Pengikut laman ini

Friday, February 26, 2010

Pencapaian Cemerlang STPM 2009


Dengan berdasarkan keputusan STPM 2009 yang dikeluarkan pada 25 Februari yang lalu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar STPM SMKBBST tahun 2009 kerana telah dapat mempertahankan peratus kelulusan seperti tahun 2008 iaitu kelulusan 100 peratus. Tahniah juga kepada pelajar-pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Malaysia kerana dapat mempertahankan pencapaian 100 peratus lulus walaupun bilangan yang memperoleh Prinsipal A merosot sedikit berbanding dengan tahun 2008. Walau bagaimanapun pelajar yang memperoleh Prinsipal B pula meningkat kali ini. Yang berikut disenaraikan pencapaian pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia 2009.

Prinsipal A – 4 orang
Prinsipal B – 10 orang
Prinsipal C – 2 orang
Jumlah pelajar ambil Bahasa Malaysia - 16 orang

Tahniah kepada pelajar-pelajar yang memperoleh Prinsipal A dalam Bahasa Malaysia iaitu Nadia, Khalidah, Siti Aisyah, dan Siti Umairah. Pelajar-pelajar lain juga tidak mengecewakan kerana memperoleh Prinsipal B dan cuma dua orang sahaja yang memperoleh Prinsipal C. Tahniah juga khususnya ditujukan kepada Nadia yang terpilih sebagai pelajar terbaik STPM daerah Sepang dengan pencapaian 4 Prinsipal (3A & 1B).

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua pelajar kerana usaha gigih anda selama ini telah membuahkan hasil yang membanggakan guru-guru dan pihak sekolah. Keputusan tersebut juga telah membuktikan bahawa SMKBBST masih mengungguli pencapaian STPM di daerah Sepang. Hal ini bermakna SMKBBST masih mengatasi SMK. Sungai Pelek dan SMK. Cyberjaya dari segi peratus kelulusan dan kualiti. Teruskan usaha anda untuk menempa nama di universiti nanti.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Wednesday, February 24, 2010

LADAP Guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom



Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom, Kuala Langat

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom terutamanya kepada Puan Salmiah kerana masih sudi menjemput saya untuk berkongsi pengalaman dalam teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Walaupun pada mulanya saya menolak jemputan itu kerana hendak memberikan peluang kepada guru-guru lain yang lebih berpengalaman terutamanya Guru-guru Cemerlang Bahasa Melayu yang terdapat di Daerah Kuala Langat, tetapi atas rasa bertanggungjawab dan komitmen terhadap daerah yang pernah berjasa kepada saya, tidak sanggup rasanya untuk menghampakan harapan mereka.

Berdasarkan maklum balas semasa sesi perkongsian pengalaman dijalankan, guru-guru Bahasa Melayu SMK. Jenjarom telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mereka mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan p&p karangan dan komsas. Guru-guru sudah mencuba teknik-teknik yang manarik tetapi berhadapan dengan pelbagai masalah untuk melicinkan proses p&p tersebut. Masalah itu sememangnya sudah menjadi lumrah yang perlu dihadapi oleh guru-guru terutama yang mengajar murid-murid sederhana dan lemah pengausaan bahasa mereka. Masalah itu ditambah lagi dengan latar belakang kaum dan bahasa ibunda murid yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun, jangan berputus asa, teruskan usaha untuk menarik perhatian murid agar seronok untuk belajar Bahasa Melayu. Jadikan masalah itu sebagai cabaran, bukannya halangan untuk menjadikan guru-guru lebih kreatif untuk mencari teknik yang lebih berkesan.

Perkongsian pengalaman yang diadakan pada 6 Februari lalu di Bilik Mesyuarat SMK. Jenjarom itu dihadiri oleh 18 orang guru Bahasa Melayu. Di samping itu, Pengetua SMK. Jenjarom, Puan Hajah Foziah juga merupakan teman lama yang mengajarkan Bahasa Melayu yang turut memberikan sokongan untuk menjayakannya. Selain saya yang membincangkan teknik pengajaran karangan dan komsas, perkongsian pengalaman ini juga turut dihadiri oleh Tuan Haji Rizuan Atan, Guru Cemerlang Bahasa Melayu Gred Khas C dan Munsyi Dewan yang diundang khas dari SBPI Sabak Bernam. Seperti biasa, Tuan Haji Rizuan Atan membincangkan pengalamannya dari sudut pengajaran Tatabahasa dalam Bahasa Melayu.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Monday, February 15, 2010

Plot Novel Melunas Rindu

Plot

Plot bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.

Binaan PlotBinaan plot bermaksud plot cerita terbina daripada beberapa bahagian penting. Kebiasaannya, binaan plot terdiri daripada lima bahagian, iaitu permulaan (eksposisi), perkembangan, perumitan, puncak (klimaks), dan peleraian. Bahagian permulaan atau eksposisi merupakan bahagian yang memperkenalkan watak-watak. Watak-watak akan diperkenalkan dari segi fizikal, emosi serta berkaitan dengan persekitaran dan watak-watak lain. Kemudian watak-watak itu akan berkembang dan berinteraksi pada bahagian perkembangan cerita. Seterusnya, perhubungan antara watak itu akan menimbulkan konflik yang kemudiannya menjadi rumit pada bahagian perumitan. Pada peringkat tersebut selalunya konflik akan berterusan dan menjadi bertambah rumit.
Plot akan terus bergerak ke bahagian puncak atau klimaks cerita. Pada peringkat ini, keadaan menjadi semakin mendebarkan, kritikal, ngeri, dan cemas akibat konflik atau pertentangan antara watak. Selanjutnya, bahagian puncak itu akan mencapai ke satu tahap, iaitu sampai ke tahap penyelesaian. Akhirnya, plot bergerak terus ke tahap peleraian, iaitu semua konflik dan pertentangan akan diselesaikan atau terlerai.

Permulaan (Eksposisi)
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.

Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.

Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.

Puncak (Klimaks)
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.

Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.

Teknik Plot
Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.

Dialog
Dialog bermaksud pertuturan atau percakapan sekurang-kurangnya antara dua watak ataupun lebih. Pengarang menggunakan teknik ini untuk menggerakkan atau mengembangkan cerita selanjutnya. Melalui dialog, pengarang dapat memaparkan atau menggambarkan pendapat atau pemikiran berkenaan dengan tema atau persoalan dalam novel tersebut. Sebagai contohnya, Fuad berdialog dengan Borhan tentang rancangannya untuk membawa anak Borhan dan Masnah yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Monolog
Teknik ini merujuk kepada pengucapan atau tutur kata oleh sesuatu watak secara bersendirian. Dengan perkataan lain, teknik monolog bermaksud sesuatu watak itu akan bercakap seorang diri. Kadangkala, monolog itu juga mungkin berupa doa, rungutan, keluh-kesah ataupun ratapan. Sebagai contohnya, Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk menghadapi dugaan.

Monolog Dalaman
Teknik ini merujuk kepada percakapan, lintasan, atau rintihan dalam hati atau fikiran sesuatu watak dan tidak diketahui oleh watak-watak yang lain, contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Fuad berkata dalam hatinya tentang nama ibu Farhana.

Pemerian
Teknik pemerian digunakan oleh pengarang untuk menerangkan peristiwa dalam plot secara langsung. Hal ini bermaksud, pengarang menerangkan atau menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung. Dengan perkataan lain, pengarang seolah-olah menjadi tukang cerita dan menggambarkan sesuatu perkara atau peristiwa secara langsung, contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi.

Imbas Kembali
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan oleh pengarang untuk menceritakan sesuatu peristiwa yang sudah berlaku sebelum peristiwa itu. Pengarang menggambarkannya melalui ingatan, kenangan, lintasan atau imbasan sesuatu watak terhadap sesatu peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Sebagai contohnya, Swee Lan teringat akan kepulangan Fuad pada suatu senja lebih setahun yang lalu.

Imbas Muka
Teknik ini merupakan satu teknik plot yang digunakan untuk memberikan bayangan awal tentang sesuatu peristiwa atau perkara yang akan berlaku dan masih belum berlaku lagi. Bayangan tersebut mungkin berpunca daripada sesuatu aksi watak atau aksi watak-watak lain atau perkara-perkara lain. Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan Cikgu Abas akan meluahkan perasaan marahnya kepada guru yang enggan melaksanakan tugas dalam mesyuarat guru esok harinya.

Saspens
Teknik ini merujuk kepada peristiwa yang menggambarkan perasaan tertanya-tanya dan ingin tahu para pembaca untuk mengikuti cerita. Pembaca ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contohnya, peristiwa Fuad mendapati akaun banknya mengandungi wang lebih daripada dua ratus ribu ringgit telah menimbulkan perasaan ingin tahu para pembaca tentang wang yang begitu banyak yang terdapat di dalam akaun bank Fuad. Pembaca ingin tahu dari mana sumber wang tersebut diperolehnya.

Kejutan
Teknik ini merujuk kepada keadaan atau peristiwa yang berlaku tanpa disangka-sangka oleh pembaca. Dengan kata lain, pembaca tidak dapat menjangkakan peristiwa itu akan berlaku dan peristiwa tersebut berlaku secara mengejut. Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Fuad yang terkejut apabila mendapati bahawa emak Farhana bernama Mariana binti Osman. Peristiwa tersebut mengejutkan para pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa nama Mariana sama dengan nama ibu Fuad. Perkara ini juga membawa maksud bahawa mereka berdua ialah adik-beradik kandung.

Oleh: Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, January 30, 2010

Isu/Topik Karangan Tingkatan 6 2010


Seperti biasa, isu karangan sentiasa berubah setiap tahun. Walau bagaimanapun, ada juga isu yang dibincangkan pada tahun-tahun lepas masih belum disoal dalam peperiksaan STPM. Oleh hal yang demikian, isu tersebut masih relevan dengan keadaan semasa dan masih boleh dibincangkan dan dijadikan latihan untuk menulis karangan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada tahun ini.

Kebiasaannya, soalan-soalan yang pernah keluar dalam peperiksaan STPM akan berfokus kepada isu nasional atau negara, masyarakat serta remaja atau pelajar berdasarkan bidang-bidang tertentu seperti ekonomi, pendidikan, sukan, bahasa, seni atau budaya, sains dan teknologi, kemanusiaan dan kemasyarakatan, sastera, sejarah, geografi, hal ehwal wanita, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, saya telah menyediakan isu-isu yang boleh digunakan oleh pelajar dan guru untuk dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pada tahun ini. Pelajar-pelajar bolehlah mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan isu tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM pada tahun ini. Pelajar-pelajar perlu bersedia lebih awal dan perlu berlatih untuk mencari isi penting dan mengolah isi karangan, agar menjadi karangan yang mantap. Yang berikut disenaraikan isu-isu karangan tersebut.

1. Pemanasan Global – Faktor, kesan dan langkah untuk mengatasinya.
2. Penganjuran Sukan Peringkat Antarabangsa – Kepentingannya
3. Bangunan atau Tempat Bersejarah – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
4. Masalah Bencana Alam – Kesan dan usaha untuk membantu mangsa
5. Meningkatkan Kecemerlangan Pendidikan – Kepentingan dan usaha yang dijalankan
6. Perniagaan Internet – Kepentingannya
7. Jenayah Ragut - Langkah untuk menanganinya
8. Penggunaan Kad Kredit – Kepentingan dan langkah untuk mengawal penggunaannya.
9. Masalah Perumahan – Kesan dan langkah untuk mengatasinya
10. Penyakit kanser – Kesan dan usaha-usaha untuk menanganinya
11. Sekolah Kluster – Kepentingannya
12. Masalah Keracunan Makanan dalam Kalangan Murid Sekolah – Punca dan usaha untuk menanganinya
13. Pelaburan Asing – Kepentingan dan usaha untuk menarik pelaburan asing
14. Pengangkutan Awam – Kelebihan dan usaha untuk menggalakkan penggunaannya
15. Perubatan Alternatif – Kepentingannya
16. Kes Penculikan Kanak-kanak – Langkah-langkah untuk menanganinya
17. Adat Resam – Kepentingan dan usaha untuk mengekalkannya
18. Orang Gaji Asing – Masalah dan usaha untuk mengatasinya
19. Pertanian Moden – Kepentingan dan usaha untuk memajukannya
20. Kebanjiran Drama Bersiri Asing – Kesan dan usaha untuk mengawalnya

Pelajar-pelajar harus sedar bahawa menulis karangan ialah satu kemahiran yang perlu digilap melalui latihan yang berterusan. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran mengarang melibatkan kemahiran maklumat, kemahiran berfikir, kemahiran memindahkan idea daripada fikiran ke dalam bentuk tulisan dan ayat di atas kertas. Sekiranya murid-murid tidak membiasakan diri dengan latihan menulis karangan sudah pasti pelajar akan menghadapi masalah dan berasa kekok untuk menulis karangan di dalam dewan peperiksaan nanti. Oleh hal yang demikian,  pelajar perlulah mendisiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menulis satu perenggan karangan setiap hari. Pelajar juga perlu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sepuluh hingga lima belas minit untuk menulis satu perenggan karangan setiap hari. Pelajar hendaklah menjadikan perkara tersebut sebagai amalan harian yang perlu dilakukan seperti amalan makan dan minum atau amalan menunaikan solat lima waktu setiap hari.

Kebiasaannya juga, saya akan menekankan aspek penulisan karangan ini kerana banyak pelajar yang menghadapi masalah untuk menulis karangan dan mereka menganggap penulisan karangan sebagai suatu perkara yang amat berat atau sukar untuk dilakukan dan ada juga yang tidak mahu membuat latihan secara sistematik dan konsisten. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah mengubah persepsi tersebut dan menjadikan amalan menulis satu perenggan karangan sekurang-kurangnya setiap hari sebagai satu budaya atau amalan hidup hinggalah menjelang hari peperiksaan. Pelajar-pelajar harus ingat bahawa dengan membuat latihan secara konsisten, sudah pasti pelajar akan terbiasa dengan budaya itu dan dapat menulis karangan yang mantap dan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Insya-Allah.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, January 26, 2010

Karangan SPM: Pengangkutan Awam (Berdasarkan Buku Teks Tingkatan 5)

Unit 3. Pengangkutan Alaf Ini (Buku Teks Tingkatan 5, m.s. 48)



Soalan Contoh

Anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada anggota masyarakat di negara ini.


Rangka Karangan


Pendahuluan
- Inovasi dalam sistem pengangkutan

Isi-isi Penting
i.   Mengurangkan kesesakan lalu lintas
ii.  Menjimatkan masa dan kos perjalanan
iii. Memudahkan perjalanan seseorang
iv. Mengurangkan pencemaran alam

Penutup
- Lebih banyak kebaikan menggunakan pengangkutan awam


Karangan Contoh

Dunia sentiasa mengalami perubahan dalam sistem pengangkutan dari semasa ke semasa. Dalam era globalisasi ini, pelbagai jenis kenderaan yang moden telah dicipta bagi menggantikan kenderaan yang konvensional. Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis kenderaan awam seperti monorel, ERL, komuter, bas, teksi, kapal terbang dan sebagainya. Pengangkutan awam yang moden itu pula mampu untuk memainkan peranan yang penting kepada sesebuah negara untuk mencapai kemajuan. Dengan perkataan lain, pengangkutan awam yang terdapat di negara kita juga tidak kurang pentingnya kerana terdapat pelbagai kelebihan yang akan diperoleh apabila masyarakat menggunakannya.

Pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota atau bandar-bandar besar yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan rakyat Malaysia gemar menggunakan kenderaan sendiri terutamanya ketika ingin menuju ke tempat kerja. Di samping itu, mereka kebiasaannya bersikap bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ketika berada di jalan raya. Perkara ini akhirnya mengakibatkan kesesakan jalan raya yang serius. Oleh itu, pengangkutan awam seperti komuter, monorel, ERL (Express Rail Link), LRT (Light Rail Transit)) dan sebagainya dapat memainkan peranan yang penting untuk membendung masalah kesesakan jalan raya yang semakin kronik di ibu negara kita.

Dengan menggunakan pengangkutan awam, orang ramai dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa perjalanannya yang telah disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara pengangkutan awam dengan kenderaan biasa, anggota masyarakat akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam. Harga petrol yang tidak menentu di pasaran global telah memberikan impak yang negatif kepada rakyat yang menggunakan kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Pengangkutan awam juga akan memudahkan perjalanan seseorang untuk ke sesuatu destinasi. Dengan adanya pengangkutan awam seperti ERL dan LRT, sistem pengangkutan yang lebih efisien berbanding dengan kenderaan persendirian dapat diwujudkan tambahan pula banyak tempat di ibu kota yang termasuk dalam jaringan pengangkutan awam tersebut. Perkara ini sekali gus dapat meningkatkan kadar ketepatan atau kepantasan seseorang untuk sampai ke sesuatu destinasi. Hal ini seharusnya diberikan pertimbangan oleh anggota masyarakat agar mereka menggunakan kenderaan awam untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kenderaan awam sepatutnya menjadi pilihan utama masyarakat kerana kelebihannya banyak sekali.

Pengangkutan awam yang lebih mesra alam pula akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Pengangkutan awam seperti monorel, LRT dan ERL ialah kenderaan awam yang mesra alam kerana kenderaan tersebut tidak mengeluarkan asap. Hal ini secara langsung dapat membendung pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara di negara kita. Perkara yang di sebaliknya pula akan berlaku jika seseorang menggunakan kenderaan persendirian mereka seperti kereta atau motosikal yang terbukti menyebabkan pencemaran alam sekitar. Jadi, perkara ini membuktikan bahawa penggunaan pengangkutan awam dapat menangani penemaran udara yang semakin serius pada masa ini.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan pengangkutan awam memang banyak kelebihannya jika hendak dibandingkan dengan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh itu, anggota masyarakat digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam jika hendak pergi ke sesuatu destinasi. Sekiranya saranan ini tidak diikuti sudah tentu banyak masalah yang terpaksa dihadapi oleh anggota masyarakat akibat pencemaran alam yang berpunca daripada asap kereta dan motosikal. Jadi, kita perlulah menyokong langkah kerajaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam melalui kempen kongsi kereta atau "car pool" untuk ke tempat kerja. Hal ini menyebabkan pencemaran udara dikurangkan dan anggota masyarakat dapat menyedut udara yang segar dan hidup dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.

Tuesday, January 12, 2010

Karangan SPM - Kepentingan Menguasai Ilmu

Unit 2. Pendidikan Alaf Ini (Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5, m.s. 23)
Soalan Contoh
Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan seseorang itu.
Huraikan kepentingan menguasaai ilmu dalam pelbagai bidang pada masa ini.
Rangka Karangan

Pendahuluan
- penguasaan ilmu penting – tuntutan zaman – banyak manfaat

Isi-Isi Penting
i. mencipta inovasi - kemudahan manusia
ii. menguasai bidang perniagaan – k-ekonomi
iii. memajukan negara – pemimpin berilmu
iv. melahirkan masyarakat yang proaktif

Penutup
- orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia


Karangan Contoh

Dalam era globalisasi, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan perhatian utama. Hal ini dikatakan demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan bahawa ilmu atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para remaja perlu menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan menguasai ilmu, seseorang itu boleh mencipta peralatan baharu atau membuat inovasi dalam pelbagai bidang. Alat atau ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit, komputer riba, drone, dan alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan bercorak global dewasa ini. Perkara ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi, k-ekonomi merupakan trend baharu dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Jadi, setiap orang harus mengikut arus kemajuan k-ekonomi tersebut untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman jika tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung.  Dengan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman, seseorang peniaga itu dapat memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang pemimpin menguasai ilmu sudah pastilah individu tersebut dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang bersifat proaktif dalam semua hal.  Perkara itu bermakna masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objektifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Sebagai kesimpulannya, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh semua orang. Berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana, sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah hampir setiap hari. Kita berharap agar masyarakat negar ini mementingkan penguasaan ilmu demi kemajuan negara.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, January 10, 2010

Watak dan Perwatakan Novel Melunas Rindu

 Watak Utama
Fuad (Joshua atau Abdul Halim)

Watak Fuad digambarkan oleh pengarang sebagai seorang anak muda yang kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan Melayu.

Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Dia juga seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.

Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.

Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.

Fuad turut digambarkan sebagai orang yang suka menolong orang lain. Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di samping itu, Fuad juga murah hati dengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.

Selain itu, Fuad digambarkan sebagai seorang yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara. Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan untuk makan malam di rumahnya.

Watak Sampingan

Farhana


Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris dari universiti luar negara. Farhana berumur dua puluh empat tahun.

Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris dan membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.

Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris. Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.

Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.

Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.

Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka mengkritiknya.

Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim