Pengikut laman ini

Tuesday, April 30, 2019

Petua atau Teknik Menganalisis Soalan Ayat Pasif Songsang

Pelajar  perlu  mengesan  kata  kunci  atau  kehendak  soalan  dan mengaitkannya dengan jawapan  yang  telah  disediakan.  Jika  soalan meminta pelajar mengenal pasti binaan ayat pasif  songsang  yang  betul,  maka  pelajar  perlu  mengesan ayat asal iaitu ayat aktif bagi setiap  pilihan  jawapan  yang  disediakan  dalam  pilihan  A, B, C, dan D. Jadi, pelajar perlu menguasai   binaan  ayat  aktif,  dan  kemudian  pelajar  perlu  mempasifkan  ayat  tersebut dengan menepati rumus ayat pasif yang betul.

Semasa mempasifkan ayat, pelajar perlu mengenal pasti kata kerja transitifnya kerana kata kerja transitif sahaja yang boleh dipasifkan berbanding dengan kata kerja tak transitif yang tidak boleh dipasifkan. Pelajar juga perlu mengenal pasti kata ganti nama dalam ayat tersebut. Bagi ayat pasif ganti nama diri pertama dan kedua, rumusnya ialah kata ganti nama tersebut perlu berada di hadapan kata kerja. Bagi ayat pasif ganti nama diri ketiga pula, kata ganti namanya perlu berada di belakang kata kerja. Pelajar perlu berhati-hati dengan rumus frasa kerja pasif tersebut. Selepas dipasifkan, maka ayat itu perlu disongsangkan. Sebagai contohnya, analisis kehendak soalan yang berikut.
20. Yang manakah binaan ayat pasif songsang yang betul? (STPM U 2017)
       A   Kita akan tolong mangsa banjir itu.
       B   Kamu belum lagi hantar buku latihan itu.
       C   Telah kamu minum semalam air limau itu.
       D   Mereka susun kerusi meja di dalam kelas itu.

Ayat A tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kita akan menolong mangsa banjir itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Mangsa banjir itu akan kita tolong.” (Kata ganti nama diri pertama - kita) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Akan kita tolong mangsa banjir itu.”

Ayat B juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang kerana ayat aktifnya ialah “Kamu belum lagi menghantar buku latihan itu.” Selepas dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Buku latihan itu belum lagi kamu hantar.” (Kata ganti nama diri kedua - kamu) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Belum lagi kamu hantar buku latihan itu.”

Ayat C menepati rumus ayat pasif songsang iaitu ayat aktifnya ialah “Kamu telah minum air limau itu semalam. Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Air limau itu telah kamu minum semalam.” (Kata ganti nama diri kedua - kamu) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Telah kamu minum semalam air limau itu.”

Ayat D juga tidak menepati rumus ayat pasif songsang yang betul kerana ayat aktifnya ialah “Mereka menyusun kerusi meja di dalam kelas itu.” Setelah dipasifkan, ayat tersebut menjadi “Kerusi meja di dalam kelas itu disusun oleh mereka.” (Kata ganti nama diri ketiga - mereka) Apabila disongsangkan, ayat tersebut menjadi “Disusun oleh mereka kerusi meja di dalam kelas itu.”

Saturday, March 16, 2019

ANALISIS KESALAHAN BAHASA

Teknik Menulis Jawapan bagi Soalan Analisis Kesalahan Bahasa
1. Baca petikan dengan teliti. Analisis setiap ayat dan tandakan kesalahan bahasanya.
2. Tulis  kesalahan  tersebut  di  dalam  petak  di  sebelah  kiri  (... meningkatkan lagi ...)
3. Tulis alasan kesalahan di dalam petak bahagian tengah (mulakan jawapan dengan menulis Kesalahan ...)
4. Tulis pembetulan atau jawapan yang betul di dalam petak di sebelah kanan (... meningkatkan harga lagi ...)
5.   Berikan tiga kesalahan, tiga alasan, dan tiga pembetulan sahaja walaupun ada empat kesalahan atau lebih dalam petikan soalan.

Kelemahan dan Kesilapan Jawapan Pelajar
1.     Kesalahan teknik menjawab soalan
2.     Tidak dapat mengesan kesalahan bahasa dalam petikan
3.  Tidak dapat memberikan alasan bagi kesalahan bahasa (lemah aspek morfologi & sintaksis)
4.     Tidak dapat memberikan jawapan yang betul bagi kesalahan bahasa
5.     Memberikan jawapan yang lebih daripada 3 (4 jawapan atau lebih)

Latihan
Baca petikan yang berikut dan kenal pasti kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya.  Bagi setiap kesalahan, jelaskan sebab kesalahan dan kemudian buat pembetulan.           [9]
Kita tidak menafikan bahawa kepentingan teknologi maklumat membawa kepada kemajuan dan kebaikan dalam kehidupan manusia. Namun, kewujudannya menyebabkan ancaman yang pelbagai daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika dilihat dari sudut negatif, kecanggihan teknologi internet menyebabkan berlakunya jenayah tradisional di dalam bentuk moden seperti peras ugut, penipuan, dan penyebaran fitnah. Di samping itu, remaja yang terlalu kerap melayari internet tidak dapat memiliki kehidupan bersosial kerana ketagih untuk berkomunikasi melalui alam maya.


Bil.
Kesalahan
      Sebab Kesalahan
           Pembetulan
(a)







(b)







(c)








Sunday, March 10, 2019

Perkongsian Teknik Menjawab Soalan BM Semester 2

Perkongsian Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu Semester 2 dengan pelajar-pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor pada 9 Mac 2019 di UNISEL, Bestari Jaya. 




Saturday, January 19, 2019

Morfologi - Morfem dan Jenisnya

1.     Morfem  ialah unit tatabahasa yang paling kecil yang mempunyai makna.
·   Morfem terdiri daripada satu unit dan tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, contohnya, kata "baca". "Baca" tidak akan berfungsi dan tidak memberikan makna jika dipecahkan kepada “ba” dan “ca”.
·   Sebaliknya, kata "membaca" boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu "mem-" dan "baca".
·    Jadi, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.
·    Semua kata ialah mofem tetapi bukan semua morfem ialah kata.

2.     Morfem boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu morfem bebas dan morfem terikat.
·  Morfem bebas dapat berdiri sendiri dan mempunyai maksud tersendiri, misalnya: guru, rajin, sekolah, periksa.
·   Morfem terikat pula boleh berbentuk imbuhan, misalnya: “mem-”, “per-“, “-kan”, “ber-“. Morfem terikat atau imbuhan tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu kerana boleh mengubah makna sesuatu kata dan seterusnya makna ayat.
·  Morfem terikat boleh mengubah bentuk kata. Contohnya imbuhan “ber-” dalam “berjalan” telah mengubah bentuk kata “jalan” daripada bentuk tunggal kepada bentuk terbitan.
·    Morfem terikat juga boleh mengubah golongan kata. Contohnya, akhiran “-an” dalam “makanan” telah mengubah golongan kata “makan” iaitu daripada golongan kata kerja kepada golongan kata nama (makanan).
·   Kata akar seperti “tani”, “tawa”, dan “tapa” juga merupakan morfem terikat kerana tidak mempunyai makna. Kata akar memerlukan morfem terikat lain untuk menjadi morfem bebas, contohnya “pe-” untuk kata “petani”.

Soalan STPM 2018

V
Klausa
III
II
I
1    Pernyataan yang manakah yang tidak benar tentang I?
A  Terbahagi kepada tiga jenis
B  Ada yang boleh berdiri sendiri
C  Ada yang mempunyai fungsi nahuan
D  Merupakan unit tatabahasa yang terkecil

Soalan tersebut meminta calon untuk memilih pernyataan yang tidak benar tentang I iaitu morfem. Oleh itu, calon perlu memahami ciri-ciri morfem. Jawapannya A iaitu terbahagi kepada tiga jenis. Morfem sebenarnya terbahagi kepada dua jenis sahaja iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Jawapan B, C, dan D memang merupakan ciri morfem yang betul.

Tuesday, August 14, 2018

Esei Tidak Berformat - Isu Amalan Berbudi Bahasa

Soalan STPM 2013


Amalan berbudi bahasa amat penting dan perlu menjadi budaya rakyat negara ini. Huraikan langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

Esei Contoh

Budi bahasa memang penting untuk diamalkan oleh setiap anggota masyarakat di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana budi bahasa melambangkan identiti individu dan kebiasaannya amalan tersebut diamalkan sejak kecil. Amalan seperti bercakap dengan sopan apabila berkomunikasi dengan orang lain ketika melayan pelanggan atau ketika bertugas di kaunter memang perlu dijadikan budaya oleh anggota masyarakat kita. Perkara ini dapat mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam kalangan masyarakat. Jadi, terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.
                          
        Satu daripada langkah yang boleh dilakukan ialah pihak ibu bapa perlulah memberikan pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak sejak kecil. Perkara ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak. Kebiasaannya anak-anak akan mengikut tingkah laku ibu bapa mereka terutamanya ketika bercakap atau berinteraksi dengan orang lain. Hal ini disebabkan anak-anak mudah dibentuk ketika kecil dan amalan berbudi bahasa akan menjadi budaya dalam kehidupan. Tegasnya, pendidikan tentang budi bahasa kepada anak-anak perlu dipupuk oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa.

        Langkah yang seterusnya ialah pihak sekolah hendaklah menekankan amalan berbudi bahasa semasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Jadi, amalan tersebut dapat dipupuk di dalam kelas secara formal. Sebagai contohnya, amalan berbudi bahasa dapat dipupuk melalui mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh itu, pendidikan formal lebih berkesan untuk memupuk amalan tersebut. Jelaslah bahawa amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda dapat dipupuk melalui pendidikan formal dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

        Langkah yang lain ialah pihak kerajaan perlulah menjalankan kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa. Dengan cara itu, anggota masyarakat dapat diberikan kesedaran tentang amalan yang murni tersebut. Sebagai contohnya, kempen “Budi Bahasa Budaya Kita” boleh disiarkan melalui televisyen dan radio serta media massa arus perdana yang lain. Jadi, kempen yang dijalankan tersebut terbukti memberikan kesan yang menyeluruh kepada masyarakat. Perkara tersebut membuktikan bahawa kempen-kempen yang berkaitan dengan amalan berbudi bahasa yang dijalankan oleh kerajaan dapat membentuk amalan bersopan santun dalam kalangan generasi muda.

        Pihak media massa pula haruslah menerbitkan dan menyiarkan rancangan atau program yang berunsurkan amalan berbudi bahasa. Rancangan yang disiarkan perlulah menarik perhatian anggota masyarakat yang menontonnya. Contohnya, penerbit program televisyen boleh memilih rancangan yang berbentuk program realiti yang digemari oleh masyarakat. Program tersebut akan ditonton oleh remaja dan mereka akan dipupuk dengan amalan berbudi bahasa. Jelaslah bahawa rancangan yang berunsurkan amalan berbudi bahasa berkesan dalam memupuk amalan tersebut.

        Selebriti terkenal yang menjadi idola atau tokoh dalam pelbagai bidang perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Perkara ini dikatakan demikian kerana mereka lebih berpengaruh kepada generasi muda dan dijadikan idola atau ikutan oleh mereka. Contohnya, artis, pelakon, dan penyanyi atau selebriti terkenal boleh mempengaruhi generasi muda. Tingkah laku atau amalan yang baik daripada mereka berkesan untuk mengubah sikap generasi muda agar menjadikan amalan berbudi bahasa sebagai budaya. Terbuktilah bahawa selebriti ternama yang menjadi ikon memainkan peranan penting untuk memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan generasi muda.

        Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak swasta harus mengadakan program tertentu yang boleh membentuk amalan berbudi bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertubuhan tersebut boleh mengadakan sebarang aktiviti yang lebih berkesan untuk mempengaruhi masyarakat. Pertubuhan seperti PIBG, PERKIM, PENGASIH, dan sebagainya boleh mengadakan “Kempen Budi Bahasa Amalan Mulia”. Pertubuhan tersebut dikatakan lebih hampir dengan anggota masyarakat dan sering menjalankan aktiviti yang dapat memupuk amalan berbudi bahasa. Perkara ini membuktikan bahawa NGO memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat tersebut.

        Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk melahirkan generasi muda yang berbudi bahasa. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mencapai hasrat tersebut. Namun demikian, jika usaha tersebut tidak dilakukan maka usaha tersebut akan menemui kegagalan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku kerana hasrat murni tersebut memang penting untuk dilaksanakan. Jadi, kita berharap agar usaha murni tersebut akan dapat dicapai demi keamanan, keharmonian, dan kesejahteraan negara pada masa akan datang.
(640 perkataan)

Saturday, April 21, 2018

Bengkel Teknik Menjawab Soalan BM Penggal 2

Bengkel Teknik Menjawab Soalan BM Penggal 2 untuk pelajar SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor; 21 April 2018; 8:30 - 1:00 tengah hari; Kompleks LKIM Kuala Selangor.



Friday, April 6, 2018

Teknik untuk Mengesan Susunan Konstituen Ayat


Jika pelajar hendak mengesan susunan konstituen ayat, pelajar perlu mengenal pasti subjek, predikat, dan frasa keterangan serta meneliti kedudukan atau susunannya   dalam ayat tersebut. Predikat ayat akan disongsangkan ke depan dan subjeknya diletakkan di belakang jika ayat itu ayat songsang. Jika ayat itu ada frasa keterangan, frasa itu juga boleh disongsangkan dan dibawa ke hadapan. Sebagai contohnya, telitilah soalan di bawah.

Soalan STPM Penggal 2 2015
Analisis soalan dan jawapan:
16 Yang manakah bukan ayat songsang?
A   Bilakah delegasi dari negara Jepun akan tiba?
B   Rajin benar pembantu rumah Puan Saadiah itu.
C   Adik lelakinya penulis novel remaja yang terkenal.
D   Pada minggu hadapan, Encik Khairul menghadiri kursus.

Soalan meminta pelajar untuk memilih ayat yang bukan ayat songsang. Oleh itu, pelajar perlu mengenal pasti ayat songsang dan bukan ayat songsang. Jawapannya C kerana ayat tersebut menepati kehendak soalan iaitu ayat “Adik lelakinya penulis novel remaja yang terkenal.” merupakan ayat susunan biasa dan bukan ayat songsang. Tiga ayat dalam jawapan A, B, dan D pula merupakan ayat songsang kerana susunannya bukan susunan biasa. 

Susunan songsang bagi ayat C ialah "Penulis novel remaja yang terkenal adik lelakinya." Susunan biasa bagi ayat A ialah "Delegasi dari negara Jepun akan tiba bila?" Susunan biasa bagi ayat B pula ialah "Pembantu rumah Puan Saadiah itu rajin benar." Susunan biasa bagi ayat D ialah "Encik Khairul menghadiri kursus pada minggu hadapan."