Pengikut laman ini

Saturday, September 29, 2012

Analisis Soalan Karangan Percubaan STPM Negeri-negeri 2012

Negeri
Soalan
Format
















Pahang
1. Sebagai seorang pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, anda telah diarahkan untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan pegawai pertanian dari negara jiran yang mengikuti program lawatan dalam perkhidmatan. Ceramah anda adalah tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memperkasa sektor pertanian negara.
Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

Ceramah


2. Integrasi nasional dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum penting untuk memupuk toleransi yang mengelakkan sebarang pergeseran dan prejudis antara kaum yang akan menggugat keutuhan bangsa Malaysia. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi sebagai wahana integrasi nasional. Huraikan strategi tersebut.

Umum

3. Kemajuan sains dan teknologi telah menghasilkan bahan kimia yang banyak manfaat kepada tamadun bangsa. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan tersebut tanpa kawalan boleh memudaratkan kehidupan. Bincangkan kesan penggunaan bahan kimia dalam kehidupan.

Umum

4. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan negara semakin merudum. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara. Jelaskan usaha kerajaan untuk memartabatkan sukan negara.

Umum











Terengganu
1. Andaikan anda pegawai kanan di Kementerian Pelajaran Malaysia dan diminta untuk menyampaikan satu ceramah kepada satu kumpulan pelajar di sebuah sekolah. Fokus ceramah anda adalah mengenai kepentingan aktiviti kokurikulum dalam mencorakkan generasi muda di negara ini.
Sediakan teks ceramah anda itu.

Ceramah
2. Penciptaan permainan berkomputer dikatakan mendatangkan pelbagai kesan kepada orang ramai, terutama golongan remaja.
Jelaskan kesan yang dimaksudkan itu.
Umum

3. Kecemerlangan seseorang atlet dalam bidang yang diceburinya dikatakan banyak bergantung pada sikap atlet itu sendiri.
Sejauh manakah pandangan ini dianggap wajar?
Umum

4. Banyak pihak mengatakan bahawa peperangan bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan bahkan peperangan mendatangkan pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara.

Umum











Selangor
1. Kebanyakan  persatuan belia di negara kita bagai hidup segan mati tak mahu kerana belia di negara ini kurang gemar berpersatuan. Jelaskan kepentingan belia menceburkan diri secara aktif dalam persatuan.

Umum

2. Sebagai Setiausaha Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai, anda diminta untuk menyediakan laporan lengkap tentang kesan yang timbul daripada masalah rumah terbengkalai dan mengemukakan cadangan untuk mengatasinya.

Laporan
3. Kini,   pengambilan makanan kesihatan tambahan menjadi amalan  kepada sesetengah  golongan  masyarakat di negara kita.   Apakah kebaikan yang diperoleh daripada pengambilan makanan tersebut?

Umum

4. Malaysia berusaha untuk memajukan bidang aeroangkasa seiring dengan negara lain  di dunia.   Jelaskan kesan kemajuan bidang aeroangkasa kepada negara.

Umum










Perak
1. Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat dan isu ini seolah-olah menunjukkan manusia sudah hilang sifat kemanusiaannya. Bincangkan punca berlakunya fenomena ini dan kesannya.

Umum

2. Sebagai pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), anda telah diminta untuk menyediakan satu laporan tentang langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sediakan laporan tersebut.
Laporan
3. Kebanyakan bencana alam yang berlaku pada hari ini berpunca daripada kecuaian manusia menguruskan alam. Ulaskan kenyataan ini.

Umum

4. Modal insan kelas pertama merupakan idea yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita. Bincangkan kepentingan modal insan dan langkah-langkah untuk melahirkankannya.

Umum












Kelantan
1. Langkah Kementerian Pelajaran Malaysia mewajibkan setiap pelajar melibatkan  diri dalam aktiviti sukan, selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan dapat memberikan kesan yang positif kepada pelajar. Jelaskan pernyataan ini.

Umum

2. Penglibatan pelajar dalam bidang kajian angkasa lepas dapat memenuhi keperluan negara dalam teknologi aeroangkasa. Cadangkan langkah-langkah untuk menarik minat pelajar dalam bidang kajian tersebut.

Umum

3. Sejak belakangan ini, kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam semakin meningkat dan sering dilaporkan oleh media massa. Bincangkan punca-punca  peningkatan masalah tersebut dan  langkah-langkah untuk mengatasinya.

Umum

Masyarakat kini kurang berminat untuk menyertai aktiviti gotong-royong. Anda diminta untuk menyediakan laporan tentang faktor-faktor berlakunya hal demikian dan mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Tulis laporan anda selengkapnya.

Laporan

Berdasarkan soalan karangan yang disenaraikan di atas, terdapat berbagai-bagai isu yang telah dikemukakan oleh setiap negeri. Pelajar-pelajar Tingkatan 6, sama ada yang berada di Tingkatan 6 Atas atau 6 Rendah, anda bolehlah menggunakan soalan-soalan tersebut untuk membuat latihan menulis karangan supaya karangan anda menjadi semakin mantap. Selain itu, pelajar Pra-U juga perlu menulis karangan yang berkaitan dengan isu-isu yang lain.

Wednesday, August 29, 2012

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Praktis 2  Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.  [30 markah]


Makanan segera sebenarnya bukan sekadar makanan yang dijual di rangkaian restoran makanan segera.  Hal ini berdasarkan penjelasan seorang pakar pemakanan ketika diminta untuk mendefinisikan makanan segera yang sudah menjadi bualan hangat masyarakat kebelakangan ini. Selain itu, perkara  ini juga timbul apabila Menteri Kesihatan telah mengemukakan cadangan supaya iklan makanan segera diharamkan kerana makanan segera tidak berkhasiat dan menjadi punca kepada penyakit kronik. Kebanyakan makanan segera yang digemari oleh anggota masyarakat kita pada hari ini akan memberikan impak yang tidak baik malahan memudaratkan kesihatan.

            Sebenarnya, memang ada makanan segera yang berkhasiat kepada tubuh dan ada pula yang memudaratkan kita, tetapi perkara ini bergantung pada jenis makanan dan cara penyediaannya. sebagai contohnya, ayam goreng yang dijual di restoran makanan segera kurang berkhasiat dan memudaratkan kita. Hal ini demikian kerana ayam yang digunakan mengandungi antibiotik atau hormon yang tidak diingini.

          Kemungkinannya juga, bagi ayam goreng yang disediakan di pasar malam, restoran atau di rumah mungkin lebih rendah kualitinya sekiranya minyak tersebut digunakan berulang kali. Dalam hal yang sama, minyak yang digunakan di restoran makanan segera yang dikawal kualitinya dan sering ditukar mengikut jadual, mungkin lebih baik tahap kualitinya. Oleh itu, jika dilihat daripada perspektif ini, tidak bermakna makanan segera di restoran makanan segera kurang berkhasiat berbanding dengan yang terdapat di tempat lain.

            Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan. Perkara ini akan meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti. Selain itu, orang yang kerap mengambil makanan segera akan menghadapi komplikasi kesihatan akibat penyakit yang berkaitan dengan jantung dan darah.

Pengambilan secara berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak tepu yang tinggi, lemak tidak tepu, kandungan gula dan garam yang tinggi akan meningkatkan risiko terhadap penyakit yang berkaitan dengan jantung, ketuaan dan kencing manis. Kandungan kalori yang berlebihan dan disimpan tanpa sebarang tindak balas seperti melakukan riadah boleh menyebabkan masalah obesiti dan kesihatan akan terjejas. Oleh itu, kawallah pemakanan agar makanan yang dimakan itu seimbang.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada  ‘Baik Buruk Makanan Segera’, 
 oleh Sadatul Mahiran Rosli, Mingguan Malaysia 4 Mac 2007)
1.  Jelaskan maksud frasa       

 (a)   ... tidak berkhasiat dan menjadi punca kepada penyakit kronik [2]
 (b) ... meningkatkan pengambilan lemak yang menyebabkan peningkatan risiko obesiti [2]

2.  Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis dalam petikan di atas? [2]

3. Mengapakah ayam goreng yang dibeli dari restoran makanan segera atau di pasar malam tidak baik untuk kesihatan? [4]

3. “Walau bagaimanapun, pengambilan makanan bergoreng yang berlebihan tidak digalakkan.”

      Berikan ulasan anda tentang pendapat di atas dengan mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan pengambilan makanan bergoreng dalam kalangan masyarakat. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20]

Saturday, August 18, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung blog ini. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada semua rakan blogger terutamanya blogger Bahasa Melayu, guru-guru, sahabat lama dan baharu, dan seterusnya para pelajar yang menghadapi peperiksaan STPM dan SPM tidak lama lagi. Teruskan usaha anda untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan masing-masing. 

Friday, July 27, 2012

Esei Pelajar STPM - Kemalangan Jalan raya

Esei di bawah ini ditulis oleh Faiqah binti Ahmad (6A1) SMK.BBST semasa menjawab soalan PKS 2. Oleh itu, mungkin terdapat kekurangan atau kelemahan yang boleh dibaiki oleh pelajar-pelajar lain. 

Soalan Contoh
Saban tahun, kemalangan maut dilaporkan semakin meningkat ketika menjelangnya musim perayaan di negara kita.  Huraikan punca-punca kemalangan tersebut berlaku dan kemukakan cadangan untuk menanganinya.

Karangan Contoh
Apabila musim perayaan menjelang tiba, anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan rindu mereka sangat mendalam, bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu, anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang melibatkan kereta atau van yang sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan perkataan lain, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk mengatasinya perlu dilakukan.
            Kemalangan jalan raya kebiasaannya berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan kereta yang tidak diservis dan tayar yang “botak” ini akan mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Tegasnya, kesan kelalaian manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
            Kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Pengguna jalan raya yang tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung menyebabkan mereka bertindak dengan terburu-buru di jalan raya. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya hilang kesabaran dan mengikut hawa nafsu lalu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku.  Kemalangan tersebut tentunya melibatkan kecederaan atau meragut nyawa mangsa.
            Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan oleh keadaan jalan raya yang kurang memuaskan atau terdapat kerosakan. Kemalangan jalan raya boleh berlaku kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka juga mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan. Perkara itu bukan sahaja menyebabkan kemalangan berlaku malah boleh merosakkan harta awam yang terdapat di jalan raya. Tegasnya, keadaan atau faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan kemalangan berlaku.
            Kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dapat ditangani dengan pelbagai langkah. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah melalui kempen-kempen di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan televisyen juga boleh memaparkan iklan kepada audiens supaya mereka tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan atau semasa perjalanan. Sebagai contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang bahaya pemandu yang letih dan mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka disyorkan suapaya berhenti di kawasan rehat. Kempen dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat melihat atau menonton iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah bahawa melalui kempen, perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya.
            Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu diturap dengan sempurna oleh pihak Jabatan Kerja Raya supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna berasa selesa ketika memandu kenderaan dan melancarkan perjalanan pwnggun jalan raya yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita.
            Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor berlakunya kemalangan jalan raya dan pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan perjalanan serta memandu kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan maut boleh berlaku tanpa mengira masa. Jadi, mereka perlu ingat akan orang yang tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh itu, semua pengguna jalan raya dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu, kita berharap agar pengguna jalan raya di Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan selesa dan sampai dengan selamat ke destinasi masing-masing.

Tuesday, July 3, 2012

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Mulai tahun 2012, calon-calon STPM Penggal 1 perlu bersedia untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan Pembacaan Kritiis dan Analitis. Bahagian ini sebenarnya menggantikan soalan Rumusan Karangan berdasarkan Sukatan Pelajaran STPM sebelum ini. Terdapat 3 soalan yang perlu dijawab dalam bahagian ini iaitu:
·       Soalan 1 - Menjelaskan 2 maksud frasa. [4 markah] - Setiap satu maksud frasa, 2 markah.
·        Soalan 2 -  Menyatakan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis berdasarkan petikan. [6 markah]
·     Soalan 3 - Memberikan ulasan tentang pendapat atau idea daripada petikan dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20 markah]

Calon-calon STPM Penggal 1 2012 SMKBBST, sila buat latihan pembacaan kritis dan analitis di bawah dan jawapannya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kelas tutorial.

Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira 255 jenis barangan terutamanya keperluan harian akan meningkat ekoran daripada kenaikan harga petrol baru-baru ini. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesahkan bahawa sudah berlaku peningkatan ketara harga barang-barang bukan kawalan di pasaran pada masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan membebankan pengguna terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi, sudah sampai masanya para pengguna menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani kenaikan harga barangan ini.

            Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang. Mereka tidak boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu tindakan. Langkah berjimat-cermat dan membeli barang jika perlu sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu melakukan pemantauan sendiri harga barangan dan hanya memilih premis yang menjual barangan dengan harga yang berpatutan.

            Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa akan tanggungjawab mereka untuk menyediakan barang dan perkhidmatan yang berkualiti dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut. Sebenarnya keuntungan yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati oleh Tuhan. Namun demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak menghiraukan kesusahan yang dialami oleh pengguna. Jadi para pengguna perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk bersatu dan mengambil tindakan yang berkesan terhadap peniaga yang tidak jujur.
        
         Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di negara ini. Hal ini membolehkan harga barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak berkuasa, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita. Setakat ini, kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga peratus. Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka, maka penggunalah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.
                                             (Disesuaikan daripada Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)

1.  Jelaskan maksud frasa             
    (a)   ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5)            [2]
(b) ... suka menangguk di air keruh (baris 18)                                                     [2]

2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]

3. “Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang.” (baris 8)
Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.                [20]

Jawapan Cadangan

1.  Maksud frasa             
a)     ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b)     ... gemar mengambil kesempatan  

2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang. Para pengguna haruslah bertindak dengan membeli barangan yang perlu sahaja. Para peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak mengaut keuntungan yang banyak semata-mata.

3.   Pengguna mempunyai hak untuk memilih barangan mengikut jenama yang dikehendaki. Pengguna bebas memilih jenama barangan tersebut tanpa paksaan. Contohnya, pengguna boleh memilih makanan di dalam tin berdasarkan jenama yang disukai. Jadi, pengguna dapat makanan makanan yang disukai oleh mereka berdasarkan pilihan mereka sendiri. 
      Hak seterusnya ialah pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang rosak. Pengguna perlu memulangkan barang yang rosak itu dan mendapatkan gantinya yang baharu. Jika barangan elektrik seperti kipas angin yang dibeli oleh pengguna rosak, maka pengguna berhak untuk mendapatkan kipas angin yang baharu. Pengguna dapat menggunakan barangan tersebut dengan selesa. 
       Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Jika pengguna berasa tertipu setelah membeli sesuatu barang, pengguna berhak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa. Contohnya, pengguna boleh membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk mendapatkan ganti rugi. Nasib pengguna akan terbela dan tidak menjadi mangsa peniaga yang tidak bertanggungjawab.  (146 perkataan)
    

Friday, June 1, 2012

Esei Pra-U Penggal 1 Sesi 2012/13

Pelajar-pelajar Pra-U Penggal 1 Sesi 2012/13 perlu bersedia lebih awal dan berlatih untuk mengolah isi karangan supaya karangan itu lebih mantap. Hal ini demikian kerana, pada bulan November nanti peperiksaan Penggal 1 akan dihadapi oleh mereka. Yang berikut disenaraikan bidang tajuk esei, bentuk tugasan soalan, dan isu-isu karangan tersebut untuk dijadikan sebagai latihan.

Bidang Tajuk Esei
  • ekonomi
  • pendidikan
  • sukan dan rekreasi
  • bahasa/seni/budaya/sastera
  • sains dan teknologi
  • kemanusiaan dan kemasyarakatan
Bentuk Tugasan Soalan Esei
  • bincangkan
  • huraikan
  • jelaskan
  • berikan ulasan/pandangan/pendapat
  • berikan cadangan
  • berikan penilaian
  • bahaskan
  • sejauh manakah

Bil
Isu yang Dicadangkan / Bidang Tajuk Esei
Tugasan Soalan
1.
Peningkatan harga barang (ekonomi)

2.
Pusat Pendidikan Serantau (pendidikan)

3.
Kepentingan Kemudahan Sukan (sukan)

4.
Masalah Pencemaran Bahasa (bahasa)

5.
Baik Buruk Penggunaan Internet (sains dan teknologi)

6.
Masalah Pembuangan Bayi (kemanusiaan & kemasyarakatan)

7.
Pelaburan asing (ekonomi)

8.
Kebaikan atau Keburukan Institusi Pendidikan Swasta (pendidikan)

9.
Penganjuran Sukan Di Peringkat Antarabangsa (sukan)

10.
Peranan Filem (seni/budaya)

11.
Negara Perindustrian Baharu (teknologi)

12.
Masalah Jenayah (kemanusiaan & kemasyarakatan)

13.
Penggunaan Kad Kredit (ekonomi)

14.
Permasalahan Sastera Melayu Lama (sastera)

15.
Gejala Vandalisme (kemanusiaan & kemasyarakatan)

16.
Fenomena Pemanasan Global (alam sekitar)

17.
Penguasaan Wanita dalam Perkhidmatan Awam (kemanusiaan & kemasyarakatan)

18.
Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (kemanusiaan & kemasyarakatan)

19.
Kepentingan Internet (teknologi)





Berdasarkan isu-isu karangan yang telah dicadangkan tadi, pelajar-pelajar perlulah memikirkan fokus soalannya dengan berdasarkan bentuk tugasan soalan esei yang disenaraikan di atas. Pelajar-pelajar perlu berlatih untuk membina soalan sendiri berdasarkan fokus soalan tersebut. Hal ini dapat membantu pelajar untuk mempertajam pemikiran bagi menulis karangan atau esei. Sila teliti soalan tahun-tahun lepas dan binalah soalan anda sendiri dengan berdasarkan soalan-soalan yang pernah dikeluarkan oleh MPM dalam peperiksaan STPM sebagai panduan.