Pengikut laman ini

Friday, May 28, 2010

Pengajaran Novel Melunas Rindu

Antara pengajaran yang diperoleh daripada novel ini adalah seperti yang berikut:

1. Setiap orang hendaklah menyayangi ahli keluarganya sendiri.

Hal ini dibuktikan melalui Fuad yang mengingati dan menyayangi ayahnya Robert Lim walaupun mereka tidak tinggal bersama.

2. Kita haruslah tabah menghadapi dugaan hidup.

Sebagai contohnya, Fuad begitu tabah menghadapi hidupnya yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang hebat.

3. Kita perlulah membantu orang yang memerlukan bantuan.

Hal ini dibuktikan oleh Fuad yang membantu rakannya Borhan dengan membawa anak Borhan yang demam panas ke klinik. Selain itu, Robert Lim menghulurkan bantuan wang perbelanjaan kepada abangnya Peter Lim setiap bulan.

4. Setiap orang yang rajin bekerja pasti akan mendapat hasilnya.

Sebagai contohnya, Fuad yang rajin mengusahakan tanah yang dibelinya itu dengan menanam jagung dan memberikan hasil yang banyak.

5. Sebagai manusia kita perlu menghormati orang lain.

Sebagai contohnya, Fuad sentiasa menghormati ayah dan ibu angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah.

6. Setiap orang hendaklah taat akan agama masing-masing.

Hal ini dubuktikan melalui tindakan Fuad dan Pak Ismail yang tidak pernah mengabaikan solat lima waktu mereka. Elain itu mereka berdua juga kerap menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau.

7. Kita perlulah mengamalkan nilai murah hati dalam kehidupan seharian.

Hal ini dibuktikan melalui tindakan Fuad yang murah hati dengan memberikan jagung yang ditanamnya sendiri kepada guru-guru sekolah di tempatnya bertugas.

8. Kita mestilah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

Sebagai contohnya, Mak Salmah memaafkan kesalahan Fuad yang melarikan Sofia daripadanya untuk diserahkan kepada Robert Lim.

9. Setiap orang haruslah menepati janji yang telah dibuatnya.

Sebagai contohnya, Fuad menunaikan janjinya untuk menjenguk adik-adik Farhana di rumah ibu Farhana. Selain itu, Fuad juga menunaikan janjinya dengan pergi ke rumah Cikgu Zamani yang menjemputnya untuk makan malam.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, May 15, 2010


Selamat Hari Guru 2010 kepada semua guru di seluruh negara terutamanya kepada rakan-rakan blogger seperti Cikgu Ghalib, Cikgu Razak, Cikgu Zaki, Dr. Ghazali, Cikgu Chai Loon Guan, Cikgu Taufik, Cikgu Juilis Mokujal, Cikgu Suhaimi, Cikgu Bukharis, Cikgu Aminhad, Cikgu Azmi Misron, Ustazah Ramlah (Kak Ram GC), Cikgu Nawi Ismail, Cikgu Zanariah, Cikgu Fariza, dan rakan-rakan blog yang lain yang tidak dapat disenaraikan di dalam ruangan ini.

Saya berharap agar cikgu terus meningkatkan usaha dan prestasi untuk menabur bakti kepada anak-anak  didik demi membina negara bangsa. Insya-Allah usaha kita yang ikhlas dan murni itu diberkati.

Daripada Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, May 12, 2010

Karangan Pelajar Tingkatan 6 - Penyakit Berjangkit


Karangan ini ditulis oleh Mohd Shafwan bin Mohd Jaini (6A1)


Soalan karangan:

Wabak penyakit berjangkit yang merebak di seluruh dunia pada masa ini perlu dikawal agar tidak merebak. Jelaskan punca masalah tersebut berlaku.

Fenomena penyakit berjangkit sudah biasa dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Di Malaysia khususnya, fenomena penyakit berjangkit ini sering dipaparkan di media cetak, media elektronik, dan sebagainya. Perkara itu disebabkan oleh masyarakat kini kurang mengambil berat terhadap amalan gaya hidup yang sihat. Jadi, masyarakat akan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya penyakit berjangkit yang semakin menular kebelakangan ini seperti penyakit selesema H1N1. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh masyarakat untuk mengelakkan masyarakat daripada dijangkiti penyakit berjangkit. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan penyakit berjangkit berlaku.

Kurang kesedaran daripada anggota masyarakat telah menyebabkan berlakunya penularan fenomena ini. Anggota masyarakat pada masa ini terlalu mengejar kemewahan dengan mengumpul harta dunia sehingga kurang mengambil tahu terhadap isu semasa pada masa ini. Masyarakat jenis ini terlalu mementingkan diri mereka sendiri serta hidup di dalam dunianya sendiri. Kebanyakan daripada mereka ini tidak mengetahui isu semasa yang berkaitan dengan virus H1N1 yang mementingkan penjagaan kebersihan diri dan mengelakkan mereka daripada pergi ke luar negara untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti oleh virus tersebut. Namun begitu, segelintir daripada mereka terlalu mementingkan diri sendiri sehingga melanggar larangan tersebut. Apabila sudah dijangkiti barulah mereka hendak menyesal tetapi perkara itu sudah terlambat, bak kata pepatah, ”Nasi sudah menjadi bubur".

Anggota masyarakat juga tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang dan akan menyebabkan mereka mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini dikatakan demikian kerana pemakanan yang seimbang akan mendatangkan pelbagai jenis sumber tenaga di dalam tubuh badan kita. Sekiranya kita tidak mengamalkannya, antibodi yang terdapat di dalam badan akan menjadi lemah, kurangnya zat di dalam tubuh badan dan sebagainya. Perkara itu akan menyebabkan kita mudah untuk dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan antibodi atau ketahanan diri yang lemah untuk melawan penyakit tersebut. Perkara itu membuktikan bahawa amalan pemakanan yang seimbang sangat penting diamalkan jika tidak mahu penyakit berjangkit ini menjangkiti kita.

Anggota masyarakat juga kurang menjaga kebersihan diri dan juga persekitaran. Hal itu akan menyebabkan seseorang itu mudah untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Dengan persekitaran yang kotor, seseorang akan mudah dijangkiti oleh penyakit berjangkit ini. Sebagai contohnya, apabila seseorang itu memegang tombol pintu dan terus memegang makanan tanpa membasuh tangan, sudah tentu orang itu akan mendapat penyakit kerana tombol pintu tersebut mengandungi kuman yang dibawa oleh orang lain. Oleh hal yang demikian, amalan membasuh tangan perlu dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat jika tidak mahu djangkiti oleh penyakit.

Hubungan sosial tanpa batasan turut menyumbang kepada penularan fenomena penyakit berjangkit yang berteraskan kurangnya amalan gaya hidup sihat. Hubungan seks yang dilakukan oleh segelintir masyarakat akan menyebabkan viris HIV tersebar. Hal ini berlaku kerana tanpa pemakaian alat pencegahan seperti kondom, virus tersebut akan tersebar melalui alat sulit mereka. Hal yang sama juga berlaku seperti penggunaan atau perkongsian jarum suntikan untuk dadah. Amalan tersebut akan menyebabkan seseorang itu akan dijangkiti virus HIV dan seterusnya menghidap AIDS. Perkara itu tentunya akan memberikan kesan kepada penghidap penyakit tersebut serta keluarganya.

Anggota masyarakat tidak tidak mempunyai pengetahuan tentang penyakit yang berjangkit. Penerangan dan kempen yang dijalankan oleh kerajaan kurang berkesan. Contohnya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyarankan sesiapa yang disyaki dijangkiti penyakit virus H1N1 supaya dikuarantin bagi mengelakkan virus tersebut daripada merebak. Namun begitu, masyarakat kini keras kepala sehingga mengancam nyawa orang lain. Perbuatan yang sedemikian telah membantu penyebaran virus tersebut sehingga sukar untuk dikawal oleh pihak berkuasa kesihatan. Tegasnya, pengetahuan yang cetek menyebabkan penyakit tersebut mudah berjangkit dan virus disebarkan kepada orang lain.

Sebagai kesimpulannya, banyak punca yang menyebakan masalah tersebut berlaku dan penularan wabak penyakit berjangkit disebabkan oleh kurangnya amalan gaya hidup yang sihat oleh anggota masyarakat. Jadi, langkah yang proaktif perlulah diambil oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan dengan cara yang lebih efektif. Sekiranya langkah yang berkesan tidak diambil, nescaya masyarakat akan menjadi mangsa kepada ancaman penyakit berjangkit ini. Tentulah kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana banyak kesan buruknya. Oleh itu, kita perlulah bersiap sedia untuk mencegah penyakit tersebut demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini.

Tuesday, May 4, 2010

Pengajaran Tatabahasa

Baru-baru ini, beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara yang menarik untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.

Pengenalan
Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya berlaku di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.

Teknik yang Sesuai
Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian, nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Jika ditinjau daripada respons pelajar, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Dengan perkataan lain, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Di samping itu, pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.

Teknik Nyanyian
Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau dengan menggunakan lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu tersebut. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.

Bahan Lain yang Sesuai
Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar tingkatan 4 boleh menggunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek penggolongan kata, seperti kata nama dan kata kerja. Oleh itu, selain mengkaji aspek sastera dan maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek tatabahasa yang hendak dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran itu terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya dilakukan di dalam kelas.

Bahan Komsas
Karya-karya komsas selain sajak, iaitu cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan dengan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengatasi masalah kebosanan dan kurangnya minat murid untuk mempelajari tatabahasa.

Bahan Cetakan
Bagi pelajar-pelajar tingkatan 6, guru-guru perlu menggunakan bahan cetakan seperti keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi, secara tidak langsung pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini tidak membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus tentang perkara yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat-ayat yang melibatkan pelbagai aspek tatabahasa. Selain itu, perkara ini juga membuktikan bahawa pengetahuan tatabahasa pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2 STPM.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim