Pengikut laman ini

Wednesday, August 14, 2019

Kelemahan Esei Pelajar STPM Semester 1 (Perenggan Isi)

Kelemahan Jalinan Idea (Koheren) dan Kesalahan Bahasa
Perenggan Isi
Contoh perenggan isi yang kurang baik jalinan idea (koheren) dan salah tatabahasanya

//Menguatkuasakan undang-undang jenayah yang sering berlaku di negara kita. //Hal ini dikatakan demikian kerana mereka yang menjadi penjenayah ini akan berasa takut apabila hukuman yang diberi ke atas penjenayah membuat kesalahan yang melibatkan mahkamah. //Contoh, undang-undang jalan raya, undang-undang pengguna yang menggunakan kemudahan awan, undang-undang meletak kereta di kawasan yang dilarang dan sebagainya. Oleh itu, masyarakat akan sedar bahawa setiap kesalahan yang dilakukan akan dikenakan hukuman atau denda atau kedua-duanya. Jelaslah bahawa, undang-undang yang ada di negara ini dapat membendung jenayah tersebut.  (82 perkataan)

Ayat pertama salah sintaksisnya kerana ayat itu tergantung iaitu tiada subjek. Ayat kedua pula salah dari segi semantik iaitu maksudnya kabur atau tidak jelas. Ayat ketiga pula tidak koheren dengan ayat sebelumnya kerana contoh yang diberikan bukan contoh kesalahan jenayah. Ayat tersebut juga salah dari segi sintaksisnya kerana ayat itu juga tergantung iaitu tiada predikat. Jadi, perenggan di atas tidak diolah dan dikembangkan dengan baik kerana jalinan ideanya (koheren) tidak baik dan banyak kesalahan tatabahasa dalam perenggan tersebut. Kesalahan aspek mekanis juga terdapat dalam ayat kelima iaitu tanda koma selepas kata hubung “bahawa”. Sepatutnya tanda koma tidak diperlukan selepas kata hubung komplemen “bahawa”.

Contoh perenggan isi yang baik jalinan idea (koheren) dan bahasanya

Pihak berkuasa hendaklah meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan jenayah yang dilakukan oleh orang yang didapati bersalah. Tindakan itu perlu dilakukan kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai untuk melakukan jenayah. Sebagai contohnya, hakim perlu menjatuhkan hukuman penjara mandatori dan sebatan rotan kepada penjenayah di khalayak bagi kesalahan rompakan atau pecah rumah. Dengan cara itu, orang ramai akan berasa takut dan kes jenayah dapat dikurangkan. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa denda atau hukuman yang berat dapat mengurangkan kes jenayah.  (82 perkataan)

Tuesday, August 13, 2019

Kelemahan Esei Pelajar STPM Semester 1 (Perenggan Pendahuluan)

Kelemahan Jalinan Idea (Koheren) dan Kesalahan Bahasa
Perenggan Pendahuluan

Contoh soalan:
Kes jenayah yang semakin banyak berlaku di negara kita pada masa ini amat membimbangkan anggota masyarakat. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus meningkat.

Contoh perenggan pendahuluan yang lemah jalinan idea (koheren) dan salah tatabahasanya

//Pada era globalisasi ini, pelbagai kes jenayah yang semakin meningkat di negara kita. //Hal ini dikatakan demikian kerana penjenayah tidak diberikan pendidikan moral yang sempurna oleh ibu bapa dirumah mahupun guru di sekolah. //Contohnya, meragut beg penjalan kaki, merompak dan sebagainya. //Oleh itu, penjenayah mahukan wang dengan cara pintas iaitu meragut beg penjalan kaki yang leka dengan dengan telefon pintarnya. //Jenayah harus dibanteras dengan tulus untuk membentuk negara yang aman. (70 perkataan)

Ayat pertama salah dari segi sintaksis kerana penggunaan kata hubung pancangan relatif “yang” pada tempat yang salah iaitu pada ayat tunggal. Ayat itu sebenarnya tidak memerlukan kata hubung pancangan relatif “yang”. Ayat kedua pula tidak koheren dengan ayat pertama kerana mengaitkan sebab jenayah berlaku iaitu kerana penjenayah tidak diberikan pendidikan moral yang sempurna oleh ibu bapa atau guru. Sepatutnya ayat kedua menerangkan sebab jenayah berlaku secara umum dengan menyatakan bahawa “Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya jenayah pada masa ini.” Ayat kedua juga terdapat kesalahan morfologi iaitu kata sendi dirapatkan dengan kata nama (dirumah).

Ayat ketiga pula salah dari segi sintaksis kerana ayat tersebut tiada subjeknya. Sepatutnya penjenayah meragut beg pejalan kaki, melakukan rompakan, dan sebagainya.  Penanda wacana ayat keempat iaitu “Oleh itu” juga tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Sepatutnya “Perkara itu disebabkan oleh penjenayah yang memerlukan wang dengan cepat iaitu dengan meragut beg pejalan kaki.” Ayat kelima pula tidak sesuai dan kabur maksudnya serta tidak mengaitkan perenggan itu dengan fokus soalan. Sepatutnya ayat kelima mengaitkan fokus soalan iaitu “usaha-usaha yang perlu dilakukan”. 

Contoh perenggan pendahuluan yang baik jalinan idea (koheren) dan bahasanya
     Kes jenayah dikatakan semakin meningkat dan semakin rumit atau sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa di negara kita. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor berlakunya jenayah pada masa ini. Kes jenayah yang sering dilaporkan berlaku adalah seperti kes pembunuhan, rompakan, penculikan, pecah rumah, pemerdagangan manusia, dan sebagainya. Kes tersebut amat membimbangkan pelbagai lapisan masyarakat yang ingin akan kehidupan yang aman dan tenteram. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung kes jenayah daripada terus meningkat di negara kita. (81 perkataan)

Thursday, May 9, 2019

Petua Menukar Ayat Dua Objek kepada Satu Objek


Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam soalan. Garis kata kerja transitif,  objek tepat dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Kemudian, pelajar perlu menguasai rumus untuk menukar ayat dua objek kepada ayat satu objek. Teknik untuk menukar ayat tersebut adalah dengan menukar imbuhan kata kerjanya dan memastikan satu objek sahaja selepas kata kerjanya.
Sebagai contohnya, analisis soalan struktur yang berikut.
36     Tukarkan ayat aktif transitif yang berikut kepada ayat aktif transitif yang mengandungi satu objek. (STPM U 2015)
(a)  Pengasuh itu memberi bayi susu.
 Pengasuh itu memberikan susu kepada bayi. (ayat satu objek sahaja iaitu "susu" sebagai objeknya) 
(b)  Azimah mengirimi ayahnya wang RM300.
 Azimah mengirimkan wang RM300 kepada ayahnya. (ayat satu objek sahaja iaitu "wang RM300" sebagai objeknya)

Tuesday, May 7, 2019

Teknik Mempasifkan Ayat yang Mengandungi Dua Objek

Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam soalan. Garisi atau tandakan kata kerja transitif,  objek tepat, dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Kemudian, pelajar perlu menguasai rumus ayat pasif daripada ayat dua objek. Teknik untuk mempasifkan ayat tersebut adalah dengan meletakkan objek tepatnya di hadapan kata kerja yang telah dipasifkan bagi ayat pasif ganti nama diri ketiga.
Contoh ayat aktif yang mengandungi dua objek ialah “Fatimah membancuhkan ayah kopi.” Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Ayah dibancuhkan kopi oleh Fatimah.” (Ayah - KGND ketiga)  Contoh ayat aktif lain yang mengandungi dua objek ialah “Abang menghadiahi adik jam tangan.” Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Adik dihadiahi jam tangan oleh abang.”  (Abang - KGND ketiga)
Bagi ayat pasif ganti nama diri pertama dan kedua pula, rumusnya adalah seperti yang berikut.
Contoh ayat aktif yang mengandungi dua objek untuk ganti nama diri pertama ialah “Saya membancuhkan ayah kopi.” (Saya - KGND pertama) Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Ayah saya bancuhkan kopi.” (Saya - KGND pertama berada di hadapan kata kerja)  Contoh ayat aktif lain yang mengandungi dua objek untuk ganti nama diri kedua ialah “Kamu menghadiahi adik jam tangan.” (Kamu - KGND kedua) Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Adik kamu hadiahi jam tangan.” (Kamu - KGND kedua berada di hadapan kata kerja) 

Monday, May 6, 2019

Teknik Menganalisis Ayat yang Mengandungi Dua Objek

Pelajar perlu mengesan kata kunci atau kehendak soalan dan mengaitkannya dengan ayat yang terdapat dalam pilihan jawapan. Garisi kata kerja transitif,  objek tepat, dan objek sipi dalam ayat tersebut. Jadi, pelajar perlu menguasai rumus ayat aktif yang mengandungi dua objek iaitu objek tepat dan objek sipi terlebih dahulu. Petuanya ialah objek tepat menjadi penyambut selepas kata kerja transitif dan kemudian diikuti oleh objek sipi. Kebiasaannya, kata kerja transitif yang diikuti oleh objek tepat dan objek sipi berimbuhan meN-...-kan dan meN-...-i. Contoh kata kerja transitif tersebut adalah seperti memasakkan, memotongkan, menghadiahi, menjatuhi, dan sebagainya.   
Cuba analisis kehendak soalan yang berikut. 

23  Frasa kerja + objek 1 + objek 2 + frasa keterangan
Ayat yang manakah yang binaannya seperti di atas? (STPM 2018)
A  Ibu mahu menjahitkan baju kurung nenek di dalam bilik saya.
B  Mereka telah menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu.
C  Kami akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari lahirnya.
D Seorang jururawat membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka anaknya. 
Ayat A tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Sepatutnya ayat yang mengandungi objek tepat dan objek sipi ialah “Ibu mahu menjahitkan nenek baju kurung di dalam bilik saya.”
Ayat B tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Mereka telah menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu.” cuma mengandungi satu objek. Frasa kerja “menyelamatkan beberapa ekor anak buaya di sungai itu” cuma mengandungi satu objek. Frasa “beberapa ekor anak buaya” merupakan satu objek sahaja dan frasa “di sungai itu” merupakan frasa keterangan. 
Ayat C menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek iaitu frasa kerja transitifnya didikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Ayat “Kami akan menghadiahi Cikgu Wati sepasang baju semasa hari lahirnya.” mengandungi kata kerja transitif “menghadiahi”, “Cikgu Wati” sebagai objek tepat dan “sepasang baju” sebagai objek sipi. Jadi, ayat C menepati binaan dalam soalan.
Ayat D tidak menepati rumus ayat yang mengandungi dua objek kerana kata kerja transitifnya tidak diikuti oleh objek tepat dan objek sipi. Dalam ayat “Seorang jururawat membantu ibu muda itu dengan menyapukan luka anaknya.” cuma mengandungi satu objek sahaja. Frasa “ibu muda” merupakan satu objek sahaja.

Friday, May 3, 2019

Kata Kerja yang Membawa Maksud Lokatif, Benefaktif, Kausatif, dan Refleksif

Teknik Menganalisis Soalan Fungsi imbuhan me-N...-i, me-N...-kan, dan ber-

Pelajar  perlu  mengesan  kata  kunci  atau  kehendak  soalan  dan mengaitkannya dengan perkataan  yang  dinyatakan  dalam  soalan.   Kemudian,  garisi   kata   yang  mengandungi imbuhan  tersebut.  Jadi,  pelajar perlu menguasai fungsi imbuhan me-N...-i terlebih dahulu. Imbuhan  me-N...-i   berfungsi  untuk  memberikan  maksud  lokatif  (atau  yang   berkaitan dengan lokasi). Jangan keliru dengan kata yang membawa maksud kausatif, benefaktif, dan refleksif.  Sebagai contohnya, analisis kehendak soalan yang berikut. 

Soalan 9
Pada  pagi  itu,  kami  menelusuri  hutan  itu  dengan  penuh hati-hati. Cahaya matahari mula menerangi  kawasan tempat  kami  bermalam.  Pokok-pokok rendang melindungi  tanah daripada  panas  matahari pagi.  Ahmad mengajak  kami untuk merenangi sungai  yang tidak jauh daripada khemah kami. (STPM 2016)

Yang manakah fungsi imbuhan meN-…-i  pada perkataan yang dicondongkan dalam petikan di atas?
A   Membawa maksud lokatif
B   Membawa maksud kausatif
C   Membawa maksud refleksif
D   Membawa maksud benefaktif

Terdapat empat kata yang berimbuhan meN-...-i dalam soalan iaitu menelusuri, menerangi, melindungi, dan merenangi. Keempat-empat kata tersebut berfungsi untuk membawa maksud lokatif. Semua perkataan tersebut membawa maksud lokatif kerana semuanya berkaitan dengan lokasi iaitu menelusuri, menerangi, melindungi, dan merenangi. Objek selepas kata kerja berimbuhan tersebut juga mempunyai lokasi.

Imbuhan yang membawa maksud kausatif pula ialah imbuhan meN...-kan. Imbuhan tersebut membawa maksud penyebab kepada sesuatu (Siapa atau apa yang menjadi penyebab). Contohnya, perkataan yang dimaksudkan adalah seperti memasukkan, menaikkan, mengemaskan, membersihkan, dan sebagainya. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Azmi memasukkan buku ke dalam beg. (Azmi menjadi penyebab objek (buku) masuk ke dalam beg.)
  2. Syed menaikkan bendera di tapak perhimpunan. (Syed menjadi penyebab objek (bendera) naik.)
  3. Amirah mengemaskan biliknya itu. (Amirah menjadi penyebab objek (biliknya) itu kemas.)
  4.  Alif membersihkan bilik itu. (Alif menjadi penyebab objek (bilik) itu bersih.)
Imbuhan  yang  membawa  maksud benefaktif  juga ialah imbuhan meN...-kan. Imbuhan tersebut   membawa  maksud   faedah   atau  “benefit”.  (siapa  yang  mendapat  faedah). Contohnya,  perkataan  yang  dimaksudkan  adalah  seperti  memasakkan,  membelikan, menjahitkan,  menuliskan, dan sebagainya. Objek tepat selepas  kata kerja tersebut yang mendapat  faedah  daripada  perbuatan subjek ayat. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Kusalini memasakkan ayah nasi goreng. (Ayah mendapat faedah daripada perbuatan Kusalini.)
  2. Kahirul membelikan adiknya buku cerita. (Adiknya mendapat faedah daripada perbuatan Kahirul.)
  3. Sabena menjahitkan ibu baju kurung. (Ibu mendapat faedah daripada perbuatan Sabena.)
  4. Aiman menuliskan nenek surat. (Nenek mendapat faedah daripada perbuatan Aiman)
Imbuhan  yang  membawa  maksud  refleksif  pula ialah imbuhan ber-. Imbuhan  tersebut membawa maksud refleksi kepada diri sendiri. (perbuatan yang dilakukan oleh  seseorang yang  memberikan  refleksi).   Contohnya,   perkataan  yang  dimaksudkan  adalah  seperti bersolek, bersikat, dan  sebagainya. Imbuhan bagi kata kerja tersebut  membawa  maksud refleksif.  Ayat tersebut  juga  tiada objek kerana  kata kerjanya ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap. Contoh ayatnya adalah seperti yang berikut.
  1. Farah sedang bersolek di hadapan cermin. (Farah melakukan perbuatan yang memberikan refleksi untuk dirinya.)
  2. Ilman sedang bersikat di dalam bilik. (Ilman melakukan perbuatan yang memberikan refleksi kepada dirinya.)

Tuesday, April 30, 2019

Petua atau Teknik Menganalisis Soalan Ayat Pasif Songsang

Pelajar  perlu  mengesan  kata  kunci  atau  kehendak  soalan  dan mengaitkannya dengan jawapan  yang  telah  disediakan.  Jika  soalan meminta pelajar mengenal pasti binaan ayat pasif  songsang  yang  betul,  maka  pelajar  perlu  mengesan ayat asal iaitu ayat aktif bagi setiap  pilihan  jawapan  yang  disediakan  dalam  pilihan  A, B, C, dan D. Jadi, pelajar perlu menguasai   binaan  ayat  aktif,  dan  kemudian  pelajar  perlu  mempasifkan  ayat  tersebut dengan menepati rumus ayat pasif yang betul.

Semasa mempasifkan ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja transitifnya kerana kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan berbanding dengan kata kerja tak transitif yang tidak boleh dipasifkan. Pelajar juga perlu mengenal pasti kata ganti nama dalam ayat tersebut. Bagi ayat pasif ganti nama diri pertama dan kedua, rumusnya ialah kata ganti nama tersebut perlu berada di hadapan kata kerja. Bagi ayat pasif ganti nama diri ketiga pula, kata ganti namanya perlu berada di belakang kata kerja. Pelajar perlu berhati-hati dengan rumus frasa kerja pasif tersebut. Selepas dipasifkan, maka ayat itu perlu disongsangkan. Sebagai contohnya, analisis kehendak soalan yang berikut.
20. Yang manakah binaan ayat pasif songsang yang betul? (STPM U 2017)
       A   Kita akan tolong mangsa banjir itu.
       B   Kamu belum lagi hantar buku latihan itu.
       C   Telah kamu minum semalam air limau itu.
       D   Mereka susun kerusi meja di dalam kelas itu.

Ayat A tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kita akan menolong mangsa banjir itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Mangsa banjir itu akan kita tolong.” (Kata ganti nama diri pertama - kita) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Akan kita tolong mangsa banjir itu.”

Ayat B juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kamu belum lagi menghantar buku latihan itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Buku latihan itu belum lagi kamu hantar.” (Kata ganti nama diri kedua - kamu) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Belum lagi kamu hantar buku latihan itu.”

Ayat C menepati rumus ayat pasif songsang iaitu ayat aktifnya ialah “Kamu telah minum air limau itu semalam. Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Air limau itu telah kamu minum semalam.” (Kata ganti nama diri kedua - kamu) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Telah kamu minum semalam air limau itu.”

Ayat D juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang yang betul kerana ayat aktifnya ialah “Mereka menyusun kerusi meja di dalam kelas itu.” Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Kerusi meja di dalam kelas itu disusun oleh mereka.” (Kata ganti nama diri ketiga - mereka) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Disusun oleh mereka kerusi meja di dalam kelas itu.”