Pengikut laman ini

Sunday, January 8, 2012

Masalah dan Cabaran Bahasa Melayu

Antara masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru Bahasa Melayu ialah pelajar yang berbangsa Melayu beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan yang biasa dilakukan. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.

      Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Kedai Jahit Wanita, Minah Restoran, Pusat Membeli-belah, dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu DBP sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.

      Pengaruh bahasa sms juga menyebabkan masalah ini semakin serius. Para pelajar sepatutnya tidak terpengaruh oleh bahasa sms semasa menulis karangan. Mereka seharusnya membezakan bahasa sms dengan bahasa penulisan karangan. Bahasa sms memang sesuai digunakan semasa hendak menghantar pesanan ringkas tetapi tidak sesuai digunakan dalam karangan atau dalam majlis formal. Antara bahasa sms yang popular digunakan sekarang seperti, sape, takyah, takde. xde, ko, keje, ak, gi, camne, katne, dan watpe.

      Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan sekerat bahasa Melayu dan sekerat lagi dalam bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan bahasa rojak atau sekerat ular, sekerat belut, dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.

      Bagi pelajar-pelajar pula, mereka kurang berminat untuk mempelajari peraturan atau rumus tatabahasa. Oleh itu, mereka tidak mengetahui alasan atau sebab kesalahan yang telah dilakukan. Mereka menganggap perkataan atau ayat yang biasa digunakan oleh mereka atau media massa itu betul dan tidak mengetahui sebab kesalahan terebut. Sebagai contohnya, mereka menggunakan perkataan yang tidak baku dalam jawapan, seperti analisa, minima, optima, tengahari, pasaraya, alatulis, aturcara, barisan guru-guru, dan sebagainya. Sepatutnya, mereka perlu mengetahui alasan atau sebab sesuatu kesalahan bahasa itu untuk memantapkan penguasaan bahasa mereka.

      Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi, automatik, dan sebagainya. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa terutamanya pelajar, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan. Kita sepatutnya membiasakan sebutan yang betul dan membetulkan sebutan yang biasa digunakan tetapi sebenarnya tidak betul.

No comments: