Pengikut laman ini

Saturday, August 17, 2019

Esei STPM Semester 1 - Isu jenayah

Soalan esei
Kes jenayah yang semakin banyak berlaku di negara kita pada masa ini amat membimbangkan anggota masyarakat. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus meningkat.
Kes jenayah dikatakan semakin meningkat dan semakin sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di negara kita. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor yang menyumbang ke arah berlakunya jenayah pada masa ini. Kes jenayah yang sering dilaporkan berlaku adalah seperti kes pembunuhan, rompakan, penculikan, pecah rumah, dan sebagainya. Kes tersebut amat membimbangkan pelbagai lapisan masyarakat yang ingin akan kehidupan yang aman dan tenteram. Oleh itu, usaha-usaha perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus meningkat di negara kita.
Pihak berkuasa perlu memasang kamera litar tertutup (cctv) di kawasan yang sering berlaku kejadian jenayah. Kamera tersebut dapat mengimbas atau merakam segala perbuatan jenayah yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kamera tersebut perlu diletakkkan di kawasan bank, pusat beli-belah, taman permainan kanak-kanak, dan sebagainya. Perkara ini akan menakutkan penjenayah dan dapat menghalang mereka daripada melakukan jenayah. Jadi, kes jenayah akan dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan jika pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup di kawasan “panas”.
Pihak berkuasa harus meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya jenayah. Perkara ini akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah. Sebagai contohnya, polis melakukan rondaan yang lebih kerap di pusat beli-belah, bank, kedai emas, dan sebagainya. Melalui cara itu, kes jenayah dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan. Perkara itu jelas membuktikan bahawa tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan melalui rondaan yang lebih kerap oleh pihak berkuasa di kawasan yang sering berlaku kegiatan jenayah.
Langkah lain yang perlu dilakukan ialah pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen kesedaran tentang jenayah kepada masyarakat. Perkara itu penting kerana anggota masyarakat akan mendapat maklumat tentang cara untuk menghindarkan diri daripada jenayah. Dalam kempen tersebut, anggota masyarakat diberikan kesedaran tentang aspek keselamatan di tempat awam dan pihak polis boleh menunjukkan cara untuk menghadapi penjenayah melalui demonstrasi atau iklan di media massa. Dengan cara itu, kesedaran tentang jenayah dapat dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat. Tegasnya, jenayah dapat dikurangkan dan tahap keselamatan awam dapat ditingkatkan melalui kempen-kempen kesedaran tentang jenayah.
Kes jenayah juga dapat dikurangkan melalui penubuhan Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sesuatu kawasan perumahan. JKKK boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak polis dan membantu pihak berkuasa untuk membanteras jenayah. Contohnya, mereka boleh menjadi “Rakan Cop” dan memberikan maklumat kepada polis tentang kegiatan jenayah. Perkara ini dapat mencegah jenayah atau mengurangkan kes jenayah daripada menjadi lebih serius. Jadi, jelaslah bahawa penubuhan Rukun Tetangga atau JKKK di sesuatu kawasan dapat mengurangkan kes jenayah.
Pihak berkuasa wajar menambah bilangan pondok polis di kawasan bandar dan juga kawasan perumahan. Hal ini dapat menghalang penjenayah daripada melakukan aktiviti jenayah. Pondok polis boleh berfungsi sebagai pusat kawalan, pemantauan, dan tempat untuk orang ramai membuat aduan tentang kes jenayah. Jadi, pihak berkuasa perlu membina pondok polis di tempat yang strategik di kawasan bandar seperti di kawasan tumpuan orang ramai. Perkara ini akan menakutkan penjenayah kerana pihak polis boleh bertindak dengan lebih pantas untuk menangkap penjenayah.
Pihak berkuasa hendaklah meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang yang didapati bersalah melakukan jenayah. Tindakan itu perlu dilakukan kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai untuk melakukan jenayah. Sebagai contohnya, hakim perlu menjatuhkan hukuman penjara mandatori dan sebatan rotan kepada penjenayah di khalayak bagi kesalahan melakukan rompakan atau pecah rumah. Dengan cara itu, orang ramai tidak berani untuk melakukan jenayah. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa denda atau hukuman yang berat dapat mengurangkan kes jenayah.
Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai usaha yang perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan kes jenayah dapat ditangani dengan berkesan. Walau bagaimanapun, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan kes jenayah dapat dikurangkan dan keselamatan awam terjamin. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah pasti kes jenayah sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kita tidak mahu keamanan dan keselamatan anggota masyarakat terjejas. Jadi, kita berharap agar masalah jenayah dapat ditangani dengan berkesan demi keamanan dan kesejahteraan rakyat negara ini.  (648 perkataan)

3 comments:

monyet said...

poker online dengan pelayanan CS yang baik dan ramah hanya di AJOQQ :D
ayo di kunjungi agen AJOQQ :D

Unknown said...

Taii kau

Anonymous said...

:)