Pengikut laman ini

Friday, August 16, 2019

Kelemahan Esei Pelajar STPM Semester 1 (Perenggan Penutup)

Kelemahan Jalinan Idea (Koheren) dan Kesalahan Bahasa
Perenggan Penutup

Contoh perenggan penutup yang lemah jalinan idea (koheren) dan salah bahasanya

//Kesimpulannya, sebagai masyarakat yang mempunyai sifat perikemanusiaan, kita hendaklah menghindari daripada kelakuan tidak bermoral yang menjuruskan ke arah jenayah. //Cadangannya memilih rakan yang boleh membawa ke arah perkara yang positif. //Jika tidak, rakan yang membawa kepada arah negatif ini akan menghasut supaya melakukan perkara yang tidak bermoral. //Kesannya, kita akan terjebak dengan kes jenayah dan akan menyebabkan datangnya masalah dalam kehidupan. //Sebagai harapan, negara Malaysia akan lebih kurang kadar jenayah yang berlaku.  (72 perkataan)

Ayat pertama salah dari segi sintaksis iaitu kesalahan frasa kerja transitif yang tiada objek (menghindari daripada). Ayat pertama juga sepatutnya mengaitkan ayat fokus yang telah disentuh dalam ayat akhir perenggan pendahuluan. Ayat kedua salah dari segi sintaksis iaitu ayat tiada subjek dan frasa kerja transitif tiada objek (membawa ke arah). Ayat ketiga juga salah dari segi sintaksis iaitu  frasa kerja transitif tiada objek (membawa kepada). Ayat keempat salah dari segi semantik kerana maksudnya kabur dan tidak jelas. Ayat kelima juga salah aspek semantik kerana tidak jelas dan tidak menggambarkan ayat harapan yang lengkap.

Contoh perenggan penutup yang baik jalinan idea (koheren) dan tiada kesalahan bahasa

Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan kes jenayah dapat ditangani dengan berkesan. Walau bagaimanapun, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk memastikan keselamatan awam terjamin. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah pasti kes jenayah sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kita tidak mahu keamanan dan keselamatan anggota masyarakat terjejas. Jadi, kita berharap agar masalah jenayah dapat ditangani dengan berkesan supaya rakyat negara ini hidup aman dan sejahtera. (77 perkataan)

No comments: