Pengikut laman ini

Saturday, April 3, 2021

Teknik Analogi

 Teknik Analogi

Teknik analogi ialah teknik penyampaian idea yang dimulakan dengan membina satu ayat pernyataan atau gagasan terhadap suatu perkara. Ayat kedua pula diikuti oleh ayat alasan atau hujah terhadap pernyataan atau gagasan dalam ayat pertama. Kemudian ayat ketiga akan dikaitkan dengan suatu pernyataan lain yang hendak dibandingkan dengan ayat pertama. Ayat keempat ialah ayat alasan atau hujah berdasarkan ayat ketiga.

Ayat gagasan

+

Ayat hujah/alasan

+

Ayat perbandingan dengan gagasan

+

Ayat hujah/alasan


 

Contoh perenggan teknik analogi

Thailand merupakan sebuah negara yang telah berjaya menarik kemasukan ramai pelancong asing. Rahsia kejayaan negara itu ialah keupayaannya mengekalkan dan mempopularkan keindahan pantai serta alam semula jadinya. Malaysia juga boleh berjaya dalam usaha untuk memajukan industri pelancongan jika negara kita dapat melaksanakan langkah yang sama. Negara ini mempunyai keindahan pantai dan alam semula jadi yang boleh dimajukan dan dipopularkan.

Soalan Latihan

Berdasarkan permulaan petikan yang diberikan di bawah, hasilkan sebuah wacana dengan menggunakan teknik analogi. Wacana yang terhasil hendaklah tidak melebihi 40 patah perkataan.  [3]

Jepun merupakan sebuah negara yang maju dalam bidang perindustrian.  

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................

..........................................................................................................................



Wednesday, March 31, 2021

Teknik Induksi dan Eklektik

Teknik Induksi

Teknik induksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan suatu pernyataan khusus dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri dengan pernyataan umum. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan huraian dan contoh yang bersifat khusus serta kemudiannya diakhiri dengan ayat topik yang bersifat umum.

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat topik

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik induksi

Ada petani yang melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Jadi, pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pencemaran udara berlaku.

 Teknik Eklektik

Teknik eklektik bermaksud penyampaian idea yang menggabungkan dua teknik iaitu teknik deduksi dengan teknik induksi. Dengan perkataan lain, teknik eklektik dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus serta diakhiri oleh pernyataan umum. Oleh itu, dalam perenggan eklektik ini, ayat pertamanya ialah ayat topik (ayat topik yang merupakan pernyataan umum), kemudiannya diikuti oleh huraian/sokongan dan contoh, serta diakhiri dengan ayat kesimpulan (ayat kesimpulan merupakan pernyataan umum). 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat kesimpulan

(Pernyataan umum)

 

Contoh perenggan teknik eklektik

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam. Tegasnya, pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan pembakaran terbuka telah menyebabkan udara tercemar.

 Teknik analogi akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Tuesday, March 30, 2021

Retorik - Teknik Penyampaian Idea

Teknik penyampaian idea merupakan subtopik Retorik. Terdapat empat teknik penyampaian idea yang sering kali digunakan untuk menyampaikan wacana dengan berkesan iaitu teknik deduksi, teknik induksi, teknik eklektik, dan teknik analogi.

Teknik Deduksi

Teknik deduksi bermaksud penyampaian idea yang dimulakan dengan pernyataan umum dan kemudiannya diikuti oleh pernyataan khusus dan diakhiri juga dengan pernyataan khusus. Dengan perkataan lain, sesuatu perenggan itu dimulakan dengan ayat topik yang bersifat umum dan kemudiannya diikuti oleh ayat huraian dan contoh yang bersifat khusus.

 

Ayat topik

(Pernyataan umum)

+

Ayat huraian/sokongan

(Pernyataan khusus)

+

Ayat contoh

(Pernyataan khusus)

 

Contoh perenggan teknik deduksi

Pencemaran udara disebabkan oleh aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka melakukan aktiviti penerokaan hutan atau membuka kawasan pertanian baharu. Contohnya, mereka membakar kawasan tersebut untuk bercucuk tanam atau membuka ladang.

Petua atau tips untuk membezakan pernyataan umum dengan pernyataan khusus:  

1.  Ayat pernyataan umum bersifat umum dan tidak spesifik atau tidak jelas. Ayat pernyataan umum masih boleh disoal untuk mendapatkan penjelasan.

2.  Ayat perrnyataan khusus bersifat khusus dan spesifik atau jelas. Ayat pernyataan umum tidak perlu disoal lagi untuk mendapatkan penjelasan.

3.  Contoh ayat pernyataan umum dan ayat pernyataan khusus terdapat dalam perenggan contoh teknik deduksi di atas.

Teknik penyampaian idea lain akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Thursday, February 11, 2021

Teknik Penulisan Perenggan Penutup Esei

 Teknik KCAHH (Kena Cermat Atau Hati Hati)

p  Ayat Kesimpulan

p  Ayat Cadangan umum

p  Ayat Argumen

p  Ayat Huraian argumen

p  Ayat Harapan umum

 Contoh Olahan Perenggan Penutup

K - Sebagai kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan masalah rumah yang siap dibina tetapi tidak dibeli oleh orang ramai. (K) – Ayat Kesimpulan/ Ayat rumusan

C - Oleh itu, pihak berkuasa dan pihak pemaju perlu memastikan rumah yang dibina dapat dijual kepada pembeli rumah. (C) – Ayat cadangan umum

A - Sekiranya faktor-faktor tersebut tidak dapat diatasi, pastinya pemaju perumahan dan anggota masyarakat akan menerima kesan buruknya. (A) – Ayat argumen

H - Jadi, kita tidak mahu kesan buruk tersebut menjejaskan orang ramai untuk memiliki rumah. (Hu) – Ayat huraian terhadap argumen

H - Akhirnya, kita berharap agar masalah tersebut diberikan perhatian oleh pihak berkuasa supaya setiap keluarga dapat memiliki rumah sendiri dan hidup dengan selesa. (Ha) Ayat harapan umum   (88 perkataan)

Contoh Perenggan Penutup Lain yang Menggunakan Formula 2K 

 Sebagai kesimpulannya, para pelajar akan mendapat banyak manfaat dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Oleh itu, aktiviti kokurikulum yang telah diwajibkan kepada para pelajar di negara ini wajar diperkasakan agar kegiatan ini relevan dengan peredaran zaman. Sekiranya perkara itu tidak dilakukan, tentunya hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang seimbang akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana negara memang bermatlamat untuk mewujudkan modal insan kelas pertama bagi mengharungi cabaran pada hari-hari yang mendatang. Jadi, kita berharap agar aktiviti kokurikulum dapat melahirkan pelajar yang seimbang demi menghadapi dunia globalisasi yang semakin mencabar.  (93 perktaan)

Sunday, December 6, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Isi - Esei Tidak Berformat STPM

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan isi dengan menggunakan formula 2K. Jadi, pelajar perlu menggunakan formula yang sama untuk mengolah atau mengembangkan kesemua isi.

Teknik Penulisan Perenggan Isi yang Menggunakan Formula 2K 

Teknik IKCHP (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai)

p  Ayat Isi (Ayat topik)

p  Ayat huraian – Ayat Kenapa / ayat bagaimana

p  Ayat Contoh (contoh daripada ayat isi)

p  Ayat Huraian contoh

p  Ayat Penegasan atau penerangan lanjut terhadap isi

Pastikan setiap perenggan terdapat sekurang-kurangnya 5 ayat.  Kemudian, pastikan ada 5 atau 6 isi dalam satu esei (5 - 6 perenggan = 5 - 6 isi). Setiap perenggan isi menggunakan teknik atau cara yang sama.

Contoh Soalan:

Banyak rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Olahan Perenggan Isi                                                             

I - Harga rumah yang terlalu mahal telah menyebabkan pembeli tidak mampu untuk membelinya. (I)  - Ayat isi/ topik esei

K - Harga rumah yang mahal akibat harga bahan binaan yang meningkat menyebabkan pembeli terbeban oleh hutang jika mereka membeli rumah tersebut. (K) – Ayat kenapa ayat isi berlaku

C - Sebagai contohnya, harga simen, pasir, bata, dan besi  telah meningkat dengan mendadak hingga menyebabkan harga rumah melebihi RM400,000 sebuah. (C) – Ayat contoh daripada ayat isi

H - Harga yang terlalu mahal telah menyebabkan rumah yang siap dibina tidak dapat dijual kerana kekurangan pembeli yang mampu untuk membelinya. (H) – Ayat huraian daripada contoh

P - Hal ini membuktikan bahawa rumah yang dibina tidak dibeli oleh pembeli rumah kerana harga rumah terlalu mahal. (P) – Ayat penegasan daripada ayat isi        (88 perkataan)

Contoh Perenggan Isi Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Manfaat utama yang akan diperoleh ialah guru dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar. Melalui aktiviti tersebut, para pelajar akan lebih terdedah kepada kegiatan yang dilaksanakan secara bekerjasama dalam satu pasukan. Aktiviti seperti pemasangan khemah semasa perkhemahan memerlukan kerjasama yang jitu dan sikap tolong-menolong antara satu sama lain, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Aktiviti kokurikulum seperti itu mampu untuk memupuk sifat-sifat yang mulia dalam diri setiap pelajar. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat menggalakkan pembentukan sahsiah dan melahirkan remaja yang mempunyai budi pekerti yang mulia. (89 perkataan)

Teknik penulisan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Tuesday, December 1, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan - Esei Tidak Berformat Semester 1

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Esei merupakan wacana yang terhasil daripada jalinan ayat yang mempunyai hubungan atau pertalian yang mantap antara satu sama lain. Dalam wacana, jalinan ayat yang mantap tersebut mesti mempunyai unsur kohesi dan koheren. Kohesi bermaksud tautan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana. Koheren pula bermaksud jalinan atau kesinambungan idea yang mantap antara ayat dalam sesuatu wacana atau juga dikenali sebagai runtutan. Jadi, esei yang mantap dapat dibina daripada perenggan yang mempunyai kedua-dua unsur tersebut.

Dari segi teknik penyampaian idea dalam retorik pula, terdapat beberapa teknik penyampaian idea dalam penghasilan perenggan esei. Perenggan-perenggan yang dihasilkan tersebut akan membentuk suatu esei atau wacana. Antara teknik yang popular dan seringkali digunakan ialah teknik eklektik. Teknik tersebut dimulakan dengan ayat pernyataan umum (ayat topik), kemudian diikuti pula oleh beberapa ayat pernyataan khusus (ayat huraian dan ayat contoh), dan diakhiri dengan ayat pernyataan umum (ayat penegasan). Jadi, untuk memudahkan pelajar STPM Semester 1 menulis esei tidak berformat yang mantap, dicadangkan supaya pelajar menggunakan teknik menulis esei yang sistematik dan mudah diaplikasikan iaitu “Formula 2K” yang membawa maksud formula kohesi (K) iaitu tautan dan koheren (K) iaitu runtutan. 

Dengan menggunakan teknik tersebut, panjang setiap ayat akan menjadi lebih seimbang dan jumlah perkataannya juga seimbang dalam setiap perenggan. Setiap perenggan seharusnya mengandungi 80 hingga 90 perkataan sahaja. Jika pelajar menulis 8 perenggan esei dan didarabkan dengan 80 perkataan jadi jumlahnya ialah 640 perkataan. Sekiranya pelajar menulis 7 perenggan esei dan didarabkan dengan 90 perkataan jadi jumlahnya ialah 630 perkataan. Hal ini disebabkan oleh setiap perenggan telah disediakan teknik atau cara untuk pelajar membina setiap ayatnya. Ayat-ayat tersebut pula akan membentuk perenggan yang mantap dari segi kohesi dan koherennya atau tautan dan runtutan. Dicadangkan supaya pelajar membina lima atau enam ayat dalam setiap perenggan. Teknik tersebut akan dihuraikan dan dijelaskan dalam perbincangan yang berikut.

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan pendahuluan dengan menggunakan formula 2K.

Teknik Penulisan Perenggan Pendahuluan

Teknik IKCHF (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Faham)

·       Ayat Isu (Isu dalam soalan)

·       Ayat huraian – Kenapa (atau bagaimana)

·       Ayat Contoh (Contoh daripada ayat isu)

·       Ayat Huraian contoh

·       Ayat Fokus soalan

Contoh Soalan:

Pada masa ini banyak rumah yang telah siap dibina tetapi dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Menggunakan Formula 2K

I - Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. (I) – Ayat isu dalam soalan

K - Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. (K) – Ayat kenapa perkara dalam ayat isu berlaku

C - Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. (C) – Ayat contoh daripada ayat isu

H - Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. (H) - Ayat huraian daripada ayat contoh

F - Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (F) – Ayat yang menyentuh fokus soalan (85 perkataan)

Contoh Perenggan Pendahuluan yang Lengkap

Isu rumah yang sudah siap dibina tetapi sukar untuk dijual merupakan isu biasa pada masa ini. Masalah ini berlaku kerana tiada permintaan terhadap rumah tersebut hingga menyebabkannya terbiar begitu sahaja. Menurut perangkaan terkini, di Kedah terdapat 3,783 unit diikuti oleh Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 929 unit rumah yang masih tidak dapat dijual. Perkara ini tentunya akan memberikan kesan kepada pertumbuhan atau kemajuan sektor perumahan negara. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala pemanasan global berlaku. (85 perkataan) 

Contoh Perenggan Pendahuluan Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Aktiviti kokurikulum yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan memang banyak kebaikannya kepada para pelajar. Aktiviti kokurikulum merupakan kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah iaitu selepas waktu persekolahan dan melibatkan kegiatan persatuan, kelab permainan, dan pasukan beruniform. Aktiviti tersebut termasuklah Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris, Kelab Badminton, Kelab Bola sepak, Pasukan Pengakap, Pandu Puteri, dan sebagainya. Jadi, para pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang telah diwajibkan oleh pihak kementerian kepada mereka. Kegiatan kokurikulum telah terbukti memberikan pelbagai manfaat kepada  para pelajar. (83 perkataan)

Teknik penulisan perenggan isi dan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

Sunday, April 12, 2020

Latihan Analisis Kesalahan Bahasa

Pelajar Semester 2 boleh menggunakan soalan Analisis Kesalahan Bahasa di bawah sebagai latihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan sekarang. Jadi, pelajar boleh mencuba latihan di bawah dengan menganalisis kesalahan bahasa yang terdapat di dalam petikan tersebut. Pelajar perlu mengenal pasti tiga kesalahan seperti kesalahan kata, frasa, atau ayat dalam petikan tersebut. Setelah mengenal pasti tiga kesalahan, pelajar perlu memberikan alasan bagi setiap kesalahan tersebut berdasarkan rumus tatabahasa yang telah dipelajari dan menulis pembetulannya.

Soalan
Baca petikan yang berikut dan kenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.       
[9]
Fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berupaya untuk menamatkan penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Ketua Pengarah Kesihatan menjelaskan bahawa keyakinan itu bersandarkan kepada perkembangan statistik penularan wabak terbabit. Kesinambungan kawalan yang menyaksikan kejayaan hingga penyakit tersebut dapat dikurangkan menerusi PKP fasa pertama dan kedua harus diteruskan pada fasa ketiga. Dengan kerjasama semua pihak dapat mengurangkan bilangan pesakit Covid-19. Jika kita boleh melakukannya, kita akan dapat menangani wabak tersebut dengan jayanya. Tambahan pula, hingga ke hari ini, hampir separuh daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini sudah pulih sepenuhnya.

Bil.
Kesalahan
Sebab kesalahan
Pembetulan
(a)






(b)








(c)








Jawapan cadangan boleh didapati daripada channel Youtube saya di alamat: https://www.youtube.com/watch?v=iwVvLE2U_sU