Pengikut laman ini

Saturday, January 28, 2012

Esei Berformat Memorandum - Isu Filem Seram, Tahyul dan Ganas

Soalan Contoh
Pertubuhan yang anda wakili kurang bersetuju dengan trend syarikat pengeluar filem yang lebih cenderung untuk menghasilkan filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas pada masa ini. Perkara ini berlaku kerana sambutan yang diberikan oleh masyarakat di negara ini memang sungguh menggalakkan. Anda diminta untuk menyediakan memorandum yang berkaitan dengan bantahan terhadap lambakan filem seram, tahyul dan ganas ini di negara kita.

Rangka Karangan
                  Memorandum
Kepada :
Daripada :
Tajuk :

1.0 Pendahuluan
2.0 Pernyataan Masalah
3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
      3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
      3.3 Memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai 
            kepercayaan karut
4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
      4.2 Membimbing anak-anak ketika menonton 
5.0 Penutup
- ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin perlu mencegah perkara ini.

Karangan Contoh

Memorandum
Kepada : Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
Daripada : Pertubuhan Pencinta Seni
Tajuk : Bantahan Terhadap Lambakan Filem Seram, Tahyul dan Ganas di Negara Kita.

1.0 Pendahuluan
Akhir-akhir ini wujud satu trend baharu iaitu kita disogokkan dengan filem yang berunsur seram, tahyul dan ganas. Perkara ini sudah tentu akan mendatangkan impak yang negatif terhadap remaja dan kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, golongan yang suka menonton filem yang bercorak sedemikian ialah golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur seram, tahyul dan ganas yang terdapat dalam adegan filem tersebut. Kerjasama dan perhatian daripada pihak atau agensi yang bertanggungjawab amat penting untuk menangani permasalahan ini.

2.0 Pernyataan Masalah
Berhubung dengan masalah di atas, kami sebagai ibu bapa yang prihatin daripada Pertubuhan Pencinta Seni ingin melahirkan rasa kebimbangan kami ini agar mendapat perhatian dan pertimbangan yang wajar daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana kesannya akan mempengaruhi remaja yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa akan datang. Salah satu punca yang dikenal pasti menyebabkan remaja menggemari filem yang bercorak sedemikian ialah filem itu berupaya untuk menghiburkan dan memberikan kepuasan kepada mereka yang menontonnya.

3.0 Bantahan Terhadap Perkara Tersebut
      3.1 Mempengaruhi emosi remaja
     Kami, ahli-ahli Pertubuhan Pencinta Seni bersepakat dan bersatu hati ingin menyatakan bantahan kami terhadap filem-filem yang bercorak seram, tahyul dan ganas yang sering disiarkan di pawagam dan di televisyen. Perkara ini tentunya akan mempengaruhi emosi remaja yang belum matang.  Emosi mereka akan terganggu dan menyebabkan masalah ketidakstabilan emosi akibat pengaruh filem tersebut.
       3.2 Menjejaskan akidah dan kepercayaan
       Filem-filem yang bercorak sedemikian juga boleh menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama. Kemungkinannya mereka akan mempercayai unsur-unsur yang terdapat dalam filem itu melebihi kepercayaan mereka terhadap Allah. Perkara ini akan menghakis keimanan dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Tuhan. Kesan seterusnya, pegangan mereka terhadap agama akan menjadi longgar dan mereka mungkin mempercayai kuasa lain yang melebihi kekuasaan Allah.
       3.3 Memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan
    Unsur-unsur daripada filem yang bercorak sedemikian yang ditonton oleh remaja terutamanya memberikan impak yang buruk terhadap kemajuan. Hal ini dikatakan demikian kerana pengaruh daripada filem itu tidak mendatangkan kesan atau impak yang baik untuk dicontohi, malahan mereka lebih cenderung untuk mencuba perkara yang negatif. Mereka akan percaya dan menyebabkan mereka leka dengan unsur-unsur yang terkandung dalam filem tersebut. Seterusnya, perkara ini mengundang bahaya kerana mereka mempercayai perkara-perkara mistik dan keganasan dalam kehidupan seharian.
      3.4 Melahirkan masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut
    Pengaruh daripada filem itu berupaya atau berpotensi untuk membentuk masyarakat yang ganas dan mempercayai kepercayaan karut. Hal ini demikian kerana, para remaja mudah terpengaruh oleh unsur-unsur yang terdapat dalam filem-filem tersebut. Mereka yang masih belum matang akan meniru aksi, gaya, atau perlakuan pelakon-pelakon filem tersebut. Gaya atau aksi ganas dalam filem itu akan diaplikasikan terhadap rakan-rakan di sekolah. Seterusnya perkara ini akan berakar umbi dalam hati dan jiwa mereka hinggalah mereka dewasa.

4.0 Cadangan Tindakan
      4.1 Mengenakan Syarat Tapisan yang Ketat
         Berdasarkan impak negatif yang banyak daripada filem-filem tersebut, kami menyarankan pihak kementerian mengenakan syarat tapisan yang ketat terhadap produser filem. Perkara ini dapat menghalang impak negatif tersebut daripada menular dalam jiwa para remaja yang menontonnya. Pihak kementerian perlu menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak pengeluar filem agar tidak menjejaskan emosi dan kepercayaan remaja. Syarat tapisan yang ketat itu perlulah dikaji terlebih dahulu dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang berkaitan dengan filem.
      4.2 Mengenakan denda atau hukuman yang berat 
        Kami mencadangkan supaya pihak kementerian mengenakan denda atau hukuman yang berat kepada pengeluar filem yang gagal mematuhi garis panduan tersebut. Hal ini dirasakan penting untuk mengelakkan para remaja kita daripada terkena impak negatif filem-filem tersebut. Denda dan hukuman yang berat itu sekurang-kurangnya akan menakutkan pengeluar filem yang lain untuk melanggar garis panduan yang telah ditetapkan itu. Sebagai contohnya, pengeluar filem yang melanggar peraturan yang ditetapkan boleh dikenakan hukuman penjara mandatori agar dia tidak dapat mengeluarkan filem yang sama.

5.0 Penutup
Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang prihatin, kami perlu mencegah perkara ini daripada menjadi lebih serius. Perkara ini penting kerana filem seram dan ganas itu memberikan impak yang besar dalam pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni dan jati diri para remaja. Oleh itu, kami menggesa semua pihak yang bertanggungjawab agar mempertimbangkan permasalahan ini dan bertindak dengan tegas terhadap pengeluar filem yang tidak mematuhi spesifikasi yang telah digariskan. Unsur-unsur seram, tahyul, dan ganas yang berlebihan perlulah ditapis terlebih dahulu oleh agensi yang bertanggungjawab dalam penapisan filem ini demi kemajuan bidang perfileman negara kita.



_____Mohamad Haziq____                                                   Tarikh : 20 Januari 2012           
(MOHD HAZIQ SYAKIR)
Pengerusi Pertubuhan Pencinta Seni
Teluk Intan, Perak                                                                        


Saturday, January 21, 2012

Novel Konserto Terakhir

Sinopsis/Ringkasan cerita

Hilmi berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Dia menumpang tinggal di rumah sepupu bapanya iaitu Datuk Johari. Walau bagaimanapun, kehadiran Hilmi tidak disukai oleh Datin Salmah kerana Datin Salmah memandang hina terhadap orang kampung yang miskin seperti Hilmi. Datuk Johari menawarkan kerja kepada Hilmi iaitu sebagai tukang kebun di rumahnya. Kerajinan dan sifat artistik yang dimiliki oleh Hilmi telah mengubah lanskap di kawasan pekarangan rumah Datuk Johari hingga menjadi lebih cantik.

            Hayati, anak Datuk Johari pula tertarik oleh kebolehan Hilmi bermain piano.  Hubungan Hayati dengan Hilmi yang semakin rapat menyebabkan Datin Salmah bertekad untuk menghalau Hilmi dari rumahnya. Hilmi kemudiannya meninggalkan rumah Datuk Johari dan belajar bermain alat muzik daripada Encik Bakar. Seterusnya, Hilmi berjaya menjadi seorang pemain alat muzik dan penggubah lagu yang terkenal. Sebelum berangkat ke London dengan suaminya, Hayati datang berjumpa dengan Hilmi dan menyatakan perasaan cintanya kepada Hilmi.

            Orkestra Hilmi berjaya memenangi Festival Muzik di Jepun. Hilmi berkahwin dengan Azizah tetapi Azizah meninggalkannya selepas mendapat seorang anak. Hilmi terjatuh dan terlantar di hospital pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana.” Ketika itu, Hayati pulang dan mengambil alih tugas Hilmi sebagai pemimpin orkestra pada malam “Pertunjukan Orkes Perdana”. Di hospital pula, Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi sebenarnya ialah anak Datuk Johari hasil perkahwinannya dengan isterinya yang pertama. Sebagai kesannya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan mereka yang menyeksa Hilmi sebelum itu. Akhirnya, Datuk Johari meninggal dunia secara mengejut selepas menerima berita kematian Hilmi.

 Tema
Ketabahan seorang pemuda yang menghadapi cabaran dalam kehidupan hingga mencapai kejayaan yang cemerlang.

 Persoalan
i.   Sikap masyarakat yang mementingkan pangkat dan kedudukan sehingga sanggup menghina keluarga sendiri.
ii.  Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa memikirkan balasannya.
iii. Kesanggupan berkorban demi menjaga kepentingan pihak lain.
iv. Kejayaan dalam bidang seni dicapai tanpa memerlukan pendidikan tinggi.
v.  Keinsafan setelah melakukan sesuatu kesalahan.

Watak Utama
Hilmi
 Perwatakan Hilmi
i.   Pemuda kampung yang miskin dan berpendidikan sekolah Melayu hingga darjah empat sahaja.
ii.  Rajin bekerja dan mempunyai kemahiran artistik.
iii. Mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang muzik.
iv. Memiliki kegigihan dalam menghadapi dugaan.
v.  Bersikap penyayang, bersopan, dan akur kepada nasihat orang tua.
vi.  Taat kepada perintah Tuhan dengan menunaikan sembahyang.
vii.  Bijak memanfaatkan kekecewaan untuk mencipta kejayaan.
viii. Pencipta dan penggubah lagu yang terkenal.
ix.  Memenangi Festival Muzik di Tokyo dan pesta muzik tahunan RTM.
x.   Meninggal dunia tanpa mengetahui bahawa dia ialah anak kandung Datuk Johari.

Watak Sampingan
Hayati
i.   Anak Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Bersifat simpati dan belas kasihan kepada Hilmi.
iii. Gadis yang penyayang dan mencintai Hilmi.
iv. Sikapnya berubah selepas mencintai Hilmi, iaitu mulai sembahyang dan membaca buku-buku agama.
v. Berkahwin dengan Mohsin kerana taat akan perintah ibu bapanya.
vi. Suka berterus terang dan jujur.
vii. Menjadi penyelamat pada malam pertunjukan Orkes Perdana dengan menggantikan Hilmi sebagai peneraju orkestra itu.  

Binaan Plot
Peristiwa disusun secara tidak kronologi kerana ada teknik imbas kembali.
i.   Permulaan – Kehadiran Hilmi di rumah Datuk Johari dan Datin Salmah.
ii.  Perkembangan - Konflik berlaku antara Datin Salmah dengan Hilmi dan antara Azizah dengan Hilmi.
iii. Perumitan - Pembaca tertanya-tanya tentang perkara yang mungkin berlaku pada malam Pertunjukan Orkes Perdana kerana Hilmi sebagai teraju utama sedang terlantar di hospital.
iv. Kemuncak cerita – Pak Karim memberitahu Datuk Johari bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari.
v. Peleraian – Datuk Johari mati setelah beliau mendapat tahu bahawa Hilmi, anak kandungnya itu meninggal dunia di hospital.

Nilai
i. Kasih sayang - contohnya Hilmi sayang akan Hayati hingga dia berasa cemburu melihat Hayati berjalan dengan Mohsin.
ii. Simpati - contohnya, Hayati bersimpati kepada Hilmi yang tidak makan nasi kerana dilarang oleh Datin Salmah.
iii. Tolong-menolong - contohnya, Mamat menolong Hilmi dengan cara memperkenalkan Hilmi kepada Encik Bakar supaya Hilmi dapat mempalajari alat muzik.
iv. Gigih - contohnya, Hilmi gigih berusaha tanpa mengenal jemu hingga berjaya menjadi pemain muzik dan penggubah lagu yang terkenal.
v. Taat kepada ibu bapa contohnya, Hayati berkahwin dengan Mohsin kerana taat kepada ibu bapanya walaupun Hayati mencintai Hilmi.
vi. Insaf - contohnya, Datuk Johari dan Datin Salmah insaf akan perbuatan kejam mereka terhadap Hilmi selepas mengetahui bahawa Hilmi ialah anak Datuk Johari sendiri.
vii. Nasihat-menasihati - contohnya Pak Amat menasihati Hilmi supaya berusaha memajukan diri.
viii. Ikhlas - contohnya, Encik Bakar menolong Hilmi dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Pengajaran
i.  Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita.
ii. Kita janganlah mementingkan darjat dan pangkat hingga sanggup menghina orang lain.
iii. Kita perlulah menolong orang lain yang memerlukan pertolongan.
iv. Kita hendaklah insaf akan kesalahan yang telah dilakukan.
v. Kita janganlah mementingkan keseronokan hingga sanggup mengorbankan rumah tangga sendiri.
vi. Kita perlulah mematuhi nasihat orang yang berpengalaman kerana banyak manfaatnya.
vii. Kita haruslah sayang-menyayangi antara sesama insan.
viii. Kita janganlah terlalu gembira dengan kemewahan hidup hingga lupa akan kampung halaman sendiri.

Sunday, January 8, 2012

Masalah dan Cabaran Bahasa Melayu

Antara masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu ialah pelajar yang berbangsa Melayu beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan yang biasa dilakukan. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.

      Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Kedai Jahit Wanita, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah, dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu DBP sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.

      Pengaruh bahasa sms juga menyebabkan masalah ini semakin serius. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti, sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, dan watpe.

      Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.

      Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau sebab kesalahan yang telah dilakukan. Mereka menganggap perkataan atau ayat yang biasa digunakan oleh mereka atau media massa itu betul dan tidak mengetahui sebab kesalahan terebut. Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan, seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan guru-guru, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.

      Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi, automatik, dan sebagainya. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa terutamanya pelajar, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan. Kita sepatutnya membiasakan sebutan yang betul dan membetulkan sebutan yang biasa digunakan tetapi sebenarnya tidak betul.

Saturday, November 12, 2011

Esei STPM dan SPM - Isu Pencemaran Bahasa

       Soalan:
       Masalah  pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan  masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat  kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. 
Huraikan langkah untuk menangani masalah pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

       Pencemaran bahasa merangkumi kesalahan bahasa dan aspek tatabahasa yang melibatkan struktur ayat, ejaan, istilah, penggunaan "bahasa rojak" dan sebagainya. Dalam era millenium yang rancak dengan pembangunan dan modenisasi ini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan gramatis hanya dipandang enteng oleh masyarakat. Bahasa yang dahulunya menjadi ‘lingua franca’ kini kian hilang martabatnya apabila penggunaannya yang membabi buta tidak dikenakan tindakan. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang rendah martabatnya kerana bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk memperkasakan bahasa Melayu. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlulah mengambil langkah yang proaktif dan efisien agar nilai dan martabat bahasa Melayu dapat dikekalkan.
         Antara langkah untuk membendung masalah pencemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkat sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru Bahasa Melayu. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi. Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Sebagai contohnya, pihak sekolah mengadakan bulan bahasa yang diisi dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan seperti pidato, syarahan, kuiz bahasa dan aktiviti lain yang sesuai. Dengan penyertaan oleh para pelajar, secara tidak langsung mereka belajar tentang bahasa yang betul, bak kata pepatah, “Sambil menyelam minum air”
Pihak kerajaan pula perlu mengadakan kempen kesedaran untuk memartabatkan bahasa Melayu.  Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang gramatis di samping mengembalikan martabat bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kempen ini boleh dilancarkan melalui media massa kerana media massa merupakan satu komponen yang paling mudah untuk menyebarkan informasi. Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan bukan kerajaan (NGO), kempen ini dapat dijalankan dengan lancar. Dengan kewujudan kempen ini, diharapkan masalah pencemaran bahasa kalangan masyarakat dapat dielakkan.
Pihak kerajaan juga perlu mewajibkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa yang gramatis dalam segala urusan rasmi organisasi sama ada lisan mahupun tulisan. Hal ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai penggunaan bahasa yang gramatis dalam sektor kerajaan. Dengan mengimplimentasikan langkah ini, semua pegawai dan kakitangan kerajaanakan menggunakan bahasa yang betul setiap kali ingin menulis data, surat ataupun melakukan pembentangan. Perkara ini jika dibiasakan akan menjadi amalan, sesuai dengan peribahasa Melayu, “Alah bisa tegal biasa”. Dengan cara ini, masalah pencemaran bahasa dapat diminimumkan.
Pihak kerajaan perlu mewajibkan penggunaan bahasa yang gramatis pada papan-papan tanda. Hal ini perlu dipandang serius kerana bahasa menunjukkan bangsa. Jika pelancong asing datang ke negara kita, mereka akan terpengaruh oleh penggunaan-penggunaan bahasa yang salah, seterusnya masalah pencemaran bahasa menjadi lebih serius. Oleh itu, papan-papan tanda yang ingin dibuat perlulah mendapat kelulusan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan cara ini, isu pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat akan dapat dibendung. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha untuk mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap. Dalam era dunia tanpa sempadan ini, anak-anak akan terdedah kepada pelbagai perkataan dan istilah yang kurang baik dan digunakan sebagai bahasa percakapan harian mereka. Hal ini tidak mendatangkan maslahat langsung kepada anak-anak, ibu bapa, ataupun negara malahan semakin memburukkan keadaan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbentuk ilmiah di rumah di samping menekankan aspek-aspek penggunaan bahasa dengan betul kepada anak-anak sejak kecil kerana hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sebagai kesimpulannya, semua pihak yang berkenaan perlu bekerjasama untuk menjalankan langkah yang pragmatik bagi menangani masalah pencemaran bahasa. Usaha yang berterusan dan efisien akan menyebabkan bahasa yang telah diangkat martabatnya sebagai bahasa kebangsaan ini semakin dihormati dan penggunaannya dapat dibaiki dari semasa ke semasa. Jika tiada prakarsa daripada mana-mana pihak, maka pupuslah bahasa dan lenyaplah bangsa. Langkah untuk mengutamakan bahasa Melayu ini dilakukan agar generasi akan datang dapat merasakan keaslian dan ketulenan bahasa ibunda mereka yang selama ini diperjuangkan agar "tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas".   

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2
SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Saturday, November 5, 2011

Analisis Soalan/Isu Esei Percubaan STPM Negeri-negeri 2011


Negeri
Isu
Fokus Soalan









Kedah
1. Gejala penagihan semula dadah membimbangkan semua pihak.

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini berlaku?.
2. Fenomena pemerdagangan manusia menimbulkan pelbagai masalah.


Jelaskan faktor-faktor dan bincangkan implikasinya kepada masyarakat dan negara.
3. Vandalisme selalunya dikaitkan dengan keruntuhan institusi kekeluargaan.

Sejauh manakah anda setuju dengan penyataan ini dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya.
4. Lambakan produk tiruan di pasaran menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Sediakan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan pengguna untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk mengatasinya.








Pahang
1. Kewujudan laman sosial seperti “facebook”, “twitter”, dan “blog”.

Bincangkan impak laman sosial ini kepada masyarakat dan negara.
2. Malaysia dikatakan mempunyai kekuatan untuk menjadi pusat pendidikan serantau.
Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut?
3. Pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik.

Jelaskan kebaikan pengambilan vitamin dan bahan minuman bertonik tersebut.
4. Stesen televisyen dan pengusaha pawagam cenderung menyiarkan drama dan filem yang berunsur mistik

Tulis memorandum untuk menyatakan kekesalan tentang kesan negatif yang timbul daripada rancangan tersebut dan kemukakan usul untuk menangani kesan negatif itu.







Terengganu
1. Masalah pengangguran dalam kalangan belia.

Jelaskan kesannya kepada masyarakat dan cadangan untuk menanganinya.
2. Kebanyakan pasar tani menjadi tumpuan.




Huraikan faktor-faktor yang mendorong orang ramai mengunjungi pasar tani dan jelaskan kemudahan yang perlu disediakan di pasar tani.
3. Kepentingan hubungan yang erat dalam kalangan ahli keluarga.



Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengeratkan dan mengekalkan hubungan kekeluargaan?
4. Kajian tetang kesan pertumbuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
Sediakan satu laporan tentang kesan pertumbuhan IPTS kepada rakyat dan negara ini.









Selangor
1. Penyediaan dan penjualan makanan di kantin sekolah yang tidak sempurna dan tidak sihat meninggalkan pelbagai kesan negatif kepada murid-murid.
Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, sediakan memorandum untuk menyatakan permasalahan yang timbul dan kemukakan juga usul untuk menangani masalah ini.
2. Kemudahan yang disediakan dalam bidang sukan dapat meningkatkan prestasi atlet dan mutu sukan negara. 
Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?
3. Peranan pertubuhan belia dalam
merealisasikan wawasan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Sediakan teks syarahan anda.

4. Penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini  terhadap masyarakat.





Negeri Sembilan
1. Pencapaian negara dalam beberapa jenis sukan di peringkat antarabangsa belum mencapai tahap yang diharapkan.
Cadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara.
2. Penggunaan laman web sosial semakin meluas.
Bincangkan kesannya terhadap golongan remaja.
3. Kewujudan restoran makanan segera banyak mehmpengaruhi corak hidup masyarakat.
Tulis laporan sebagai setiausaha Persatuan Pengguna.
4. Menggiatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan penyertaan pelabur asing.
Bincangkan usaha-usaha untuk menarik pelabur asing.






Sabah
1. Program 1Murid 1Sukan banyak mendatangkan manfaat kepada murid.
Huraikan manfaat tersebut.
2. Filem tempatan banyak yang bertemakan unsur mistik.
Bincangkan kesan pemaparan tema tersebut kepada penonton.
3. Internet dikatakan dapat memainkan peranan penting untuk mencorakkan kehidupan masyarakat di sesebuah negara.
Berikan pandangan anda tentang keepentingan internet kepada masyarakat dan negara.
4. IPTS dapat membantu negara meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan rakyatnya.
Pada pendapat anda, apakah aspek yang perlu diberikan oleh kerajaan terhadap pengendalian institusi tersebut. Bincangkan.







Perak
1. Pemerdagangan Orang ialah suatu jenayah kemanusiaan yang  dipandang serius pada masa ini.
Huraikan  usaha dan cabaran  untuk menanganinya.
2. Perniagaan pinjaman wang secara haram
Huraikan punca berlakunya fenomena ini dan bentuk pengawalan yang boleh dilaksanakan dalam usaha membanterasnya.
3. Terdapat  pelbagai laman sosial di internet yang dilayari oleh  masyarakat, khususnya     golongan  remaja.
Bincangkan kesan aktiviti tersebut.

4. Kenaikan harga barangan dan kos perkhidmatan  semakin membimbangkan masyarakat.
Sediakan memorandum untuk menyatakan kekesalan dan langkah-langkah untuk menangani permasalahan ini.

      Dengan berdasarkan isu atau topik yang disenaraikan di atas, topik yang paling popular ialah laman sosial. Hal ini demikian kerana, 3 buah negeri iaitu Pahang, Selangor, dan Perak telah memilih soalan tersebut. Di samping itu, isu-isu lain juga perlu diberikan tumpuan,  seperti isu pemerdagangan orang, filem atau drama berunsurkan mistik, kenaikan harga barang, lambakan barang tiruan, peranan internet, pelaburan asing, keracunan makanan, pengambilan pil vitamin, dan peranan institusi pengajian tinggi atau pusat pendidikan serantau. Namun demikian, isu-isu yang yang dianggap tidak hangat juga perlu diberikan perhatian kerana isu-isu itu merupakan isu yang berpanjangan atau berterusan.

  

Wednesday, September 28, 2011

Esei STPM (Isu Laman Sosial)

Soalan Esei Percubaan STPM Negeri Selangor 2011

Pada masa ini,  penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. 
     Jelaskan implikasi penggunaan laman sosial ini  terhadap masyarakat.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
     Penggunaan laman sosial seperti “Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
            Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas (sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
            Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang leka dan lalai. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan pembangunan negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran daripada penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.
          Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi dari Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang menerusi kemudahan internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana laman sosial seperti “Facebook” dan “My Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan “Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.
Penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga dan juga bahasa rojak. Penggunaan bahasa slangan dan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan laman sosial boleh mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti "Ditelan mati emak, diluah mati bapak".
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana "mencegah lebih baik daripada mengubati". Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi rakyat yang mempunyai minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian demi keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia.

Oleh; Raja Muhammad Hanafi b. Raja Iskandar
6A1 SMKBBST  
  

Sunday, September 4, 2011

Esei STPM - Isu Pembuangan Bayi

Soalan Esei : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.
    
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

      Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini dapat kita baca daripada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

         Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

           Ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun mereka sibuk bekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

          Ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem-kem kesedaran ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah lebih baik daripada mengubati”.

            Nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.

            Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.

            Kesimpulannya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2