Pengikut laman ini

Monday, September 27, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 – Bencana Alam

Antara isu lain yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah isu yang berkaitan dengan bencana alam.


Soalan yang berkaitan dengan isu ini terdapat dalam Kertas 1 (Karangan Respons Terbuka) Peperiksaan Percubaan SPM 2010 negeri Terengganu iaitu Soalan 3.


Kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini berpunca daripada kerakusan manusia itu sendiri.

      Tulis sebuah rencana tentang faktor-faktor berlakunya tanah runtuh dan kesan-kesannya.



Selain itu, soalan negeri Perak juga menyentuh isu yang sama, cuma soalan tersebut termasuk dalam dimensi isu antarabangsa iaitu soalan 4 dan fokus soalannya juga berbeza.

Kejadian bencana alam sering melanda negara-negara di rantau ini. Sebagai tindakan berjaga-jaga, Malaysia telah mengambil langkah untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi menghadapi kejadian tersebut pada masa hadapan.

     Huraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau untuk menghadapi bencana alam tersebut.

Yang berikut, dipaparkan pula soalan dan karangan contoh yang menyentuh isu yang hampir sama dengan soalan negeri Terengganu untuk dijadikan rujukan.

Soalan contoh


Sesetengah bencana alam yang berlaku adalah disebabkan perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

     Jelaskan sebab-sebab bencana alam yang berlaku akibat perbuatan manusia sendiri.


Rangka Karangan

Pendahuluan
- kita sering dikejutkan dengan kejadian bencana alam

Isi-isi Karangan
i. aktiviti pembalakan menjadi faktor berlakunya bencana alam
i. individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka
iii. anggota masyarakat membuang sampah ke dalam longkang dan sungai
iv. aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng bukit

Penutup
- semua pihak harus bekerjasama dan berganding bahu

Karangan Contoh


     Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letupan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menghalang kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.
     Aktiviti pembalakan memang merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak memikirkan kesannya sebelum menebang pokok. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, perkara ini membuktikan bahawa masalah ini menjadi penyebab bencana alam berlaku.
     Terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma akan mengalami masalah pernafasan dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia yang tidak berdosa.
     Ada sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, perkara ini jelas membuktikan bahawa sikap anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi punca bencana alam berlaku.
     Bencana alam yang berlaku kebiasaannya disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.
     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir, dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera sebelum bertindak agar kita tidak ditimpa oleh bencana alam akibat tindakan kita sendiri yang tidak bertanggungjawab.

Sunday, September 19, 2010

Fokus Karangan SPM 2010 - Peranan Ibu Bapa Galakkan Anak Aktif dalam Bidang Sukan

Antara soalan yang perlu difokuskan dalam karangan SPM 2010 nanti ialah soalan tentang peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.


Soalan ini terdapat dalam Kertas 1, Karangan Respons Terbuka Peperiksaan Percubaan SPM 2010 Negeri Kelantan iaitu Soalan 2.

Malaysia ketandusan atlet yang berbakat dalam bidang sukan. Semua pihak termasuk keluarga berperanan penting dalam mencungkil bakat anak-anak mereka sejak kecil lagi.

     Huraikan peranan ibu bapa untuk menggilap bakat anak-anak dalam bidang sukan.

Di bawah ini, dipaparkan soalan dan karangan contoh yang hampir sama dengan soalan tersebut.

Soalan contoh

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak bergiat dalam bidang sukan.
        Huraikan pendapat anda.

Rangka Karangan

Pendahuluan
- Sukan merupakan antara bidang yang penting di negara kita - aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah

Isi-isi
i.   Memberikan galakan dengan cara membeli peralatan sukan
ii.  Menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif
iii. Memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan
iv. Membelikan anak-anak majalah sukan

Penutup
- Peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan – ibu bapa perlu memainkan peranan yang sepatutnya

Karangan Contoh

       Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.

       Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.

       Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

       Ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

       Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.

       Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh dikesampingkan dalam usaha untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang yang ingin akan kejayaan.

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua guru, terutamanya rakan-rakan yang mengendalikan blog Bahasa Melayu, seterusnya tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar STPM, SPM dan semua pengunjung yang sudi mengunjungi blog ini.


Saturday, August 21, 2010

Teks Bahas Ala Parlimen (Menteri Kedua)

Soalan Contoh

Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Parlimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul perbahasan tersebut ialah “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Sebagai menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Rangka Karangan

Kata alu-aluan

Pendahuluan

- tolak pindaan usul oleh pembangkang – sokong definisi usul Perdana Menteri

Isi-isi Penting

i. bidasan terhadap pembangkang
ii. penguatkuasaan yang lemah
iii. wujudnya unsur rasuah

Penutup

- Pemantauan pihak berkuasa dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.


Teks Contoh

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,

Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Tidak Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh Perdana Menteri, iaitu “Pemantauan Pihak Berkuasa Dapat Mencegah Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah”.

Tuan Yang Dipertua,

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemantauan yang kurang berkesan tidak dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Sebenarnya, pihak berkuasa mempunyai prosedur atau peraturan yang menjadi garis panduan untuk meluluskan tender kantin kepada pengusaha yang berjaya. Selepas itu, pihak berkuasa hendaklah memantau pengusaha-pengusaha kantin sekolah yang sedang menjalankan operasi itu dengan berkesan. Jadi, sepatutnya pihak berkuasa hendaklah menjalankan tanggungjawab mereka itu dengan berkesan. Sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sudah pasti masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah akan dapat diatasi. Mungkin ada segelintir pihak yang berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan tetapi bukan bermakna semua pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan yang berkesan. Jika berlaku juga sebahagian kecil pihak berkuasa yang tidak menjalankan pemantauan dengan berkesan, sudah pasti mereka juga akan dikenakan tindakan kerana kecuaian. Oleh itu, perkara pokoknya di sini ialah pihak berkuasa sepatutnya menjalankan pemantauan dengan berkesan untuk mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah iaitu, sebelum nasi menjadi bubur.

Tuan Yang Dipertua,

Pemantauan pihak berkuasa akan dapat mencegah masalah keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah, jadi hujah saya yang pertama iaitu berpaksikan frasa, pemeriksaan berkala secara kerap. Selepas tender diberikan kepada pengusaha kantin, pihak berkuasa perlulah membuat pemeriksaan berkala secara kerap terhadap pengusaha kantin tersebut. Pihak berkuasa seperti pegawai-pegawai daripada Jabatan Pelajaran dan Kementerian Kesihatan perlulah membuat pemeriksaan secara mengejut untuk memastikan makanan yang disediakan benar-benar bersih dan selamat untuk dimakan oleh murid-murid. Sampel makanan pula perlulah diperiksa dan dibuat uji kaji di makmal untuk memastikan kebersihan dan keselamatannya. Selain itu, pekerja-pekerja yang terlibat untuk menyediakan makan perlulah mematuhi syarat-syarat atau garis panduan yang telah ditetapkan. Sekiranya langkah-langkah ini dijalankan, sudah pasti keracunan makan dalam kalangan murid sekolah tidak akan berlaku.

Tuan Yang Dipertua,

Sekiranya pemeriksaan berkala secara kerap dijalankan sudah pasti pihak pengusaha kantin akan mementingkan kebersihan dalam aspek penyediaan makanan. Oleh itu, pengusaha kantin perlulah memastikan tangan pekerja yang menyediakan makanan benar-benar bersih dan premis penyediaan makanan mereka bersih. Selain itu, tukang masak juga perlu memakai topi dan apron di samping memotong kuku mereka agar bersih. Sayur-sayuran atau bahan-bahan yang hendak dimasak perlulah dibersihkan dengan air yang secukupnya, di samping tidak mendedahkan makanan kepada lalat atau serangga yang lain. Jika langkah sediakan payung sebelum hujan ini diambil oleh pengusaha kantin, sudah tentulah masalah keracunan makanan dapat dielakkan daripada berlaku kepada murid-murid sekolah.

Tuan Yang Dipertua,

Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, mengadakan kursus kepada pengusaha kantin. Pihak berkuasa perlulah mengadakan kursus yang berkaitan dengan aspek kebersihan dalam pengendalian makanan kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah. Melalui kursus tersebut, pengusaha kantin akan mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh demi menjaga kebersihan makanan di kantin sekolah. Dengan perkataan lain, sudah tentu mereka akan diberikan pendedahan tentang cara-cara untuk menyediakan makanan yang bersih dan selamat kepada murid-murid sekolah. Pekerja-pekerja kantin itu juga didedahkan dengan aspek kebersihan dan kesihatan yang perlu dititikberatkan dalam penyediaan makanan. Selain itu, mereka perlu memakai pakaian yang sepatutnya dipakai semasa memasak makanan dan menjaga kebersihan seperti memastikan kuku mereka dipotong, membasuh tangan sebelum memegang makanan dan memakai penutup rambut. Oleh itu, masalah keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah akan dapat diatasi dengan efektif.

Tuan Yang Dipertua,

Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadang.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, July 7, 2010

Kertas Cadangan Penyelidikan Pra-U Bawah SMKBBST 2010

Pelajar-pelajar Pra-U Bawah akan memulakan kerja penyelidikan dengan menyediakan kertas cadangan atau proposal. Perkara ini merupakan langkah pertama yang perlu dijalankan sebelum pelajar menjalankan kajian dan mengutip data pada tahun hadapan. Selepas dibahagikan kumpulan, pelajar-pelajar akan berbincang dengan guru pembimbing masing-masing. Perkara yang akan dibincangkan dengan guru pembimbing adalah seperti yang berikut:


1. Pelajar yang telah diagihkan dalam kumpulan akan membincangkan penyelidikan yang hendak dijalankan dan menentukan tajuk penyelidikan dengan bimbingan guru pembimbing masing-masing.

2. Pelajar membuat perancangan kerja penyelidikan (pengagihan tugas) dengan bimbingan guru.

3. Pelajar membincangkan Pengenalan/Latar Belakang Kajian dan Definisi Konsep tentang tajuk penyelidikan.

4. Pelajar membincangkan Tinjauan Literatur/Tinjauan Kajian Lampau.

5. Pelajar membincangkan Matlamat dan Objektif kajian.

6. Pelajar membincangkan Persoalan Kajian/Hipotesis (jika ada) dan kepentingan kajian

7. Pelajar membincangkan Skop dan Batasan Kajian serta Kaedah/Metodologi Kajian.

8. Pelajar membincangkan Rangka Kertas Cadangan Penyelidikan.

9. Pelajar menyediakan draf untuk menulis Kertas Cadangan Penyelidikan.

Oleh : Cikgu Mohd Khir Kassim

Ketua Penyelidikan Pra-U SMKBBST

Tuesday, June 29, 2010

Kolokium/Pembentangan Laporan Penyelidikan Pra-U SMKBBST 2010

1. Gunakan Persembahan Power Point – 5-10 slide.

2. Masa – 10 – 15 minit setiap kumpulan.

3. Persembahan akan dinilai daripada pelbagai aspek iaitu:
• Pengenalan
• Isi Kandungan
• Penutup
• Bahasa Lisan
• Bahasa Badan (Body language)
• Penggunaan Teknologi Multimedia
• Keyakinan
• Penerapan Nilai Insaniah.

Cadangan Slide 1
Muka depan – aplikasikan kreativiti dan inovasi masing-masing
2. Tajuk penyelidikan
3. Nama penyelidik
4. Guru pembimbing

Cadangan Slide 2
Latar belakang kajian
1. Penyataan masalah
2. Tujuan kajian
3. Kepentingan kajian
4. Batasan kajian

Cadangan Slide 3
Tinjauan kajian lampau (Literature review) atau penulisan yang berkaitan
1. Pengenalan
2. Beri definisi frasa penting tajuk penyelidikan
3. Nyatakan dapatan/hasil kajian lampau

Cadangan Slide 4
Metodologi
1. Sampel
2. Instrumentasi
3. Kesahihan instrumen
4. Pentadbiran soal selidik
5. Temu bual
6. Pemerhatian (sekiranya ada)
7. Analisis data secara kualitatif – terangkan secara umum
8. Analisis data secara kuantitatif

Cadangan Slide 5
Analisis data
1. Pengenalan
2. Tunjukkan analisisnya – beri penjelasan

Cadangan Slide 6
1. Perbincangan hasil dapatan
2. Kesimpulan
3. Cadangan

Oleh : Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, June 14, 2010

Karangan Pelajar Pra-U - Perniagaan Internet

Peperiksaan Pertengahan Tahun baru sahaja berlalu dan ada pelajar sudah mengetahui markah masing-masing. Di samping itu, ada juga yang sudah mendapat kertas jawaban daripada guru. Oleh itu, para pelajar seharusnya meneliti dan menganalisis kesalahan yang telah ditandakan oleh guru dan cuba baiki setiap kesalahan yang telah dilakukan itu. Selain itu, sila teliti kelemahan-kelemahan yang telah dilakukan dan buatlah pembetulannya, semoga dengan cara itu para pelajar akan berupaya untuk meningkatkan prestasi dalam ujian atau peperiksaan yang bakal dilalui selepas ini.


Saya selalu menekankan perkara ini kerana kebanyakan pelajar tidak membuat analisis bagi setiap kesalahan yang telah dilakukan dalam setiap soalan yang telah dijawab dalam peperiksaan.

Untuk tujuan tersebut, di bawah ini saya paparkan karangan yang telah ditulis oleh pelajar saya, iaitu Nurul Naziera bt. Md. Nizam (6A1). Sila teliti dan analisis kelemahan dan kekuatan karangan ini sebagai latihan.

Soalan: Perniagaan internet semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam era globalisasi ini.


Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan internet kepada masyarakat pada masa ini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga dengan pengguna melalui internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa ini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di peringkat globalisasi. Di samping itu, perniagaan internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat besar, tetapi juga untuk syarikat kecil. Walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan internet juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri.

Perniagaan internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui internet sahaja.

Pasaran bagi perniagaan internet tentunya dapat dikembangkan dengan cara yang meluas ke serata dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berkualiti dengan harga yang murah bukan sahaja tertumpu di dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barangan ke luar negara bukan sahaja dapat memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan peniaga dari luar negara. Peniaga dari luar negara mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan mereka akan menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Perniagaan internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara. Impak tersebut dapat dilihat dalam sektor pelancongan. Melalui kemudahan internet, setiap hotel dan pusat pelancongan akan memperkenalkan produk pelancongan mereka dengan membuat promosi mereka melalui internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan sahaja meningkat tetapi juga persaingan antara negara maju yang lain juga dapat ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi tinggi seperti internet.

Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila peniaga menceburkan diri dalam perniagaan internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak biasa menggunakan teknologi maklumat. Di samping itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan internet. Oleh itu, peniaga terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang diganti itu semula demi kepuasan pengguna. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum mereka menerima dan boleh menggunakannya.

Pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sesetengah daripada produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam internet tidak secantik seperti yang ditunjukkan melalui iklan dalam internet. Keadaan ini tentunya akan memberikan kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan. Hal ini menyebabkan berlakunya tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu oleh promosi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna tetapi juga memberikan kemudahan dan kelebihan kepada peniaga. Walau bagaimanapun, kita bukan sahaja menerima kebaikan dan faedahnya, malahan perniagaan tersebut turut memberikan impak negatif juga kepada negara. Jadi kita tidak mahu kelemahan tersebut menjejaskan negara kita dan kita mahu terus bersaing dengan negara maju yang lain. Selain itu, pihak peniaga dan pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa atau kerajaan haruslah mengawal dan memantau aktiviti perniagaan melalui internet ini supaya bentuk perniagaan dan kemudahan ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang bertanggungjawab kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.