Pengikut laman ini

Friday, December 31, 2021

Esei STPM Semester 1 - Isu Penyeludupan

Soalan:

Aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita dikatakan semakin sukar dikawal oleh pihak berkuasa. Huraikan langkah-langkah untuk menangani aktiviti penyeludupan di sempadan negara kita.

Pendahuluan 

· Kes penyeludupan sering dipaparkan di media massa dewasa ini

·  Kes penyeludupan seperti penyeludupan beras, gula, petroleum, dan sebagainya

· Walau bagaimanapun, langkah-langkah perlu diambil untuk menangani masalah penyeludupan


Isi Penting

IS1: memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kejadian penyeludupan

IS2: meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya penyeludupan

IS3:  mengadakan kempen kesedaran tentang penyeludupan

IS4: menambah bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara

IS5: meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan

Penutup

·   Terdapat pelbagai langkah yang perlu dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan.

·    Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk memastikan kes penyeludupan dikurangkan demi kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Contoh Esei

            Media massa sering memaparkan berita tentang kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita. Perkara ini menunjukkan bahawa masalah ini semakin serius dan membimbangkan kerana bilangan kes semakin meningkat dan sukar dibendung oleh pihak berkuasa. Penyeludupan beras, gula, petroleum, minyak masak, rokok, hidupan liar, senjata api, dan sebagainya merupakan contoh kes penyeludupan yang berlaku di kawasan sempadan negara kita. Kes penyeludupan tersebut melibatkan nilai rampasan yang besar dan perkara itu merugikan negara kerana penyeludup mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan. Oleh itu, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk menangani aktiviti penyeludupan di kawapan sempadan negara kita dengan negara jiran.

Langkah yang perlu diambil ialah pihak berkuasa perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kejadian penyeludupan. Kamera tersebut dapat mengimbas atau merakam segala perbuatan jenayah yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kamera tersebut perlu diletakkkan atau dipasang di kawasan sempadan, kawasan sempadan di perairan, dan sebagainya. Perkara ini akan menakutkan penyeludup dan dapat menghalang mereka daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Jadi, dengan cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan jika pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup di kawasan “panas” atau yang sering berlaku penyeludupan.


Pihak berkuasa perlu meningkatkan rondaan di kawasan “panas” dan selalu menjadi tempat berlakunya penyeludupan. Perkara ini akan menakutkan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, pihak imigresen melakukan rondaan yang lebih kerap di kawasan sempadan negara atau di kawasan perairan sempadan negara, dan sebagainya. Melalui cara itu kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian akibat kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan. Perkara itu jelas menunjukkan bahawa masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan melalui rondaan yang lebih kerap oleh pihak berkuasa di kawasan yang sering berlaku aktiviti tersebut.

       Langkah lain ialah pihak berkuasa perlu mengadakan kempen kesedaran tentang keburukan penyeludupan kepada masyarakat. Perkara itu penting kerana anggota masyarakat akan mendapat maklumat dan kesedaran tentang kepentingan mengangani kes penyeludupan. Contohnya, anggota masyarakat diberikan kesedaran tentang bahaya atau keburukan akibat kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dan pihak pihak imigresen boleh menerangkan cara untuk menghadapi penyeludupan melalui demonstrasi atau iklan di media massa. Dengan cara itu, kesedaran tentang kegiatan penyeludupan dapat ditangani dan dikurangkan di kawasan sempadan. Tegasnya, bilangan kes atau aktiviti penyeludupan dapat dikurangkan melalui kempen-kempen kesedaran tentang pencegahan kes penyeludupan.

           Pihak berkuasa juga perlu menambah bilangan pondok kawalan di kawasan sempadan negara. Hal ini dapat menghalang penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Pondok kawalan boleh berfungsi sebagai pusat pemantauan dan tempat untuk membuat orang ramai membuat aduan tentang kes penyeludupan. Jadi, pihak berkuasa perlu membina pondok kawalan imigresen di tempat yang strategik atau di di kawasan sempadan seperti di sempadan Malaysia dengan Thailand dan sempadan Malaysia dengan Indonesia. Perkara ini menakutkan penyeludup kerana pihak imigresen dapat bertindak dengan lebih pantas untuk menangkap penyeludup yang melakukan aktiviti penyeludupan.

    Pihak berkuasa hendaklah meningkatkan denda atau hukuman bagi kesalahan penyeludupan yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Tindakan itu perlu dilakukan kerana denda atau hukuman yang berat akan menakutkan orang ramai untuk melakukan penyeludupan. Sebagai contohnya, hukuman penjara mandatori dan sebatan rotan kepada penyeludup di khalayak berupaya untuk menakutkan orang ramai dan menyedarkan penyeludup daripada melakukan aktiviti penyeludupan. Dengan cara itu, kes penyeludupan dapat dikurangkan dan kerugian negara dapat diminimumkan. Jadi, jelaslah bahawa denda atau hukuman yang berat dapat mengurangkan kes penyeludupan.

       Sebagai kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang perlu dijalankan untuk memastikan kes penyeludupan dapat dikurangkan di kawasan sempadan negara. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk memastikan kes penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah pasti masalah tersebut sukar untuk ditangani. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana kita tidak mahu kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat terjejas. Jadi, kita berharap agar masalah penyeludupan dapat ditangani dengan berkesan supaya rakyat negara kita hidup makmur dan sejahtera tanpa aktiviti penyeludupan. (613 perkataan)

No comments: