Pengikut laman ini

Saturday, August 18, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pengunjung blog ini. Ucapan yang sama juga ditujukan kepada semua rakan blogger terutamanya blogger Bahasa Melayu, guru-guru, sahabat lama dan baharu, dan seterusnya para pelajar yang menghadapi peperiksaan STPM dan SPM tidak lama lagi. Teruskan usaha anda untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan masing-masing. 

Friday, July 27, 2012

Esei Pelajar STPM - Kemalangan Jalan raya

Esei di bawah ini ditulis oleh Faiqah binti Ahmad (6A1) SMK.BBST semasa menjawab soalan PKS 2. Oleh itu, mungkin terdapat kekurangan atau kelemahan yang boleh dibaiki oleh pelajar-pelajar lain. 

Soalan Contoh
Saban tahun, kemalangan maut dilaporkan semakin meningkat ketika menjelangnya musim perayaan di negara kita.  Huraikan punca-punca kemalangan tersebut berlaku dan kemukakan cadangan untuk menanganinya.

Karangan Contoh
Apabila musim perayaan menjelang tiba, anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, terutamanya golongan perantau yang mencari rezeki di kota raya. Perasaan rindu mereka sangat mendalam, bagai digamit rindu untuk pulang ke kampung dan bertemu dengan ahli keluarga yang sudah lama tidak ditemui. Namun demikian, selain perasaan yang begitu teruja itu, anggota masyarakat pasti akan mendengar berita tentang kemalangan maut yang melibatkan kereta atau van yang sangat menyayat hati kita. Kemalangan maut yang sering berlaku pada musim perayaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Dengan perkataan lain, terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan ini dan cadangan untuk mengatasinya perlu dilakukan.
            Kemalangan jalan raya kebiasaannya berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia sebelum memulakan perjalanan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Akibatnya, keadaan kenderaan mereka itu akan menjejaskan perjalanan mereka untuk pulang ke kampung. Keadaan kereta yang tidak diservis dan tayar yang “botak” ini akan mengakibatkan kereta itu mudah hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan maut. Tegasnya, kesan kelalaian manusia yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka itu menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
            Kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pengguna jalan raya yang gagal merancang perjalanan dan bersikap terburu-buru semasa berada di jalan raya. Pengguna jalan raya yang tidak merancang perjalanan mereka dengan teliti iaitu dengan menentukan waktu yang sesuai untuk bertolak ke kampung menyebabkan mereka bertindak dengan terburu-buru di jalan raya. Perkara ini seterusnya akan menyebabkan sesetengah pengguna jalan raya hilang kesabaran dan mengikut hawa nafsu lalu melakukan kesalahan seperti memotong kenderaan di garisan berkembar atau di bahagian bahu jalan. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini seterusnya akan menyebabkan kemalangan berlaku.  Kemalangan tersebut tentunya melibatkan kecederaan atau meragut nyawa mangsa.
            Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan oleh keadaan jalan raya yang kurang memuaskan atau terdapat kerosakan. Kemalangan jalan raya boleh berlaku kerana keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak rata akan menyebabkan tayar kereta tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Kesan seterusnya, apabila pengguna jalan raya melalui kawasan tersebut, kenderaan mereka mungkin akan terbabas dan sukar untuk dikawal. Kenderaan mereka juga mungkin akan berlanggar dengan kenderaan lain atau melanggar pembahagi jalan. Perkara itu bukan sahaja menyebabkan kemalangan berlaku malah boleh merosakkan harta awam yang terdapat di jalan raya. Tegasnya, keadaan atau faktor jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik turut menyebabkan kemalangan berlaku.
            Kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dapat ditangani dengan pelbagai langkah. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah melalui kempen-kempen di media massa dan papan iklan di tepi jalan atau lebuh raya. Radio dan televisyen juga boleh memaparkan iklan kepada audiens supaya mereka tidak lupa akan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum memulakan atau semasa perjalanan. Sebagai contohnya, mereka boleh memaparkan iklan tentang bahaya pemandu yang letih dan mengantuk ketika memandu kenderaan dan mereka disyorkan suapaya berhenti di kawasan rehat. Kempen dan iklan seperti itu dirasakan berkesan kerana para pengguna jalan raya dapat melihat atau menonton iklan tersebut dengan mudah. Jelaslah bahawa melalui kempen, perkara itu akan mengingatkan mereka tentang bahaya kemalangan jalan raya.
            Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan adalah dengan memastikan jalan-jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini perlu dilakukan bagi memudahkan pengguna menggunakannya tanpa perasaan bimbang atau takut. Semua jalan raya yang berlubang perlu diturap dengan sempurna oleh pihak Jabatan Kerja Raya supaya dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata haruslah diratakan supaya pengguna berasa selesa ketika memandu kenderaan dan melancarkan perjalanan pwnggun jalan raya yang hendak pulang ke kampung halaman mereka. Jadi, keadaan jalan raya yang baik dapat mengurangkan kemalangan maut yang berlaku di negara kita.
            Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor berlakunya kemalangan jalan raya dan pengguna jalan raya haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati ketika hendak memulakan perjalanan serta memandu kenderaan dengan cermat kerana pandu cermat jiwa selamat. Sekiranya masyarakat tidak mematuhi etika pemanduan yang betul maka kemalangan maut boleh berlaku tanpa mengira masa. Jadi, mereka perlu ingat akan orang yang tersayang yang sedang menanti kepulangan mereka di rumah atau di kampung. Oleh itu, semua pengguna jalan raya dan kerajaan haruslah berganding bahu untuk memastikan kadar peningkatan kemalangan maut dapat diatasi dengan memainkan peranan masing-masing secara berkesan. Dengan cara itu, kita berharap agar pengguna jalan raya di Malaysia dapat menggunakan jalan raya dengan selesa dan sampai dengan selamat ke destinasi masing-masing.

Tuesday, July 3, 2012

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Mulai tahun 2012, calon-calon STPM Penggal 1 perlu bersedia untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan Pembacaan Kritiis dan Analitis. Bahagian ini sebenarnya menggantikan soalan Rumusan Karangan berdasarkan Sukatan Pelajaran STPM sebelum ini. Terdapat 3 soalan yang perlu dijawab dalam bahagian ini iaitu:
·       Soalan 1 - Menjelaskan 2 maksud frasa. [4 markah] - Setiap satu maksud frasa, 2 markah.
·        Soalan 2 -  Menyatakan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis berdasarkan petikan. [6 markah]
·     Soalan 3 - Memberikan ulasan tentang pendapat atau idea daripada petikan dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20 markah]

Calon-calon STPM Penggal 1 2012 SMKBBST, sila buat latihan pembacaan kritis dan analitis di bawah dan jawapannya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kelas tutorial.

Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira 255 jenis barangan terutamanya keperluan harian akan meningkat ekoran daripada kenaikan harga petrol baru-baru ini. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesahkan bahawa sudah berlaku peningkatan ketara harga barang-barang bukan kawalan di pasaran pada masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan membebankan pengguna terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi, sudah sampai masanya para pengguna menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani kenaikan harga barangan ini.

            Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang. Mereka tidak boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu tindakan. Langkah berjimat-cermat dan membeli barang jika perlu sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu melakukan pemantauan sendiri harga barangan dan hanya memilih premis yang menjual barangan dengan harga yang berpatutan.

            Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa akan tanggungjawab mereka untuk menyediakan barang dan perkhidmatan yang berkualiti dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut. Sebenarnya keuntungan yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati oleh Tuhan. Namun demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak menghiraukan kesusahan yang dialami oleh pengguna. Jadi para pengguna perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk bersatu dan mengambil tindakan yang berkesan terhadap peniaga yang tidak jujur.
        
         Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di negara ini. Hal ini membolehkan harga barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak berkuasa, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita. Setakat ini, kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga peratus. Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka, maka penggunalah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.
                                             (Disesuaikan daripada Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)

1.  Jelaskan maksud frasa             
    (a)   ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5)            [2]
(b) ... suka menangguk di air keruh (baris 18)                                                     [2]

2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]

3. Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang.” (baris 8)
Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.                [20]

Jawapan Cadangan

1.  Maksud frasa             
a)     ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b)     ... gemar mengambil kesempatan  

2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang. Para pengguna haruslah bertindak dengan membeli barangan yang perlu sahaja. Para peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak mengaut keuntungan yang banyak semata-mata.

3.   Pengguna mempunyai hak untuk memilih barangan mengikut jenama yang dikehendaki. Pengguna bebas memilih jenama barangan tersebut tanpa paksaan. Contohnya, pengguna boleh memilih makanan di dalam tin berdasarkan jenama yang disukai. Jadi, pengguna dapat makanan makanan yang disukai oleh mereka berdasarkan pilihan mereka sendiri. 
      Hak seterusnya ialah pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang rosak. Pengguna perlu memulangkan barang yang rosak itu dan mendapatkan gantinya yang baharu. Jika barangan elektrik seperti kipas angin yang dibeli oleh pengguna rosak, maka pengguna berhak untuk mendapatkan kipas angin yang baharu. Pengguna dapat menggunakan barangan tersebut dengan selesa. 
       Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Jika pengguna berasa tertipu setelah membeli sesuatu barang, pengguna berhak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa. Contohnya, pengguna boleh membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna untuk mendapatkan ganti rugi. Nasib pengguna akan terbela dan tidak menjadi mangsa peniaga yang tidak bertanggungjawab.  (146 perkataan)
    

Friday, June 1, 2012

Esei Pra-U Penggal 1 Sesi 2012/13

Pelajar-pelajar Pra-U Penggal 1 Sesi 2012/13 perlu bersedia lebih awal dan berlatih untuk mengolah isi karangan supaya karangan itu lebih mantap. Hal ini demikian kerana, pada bulan November nanti peperiksaan Penggal 1 akan dihadapi oleh mereka. Yang berikut disenaraikan bidang tajuk esei, bentuk tugasan soalan, dan isu-isu karangan tersebut untuk dijadikan sebagai latihan.

Bidang Tajuk Esei
  • ekonomi
  • pendidikan
  • sukan dan rekreasi
  • bahasa/seni/budaya/sastera
  • sains dan teknologi
  • kemanusiaan dan kemasyarakatan
Bentuk Tugasan Soalan Esei
  • bincangkan
  • huraikan
  • jelaskan
  • berikan ulasan/pandangan/pendapat
  • berikan cadangan
  • berikan penilaian
  • bahaskan
  • sejauh manakah

Bil
Isu yang Dicadangkan / Bidang Tajuk Esei
Tugasan Soalan
1.
Peningkatan harga barang (ekonomi)

2.
Pusat Pendidikan Serantau (pendidikan)

3.
Kepentingan Kemudahan Sukan (sukan)

4.
Masalah Pencemaran Bahasa (bahasa)

5.
Baik Buruk Penggunaan Internet (sains dan teknologi)

6.
Masalah Pembuangan Bayi (kemanusiaan & kemasyarakatan)

7.
Pelaburan asing (ekonomi)

8.
Kebaikan atau Keburukan Institusi Pendidikan Swasta (pendidikan)

9.
Penganjuran Sukan Di Peringkat Antarabangsa (sukan)

10.
Peranan Filem (seni/budaya)

11.
Negara Perindustrian Baharu (teknologi)

12.
Masalah Jenayah (kemanusiaan & kemasyarakatan)

13.
Penggunaan Kad Kredit (ekonomi)

14.
Permasalahan Sastera Melayu Lama (sastera)

15.
Gejala Vandalisme (kemanusiaan & kemasyarakatan)

16.
Fenomena Pemanasan Global (alam sekitar)

17.
Penguasaan Wanita dalam Perkhidmatan Awam (kemanusiaan & kemasyarakatan)

18.
Masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (kemanusiaan & kemasyarakatan)

19.
Kepentingan Internet (teknologi)





Berdasarkan isu-isu karangan yang telah dicadangkan tadi, pelajar-pelajar perlulah memikirkan fokus soalannya dengan berdasarkan bentuk tugasan soalan esei yang disenaraikan di atas. Pelajar-pelajar perlu berlatih untuk membina soalan sendiri berdasarkan fokus soalan tersebut. Hal ini dapat membantu pelajar untuk mempertajam pemikiran bagi menulis karangan atau esei. Sila teliti soalan tahun-tahun lepas dan binalah soalan anda sendiri dengan berdasarkan soalan-soalan yang pernah dikeluarkan oleh MPM dalam peperiksaan STPM sebagai panduan.

Tuesday, May 15, 2012

Selamat Hari Guru


Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru terutamanya rakan-rakan blogger Bahasa Melayu.

Sebagai guru, kita memang sedar bahawa terdapat kesulitan dan masalah yang berkaitan dengan tugas utama iaitu dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dalam era transformasi ini. Namun begitu, perkara tersebut perlu dilihat sebagai cabaran yang perlu diatasi oleh semua guru secara proaktif. Guru-guru perlu tabah dan gigih untuk mendepani cabaran semasa. Kita perlu bersiap sedia dengan perubahan zaman iaitu dari era sains dan teknologi kepada era teknologi maklumat dan komunikasi yang penuh dengan cabaran.

Perubahan zaman yang mencabar kita ini turut mengubah minda dan persepsi murid-murid. Oleh itu, guru-guru perlu berfikir dengan lebih kreatif dan inovatif untuk menyesuaikan diri dengan segala perubahan tersebut. Di samping itu, perubahan zaman ini turut mengubah persepsi masyarakat dan perkara ini seterusnya akan mengubah sistem pendidikan negara kita. Oleh hal yang demikian, perubahan dalam sistem pendidikan turut mengubah sistem pentaksiran dan teknik pengajaran guru perlu lebih inovatif agar bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan zaman.

Teknik pengajaran guru yang berbentuk tradisional iaitu yang berpusatkan guru memang patut ditukar kepada teknik pengajaran yang berpusatkan pelajar di samping menggunakan kemudahan dan peralatan yang canggih dalam era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini. Hal ini demikian kerana, pengajaran secara tradisional sudah tidak sesuai lagi diamalkan pada masa ini, tambahan pula teknik tersebut tidak menarik minat pelajar, malah membosankan mereka untuk belajar. Pelajar lebih berminat dalam pengajaran dan pembelajaran jika guru lebih inovatif iaitu menggunakan teknik pengajaran dan pembelajaran yang menarik perhatian mereka dan menggunakan bahan bantu belajar yang terkini. 

Thursday, April 26, 2012

Forum Remaja Daerah Sepang 2012




Tahniah diucapkan kepada peserta Forum Remaja yang mewakili SMK. Bandar Baru Salak Tinggi kerana telah berjaya menjadi johan dalam Pertandingan Forum Remaja Daerah Sepang 2012. Tempat kedua telah dimenangi oleh SM. Teknik Sepang dan SMK. Seri Sepang pula memenangi tempat ketiga. Pengerusi forum terbaik telah dimenangi oleh pengerusi forum SMK. BBST iaitu Faiqah binti Ahmad. Sementara itu, ahli panel terbaik pula telah dimenangi oleh ahli panel pertama SM. Teknik Sepang.


Pertandingan tersebut telah dijalankan di SAM. Bandar Baru Salak Tinggi pada 24 April (Selasa) yang lalu.  Sebanyak 12 sekolah harian biasa dan SBP (SM. Seri Puteri Cyberjaya) serta SM. Teknik Sepang telah menyertai pertandingan tersebut. Tajuk forum yang dipilih oleh pasukan forum SMK. BBST ialah “Bahasa Melayu dan Cabarannya”. Peserta yang mewakili SMK. Bandar Baru Salak Tinggi terdiri daripada pelajar Tingkatan 6 iaitu;

1.     Faiqah binti Ahmad
2.     Nursyahirah binti Soid
3.     Nadia Suhaini binti Soid
4.     Nur Amiera binti Salehudin
5.     Mohd Mujtahed bin Salim

Pertandingan Forum Remaja seperti ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar dan melatih mereka supaya berani untuk mengemukakan fakta, idea, dan pandangan berdasarkan isu-isu semasa dengan menggunakan bahasa Melayu baku. Selain itu, pertandingan ini berupaya untuk melahirkan generasi muda yang berfikir secara kritis dan analitis di samping mengemukakan pendapat secara spontan. Aktiviti seperti ini juga akan meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mematangkan mereka untuk berhadapan dengan audien atau orang ramai.


Saturday, April 14, 2012