Pengikut laman ini

Thursday, June 25, 2009

Isu-isu Penting Karangan SPM 2009

Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan ditanya dalam peperiksaan tahun ini dan tidak semestinya akan ditanya dalam SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana, ada juga soalan yang dijangka ditanya tetapi tidak ditanya dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan ditanya tetapi ditanya dalam peperiksaan.

Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.

1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:

Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:

Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi-implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.


3. Pelaburan
Soalan contoh:

Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.


4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:

Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah banyak memberikan kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.

Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar juga boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing. Di samping itu, pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Janganlah mengharapkan karangan daripada orang lain sahaja. Pelajar perlu menulis karangan itu sendiri kerana pelajar yang cemerlang karangannya ialah pelajar yang banyak membuat latihan menulis karangan. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan komen, pandangan dan bimbingan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, June 20, 2009

Perenggan Penutup Karangan STPM dan SPM

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

Selepas memeriksa karangan pelajar-pelajar dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun, iaitu pada bulan Mei lalu, cikgu mendapati bahawa masih terdapat kelemahan dalam penulisan perenggan penutup atau kesimpulan. Kebanyakan pelajar menulis perenggan penutup atau kesimpulan yang pendek iaitu satu atau dua ayat sahaja. Perenggan itu juga tidak diolah dengan baik dan tidak dimasukkan peribahasa atau ungkapan yang menarik. Oleh itu cikgu akan membincangkan cara atau teknik untuk menulis perenggan tersebut agar dapat membantu pelajar-pelajar untuk memantapkannya.

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1

Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3

Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)


Teknik yang dibincangkan tadi diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar atau calon-calon STPM dan SPM untuk menghuraikan dan mengembangkan perenggan penutup atau kesimpulan dengan baik. Diharapkan juga murid-murid dapat membina setiap perenggan karangan dengan teratur dan seimbang. Perenggan pendahuluan, perenggan isi, dan perenggan kesimpulan akan seimbang jika olahan dan huraian dirancang dengan baik dan jumlah perkataan yang dikehendaki akan dapat dipenuhi oleh murid-murid. Selain itu, murid-murid juga dinasihatkan supaya banyak berlatih untuk mengembangkan setiap perenggan karangan supaya tidak menghadapi masalah semasa berada di dalam dewan peperiksaan. Selamat mencuba teknik ini dan selamat mengarang.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Thursday, June 11, 2009

Kepentingan Set Induksi dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Set induksi memang penting dalam satu-satu pengajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Namun demikian, ada guru yang seolah-olahnya sudah melupakan set induksi ini. Pada hal, set induksi ini telah dipelajari dan dipraktiskan semasa menjalani latihan praktikum sebelum menjadi guru dahulu. Kebiasaannya, guru akan terus membincangkan topik yang hendak diajar tanpa menggunakan set induksi yang bersesuaian dengan topik tersebut. Sebenarnya, set induksi ini penting untuk menarik perhatian pelajar agar menumpukan perhatian terhadap topik atau perkara yang hendak dibincangkan oleh guru di dalam kelas. Sekiranya set induksi tidak digunakan dalam pengajaran, sudah pasti pelajar akan berasa bosan dan kurang memberikan perhatian terhadap pengajaran guru. Oleh itu, guru-guru haruslah menggunakan set induksi yang mudah tetapi menarik perhatian pelajar di dalam kelas.

Antara set induksi yang boleh digunakan adalah seperti gambar, surat khabar, majalah, benda-benda maujud seperti raket badminton, gunting, topi, kopiah, komputer riba, telefon bimbit, radio dan sebagainya. Sebagai contohnya, jika guru-guru hendak membincangkan sajak Tukang Gunting, guru-guru bolehlah menggunakan gunting sebagai set induksinya. Bagi pengajaran sajak Anak Laut, guru boleh menggunakan gambar nelayan atau perahu sebagai set induksinya.

Sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang industri pelancongan, guru-guru boleh menggunakan gambar pantai, atau tempat-tempat percutian di Malaysia, atau lagu 'Cuti-cuti Malaysia'. Gambar pantai

Selain itu, sekiranya guru-guru hendak membincangkan karangan tentang kebaikan dan keburukan kad kredit, guru-guru bolehlah menggunakan kad kredit yang sebenar atau gambar kad kredit.


Gambar kad kredit

Selepas bahan rangsangan yang dijadikan set induksi itu dipaparkan atau ditunjukkan, kemukakanlah beberapa soalan yang berkaitan dengan bahan itu untuk merangsang pemikiran pelajar. Di samping itu, dengan menggunakan set induksi, murid-murid juga akan bersedia dari segi mindanya terhadap isi pelajaran yang akan dibincangkan oleh guru selepas itu Selain bahan rangsangan yang dinyatakan tadi, guru-guru juga boleh mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan topik perbincangan untuk merangsang mereka terhadap isi pelajaran keseluruhannya.

Guru-guru pula kebiasaannya akan memberikan beberapa alasan tentang sebab mereka tidak menggunakan set induksi semasa pengajaran dijalankan. Antara alasan yang sering diberikan ialah mereka hendak cepat menghabiskan sukatan pelajaran. Jadi, mereka tiada masa untuk menggunakan set induksi, dan menganggap set induksi itu tidak penting dalam pengajaran Bahasa Melayu. Namun demikian, kita perlu menyedari bahawa kegagalan guru untuk menggunakan set induksi ini pastinya akan menyebabkan pelajar kurang tertarik dan tidak berminat terhadap mata pelajaran yang diajarkan oleh guru.

Seterusnya, perkara ini mungkin akan membunuh minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut. Oleh itu, kita harus menerima hakikat bahawa set induksi ini akan membantu guru untuk menyedikan minda pelajar bagi mengikuti pelajaran selanjutnya. Jadi, guru-guru tidak harus memandang set induksi ini sebagai perkara yang tidak penting jika hendak menarik minat pelajar untuk menyukai atau meminati mata pelajaran Bahasa Melayu. Jangan terlalu mementingkan sukatan pelajaran atau isi kandungan pelajaran sahaja sehingga menyebabkan pelajar tidak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana jika pelajar belajar dalam keadaan terpaksa dan tidak menyeronokkan, sudah pastilah kesannya tidak lama. Selanjutnya, pengajaran yang tidak menyeronokkan juga biasanya menyebabkan pengajaran guru menjadi kurang berkesan.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Saturday, May 23, 2009

Sambutan Hari Guru Daerah Sepang 2009


Pejabat Pelajaran Daerah Sepang telah menganjurkan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah pada 23 Mei 2009 di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang. Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sepang, Yang Berhormat Dato’ Seri Ir. Mohd Zin bin Mohamed.

SMK. Bandar Baru Salak Tinggi telah menerima dua anugerah iaitu:
1. Kategori Penghargaan Khas (Asrama Harian Sekolah Menengah Luar Bandar)
2. Kategori Sekolah Harapan

Dua orang guru SMK. Bandar Baru Salak Tinggi pula telah menerima anugerah iaitu bagi Kategori Guru Dedikasi iaitu:
1. Cikgu Mohd Khir Kassim
2. Ustaz Zulkifli bin Abd Mubi

Selain itu terdapat juga beberapa anugerah lain yang telah disampaikan untuk menghargai jasa guru serta memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan yang telah diberikan oleh guru-guru sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan ada juga di peringkat antarabangsa. Anugerah lain yang dimaksudkan adalah seperti Pusat Sumber Cemerlang, Pemimpin Cemerlang dan anugerah kemuncak majlis ini iaitu Tokoh Guru Daerah Sepang 2009. Dua orang tokoh yang dimaksudkan ialah Encik Sabardin bin Lebam dan Puan Ong Yee Mei. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua guru yang telah menerima hadiah dan anugerah. Semua guru hendaklah menguatkan azam dan meneruskan usaha untuk mendidik anak bangsa kerana ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Sunday, May 17, 2009

Panduan Menjawab Soalan Analisis Kesalahan Bahasa STPM

Bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang berada di Tingkatan 6 Atas, soalan ini sudah biasa anda jawab, tetapi bagi pelajar-pelajar prauniversiti yang baru memulakan pengajian di Tingatan 6 Bawah, soalan ini sudah tentu agak asing bagi anda. Bagi pelajar-pelajar praunversiti yang baru, soalan ini tiada pilihan dan mesti dijawab iaitu Soalan 8. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana boleh membantu calon untuk meningkatkan markah Kertas 2. Selain itu, soalan ini juga kebiasaannya agak mudah dan tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Jadi, para pelajar perlulah membuat latihan yang bersistematik dan berterusan terutamanya berdasarkan soalan yang pernah ditanya dalam peperiksaan STPM. Antara jenis kesalahan bahasa yang popular dan biasa ditanya dalam soalan STPM ialah kesalahan dalam aspek morfologi dan sintaksis iaitu:

• Pengimbuhan, termasuklah imbuhan pinjaman seperti pra, dwi, dan anti
• Kata Ganti Nama Diri Pertama, Kedua dan Ketiga, Kata Ganti Tunjuk, Kata Ganti Tak Tentu, pemilihan kata yang sesuai (Diksi), Kata Hubung, Kata kerja Transitif dan Tak Transitif, Kata Sendi, Kata Penguat, dan Kata Pemeri
• Kata Majmuk, Kata Ganda, Hukum D-M, dan penjodoh bilangan.
• Frasa Sendi, Frasa Kerja Pasif, dan ayat tiada subjek (ayat tergantung).

Panduan umum untuk menjawab soalan Analisis Kesalahan Bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Baca ayat-ayat dalam petikan itu sepintas lalu dan kenal pasti kesalahan bahasanya. Tandakan kesalahan-kesaslahan bahasa yang telah anda kenal pasti itu. Kenal pasti kesalahan kata, frasa, dan ayatnya. Kesalahan yang popular ialah kesalahan kata.
2. Biasanya terdapat sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam ayat-ayat tersebut dan kadang-kadang terdapat 6 hingga 7 kesalahan. Walau bagaimanapun markah yang diperuntukkan cuma untuk 5 kesalahan sahaja.
3. Selepas kesalahan bahasa tersebut anda kenal pasti, buatlah jadual iaitu tiga ruangan atau lajur, iaitu untuk ruangan Kesalahan, Sebab Kesalahan, dan Pembetulan.
4. Untuk lajur Kesalahan, nyatakan kesalahan tersebut. Kemudian tulislah alasan kesalahan tersebut dalam lajur Sebab Kesalahan dan tulis pula pembetulannya dalam lajur Pembetulan.

Kesalahan Umum yang Biasa Dilakukan oleh Pelajar

• Jawapan tidak mengikut format, iaitu tidak ditulis di dalam jadual.
• Terlalu banyak sebab diberikan pada ruang Sebab Kesalahan menyebabkan pemeriksa sukar memahaminya.
• Ada juga Sebab Kesalahan yang diberikan itu secara umum dan tidak jelas atau kurang tepat.
• Gagal menggunakan peluang untuk mencari kesalahan ayat yang lebih daripada 5 kesalahan yang diminta.
• Terlalu banyak kesalahan bahasa yang disenaraikan. Sebenarnya yang betulpun dikatakan salah.

Latihan 1 (Berdasarkan Soalan STPM 2008)

8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Seorang polis inspektor yang baru dua bulan bertugas telah menceritakan keadaan di daerah itu kepada pemberita. Beliau menyatakan bahawa banjir itu berpunca daripada sebuah empangan yang pecah akibat gempa bumi yang berlaku di negara jiran. Untuk memudahkan orang ramai mengikuti perkembangan terkini, sebuah jawatankuasa petugas telah dibentuk. Jawatankuasa tersebut dikehendaki bertugas setiap hari, sebaliknya pada Hari Jumaat.

Dalam kesibukan orang ramai membantu pihak keselamatan menyelamatkan mangsa, terdapat sesetengah pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang-barang, terutamanya makanan dan pakaian. Pihak polis mensyaki kegiatan tersebut dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Untuk mengawal keadaan di daerah itu memerlukan sukarelawan yang lebih banyak. Walau bagaimanapun, ekoran tertangkapnya beberapa penjenayah, kegiatan mencuri dapat dikawal.



Pelajar-pelajar prauniversiti diharapkan dapat melengkapkan jadual di atas dengan jawapan yang sesuai. Saya sudah menyediakan satu jawapan contoh di dalam jadual jawapan dan jawapan lain perlu dicuba dan dicari oleh pelajar sendiri. Pelajar-pelajar perlu berlatih dan berusaha untuk mencari jawapannya berdasarkan peraturan tatabahasa yang telah dipelajari. Cari jawapannya daripada bahan rujukan seperti Tatabahasa Dewan dan buku-buku rujukan tentang tatabahasa. Selepas mendapat jawapannya, dan jadual tersebut dilengkapkan, bincanglah jawapan itu dengan guru-guru anda. Cara itulah yang berkesan bagi pelajar untuk menjawab soalan ini.

Latihan 2
8. Kenal pasti kesalahan bahasa dalam petikan di bawah ini. Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.

Kerajaan kita sentiasa berusaha untuk membantu penduduk miskin yang tinggal di luar bandar. Di antara usaha yang dilaksanakan adalah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar. Langkah tersebut akan menjamin penduduk miskin tersebut memperoleh pendapatan. Bila ada pendapatan, mereka akan menumpukan dengan lebih banyak lagi perhatian terhadap usaha untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Walaubagaimanapun, usaha itu mestilah mendapat sambutan dari penduduk luar bandar tersebut. Kejayaan atau kegagalan usaha kerajaan itu amat bergantung pada kerjasama yang mereka berikan. Kesimpulannya, usaha tersebut memerlukan kerjasama dan penglibatan daripada kedua-dua belah pihak.

Selamat mencuba latihan Analisis Kesalahan Bahasa di atas.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Friday, May 15, 2009

Selamat Hari Guru


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Guru Pembina Negara Bangsa

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru yang pernah mendidik saya dahulu dan semua warga pendidik di seluruh negara. Ucapan ini juga dikhususkan kepada rakan-rakan guru di SMKBBST, di Daerah Sepang, Kuala Langat dan seterusnya rakan-rakan dari daerah lain di negeri Selangor terutamanya yang mengenali saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan guru terutamanya guru Bahasa Melayu dari negeri lain seperti Cikgu Suraini dan Cikgu Nawi (Terengganu), Cikgu Alias dan Dr. Ismail (IPI) (Perak), Cikgu Ku Halim dan Cikgu Jaizah (IPP) (Perlis), Cikgu Ramlah (Kak Ram GC) dan Cikgu Rahim (IPSAH) (Kedah), Cikgu Muhamad (Kelantan), Cikgu Adzman (KMKP) dan Cikgu Zakaria (Negeri Sembilan), Cikgu Borhan dan Cikgu Shaleha (Melaka), Cikgu Mazlan, Cikgu Arsani dan Cikgu Hairul Badrul (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Cikgu Zanariah dan Cikgu Azizul (Johor).

Tidak lupa juga ucapan Selamat Hari Guru ditujukan kepada rakan-rakan pengendali blog Bahasa Melayu seperti Cikgu Razak, Cikgu Ghalib, Dr. Ghazali Lateh, Cikgu Aminhad, Cikgu Azman, Cikgu Suhaimi, Cikgu Bukharis, Cikgu Zaki, Cikgu Taufiq, Cikgu Tan C.L dan banyak lagi nama yang tidak dapat saya senaraikan dalam ruangan ini.

Tahniah dan syabas kepada rakan-rakan guru yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sebagai pendidik dan teruskan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan bagi mendidik anak bangsa. Bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, tugas kita memang sangat mencabar dalam era globalisasi ini dan kuatkan azam untuk terus menjadi pembina negara bangsa yang cemerlang. Teruskan komitmen rakan-rakan untuk membina negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang pada masa akan datang. Bacalah sajak di bawah yang saya cipta khusus untuk semua guru di Malaysia.

Modal Insan Perkasa

Tertanam sudah benih perasaan yang luhur
Telah mengalir darah suci seorang guru
Cita-cita murni yang tak pernah padam
Sudah berakar tunjang jiwa perkasa
Hasrat murni mendidik anak bangsa
Makin membara dalam ribut globalisasi

Tuntutan zaman semakin menghambat
Memburu masa menagih jasa
Kecemerlangan terus dijana
Tunas bangsa modal berharga
Sebatikan dalam cermin paradigma

Guru Cemerlang bangunkan diri
Dalam sukar terus bermandiri
Meneguhkan perjuangan suci
Melahirkan modal insan berkualiti
Bermaruah tinggi berbudi pekerti
Menjadi cerminan akal budi

Sudah terukir dan terpahat namamu
Dipupuk dan dipelihara dalam jiwa
Tunas bangsa dibelai dan dibaja
Sudah pasti subur di persada negara
Alunkan lagu dengan irama kemajuan
Alunkan melodi kecemerlangan

Bangunkan modal insan perkasa
Nyalakan jiwa yang masih muda
Lahirkan minda kelas pertama
Kita bina mahligai wawasan
Yang mengangkat martabat bangsa
Menjulang nama di dalam peta dunia
Meletakkan diri dalam kelas pertama
Setanding dengan negara ternama.

Oleh Mohd Khir Kassim
SMK. BBST, Sepang, Selangor.
Mei 2009

Thursday, April 30, 2009

Kajian Tindakan

Konsep Umum Kajian Tindakan

Pelopor kajian tindakan di bilik darjah di United Kingdom, Elliott dan Adelman (1976) berpendapat kajian tindakan ialah satu pendekatan penyelidikan yang berusaha untuk meningkatkan mutu profesionalisme guru dengan cara menyelidik situasi sosial di sekolah. Tujuan penyelidikan itu adalah untuk membaiki kualiti amalan guru.

Elliott (1981) mengatakan bahawa, “kajian tindakan ialah rangka untuk penilaian kendiri di sekolah dan pendekatan dalam kajian tindakan yang mementingkan refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk membaiki atau mengubah amalan kendiri dalam sesuatu situasi sosial”. Carr dan Kemmis (1986) juga menyatakan bahawa kajian tindakan ialah satu bentuk refleksi kendiri melalui aktiviti inkuiri untuk membaiki dan memahami amalan dan situasi sosial. Kenyataan mereka:
“Action research is a form of self-reflective inquiry undertaken by participants (teachers, students or principals, for example) in social (including education) situation in order to improve the rationality and justice of their social or educational practice; their understanding of these practices; and the situation (and institution) in which these practices are carried out.”

Mc. Niff (1998) menerangkan bahawa kajian tindakan ialah satu pendekatan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan menjadi bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Menurut beliau, pendekatan ini melibatkan guru melaksanakan inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif (usaha sama) sewaktu mengadakan kajian. Beliau merumuskan konsep kajian tindakan dengan mengatakan bahawa:
“Action research implies adopting a deliberate openness to new experiences and processes, and, as such, demands that the action of educational research is it self educational. By consciously engaging in their own educational development, teachers gain both professionally and personally, and it is this personal commitment that counts the process of human inquiry.”

Lomax (1994) menegaskan kajian tindakan ialah penyelidikan pendidikan (educational research) yang berbeza dengan penyelidikan dalam pendidikan (research in education).

Guru-Guru Perlu Menjalankan Kajian Tindakan
Guru-guru perlu menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan yang dijalankan dapat mengenal pasti atau mengesan kelemahan pelajar dan guru perlulah memikirkan cara-cara yang sesuai untuk mengatasi kelemahan tersebut mengikut kesesuaian pelajar di dalam sesuatu kelas. Hal ini terbukti melalui kajian tindakan yang telah dijalankan di beberapa buah negara maju akhirnya berjaya meningkatkan pencapaian pelajar masing-masing.

Seperti yang telah diterangkan tadi, kajian tindakan ialah kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti atau mengesan punca-punca masalah dan mencari langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Jika masalah tersebut masih tidak dapat diatasi, kajian semula harus dilakukan untuk mencuba langkah lain yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah itu. Dengan perkataan lain, guru-guru perlulah reflektif, kreatif dan proaktif bagi merawat masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajarnya dengan berkesan.

Dalam hal ini guru-guru sepatutnya menjalankan kajian tindakan di dalam kelas masing-masing atau di sekolah masing-masing untuk mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Kelemahan-kelemahan dan masalah pelajar tersebut perlu ditangani oleh guru itu sendiri dan sepatutnya guru itu perlu mencari cara yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang mengajar di dalam sesebuah kelas itu sendiri yang memahami kelemahan murid-muridnya. Oleh itu, guru tersebut perlu mencuba langkah-langkah yang difikirkan sesuai untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid di dalam kelasnya sendiri.

Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian ialah guru-guru itu sendiri perlu membuat muhasabah diri (cermin diri) dan mengkaji kelemahan dirinya sendiri yang mungkin menjadi punca kelemahan dan masalah murid-muridnya. Perkara ini selalunya tidak disedari oleh guru-guru yang mengajar murid-muridnya di dalam kelas. Ada juga guru yang menganggap dirinya sudah sempurna dan tiada kelemahan langsung hingga menyebabkan guru tersebut tidak dapat menerima kritikan atau komen daripada murid-muridnya, pandangan rakan-rakan sejawatan ataupun pihak lain yang memberikan teguran. Sepatutnya guru-guru perlu bersikap terbuka dan sanggup menerima kritikan demi kebaikan dirinya untuk membaiki kelemahan yang ada. Dengan kata lain, kajian tindakan ini juga boleh digunakan untuk mengkaji kelemahan diri, seterusnya memikirkan cara untuk membaiki kelemahan tersebut dan akhirnya akan dapat meningkatkan prestasi pengajaran guru-guru di dalam kelas.

Kaedah Kajian Tindakan
Kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan tidaklah terlalu rumit, kerana yang pentingnya ialah hasil atau dapatan yang hendak diperoleh. Kaedah untuk mendapatkan data atau maklumat perlulah mudah dan tidak kompleks untuk mengenal pasti masalah murid-murid. Hal ini demikian kerana, kajian tindakan tidak sama dengan kajian konvensional yang memerlukan kaedah kajian yang lebih lengkap dan rumit. Sampelnya pun tidak memerlukan angka atau bilangan yang besar kerana masalahnya pun tidak sama antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain dan antara satu kelas dengan kelas yang lain. Kebiasaannya, kajian tindakan ini bermula dengan refleksi pengajaran yang lepas. Oleh hal yang demikian, kita perlu meneliti refleksi yang ditulis dalam buku rekod mengajar dan juga perkara yang kita alami semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Kaedah menganalisis data dalam kajian tindakan juga tidak memerlukan analisis yang rumit atau mengikut analisis data bagi penyelidikan yang konvensional, tetapi cukup setakat menggunakan kaporan pemerhatian, peratus atau bilangan sahaja. Perkara yang perlu diberikan penekanan untuk menganalisis data ini ialah perubahan yang berlaku terhadap pelajar-pelajar itu yang biasanya dilihat dari sudut perubahan tingkah laku ataupun perubahan dari segi markah yang diperoleh oleh pelajar-pelajar tersebut. Hal ini demikian kerana, sampel kajian tindakan ini tidak besar dan yang pentingnya ialah dapatan yang diperoleh hasil analisis data tersebut. Oleh hal yang demikian, analisis data kajian tindakan juga kebiasaannya melibatkan kaedah kualitatif di samping kaedah yang biasa digunakan iaitu kaedah kuantitatif. Perkara ini memang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan kajian tindakan selalunya melibatkan aspek yang berkaitan dengan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim


Perkongsian Pengalaman tentang Kajian Tindakan 2009


Saya telah diminta oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sepang (Sektor Pengurusan Akademik iaitu Puan Siti Aishah, untuk berkongsi pengalaman tentang Kajian Tindakan dengan guru-guru di daerah ini. Beliau telah menyusun jadual untuk saya berkongsi pengalaman dan menyampaikan kaedah untuk menjalankan kajian kepada guru-guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 2, Sejarah Tingkatan 2 dan Pendidikan Islam. Jadual yang ditetapkan adalah seperti yang berikut:

1. Guru-guru sejarah Tingkatan 2 – 16 Julai 2009, di SMK. Seri Sepang.

2. Guru-guru Geografi Tingkatan 2 – 23 Julai 2009, di SMK. Pantai Sepang Putera.

3. Guru-guru Pendidikan Islam – 5 Ogos 2009, di PKG Salak.

Antara objektif kursus Kajian Tindakan ini adalah memberikan pendedahan kepada guru-guru untuk menjalankan kajian ini di sekolah masing-masing. Pihak PPD Sepang juga berharap agar Kajian Tindakan ini dijadikan budaya oleh guru-guru di daerah ini. Hal ini demikian kerana, pada masa ini Kajian Tindakan menjadi semakin penting untuk meningkatkan profesionalisme guru. Di samping itu, hasil kajian itu juga nanti boleh dipertandingkan di peringkat daerah, terutamanya untuk memilih guru inovatif pada setiap tahun. Hasil kajian itu juga boleh dikongsi oleh guru-guru lain di daerah ini. Kajian Tindakan turut menjadi syarat untuk memohon jawatan Guru Cemerlang. Selepas dilantik menjadi Guru Cemerlang pula, mereka perlu meneruskannya dan menjadikannya sebagai amalan atau budaya di sekolah. Oleh itu, budaya menjalankan kajian ini memang perlu digalakkan dalam kalangan guru pada masa ini.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim