Pengikut laman ini

Friday, March 4, 2011

Esei Tingkatan 6 - Isu Pemanasan Global

Esei ini telah disediakan oleh saudari Munirah bt. Ali Mohamed daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.


Punca-Punca Pemanasan Global

Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang semakin banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini tidak sama jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udara yang lebih nyaman dan keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa ini sudah menjadi lebih panas dan memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia serta alam sekitar. Hal ini dapat diibaratkan seperti manusia pada masa ini hidup seperti di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu mengetahui punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

     Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang melakukan pembakaran secara terbuka. Hal ini dikatakan demikian kerana ada anggota masyarakat yang mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan orang lain. Sebagai contohnya, pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut melakukan aktiviti pembakaran terbuka semasa melakukan penerokaan hutan dan pertanian pindah. Di samping itu, ada pula yang membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula kawasan pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

     Faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas yang berbahaya secara tidak terkawal daripada kenderaan. Hal ini dikatakan demikian kerana bilangan kenderaan bermotor semakin meningkat saban tahun. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Perkara ini membuktikan bahawa pemanasan global berpunca daripada pelepasan asap daripada kenderaan bermotor.

      Pembebasan gas klorofluorokarbon ke udara juga boleh menyebabkan penipisan lapisan ozon berlaku. Perkara ini seterusnya menyebabkan gejala pemanasan global semakin serius berlaku dewasa ini. Gas tersebut digunakan dengan meluas di dalam alat pendingin hawa, peti sejuk, dan alat penyembur racun nyamuk serta lipas. Seterusnya perkara itu menyebabkan pancaran cahaya matahari secara terus ke bumi berlaku dan suhu bumi menjadi semakin panas. Tambahan pula, sinar ultraungu daripada cahaya matahari yang tidak ditapis oleh lapisan ozon akan menyebabkan penyakit kanser kulit. Jelaslah bahawa pembebasan gas yang berbahaya tersebut menjadi salah satu sebab pemanasan global berlaku pada masa ini.   

     Perkembangan dalam sektor perindustrian yang semakin pesat turut menjadi faktor pemanasan global. Hal ini dikatakan demikian kerana kegiatan perindustrian yang pesat menyebabkan kilang-kilang membebaskan gas berbahaya seperti sulfur dioksida dan karbon monoksida. Perkara itu menyebabkan pencemaran udara dan seterusnya memanaskan suhu bumi. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, fenomena ini tentunya memburukkan keadaan lagi dan menyebabkan suhu bumi semakin panas. Jadi, pelepasan gas berbahaya daripada kilang menjadi satu daripada faktor pemanasan global berlaku.

     Faktor pembinaan bangunan pencakar langit dan bangunan yang berdinding cermin yang semakin banyak turut menjadi penyebab kepada pemanasan global. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pantulan cahaya daripada matahari terhadap cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Jadi, kesan haba tersebut menyebabkan suhu bumi semakin panas dan menyebabkan kesan negatif kepada semua hidupan di bumi. Jelaslah bahawa proses pembandaran dan pembangunan yang pesat merupakan faktor berlakunya pemanasan global.

     Kesimpulannya, banyak perkara yang menyebabkan tercetusnya gejala pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu mengamalkan semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang tercemar ini dapat dipulihkan semula.  Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin serius ini dan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin terhadap alam sekitar. Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”. Jadi, kita berharap agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia pada masa ini akan dapat ditangani segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan.

Oleh Munirah bt. Ali Mohamed (6A2)

Monday, February 28, 2011

Nilai Murni dalam Kembara Amira

1. Tolong-menolong - sebagai contohnya, Itai menolong Amira dengan menyelamatkannya daripada lemas di sungai. Jacinta pula membawakan Amira makanan untuk makan malam ke khemahnya.

2. Kerjasama - contohnya Itai dan Ludin memberikan kerjasama dalam gerakan atau usaha untuk mencari Malique yang hilang.

3. Hormat-menghormati - contohnya Amira menghormati emaknya dan juga orang lain seperti Dr. Zawawi, Itai dan Ludin dan tidak pernah meninggikan suara atau bersikap kurang sopan kepada mereka.

4. Kegigihan - contohnya Amira gigih berusaha untuk mencari Malique yang hilang dengan bantuan Itai. Pelajar-pelajar Profesor Zaidah pula gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan itu walaupun diganggu oleh pelbagai bunyi pada waktu malam.

5. Kasih sayang - contohnya ibu Amira amat menyayanginya dan ada masa untuknya walaupun dia sibuk dengan tugasnya. Jennifer pula sayang akan anaknya iaitu Malique dan sanggup datang ke hutan itu untuk mengikuti perkembangan dan keadaannya setelah mendapat berita bahawa anaknya itu hilang di dalam hutan..

6. Kesabaran dan ketekunan - contohnya pelajar-pelajar Profesor Zaidah bersabar dan tekun menjalankan kerja lapangan di tapak ekskavasi atau kerja lapangan walaupun menghadapi pelbagai masalah dan rintangan.

7. Taat akan agama – selepas menunaikan solat subuh, semua pelajar masih tidur kerana keletihan. Amira mengqada solat Subuh apabila sampai di Stesen Dahan Hijau kerana tidak sempat menunaikannya semasa di dalam kereta api.

8. Belas kasihan – Pak Lias kasihan kepada Amira iaitu apabila Profesor Zaidah seolah-olah tidak mempedulikan anak tunggalnya itu.

9. Sayang akan alam sekitar - Tau dan Malique tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan itu.

10. Keikhlasan - Ludin merawat tangan Profesor Zaidah yang terseliuh dengan menggunakan kaedah perubatan tradisional setiap hari dengan ikhlas.

11. Mengakui kesilapan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya iaitu pada mulanya dia kurang yakin dengan rawatan yang hendak diberikan oleh Ludin tetapi cara rawatan yang diberikan oleh Ludin benar-benar berkesan. Beliau juga mengakui kesilapannya yang mengabaikan Amira hingga dia hampir mati lemas di sungai kerana terlalu mementingkan kerjanya.

 

Saturday, February 19, 2011

Esei Tingkatan 6 - Isu Penganjuran Sukan Pada Peringkat Antarabangsa

Esei ini telah disediakan oleh saudari Nurul Natasha Shaharuddin daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.

Soalan Contoh

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat antarabangsa dengan jayanya.
Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di persada dunia

Isi-isi
i.   Menyebabkan kedatangan pelancong asing semakin meningkat
ii.  Mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia
iii. Menjalin dan mengukuhkan kerjasama
iv. Menjadi wadah untuk perpaduan
v.  Meningkatkan mutu sukan negara

Penutup
- Penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif

Karangan Contoh

       Negara kita telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa. Melalui pengan juran sukan tersebut nama negara kita semakin dikenali di seluruh dunia. Negara kita telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah membuktikan kemampuan negara kita dalam penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa. Perkara itu juga telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Jadi, penganjuran sukan tersebut telah memberikan pelbagai kesan positif kepada negara kita.

       Kesan positif yang paling ketara ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami perkembangan dan kemajuan. Hal ini sekali gus dapat menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan tersebut secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Jadi, penganjuran sukan antarabangsa terbukti banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.

       Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan dapat meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.

       Melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat keuntungan daripada pelbagai aspek.

        Kita juga sering mendengar ungkapan bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi "bagai aur dengan tebing".

       Selain ejen perpaduan, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan di negara kita yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mereka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Perkara ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping merealisasikan slogan Malaysia Boleh.

       Kesimpulannya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif kepada negara kita. Walau bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan penganjuran sukan tersebut di pentas antarabangsa. Jadi, pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia mendapat lebih banyak manfaatnya. Jika usaha tersebut tidak dilakukan, negara kita tidak dapat merebut peluang yang jarang-jarang diperoleh. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa akan menjadi kenyataan demi kemajuan sukan dan pembangunan negara.

Oleh Nurul Natasha Shahduddin, 6A2

Tuesday, February 15, 2011

Isu Karangan STPM 2002 - 2010

Pelbagai isu karangan telah dikemukakan dalam Kertas Bahasa Malaysia STPM dari tahun 2002 hingga 2010. Oleh itu, calon-calon STPM 2011 hendaklah meneliti isu yang telah dikemukakan itu seperti yang dipaparkan di bawah. Kajilah isu-isu karangan itu untuk membuat jangkaan isu yang mungkin dikemukakan pada tahun ini.

Isu-isu dalam Soalan Karangan

2002
1. Institusi kekeluargaan
2. Pasar raya
3. Minat membaca
4. Bekalan air

2003
1. Pencemaran sungai
2. Pasaran buku ilmiah
3. Kegiatan cetak rompak
4. Sistem pengangkutan awam

2004
1. Perpaduan dalam kalangan penduduk
2. Penggunaan racun serangga
3. Kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran
4. Budaya sains dan teknologi

2005
1. Aktiviti sukan
2. Pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini
3. Kegawatan ekonomi
4. Tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga

2006
1. Kitar semula
2. Siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian
3. Program bersifat realiti
4. Golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan

2007
1. Patriotisme dalam kalangan rakyat
2. Gejala obesiti atau kegemukan
3. Kegiatan seni budaya tradisional
4. Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu

2008
1. Telefon bimbit
2. Gejala rasuah
3. Hak Pengguna
4. Rancangan televisyen

2009
1. Industri desa
2. Muzik
3. Penguasaan lebih daripada satu bahasa.
4. Perpaduan kaum

2010
1. Pembakaran secara terbuka
2. Ilmu seni pertahanan diri
3. Penglibatan remaja dalam kumpulan samseng
4. Industri pelancongan

Isu yang Dicadangkan Pada Tahun 2011
Isu yang disenaraikan di bawah belum pernah dikemukakan lagi dalam peperiksaan STPM dari tahun 2002 hinggalah tahun 2010. Oleh itu, isu yang disenaraikan di bawah ini bolehlah dijadikan latihan untuk menulis karangan. Dengan berdasarkan analisis isu tersebut, terdapat juga isu yang dikemukakan sebanyak dua kali iaitu perpaduan kaum. Selain isu yang dicadangkan di bawah, cubalah isu-isu lain yang boleh dibincangkan dengan guru dan rakan.

1. Pemanasan Global
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah
4. Bencana Alam
5. Kecemerlangan Pendidikan/Sekolah Berprestasi Tinggi
6. Perniagaan Internet
7. Jenayah Ragut
8. Penggunaan Kad Kredit
9. Masalah Perumahan
10. Penyakit kanser
11. Gejala Pembuangan Bayi
12. Masalah Keracunan Makanan
13. Pelaburan Asing
14. Pengangkutan Awam
15. Perubatan Alternatif
16. Kes Penculikan Kanak-kanak
17. Adat Resam
18. Orang Gaji Asing/Pendatang Asing
19. Pertanian Moden
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing/Filem Asing

Sunday, February 6, 2011

Latar Masyarakat Novel Kembara Amira

1. Masyarakat pelajar - Amira, Jacinta dan Itai merupakan pelajar sekolah yang sedang bercuti.

2. Masyarakat yang mementingkan persahabatan - Amira dan Jacinta bersahabat baik dan menjaga nilai-nilai persahabatan serta saling menghormati dan tidak pernah bersengketa dalam sebarang perkara. Amira dan Itai sanggup mencari ketulan emas untuk dihadiahkan kepada Jacinta walaupun tindakan itu membahayakan diri mereka sendiri.

3. Masyarakat yang sayang akan alam sekitar - Tau tidak suka akan orang yang merosakkan dan memusnahkan hutan dan binatang yang terdapat di dalam hutan. Malique juga tidak mahu hutan itu dirosakkan atau dimusnahkan.

4. Masyarakat orang Asli - Ludin, Tau dan Itai merupakan orang Asli yang tinggal di kawasan Bukit Mat Raya.

5. Masyarakat yang gigih berusaha - Profesor Zaidah, Dr. Zawawi dan pelajar-pelajarnya gigih berusaha untuk mencari gali artifak di tapak kerja lapangan.

6. Masyarakat yang suka menolong orang - Itai menyelamatkan Amira daripada mati lemas dan Tau pula menyelamatkan Jacinta.

7. Masyarakat yang mementingkan muafakat - Masyarakat kampung berbincang untuk membuat keputusan dalam menghadapi sebarang permasalahan seperti peristiwa Itai yang membawa Amira ke sungai yang ada ketulan emas.

8. Masyarakat yang berani - Amira dan Itai berani untuk pergi ke gua Gajah untuk menyelamatkan Malique. Mereka juga berani berhadapan dengan makhluk berbulu yang mengurung Malique.

9. Masyarakat yang kuat semangat - Amira kuat semangat ketika cuba melawan arus dan tangannya cuba memeluk batu-batu yang terdapat di sepanjang sungai tetapi gagal kerana batu-batu itu licin.

10. Masyarakat yang penyayang - Profesor Zaidah merupakan ibu yang penyayang kerana walaupun sibuk, dia masih mengambil berat keselamatan Amira. Begitu juga dengan Tau yang sangat sayang akan anaknya iaitu Malique atau Sabi.

11. Masyarakat yang ikhlas - Pak Lias ikhlas menegur Profesor Zaidah tentang Amira yang seolah-olah diabaikannya. Amira pula memberikan ketulan emas itu kepada Ludin setelah diminta oleh Ludin kerana dia ikhlas dan tiada tujuan lain, selain hendak memberikan ketulan emas tersebut kepada Jacinta sebagai hadiah.

12. Masyarakat yang patuh akan arahan - Pak Lias menghormati dan taat akan arahan Profesor Zaidah serta menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh ketuanya itu. Dr. Zawawi juga patuh akan arahan yang diberikan oleh Profesor Zaidah.

13. Masyarakat yang menghormati orang lain - Itai menghormati orang yang lebih tua daripadanya, contohnya dia menghormati Ludin dan Tau dan tidak membantah cakap mereka.

14. Masyarakat yang mahir dalam perubatan tradisional - Ludin berkemahiran untuk merawat Profesor Zaidah yang terseliuh tangannya hingga sembuh dengan menggunakan perubatan tradisional iaitu daripada buluh, daun kayu dan ramuan daripada akar kayu.

15. Masyarakat yang mengakui kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan - Profesor Zaidah mengakui kesilapannya yang mengutamakan kerjanya dan mengabaikan Amira terutamanya selepas dia hampir mati lemas di sungai.


Wednesday, February 2, 2011

Latar Masyarakat Novel Interlok

1. Masyarakat yang bersatu padu - Yew Seng, Seman, Gayah, Raman, dan orang kampung yang lain bersatu hati dan berpakat untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan menyewa bas bagi menyaksikan perayaan kemerdekaan negara di sana selama beberapa hari.

2. Masyarakat yang mengamalkan nilai tolong-menolong - Poh Eng menolong Maniam yang telah memberikan perlindungan kepadanya dengan menembak Suppiah yang hendak membunuh Maniam.

3. Masyarakat yang hormat-menghormati - Seman menghormati emak dan ayahnya dan menurut kata mereka. Dia juga menghormati Lebai Man yang mengajarnya mengaji al-Quran.

4. Masyarakat yang rajin bekerja - Kim Lock rajin bekerja dari siang hingga malam dan akhirnya dia berjaya dalam perniagaan dan kedainya lebih besar daripada kedai-kedai yang lain.

5. Masyarakat yang penyayang - Mak Limah sayang akan anak tunggalnya, Seman dan begitu sebaliknya Seman juga menyayangi emaknya dengan menyembunyikan emaknya di rumah kogsi di ladang tempatnya bekerja dahulu ketika tentera Jepun datang ke kampung mereka.

6. Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan - Maniam tabah menghadapi dugaan iaitu apabila dia disuruh meninggalkan isterinya oleh bapa mentuanya sendiri.

7. Masyarakat yang mengenang budi - Poh Eng mengenang budi Mak Limah yang memberikan perlindungan kepadanya dan menganggapnya seperti ibunya sendiri. Seman juga mengenang budi Maniam dan dia menganggap Maniam seperti ayahnya sendiri.

8. Masyarakat yang percaya akan dukun - Mak Limah menyuruh Seman memanggil dukun yang bernama Pak Utih untuk mengubati suaminya, Pak Musa yang sakit.

9. Masyarakat yang gigih berusaha - Maniam gigih bekerja hingga dia dilantik sebagai tandil di ladang tempatnya bekerja.

10. Masyarakat yang kuat semangat - Kim Sui kuat semangat untuk berusaha dan menjadi peniaga yang berjaya.

11. Masyarakat yang berpegang kuat pada adat resam - Kim Sui berpegang kuat pada adat resamnya dengan menjalankan upacara perkahwinan anaknya Cing Huat dengan Tua Tao mengikut adat resam nenek moyangnya.

12. Masyarakat pelbagai kaum - Masyarakat Melayu membeli barang dan berhutang dengan Cing Huat. Yew Seng pula bermain dan berkawan dengan budak-budak Melayu seperti Lazim.

13. Masyarakat yang mengakui kesilapan - Yew Seng dan Poh Eng mengakui kesilapan mereka dan menyedari bahawa perjuangan mereka selama ini sia-sia dan mereka bertindak dengan meninggalkan perjuangan sia-sia tersebut.

14. Masyarakat yang patuh akan ajaran agama - Masyarakat di Kampung Nyiur Condong menunaikan solat berjemaah, buktinya Seman tiba di surau untuk bertemu dengan Mamat Labu pada suatu malam selepas semua jemaah habis menunaikan sembahyang Isyak.

15. Masyarakat Cina yang menjalankan perniagaan - Kim Lock memulakan perniagaan dengan berniaga ikan basah yang dibawa oleh nelayan setiap hari, kemudian dia membawa barang dari kedai runcit dan menjajanya di kampung-kampung. Cing Huat juga menjalankan perniagaan runcit yang diwarisinya daripada bapanya di pekan Simpang Empat.

16. Masyarakat Melayu yang mengusahakan sawah - Seman mengusahakan sawah bapa mentuanya dengan gigih. Selepas menuai padi, dia menanam sayur-sayuran, kacang dan sebagainya.

17. Masyarakat India yang bekerja di kebun getah dan kelapa - Perumal, Malini, Maniam, Suppiah, Mariama bekerja di kebun kelapa di Cangkat Lima. Kemudian Maniam bekerja di kebun getah Cangkat Janggus.

18. Masyarakat yang hormat dan taat kepada suami - Malini hormat dan taat kepada suaminya Maniam dan melayannya dengan baik serta tidak membenarkan suaminya itu memasak nasi kerana kerja itu menjadi tanggungjawabnya.

19. Masyarakat yang berani - Kadir, anak Pak Cin sudah berani melawan cakap bapanya yang masih mahu menjadi orang tengah Cing Huat. Akhirnya Pak Cin juga sedar dan berani berdepan dengan Cing Huat lalu mengenakan syarat tentang pemilikan tanah itu hingga menyebabkannya dihalau oleh Cing Huat.

Wednesday, January 26, 2011

Sinopsis Buku Satu Novel Interlok

Keluarga Seman

1
Pada suatu petang ketika Seman membelah kayu, dia dan emaknya mendengar bunyi batuk ayahnya yang sakit itu. Seman pula berbual-bual dengan emaknya dan antara yang dibualkannya itu adalah tentang jodoh Seman. Bunyi batuk ayahnya itu semakin kuat dan Mak Limah memberikan ubat kepada Pak Musa. Batuk ayahnya semakin menjadi-jadi dan badannya juga semakin kurus. Sementara emaknya memasak nasi, Seman menjaga dan berbual-bual dengan ayahnya. Ayahnya mengingatkan Seman bahawa jika dia meninggal dunia nanti, Seman hendaklah membawa emaknya keluar dari rumah itu. Bapanya menerangkan bahawa tanah, binatang ternakan dan rumah yang duduki oleh mereka itu bukan miliknya tetapi milik orang lain. Bapanya bimbang tentang nasib mereka nanti yang mungkin tidak mempunyai rumah selepas kematiannya. Perkara yang diberitahu oleh bapanya itu menyebabkan Seman tertanya-tanya dalam hatinya tentang tuan punya harta yang dimiliki oleh ayahnya itu.

Oleh sebab batuk bapanya semakin menjadi-jadi, pada malam itu juga, ibunya menyuruh Seman pergi memanggil dukun untuk mengubati bapanya. Semasa bapanya sakit, Cina Panjang datang ke rumah mereka banyak kali dan Seman juga banyak kali pergi ke kedai Panjang untuk meminjam wang dan mengambil barang keperluan dapur. Pak Utih datang ke rumah Seman untuk mengubati ayahnya dengan menggunakan cara tradisional seperti air jampi, kemenyan, daun sireh , tangkal daripada tengkorak manusia dan sebagainya. Selepas makan malam, Seman mendapati batuk bapanya semakin teruk hingga mengeluarkan darah. Seterusnya, Seman dan emaknya memandikan ayahnya pada waktu tengah malam seperti yang dipesan oleh Pak Utih. Selepas itu, mereka berduapun tertidur kerana mengantuk. Apabila terjaga semula, Seman mendapati ayahnya sudah tidak bernyawa lagi dan Mak Limah menangis kerana terlalu sedih.

Mak Limah masih ingat akan Pak Musa yang menyembunyikan Seman di dalam kelambu ketika guru besar datang untuk mengajak Seman ke sekolah. Pak Musa tidak mahu Seman pergi ke sekolah tetapi dia bersetuju untuk membenarkan Seman belajar mengaji Quran dan agama dengan Lebai Seman. Ramailah orang kampung yang datang untuk menziarahi mayat ayah Seman. Seman pula disuruh oleh emaknya ke kedai Cina Panjang untuk mengambil barang-barang keperluan dapur dan satu bungkusan kertas kecil yang berisi wang kepadanya. Mayat Pak Musa diusung ke tanah perkuburan pada pukul satu tengah hari.

2
Setelah dua puluh tujuh hari bapanya meninggal dunia, Seman dipanggil oleh Cina Panjang. Cina Panjang mengatakan bahawa Pak Musa banyak berhutang kepadanya dan sudah menggadaikan semua tanah kepadanya. Cina Panjang menunjukkan surat-surat tanah itu kepada Seman tetapi Seman tidak tahu untuk membacanya kerana dia buta huruf. Oleh itu, Seman meminta kebenaran agar dia diberikan kebenaran untuk membawa surat-surat itu pulang ke rumahnya tetapi Cina Panjang. menolak permintaan itu. Seman seolah-olah tidak percaya bahawa bapanya berhutang hampir sepuluh ribu rnggit seperti yang didakwa oleh Cina Panjang.

Seman menyelongkar barang-barang di rumahnya untuk mencari wang yang dipercayainya telah disembunyikan oleh bapanya. Selepas itu, dia mencangkul tanah di bawah rumahnya pula. Perkara itu telah menyebabkan emaknya berasa hairan. Seman meneruskan usahanya lagi untuk mencari wang ayahnya itu di dalam reban ayam pula. Walau bagaimanapun, semua usahanya itu tidak mendatangkan hasil.

3
Mak Limah mengatakan bahawa semua tanah bapanya itu memang milik mereka tetapi sepanjang pengetahuannya, Pak Musa tidak meninggalkan wang. Akan tetapi, Seman mengatakan bahawa bapanya meninggalkan wang yang banyak Oleh sebab itu, dia bertindak demikian untuk mencari wang yang ditinggalkan oleh ayahnya. Mak Limah menasihati Seman agar merujuk perkara itu kepada Penghulu Talib dengan bantuan Lebai Man untuk mendapatkan kepastian. Pada pagi itu, Seman pergi ke rumah Lebai Man dan menceritakan masalahnya itu. Lebai Man terkejut kerana sepanjang pengetahuannya Pak Musa memang memiliki tanah itu dan dia tidak tahu pula Pak Musa sudah menggadaikan tanah-tanahnya itu.

Seman dan Lebai Man pergi ke rumah Penghulu Talib untuk mendapatkan pandangannya tentang masalah yang sedang dihadapinya itu. Penghulu Talib mengatakan bahawa dia memang pernah mendengar cerita yang sama sebelum itu, iaitu mengikut undang-undang kerajaan, tanah orang Melayu tidak boleh dijual kepada orang asing. Dia juga mengatakan bahawa memang Pak Musa membeli tanah itu tetapi tidak tahu sumber dia mendapat wang untuk membeli tanah tersebut. Mereka cuma mengetahui bahawa Pak Musa memang berhutang kepada Cina Panjang. Seterusnya, Penghulu Talib menerangkan bahawa sebenarnya Pak Musa membeli tanah dengan menggunakan wang yang diberikan oleh Cina Panjang kepadanya. Menurut Penghulu Talib, urusan jual beli tanah itu memang sah di sisi undang-undang tetapi selepas itu Cina Panjang akan membuat perjanjian lain dengan Pak Musa daripada menguasai tanah itu sebagai hak miliknya yang mutlak. Penghulu Talib berharap agar tidak ada orang lain yang mengikut jejak Pak Musa untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa eksploitasi Cina Panjang yang terlalu mementingkan dirinya.

4
Ketika Seman mengasah parang panjangnya di tepi telaga di depan rumahnya, Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir datang hendak berjumpa dengannya. Cina Panjang meminta Seman dan emaknya meninggalkan rumahnya itu kerana ada orang lain yang .hendak tinggal di situ. Walau bagaimanapun, dengan tegasnya Seman mengatakan bahawa mereka tidak mahu meninggalkan rumah itu. Cina Panjang pula mengatakan bahawa jika mereka tidak mahu keluar dari rumah itu, Seman perlu membayar sewanya. Seman masih berdegil dengan mengatakan bahawa dia tidak mahu membayar sewa yang diminta oleh Cina Panjang. Mak Limah pula mengajak Seman meninggalkan rumahnya itu tetapi Seman mengatakan bahawa mereka tiada tempat lain untuk dijadikan tempat berlindung.

Lazim dan Mamat Labu datang ke rumah Seman dan mereka terkejut apabila diberitahu bahawa mereka diusir dari rumahnya itu. Kemudian, Penghulu Talib datang bersama-sama dengan Cina Panjang, Pak Cin, dan anaknya Kadir sambil bertanya tentang peristwa yang baru berlaku tadi. Seman memberitahu Penghulu Talib bahawa dia sedang mengasah parang panjangnya untuk memotong daun mengkuang ketika Cina Panjang dan Pak Cin tiba. Cina Panjang pula mengatakan bahawa daun mengkuang itupun tidak boleh dipotong oleh Seman lagi kerana sudah dijualnya kepada orang lain. Penghulu Talib menasihati Seman agar keluar dari rumahnya itu dengan cara baik tetapi meminta Cina Panjang memberikan tempoh selama seminggu sebelum mereka keluar dari situ. Penghulu Talib juga mengingatkan mereka agar tidak mengganggu Seman selama tempoh tersebut. Cina Panjang pula mengingatkan Seman supaya jangan merosakkan rumahnya itu. Lebai Man memujuk Seman dan Mak Limah supaya bersabar dan mengajak mereka berdua tinggal di rumahnya sahaja.

5
Masalah yang dihadapi oleh Seman dan ibunya itu menyebabkan Lazim sukar untuk melelapkan mata kerana fikirannya terganggu. Sejak menjadi guru, dia dapat melihat bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap. Dia juga miskin tetapi sejak menjadi guru, orang kampung menghormati keluarganya, buktinya panggilan terhadap ayahnya sudah berubah iaitu bapa Cikgu Lazim. Dia memikirkan cara untuk menolong orang-orang kampungnya dengan menubuhkan perkumpulan dan mengajak Seman menyertainya. Seman mengatakan bahawa dia tidak memahami siasah yang diperjuangkan oleh Lazim, tambahan pula dia tidak tahu membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, Seman memberikan sokongan moral kepada Lazim. Lazim berasa memang susah untuk menyatupadukan pemuda-pemuda di kampungnya kerana mereka tidak memahami siasah yang diperjuangkannya itu. Lazim memikirkan cara untuk membantu Seman iaitu dengan menawarkan tanah bapanya untuk dijadikan tapak rumah. Akan tetapi, Seman menolaknya walaupun Lazim dan rakan-rakannya sanggup mendermakan wang untuk membina rumah baharu Seman.