Pengikut laman ini

Monday, December 6, 2010

Novel Tingkatan 5 2011 - Interlok

Sinopsis Novel Interlok (Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya)

Buku Empat
Interlok

1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.

2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.

3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.

4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.

5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.

6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.

7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.

8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.

10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.

Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.

Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.

Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.

Friday, December 3, 2010

Novel Tingkatan 5 2011 - Kembara Amira

Sinopsis Novel Kembara Amira (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak)

Amira pergi ke Desa Karpus bersama-sama dengan kawan karibnya, Jacinta semasa cuti sekolah. Dia pergi ke Desa Karpus yang terletak di Gunung Mat Raya kerana ibunya, Profesor Zaidah yang juga seorang pensyarah dan profesor dalam bidang arkeologi di sebuah universiti sedang menjalankan kajian dan mencari gali artifak atau tinggalan manusia zaman silam di situ. Profesor Zaidah dibantu oleh Dr. Zawawi iaitu seorang pensyarah muda dan juga para pelajar tahun akhir yang sedang mengikuti bidang pengajian yang berkaitan dengan arkeologi. Di Gunung Mat Raya, Amira berkawan dengan Itai, iaitu seorang anak orang Asli yang tinggal di kampung orang Asli yang berhampiran dengan kawasan tapak kerja lapangan di Desa Karpus itu.

Di samping mereka yang sedang menjalankan kerja mencari gali artifak, satu kumpulan lain sedang membuat kajian untuk mencari gali emas di kawasan hutan itu. Pihak yang menjadi pencari emas itu pula ialah sebuah syarikat dari Pulau Pinang dan mereka mengupah O’Hara menjalankan kajian untuk menilai kandungan emas di kawasan itu. Selain itu, Malique pula diberikan tugas untuk memasukkan laporan kajian itu ke dalam komputer dan Internet. Antara yang terlibat dalam syarikat pencari emas itu ialah Chin dan Roslan di samping pekerja-pekerja yang menjalankan kerja menggerudi tanah.

Semasa berada di dalam hutan itu, Amira dan Jacinta telah mengalami peristiwa pahit, iaitu Amira dihanyutkan oleh air sungai yang deras. Peristiwa itu berlaku semasa Amira hendak berjumpa dengan Malique di kawasan air terjun yang menjadi tempat mereka mandi. Amira bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Itai daripada lemas di dalam sungai dan Jacinta pula telah diselamatkan oleh Tau dalam keadaan pengsan kerana hendak menjejaki Amira yang dihanyutkan oleh air sungai.

Semasa berada di tapak cari gali itu, mereka telah menemukan karpus atau tulang pergelangan tangan manusia, barang-barang tinggalan manusia zaman silam seperti tembikar dan kapak batu. Amira merasai pengalamannya sendiri iaitu dia berjaya menemukan bekas air yang sempurna bentuknya iaitu barang tinggalan manusia pada zaman silam itu. Mereka juga menjumpai kapak batu di Gunung Gua Gajah dengan bantuan Tau.

Di samping itu, pelbagai peristiwa yang ganjil telah dialami oleh mereka, seperti mereka mendengar pelbagai bunyi pada waktu malam, tali khemah mereka dipotong, dan terdapat kesan tapak kaki manusia di kawasan kerja lapangan itu dijalankan. Profesor Zaidah pula telah mengalami kecederaan di lengannya, akibat kemalangan semasa dia menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh Pak Lias di dalam hutan itu. Perkara itu berlaku semasa kereta pacuan empat roda yang dinaiki oleh mereka terbabas dan hilang kawalan kerana breknya tidak berfungsi. Namun begitu, Ludin, iaitu ketua kampung orang Asli yang juga bapa angkat Itai telah membantu Profesor Zaidah. Dia merawat kecederaan Profesor Zaidah dengan menggunakan kaedah rawatan tradisional iaitu menggunakan daun kayu, herba dan buluh.

Malique yang menganggotai kumpulan pencari emas pula telah mengalami kemalangan akibat kereta pacuan empat roda yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung sewaktu hujan lebat ketika hendak mencari pekerja yang hilang. Malique pengsan dan dia mendapat kecederaan iaitu tulang kakinya patah. Malique bernasib baik kerana dia telah diselamatkan oleh makhluk yang berbulu tebal. Walau bagaimanapun, dia disembunyikan dan dikurung di dalam sebuah gua di Gunung Gua Gajah oleh makhluk itu. Kehilangan Malique telah menyebabkan kawan-kawannya berasa bimbang dan mereka berusaha untuk mencarinya. Amira pula menggerakkan usaha dengan mendapatkan bantuan daripada Itai untuk mencari Malique.

Sebelum itu, Tau mengajak mereka ke Gua Gajah dan Amira terjumpa mobile disk kepunyaan Malique di dalam gua itu. Hal itu menguatkan semangat Amira untuk mencari Malique dan dia berasa bahawa Malique masih hidup dan berada tidak jauh dari kawasan gua itu. Perkara itu diperkukuh lagi dengan bukti bahwa mobile disk itu memang milik Malique dan kandungannya berisi laporan hasil kajian tentang emas di kawasan hutan itu. Amira benar-benar yakin bahawa Malique masih hidup dan berada di kawasan gua itu, dan dia meminta bantuan Itai untuk mencari Malique. Selain Amira dan Itai, Pak Lias, Jacinta, Roslan, Profesor Zaidah dan Ludin turut bersama-sama dengan mereka untuk mencari Malique. Pada masa yang sama, O’Hara dan ibu Malique, iaitu Jennifer juga sampai dan turut sama ke tempat tersebut untuk menyertai gerakan itu.

Malique yang cedera pula telah dijaga dan dirawat oleh Tau di dalam gua itu. Tau yakin bahawa Malique ialah Sabi iaitu anak kandungnya dengan Ipah. Tau yang memakai sarung beruang cuba bertindak kasar kepada Pak Lias kerana dia tidak membenarkan mereka membawa Malique keluar dari situ. Walau bagaimanapun, Ludin sampai tepat pada masanya dan dia menasihati Tau supaya jangan bertindak di luar batasan dan menerima keadaan itu dengan rasional.

Akhirnya rahsia yang terpendam begitu lama terurai dengan pendedahan yang dilakukan oleh Jennifer. Jennifer mengakui bahawa Malique sebenarnya ialah Sabi iaitu anaknya dengan Tau. Dia juga mengakui bahawa Tau ialah suaminya dan Itai ialah adik Malique. Hal ini bermakna, Itai dapat bertemu dengan abang dan juga ibu kandungnya sendiri. Jennifer (Ipah) telah meninggalkan Tau dan Itai suatu masa dahulu kerana konflik jiwa akibat dia tidak diterima oleh masyarakat di kampung itu. Jadi, dia mengambil kesempatan untuk keluar dari kampung itu dengan mengikut Johnny. Selepas semuanya selesai, Malique membuat keputusan untuk tinggal di situ buat sementara waktu dengan bapa dan adik kandungnya, iaitu semasa bapanya merawat kecederaannya itu.

Amira meneruskan pengajiannya dalam bidang yang diminatinya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Itai pula melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan. Malique meneruskan projek teknologi maklumat (IT) di kampungnya termasuklah di Dahan Hijau dan dia dibantu oleh Roslan. Malique berjaya menggagalkan projek cari gali emas itu kerana semua laporannya terhapus oleh virus ciptaannya sendiri. Hal ini bermakna, kawasan hutan yang disayanginya itu dapat diselamatkan daripada menjadi mangsa syarikat pencari gali emas. Sementara itu, Jacinta berada di Paris kerana melibatkan diri dalam perniagaan fesyen, syarikat milik bapanya. Dr. Zawawi pula sudah menukar profesionnya iaitu dia melibatkan diri dengan projek swasta yang mengesan khazanah Melayu yang hilang dan tenggelam di dalam laut. Profesor Zaidah masih meneruskan projeknya di Bukit Mat Raya iaitu dalam fasa keempat dan dibantu oleh Rusdi yang menggantikan tempat Dr. Zawawi.

Thursday, December 2, 2010

Antologi Dirgahayu Bahasaku 2011 - Sajak Tingkatan 5

Para pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun hadapan akan mengkaji teks Komponen Sastera yang baharu iaitu Dirgahayu Bahasaku. Teks ini diberikan judul sedemikian, kerana mengambil sempena sebuah sajak yang terdapat dalam teks ini iaitu Dirgahayu Bahasaku, karya Ahmad Sarju. Saya akan membincangkan aspek yang akan dikaji dalam sajak tersebut di bawah ini.



Sajak Dirgahayu Bahasaku – Ahmad Sarju

Maksud
Rangkap 1
Bahasa kebangsaan sepatutnya diangkat martabatnya kerana menjadi hati dan nurani bangsa Malaysia yang berbudi, setia dan amanah kepada negara.

Rangkap 2
Bahasa kebangsaan merupakan maruah bangsa yang mesti dipelihara martabatnya supaya utuh dan kukuh dalam menempuh dunia yang semakin canggih serta berperanan untuk menjadi alat untuk menyatukan bangsa.

Rangkap 3
Para pejuang bahasa telah berjuang untuk mempertahankan bahasa kebangsaan supaya kekal menjadi milik rakyat negara ini dan sentiasa akan mendaulatkannya dalam era globalisasi ini.

Rangkap 4
Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi bahasa perantaraan dalam bidang diplomatik di peringkat antarabangsa.

Rangkap 5
Diharapkan agar bahasa kebangsaan akan terus berkembang di peringkat antarabangsa iaitu digunakan sebagai bahasa ilmu dan menjadi bahasa yang melambangkan kesopanan bangsa Melayu. Bahasa kebangsaan akan terus digunakan sebagai bahasa perpaduan dan berupaya untuk menghadapi rintangan dan mencaipta kejayaan dalam alaf baru ini.

Tema
Bahasa kebangsaan perlu dipelihara dan dimartabatkan darjatnya.

Persoalan
1. Sayang akan bahasa kebangsaan
2. menghargai sumbangan bahasa kebangsaan
3. hormat akan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu
4. keyakinan dan optimis akan masa depan bahasa kebangsaan

Gaya Bahasa
1. Sinkof – tempatmu, bangsaku, memilikimu, pelautku, bahasaku, mendaulatkanmu, bahasamu, tak
2. Metafora – lautan bijaksana
3. Personifikasi – Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
- bahasaku mencengkam
4. Inversi – gagah pelautku membelah lautan
- di arena antarabangsa suaramu tumbuh
5. Anafora – hak bangsaku memilikimu
                    hak bangsaku mendaulatkanmu
6. Pengulangan – ke barat dan ke timur
                           ke utara dan ke selatan

Nilai
1. Semangat patriotik
2. Hormat-menghormati
3. Semangat perpaduan
4. Yakin diri

Pengajaran
1. Kita hendaklah menyayangi bahasa kebangsaan kita sendiri.
2. Setiap rakyat negara ini haruslah memartabatkan bahasa kebangsaan.
3. Kita mestilah yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.
4. Kita perlulah menggunakan bahasa kebangsaan untuk memupuk perpaduan kaum.

Friday, November 26, 2010

Analisis Soalan Peperiksaan Bahasa Malaysia STPM Kertas 1 2002 – 2009

Setelah menjawab soalan BM Kertas 2, calon-calon STPM akan menjawab soalan Kertas 1 pula pada 15 Disember 2010. Oleh itu, pelajar-pelajar masih ada masa untuk mengulang kaji topik-topik yang akan disoal dalam peperiksaan nanti. Di samping itu, pelajar-pelajar digalakkan untuk membuat latihan dengan menjawab soalan tahun-tahun lepas dan soalan peperiksaan percubaan negeri-negeri. Pelajar-pelajar juga digalakkan supaya berbincang dengan rakan-rakan untuk memantapkan pemahaman terhadap topik-topik tersebut. Untuk memudahkan pelajar-pelajar mengulang kaji topik-topik tersebut, saya akan memaparkan jadual analisis soalan Kertas 1 dari tahun 2002 hingga tahun 2009. Dengan berdasarkan analisis tersebut, pelajar-pelajar dapat menganalisis trend soalan dan menjangkakan topik-topik yang popular dan perlu diberikan perhatian yang lebih. 

Kertas 1 (910/1)   Bahasa Malaysia STPM 
       
Bil.
Bahagian Soalan
Tahun


2002
2003
2004
2005
2006
2007
2008
2009
1.
Pemaha-man (10
soalan)
-Teks
berbentuk  
petikan/
rencana
-Teks  
berbentuk
carta/
jadual



2



1



2



-



1



2



2(3,3)


1 (4)



2(3,3)


1 (4)



3



-



1



1



2(3,3)


1(4)
2.
Asal usul
dan
Bahasa Melayu
Kuno
2
3
2
3
2
3
4
4
3.
Perkem-bangan
Bahasa Melayu
Klasik dan
Moden
4
4
4
3
4
3
4
4
4.
Dinamika Bahasa
Melayu
7
6
7
7
7
7
7
8
5.
Fonologi Bahasa
Melayu
8
8
8
8
8
6
7
8
6.
Morfologi Bahasa
Melayu
9
11
8
9
11
11
11
13
7.
Sintaksis Bahasa
Melayu
16
14
17
16
14
16
13
10
8.
Makna
3
2
2
2
1
1
2
1
9.
Peribahasa
1
2
2
2
3
3
2
2
Jumlah Soalan
60
60
60
60
60
60
60
60