Pengikut laman ini

Saturday, November 15, 2008

Latihan Alih Bentuk Teks BM STPM

Latihan Alih Bentuk Teks Bahasa Malaysia STPM (Kertas 2)

Tahun ini dijangkakan soalan Alih Bentuk Teks akan menggunakan petikan prosa atau puisi klasik. Oleh itu saya sediakan soalan latihan mengalih teks prosa klasik kepada bentuk prosa moden untuk calon-calon STPM yang akan menjawab soalan Bahasa Malaysia Kertas 2 pada 25 November nanti. Saya juga telah menyediakan jawaban contoh untuk dijadikan panduan sekiranya diminta oleh calon. Selamat mencuba soalan tersebut.

Soalan 6.
Alih bentuk prosa klasik di bawah kepada bentuk prosa Melayu moden. [15 markah]

Adapun segala anak cucu Telanai Terengganu semuanya lari ke Melaka, maka dipersembahkanlah ke bawah duli Sultan Alau’d-Din, “Bahawa Telanai telah dibunuh Sultan Muhammad, sebab mengadap ke Melaka. Seri Akar Raja yang datang membunuh,” dan peri raja Pahang hendak melanggar balairung Melaka, akan merebut kerajaaan Baginda itu, semuanya dipersembahkan. Maka Sultan Alau’d-Din pun terlalu murka; titah baginda, “Raja Pahang hendak menunjukkan makarnya kepada kita. Baiklah kita suruh serang negerinya.” Maka baginda menyuruh berlengkap hendak menyerang Pahang. Maka sembah Bendahara Paduka Raja, “Ampun tuanku, beribu-ribu ampun di atas batu kepala patik, pada bicara patik, hamba tua ini, jangan taajal kita membinasakan Pahang itu; barang suatu hal paduka kakanda, tunkulah yang rugi. Baik patik itu Laksamana kita utuskan ke Pahang.” Maka titah Sultan Alau’d-Din, “Baiklah, yang mana kata Bendahara kita turut.” Maka ada cucu Telanai Terengganu tiga orang lelaki; disuruh Sultan Alau’d-Din peliharalah baik-baik kanak-kanak itu. Megat Sulaiman seorang namanya; Megat Hamzah seorang namanya; dan lagi seorang Megat Omar namanya. Maka Laksamana pun berlengkaplah; setelah mustaed, maka surat pun diarak oranglah ke perahu. Setelah itu maka Laksamana pun pergilah.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, hlm. 181-182, DBP, 1996)

Jika calon memerlukan jawaban contoh sebagai panduan, sila nyatakan alamat e-mel dalam ruangan komentar.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Peringatan Akhir Kepada Calon STPM 2008

Kertas 2 Bahasa Melayu STPM 2008
Peringatan terakhir sebelum menghadapi peperiksaan
Peringatan tentang Masa:Pastikan anda membuat perancangan masa mengikut soalan dan masa yang diperuntukkan.

Peringatan tentang teknik menjawab soalan:
Karangan1. Baca semua soalan dan pilih satu daripada 4 soalan yang dikemukakan berdasarkan pengetahuan yang anda miliki tentang kehendak soalan tersebut.
2. Baca soalan itu sekali lagi dengan teliti dan garisi kata kunci dalam soalan.
3. Setelah memahami kehendak soalan, buatlah perancangan dengan membuat rangka karangan iaitu dengan menyenaraikan 5 isi penting karangan.
4. Fikirkan juga perkara-perkara yang hendak ditulis dalam pendahuluan dan penutup karangan.
5. Selepas itu mulakan jawaban anda dengan menulis perenggan pendahuluan, seterusnya 5 perenggan isi dan perenggan kesimpulan. Jadi, jumlah perenggan nya sebanyak 7 perenggan.
6. Gunakan formula atau teknik untuk mengolah karangan yang telah dipelajari sebelum ini.
7. Pastikan karangan anda dijalin dengan ayat-ayat yang mempunyai pertalian dan pertautan atau mempunyai kohesi dan koheren.
8. Patuhi had perkataan karangan iaitu lebih kurang 650 – 700 perkataan. Pastikan setiap perenggan seimbang dari segi fizikalnya iaitu bilangan perkataannya adalah antara 90 – 100 perkataan.
9. Ingat, jumlah perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa dan sekiranya jumlah perkataan kurang daripada had yang ditetapkan, markah akan dipotong.
10. Masukkan ungkapan menarik atau peribahasa yang sesuai dalam mana-mana perenggan.
11. Elakkan daripada kesalahan bahasa yang biasanya kurang diberikan perhatian oleh calon-calon, contohnya elakkan penggunaan kata hubung pada awal ayat.
12. Semak sepintas lalu karangan yang sudah siap ditulis agar kesilapan dapat dibaiki.

Rumusan
1. Baca petikan sepintas lalu sambil menandakan isi utama dan isi-isi sampingan yang berkaitan.
2. Isi utama terdapat dalam perenggan pertama.
3. Cari 5 - 6 isi sokongan daripada perenggan-perenggan yang lain.
4. Kesimpulan pula terdapat dalam perenggan yang akhir.
5. Sila tulis rumusan anda dalam 3 perenggan dan tulis jumlah perkataan di dalam kurungan bahagian bawah, sebelah kanan rumusan selepas menamatkan jawaban.
6. Sila patuhi had perkataan yang dinyatakan dalam soalan, biasanya antara 180 hingga 190 patah perkataan. Perkataan yang melebihi had tidak akan dibaca oleh pemeriksa.
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.

Alih Bentuk Teks1. Baca teks asal sepintas lalu dan fahami maksudnya.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu baku.
3. Masukkan semua isi penting yang terdapat dalam teks asal.
4. Elakkan daripada membuat ulasan atau memberikan pendapat.
5. Jangan salin teks asal sepenuhnya.
6. Tulis dalam perenggan mengikut kesesuaian teks (tidak melebihi 3 perenggan)
7. Elakkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan oleh calon.
8. Semak jawapan dengan membaca ayat-ayat yang telah ditulis.

Analisis Kesalahan Bahasa1. Baca petikan sepintas lalu dan tandakan kesalahan bahasanya.
2. Buat 3 lajur iaitu untuk menulis kesalahan bahasa, sebab kesalahan dan pembetulannya.
3. Cari sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa daripada petikan dan beri sebab kesalahan dan pembetulan bagi setiap kesalahan.
4. Sebab kesalahan mestilah berdasarkan peraturan bahasa atau sistem bahasa mengikut Tatabahasa Dewan.
5. Biasanya calon dapat mengesan kesalahan kata, frasa atau binaan ayat dalam petikan tersebut. Kesalahan yang paling popular berdasarkan tahun-tahun yang lepas ialah kesalahan morfologi.

Selamat menjawab soalan dan saya doakan agar semua calon yang mengambil kertas Bahasa Melayu mendapat keputusan yang cemerlang.
Daripada Cikgu Khir Kassim

Friday, November 14, 2008

STPM 2008

Kepada Calon-calon STPM 2008 (khususnya yang mengambil kertas Bahasa Malaysia 2)

Selamat menduduki peperiksaan STPM yang akan bermula pada 18 November ini. Semoga calon-calon dapat menjawab soalan dengan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Bagi calon-calon yang mengambil Kertas Bahasa Melayu 2, ingat segala pesanan daripada guru-guru, fokuskan perhatian anda kepada soalan, jangan gopoh, teliti kata-kata kunci dalam soalan. Ingat, jawab perkara yang ditanya dan jangan jawab apa yang anda tahu. Jangan lupa untuk membahagikan masa bagi menyemak jawaban yang telah ditulis sebelum dihantar kepada pengawas. Kemungkinan besar ada kesilapan yang boleh dibaiki. Akhirnya, berdoalah, semoga jawaban anda menepati kehendak soalan.
Selamat berjuang dan menempa kejayaan yang cemerlang kepada semua calon STPM 2008. Prinsipal A dalam genggaman anda!! Yakin boleh!!! Insyaallah.
Tips terakhir menjelang hari peperiksaan akan menyusul kemudian.

Daripada Cikgu Khir Kassim

Analisis Kertas 2 STPM 2002 - 2007

Analisis Soalan STPM Bahasa Melayu Kertas 2 (2002 - 2007)

Soalan Bahagian A : Karangan

2002
1. Faktor yang mempengaruhi kestabilan institusi kekeluargaan. (Format umum)
2. Kesan pertumbuhan pasar raya. (Format umum)
3. Langkah untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. (Format umum)
4. Punca kekurangan bekalan air dan langkah mengatasinya. (Format khusus - Laporan)

2003
1. Kesan negatif pencemaran sungai dan langkah mengatasinya. (Format umum)
2. Sebab kelembapan pasaran buku ilmiah dan cadangkan langkah untuk mepertingkatkannya. (Format umum)
3. Faktor yang menyebabkan berlakunya kegiatan cetak rompak dan kesan-kesannya. (Format umum)
4. Kelemahan sistem pengangkutan awam dan langkah mengatasinya. (Format khusus -Laporan)

2004
1. Usaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk melalui sistem pendidikan. (Format umum)
2. Kesan buruk penggunaan racun serangga dan langkah mengatasi masalah. (Format umum)
3. Ulasan tentang faktor kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran dalam mencapai kemajuan negara. (Format umum)
4. Cara memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar. (Format khusus - Ucapan)

2005
1. Kepentingan aktiviti sukan dalam kehidupan warga Malaysia. (Format umum)
2. Dapatkah Malaysia menjadi pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini. (Format umum)
3. Cara-cara Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi. (Format khusus - Ceramah)
4. Kesan negatif penggunaan tenaga buruh kanak-kanak di negara dunia ketiga. (Format umum)

2006
1. Kebaikan aktiviti kitar semula kepada masyarakat dan negara. (Format khusus - Ceramah)
2. Penjelasan tentang sebab-sebab siswazah kurang berminat dalam bidang pertanian. (Format umum)
3. Penyataan kekesalan tentang kesan negatif program bersifat realiti yang disiarkan melalui televisyen. (Format khusus - Memorandum)
4. Sebab golongan belia kurang berminat dalam bidang keusahawanan. (Format umum)

2007
1. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, jelaskan tindakan yang perlu dilakukan untuk memperkukuh patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini. (Format umum)
2. Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan gejala obesiti atau kegemukan dikatakan berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat. (Format umum)
3. Jelaskan faktor-faktor yang menyebabkan wujudnya kegiatan seni budaya tradisional kini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. (Format umum)
4. Jelaskan penyataan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memasukkan komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi para pelajar tingkatan satu hingga lima boleh memberikan kesan yang positif kepada pelajar. (Format umum)

Soalan Bahagian B : Rumusan

2002
Petikan tentang teknologi Internet

2003
Petikan tentang usaha meningkatkan sektor pertanian

2004
Petikan tentang sekolah sebagai institusi untuk memupuk perkembangan individu secara menyeluruh

2005
Petikan tentang masalah sosial dalam kalangan remaja dan program yang dilaksanakan untuk mengatasinya.

2006
Petikan yang berkaitan dengan industri pengiklanan.

2007
Petikan tentang sektor pertanian – Potensi dan masa depan.

Soalan Bahagian C : Alih Bentuk Teks

2002
Dialog – Petikan drama
Dialog – Petikan cerpen

2003
Sajak
Iklan

2004
Dialog – Bahan kreatif
Sajak

2005
Prosa klasik
Dialog – Petikan cerpen

2006
Dialog
Iklan

2007
Dialog – Petikan cerpen Kelapa Nan Sebatang
Dialog - Perbualan


Soalan Bahagian D : Analisis Kesalahan Bahasa

2002
Kata pemeri, kata sendi nama, ejaan, kata bilangan, binaan ayat pasif, dan ayat tiada subjek.

2003
Kata sendi nama, binaan ayat pasif, kata ganda, kata kerja transitif aktif, dan penjodoh bilangan.

2004
Penjodoh bilangan, ayat tiada subjek, kata hubung pancangan relatif, binaan ayat pasif, kata adjektif dengan imbuhan ‘memper...kan’, dan ejaan.

2005
Kata hubung komplemen, kata pemeri, kata sendi nama ‘di’, binaan ayat pasif diri ketiga, kata nama ‘pada’ dan kata kerja aktif transitif.

2006
Kata hubung pancangan keterangan, ayat aktif transitif, ejaan, penggunaan kata hubung pada awal ayat, ayat majmuk pancangan relatif, dan kata ganda.

2007
Kata hubung pancangan keterangan, kata nafi, kata hubung pancangan keterangan, kata tanya, ayat pasif kata ganti nama pertama, dan kata seru.


Berdasarkan analisis soalan-soalan STPM yang lepas, anda dapat meneliti trend soalan dan membuat jangkaan bagi tahun ini.

Semoga berjaya.

Daripada Cikgu Khir.

Friday, September 5, 2008

Isu/Topik Karangan yang Perlu Diberikan Penekanan (Bahasa Malaysia Kertas 2) STPM 2008

Isu/Topik yang perlu Diberikan Penekanan dalam (Kertas 2) Bahasa Malaysia STPM 2008 Isu/Topik 1. Rasuah 2. Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains 3. Nilai-nilai murni @ masyarakat penyayang 4. Modal insan 5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 6. Penyakit kanser 7. Keracunan makanan di kantin sekolah/susu tercemar 8. Kenaikan harga barang/petrol/inflasi 9. Kes ragut 10. Gejala buli/gengsterisme dalam kalangan pelajar 11. Internet/dunia tanpa sempadan/dasar langit terbuka/telefon bimbit/sms 12. Tingkatan 6/prauniversiti/sistem merit 13. Lambakan drama bersiri asing/bahan picisan 14. Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 15. Gejala sosial/buang bayi 16. Masalah jenayah 17. Kemalangan maut pada musim perayaan 18. Mat rempit 19. Penggunaan bahasa yang salah pada papan tanda/iklan 20. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 21. Industri pelancongan 22. Masalah perumahan/rumah terbengkalai 23. Angksawan negara/penerokaan angkasa lepas 24. Rumah Terbuka 25. Aktiviti kokurikulum 26. Demam denggi Fokus Soalan 1. Punca/cara untuk mengatasi 2. Kepentingan/kebaikan/keburukan 3. Cara memupuk/kepentingan 4. Kepentingan/cara untuk melahirkannya 5. Sebab diperkenalkan/kepentingan 6. Punca/cara mengatasi 7. Punca/cara mengatasi 8. Kesan/langkah 9. Punca/kesan/langkah 10. Punca/kesan/langkah 11. Kepentingan/kebaikan/keburukan 12. Kepentingan 13. Punca/kesan/langkah 14. Punca/kesan/langkah 15. Punca/kesan/langkah 16. Punca/langkah 17. Punca/kesan/langkah 18. Kesan/langkah 19. Langkah 20. Kepentingan/kebaikan/keburukan 21. Kepentingan/usaha untuk memajukan 22. Punca/kesan/langkah 23. Kepentingan/kebaikan 24. Kepentingan 25. Kebaikan usaha untuk menggalakkan 26. Punca/langkah

Bersedialah dengan topik-topik yang telah dicadangkan seperti di atas. Semoga anda berasa lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan. Namun demikian, ada juga kemungkinan topik/isu lain yang tidak disenaraikan akan ditanya dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun jangan panik dan bimbang dengan sebarang isu/topik yang dikemukakan itu. Gunakanlah segala pengetahuan sedia ada anda dan pengalaman yang diperoleh sebelum ini. Perkara penting yang perlu dilakukan ialah anda perlu menggunakan kemahiran mencari isi dan mengolah isi karangan yang telah dipelajari sebelum ini. Insya-Allah, sebarang isu/topik yang dikemukakan dapat dijawab dengan cemerlang.

Daripada Cikgu Khir

Isu/Topik Karangan SPM 2008

Isu/Topik Karangan Umum (Respons Terbuka) yang Perlu Diberikan Penekanan dalam SPM 2008

Isu/Topik

1. Rasuah
2. Penggunaan bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains
3. Nilai-nilai murni @ masyarakat penyayang
4. Modal insan
5. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
6. Penyakit kanser
7. Keracunan makanan di kantin sekolah/susu tercemar
8. Kenaikan harga barang/petrol/inflasi
9. Kes ragut
10. Gejala buli/gengsterisme dalam kalangan pelajar
11. Internet/dunia tanpa sempadan/dasar langit terbuka/telefon bimbit/sms
12. Dasar Meritokrasi
13. Lambakan drama bersiri asing/bahan picisan
14. Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
15. Gejala sosial/buang bayi
16. Masalah jenayah/kes bunuh
17. Kemalangan maut pada musim perayaan
18. Mat rempit
19. Penggunaan bahasa yang salah pada papan tanda/iklan
20. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
21. Industri pelancongan
22. Masalah perumahan/rumah terbengkalai
23. Angkasawan negara/ penerokaan angkasa lepas
24. Rumah Terbuka
25. Aktiviti kokurikulum
26. Demam denggi

Fokus Soalan (berdasarkan isu yang dijangkakan seperti di atas)

1. Punca/cara untuk mengatasi
2. Kepentingan/kebaikan/keburukan
3. Cara memupuk/kepentingan
4. Kepentingan/cara untuk melahirkannya
5. Sebab diperkenalkan/kepentingan
6. Punca/cara mengatasi
7. Punca/cara mengatasi
8. Kesan/langkah
9. Punca/kesan/langkah
10. Punca/kesan/langkah
11. Kepentingan/kebaikan/keburukan
12. Kepentingan
13. Punca/kesan/langkah
14. Punca/kesan/langkah
15. Punca/kesan/langkah
16. Punca/langkah
17. Punca/kesan/langkah
18. Kesan/langkah
19. Langkah
20. Kepentingan/kebaikan/keburukan
21.Kepentingan/usaha untuk memajukan
22. Punca/kesan/langkah
23. Kepentingan/kebaikan
24. Kepentingan
25. Kebaikan usaha untuk menggalakkan
26. Punca/langkah

Selamat menjawab.

Monday, June 2, 2008

Teknik Mengolah Esei STPM - Guna Formula 2K

Teknik Mengolah atau Mengembangkan Isi Esei dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi & Koheren)
Oleh: Cikgu Mohd. Khir Kassim
Guru Cemerlang Bahasa Melayu

Pendahuluan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar pelajar menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya pelajar menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.

Pelajar juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, pelajar menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana pelajar tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.

Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan STPM, bahagian ini akan mengemukakan 4 soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa. Pelajar dikehendaki menulis sebuah esei yang panjangnya hendaklah antara 650 hingga 700 perkataan dengan berdasarkan 4 soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan STPM.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan

Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah pelajar menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah esei pelajar akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.

Teknik Mengolah Karangan dengan Menggunakan Formula 2K
1. Pendahuluan
i. IKCHF (IKCHF- Isi, Kesan/Kenapa, Contoh, Huraian, Fokus soalan)

Contoh perenggan pendahuluan 1
Statistik kemalangan jalan raya seringkali meningkat pada musim perayaan utama negara kita. (I) Hal ini telah menyebabkan banyak kecederaan berlaku dalam kalangan pengguna jalan raya di samping banyak juga nyawa manusia yang terkorban. (K) Sebagai contoh, bilangan kes kemalangan jalan raya biasanya meningkat pada setiap kali musim perayaan utama hampir tiba. (C) Jumlah kes kemalangan jalan raya tersebut tentunya membimbangkan semua pihak. (H) Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu ditingkatkan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga pada hari-hari biasa untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya daripada terus meningkat di negara kita. (F)

Contoh perenggan pendahuluan 2 
Terdapat projek perumahan yang terbengkalai atau tidak disiapkan oleh pemaju perumahan di negara kita. (I) Hal ini sudah tentu akan menyusahkan pembeli-pembeli rumah yang mengharapkan rumah mereka disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. (K) Terdapat beberapa kes seperti ini yang berlaku di Kuala Langat, Gombak dan Hulu Langat, iaitu seperti yang dilaporkan oleh media massa arus perdana. (C)  Perkara ini tentunya meresahkan bakal pembeli rumah yang sedang berkira-kira untuk membeli rumah sendiri. (H) Oleh itu, terdapat beberapa kesan yang timbul daripada masalah tersebut dan langkah-langkah perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menangani masalah itu. (F)

2. Isi Karangan
i. 5W1H (Apa, Siapa, Mengapa, Bila, Di mana, dan Bagaimana)

Contoh perenggan isi
Kemalangan jalan raya yang berlaku kebanyakannya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang cuai. Mereka biasanya tidak menumpukan perhatian semasa memandu kenderaan di jalan raya. (A) Kebiasaannya juga mereka menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan ataupun memandu dalam keadaan mengantuk. (M) Keadaan ini seterusnya menyebabkan pemandu kenderaan hilang kawalan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan. (Ba) Oleh hal yang demikian, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak cuai semasa memandu kenderaan di jalan raya agar kemalangan dapat dielakkan daripada berlaku. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu iaitu beringat sebelum kena dan janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah. (M) (79 perkataan)

ii. Individu dan Keluarga (Inke), Masyarakat (Kawan, Jiran dan Sekolah), Negara, Teknologi, dan Antarabangsa. ((InkeManeTekA)

Contoh perenggan isi 
Salah satu punca penagihan dadah adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. (Kawan) Para ramaja biasanya mudah terpengaruh oleh perbuatan yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Selain itu, mereka juga ingin tahu dan ingin mencuba perkara tersebut. Hal ini biasanya akan menyebabkan mereka ketagih terhadap dadah.

iii. Inikah Hasilnya Cinta (IKHC – Isi, Kesan/Kenapa, Huraian, Contoh)

Contoh perenggan isi
Aktiviti sukan yang kita lakukan boleh menyihatkan badan kita. (I) Hal ini dikatakan demikian kerana semasa kita bersukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. (K) Seterusnya perkara ini berlaku disebabkan oleh jantung kita bekerja kuat dan mengepam darah ke seluruh badan. (H) Contoh aktiviti sukan yang boleh kita lakukan adalah seperti bermain bola sepak, badminton, hoki, dan berjoging. (C)

3. Penutup/kesimpulan
i. KCAHH – Kesimpulan, Cadangan, Argumen, Huraian, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani segera oleh pihak berkuasa di negara kita. (K) Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa perlulah menjalankan langkah-langkah yang berkesan dengan kerjasama anggota masyarakat untuk membanterasnya. (C) Jika langkah terebut tidak diambil pastinya masalah rasuah akan menjadi semakin parah. (A) Jadi, kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kesannya amat buruk kepada masyarakat dan negara. (H) Jadi, kita semua berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan demi kesejahteraan dan ketenteraman masyarakat negara kita. (H)

ii. Kena Hati-Hati (Kesimpulan, Hurai, Harapan)

Contoh perenggan kesimpulan
Kesimpulannya semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Anggota masyarakat perlulah membantu pihak berkuasa dengan melaporkan kejadian jenayah yang berlaku dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah diharapkan dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa. Seterusnya, hal ini membolehkan masyarakat di negara kita ini hidup dalam keadaan aman, tenteram, dan harmoni. (H)

Penutup
Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu murid-murid untuk menghuraikan dan mengembangkan isi karangan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan menjadi seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Di samping itu, murid-murid juga dinasihatkan agar membaca bahan-bahan bacaan yang relevan dan sesuai untuk membantu proses pengolahan dan pengembangan isi karangan. Murid-murid turut digalakkan membaca surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Fokus, Kosmik, dan sebagainya. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan isi karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba formula yang dicadangkan ini.