Pengikut laman ini

Saturday, February 19, 2011

Esei Tingkatan 6 - Isu Penganjuran Sukan Pada Peringkat Antarabangsa

Esei ini telah disediakan oleh saudari Nurul Natasha Shaharuddin daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi.

Soalan Contoh

Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menganjurkan sukan pada peringkat antarabangsa dengan jayanya.
Huraikan kesan positif penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa kepada negara kita.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat - menaikkan nama Malaysia di persada dunia

Isi-isi
i.   menyebabkan kedatangan pelancong asing semakin meningkat
ii.  mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia
iii. menjalin dan mengukuhkan kerjasama
iv. menjadi wadah untuk perpaduan
v.  meningkatkan mutu sukan negara

Penutup
- penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif

Karangan Contoh

       Negara kita telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa. Melalui pengan juran sukan tersebut nama negara kita semakin dikenali di seluruh dunia. Negara kita telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah membuktikan kemampuan negara kita dalam penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa. Perkara itu juga telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Jadi, penganjuran sukan tersebut telah memberikan pelbagai kesan positif kepada negara kita.

       Kesan positif yang paling ketara ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami perkembangan dan kemajuan. Hal ini sekali gus dapat menjana ekonomi negara dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan tersebut secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Jadi, penganjuran sukan antarabangsa terbukti banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita.

       Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan dapat meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia.

       Melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat keuntungan daripada pelbagai aspek.

       Di samping itu, kita sering mendengar ungkapan bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato’ Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi "bagai aur dengan tebing".

       Selain ejen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan di negara kita yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mereka akan mendapat suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Perkara ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping merealisasikan slogan Malaysia Boleh.

       Kesimpulannya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif kepada negara kita. Walau bagaimanapun, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan penganjuran sukan tersebut di pentas antarabangsa. Jadi, pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia mendapat lebih banyak manfaatnya. Jika usaha tersebut tidak dilakukan, negara kita tidak dapat merebut peluang yang jarang-jarang diperoleh. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa akan menjadi kenyataan demi kemajuan sukan dan pembangunan negara.

Oleh Nurul Natasha Shahduddin, 6A2

13 comments:

grawwrbabe. said...

salam cikgu..hani da follow cikgu yee...
jom la dtg ke blog hani..ade gambar cikgu :)

-sis ira- said...

bgus krngan niep..

norhidayah sukri said...

karangan yang sangat mantap.. thnks..dapat buat rujukan ..:)

Unknown said...

salam..karangaan yang sesuai dijadikan rujukan. .terima kasih..^_^

Unknown said...

salam cikgu, terima kasih..karangan ni bgus sangat utk jdkn rujukan sy ;)

Anonymous said...

thankyou for this essay . it will be so useful to me . thankyou very muchhh!! :)

Unknown said...

Assalamualaikum ch Khir masih ingat saya, Terima kasih ya , saya gunakan karangan ini ya sebagai rujukan .Thanks a lots

Anonymous said...

thanks utk karangan ni

Anonymous said...

Oh wow great essay sir. Thank sir. Ican copy your essay and do as my revision

Unknown said...

Assalamualaikum, sye copy karangan ni ye?... :)

Unknown said...

Terima kasih

Unknown said...

terbaiklah

Unknown said...

cukup ke 600 patah perkataan ?