Pengikut laman ini

Sunday, December 6, 2020

Teknik Penulisan Perenggan Isi - Esei Tidak Berformat STPM

Teknik Penulisan dengan Menggunakan Formula 2K (Kohesi dan Koheren)

Kali ini saya akan berkongsi teknik untuk menulis perenggan isi dengan menggunakan formula 2K. Jadi, pelajar perlu menggunakan formula yang sama untuk mengolah atau mengembangkan kesemua isi.

Teknik Penulisan Perenggan Isi yang Menggunakan Formula 2K 

Teknik IKCHP (Ini Kaedah Cemerlang Hendak Pandai)

p  Ayat Isi (Ayat topik)

p  Ayat huraian – Ayat Kenapa / ayat bagaimana

p  Ayat Contoh (contoh daripada ayat isi)

p  Ayat Huraian contoh

p  Ayat Penegasan atau penerangan lanjut terhadap contoh

Pastikan setiap perenggan terdapat sekurang-kurangnya 5 ayat.  Kemudian, pastikan ada 5 atau 6 isi dalam satu esei (5 - 6 perenggan = 5 - 6 isi). Setiap perenggan isi menggunakan teknik atau cara yang sama.

Contoh Soalan:

Banyak rumah yang telah siap dibina dikatakan sukar untuk dijual. Pada pendapat anda, mengapakah perkara itu berlaku?

Contoh Olahan Perenggan Isi                                                             

I - Harga rumah yang terlalu mahal telah menyebabkan pembeli tidak mampu untuk membelinya. (I)  - Ayat isi/ topik esei

K - Harga rumah yang mahal akibat harga bahan binaan yang meningkat menyebabkan pembeli terbeban oleh hutang jika mereka membeli rumah tersebut. (K) – Ayat kenapa ayat isi berlaku

C - Sebagai contohnya, harga simen, pasir, bata, dan besi  telah meningkat dengan mendadak hingga menyebabkan harga rumah melebihi RM400,000 sebuah. (C) – Ayat contoh daripada ayat isi

H - Harga yang terlalu mahal telah menyebabkan rumah yang siap dibina tidak dapat dijual kerana kekurangan pembeli yang mampu untuk membelinya. (H) – Ayat huraian daripada contoh

P - Hal ini membuktikan bahawa rumah yang dibina tidak dibeli oleh pembeli rumah kerana harga rumah terlalu mahal. (P) – Ayat penegasan daripada ayat isi        (88 perkataan)

Contoh Perenggan Isi Lain yang Menggunakan Formula 2K 

Contoh Soalan:

Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewajibkan semua pelajar sekolah untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak manfaatnya. Huraikan manfaat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kepada para pelajar. 

Manfaat utama yang akan diperoleh ialah guru dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar. Melalui aktiviti tersebut, para pelajar akan lebih terdedah kepada kegiatan yang dilaksanakan secara bekerjasama dalam satu pasukan. Aktiviti seperti pemasangan khemah semasa perkhemahan memerlukan kerjasama yang jitu dan sikap tolong-menolong antara satu sama lain, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Aktiviti kokurikulum seperti itu mampu untuk memupuk sifat-sifat yang mulia dalam diri setiap pelajar. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat menggalakkan pembentukan sahsiah dan melahirkan remaja yang mempunyai budi pekerti yang mulia. (89 perkataan)

Teknik penulisan perenggan penutup akan dibincangkan dalam perkongsian yang akan datang.

No comments: