan
awam, seperti merosakkan pam atau sinki tandas. Tindakan yang tidak
bertanggungjawab ini menyebabkan kesulitan kepada orang lain yang hendak menggunakannya.
Hal ini membuktikan bahawa pengaruh rakan merupakan satu daripada faktor yang
menyebabkan perkara ini berlaku.
Kita juga sedar bahawa perkara itu disebabkan
oleh sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan perkara yang berlaku di
sekeliling mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa kebanyakan anggota masyarakat
lebih mementingkan urusan mereka sendiri. Tindakan itu boleh diibaratkan
seperti “katak di bawah tempurung” kerana mereka tidak menghiraukan perkara yang
sedang berlaku. Hasilnya, gejala ini tentunya menyebabkan pihak yang tidak
bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam selepas menggunakannya. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak prihatin akan orang lain merupakan salah
satu daripada faktor yang menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Kemudahan awam yang
disediakan oleh pihak tertentu itu juga dirosakkan oleh orang yang hendak meluahkan
perasaan marah mereka. Hal ini disebabkan oleh mereka tidak ada tempat lain
untuk meluahkan perasaan selain merosakkan kemudahan awam yang disediakan.
Perkara ini jelas terbukti seperti kata-kata kesat dan lucah yang terdapat di dinding-dinding tandas awam dan di pondok telefon awam. Orang yang tidak
bertanggungjawab itu mungkin akan berasa lega dan berpuas hati dengan tindakannya itu. Sesungguhnya,
perkara ini menunjukkan bahawa faktor orang yang hendak melepaskan perasan
marah atau geramnya menyebabkan kemudahan awam dirosakkan.
Faktor lain yang menyebabkan
masalah ini berlaku ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah atau tidak
tegas. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak berkuasa tidak bertindak dengan tegas atau
mengenakan denda yang berat terhadap pihak yang merosakkan kemudahan awam.
Perkara ini menyebabkan orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani untuk
merosakkan kemudahan awam. Namun demikian, orang yang memerlukan kemudahan awam
tersebut pula yang terpaksa menanggung akibat buruknya. Oleh itu, kelemahan
penguatkuasaan undang-undang menjadi faktor penyumbang terhadap masalah ini.
Kemudahan awam juga sering
dirosakkan kerana kurang pemantauan dan penyelenggaraan daripada pihak yang
bertanggungjawab. Masalah ini akan menyebabkan pihak yang tidak
bertanggungjawab itu merosakkan kemudahan awam tersebut apabila mereka tidak dapat menggunakannya. Perkara ini mungkin
disebabkan oleh kekurangan kakitangan daripada pihak berkuasa yang hendak
membuat pemantauan ataupun perbelanjaan untuk menyelenggarakan kemudahan awam
itu sudah habis digunakan. Akibatnya, kemudahan awam yang dirosakkan itu akan
terus terbiar dan perkara itu akan menjejaskan kebersihan atau keselesaan.
Jadi, sememangnya faktor ini membuktikan bahawa masalah kurang pemantauan atau
penyelenggaraan menyebabkan perkara tersebut berlaku.
Sebagai kesimpulannya, terbuktilah bahawa kemudahan awam yang dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini berpunca daripada beberapa faktor. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menangani
masalah ini agar tidak menjadi lebih serius. Sekiranya perkara ini tidak
diberikan perhatian yang sewajarnya, masalah ini akan menyusahkan orang ramai yang hendak menggunakan kemudahan awam tersebut. Jadi, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku dan kita perlu mencegah perbuatan negatif tersebut menjadi amalan, tabiat atau budaya masyarakat kita. Akhirnya, kita
berharap agar kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan dapat digunakan oleh orang ramai demi keselesaan dan kemudahan semua pihak.
4 comments:
ni saya punya lah. haha. terima kasih cikgu :D
nic cikgu!!
Pro awk buat karangan..ni mesti dh jadi cikgu bm ni
Karangan yang baik cikgu. Saya minta izin untuk copy. Terima kasih
Post a Comment