Pengikut laman ini

Sunday, September 4, 2011

Esei STPM - Isu Pembuangan Bayi

Soalan Esei : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.
    
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

      Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini dapat kita baca daripada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

         Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

           Ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun mereka sibuk bekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

          Ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kem-kem kesedaran ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati”.

            Nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat.

            Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.

            Kesimpulannya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Oleh: Nurul Natasha Shaharuddin 6A2 

Tuesday, July 12, 2011

Karangan SPM - Format Pidato (Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera)

Soalan Contoh:


Anda akan menyertai pertandingan pidato yang akan dijalankan di peringkat daerah. Pidato tersebut bertajuk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera.”

Sediakan teks pidato itu.

Isi-isi Penting
• kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi
• kemajuan sains dan teknologi ideologi bervisi.
• semangat patriotisme penangkis neoimperialisme
• Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Salam apresiasi buat yang dihormati saudari pengerusi majlis, panel hakim yang sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, guru-guru dan rakan pelajar yang dikasihi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata, “Bukannya perkara kecil bagi kita untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan negara kerana rupa-rupanya selain memerdekakan negara, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara”. Hal ini demikian kerana kemerdekaan negara yang dicipta itu memelihara kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu, saya tampil di hadapan anda semua bagi menyampaikan sebuah pidato yang bermauduk “Negara Merdeka Masyarakat Sejahtera”.

Sebagai implikasi awalan, kemerdekaan negara telah menjadi bukti pada cermin perjuangan bangsa Malaysia yang cinta akan negara yang menjadi tanah tumpah darah kita semua. Namun demikian, Malaysia pernah dituduh, kononnya tidak demokratik, diktator dan mengamalkan pemerintahan kuku besi oleh bangsa Eropah kerana tidak melakukan pertukaran kepimpinan seperti mereka. Tegasnya, kini negara kita ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Dengan kata lain, negara merdeka bermaksud negara yang bebas iaitu negara kita tidak lagi dikuasai atau dijajah oleh kuasa lain dan bebas dalam menentukan hala tujunya sendiri. Kemerdekaan yang dimaksudkan juga bebas daripada segala sudut, termasuklah bebas minda dan budaya daripada sebarang pengaruh asing. Rakyat negara kita yang merdeka pula mencatat kejayaan besar dalam pelbagai bidang dengan cemerlang di persada dunia. Hal ini sudah tentu akan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Oleh itu, untuk mengupas segala persoalan, empat perspektif utama akan saya utarakan bagi mengungkap kemerdekaan negara demi kesejahteraan rakyatnya.

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang pertama, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas yang mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti negara. Antara sedar atau tidak, kita sebenarnya mengukuhkan ekonomi negara ini lagi melalui pelbagai sudut. Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan peluang pekerjaan, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan kepada masyarakat.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua, kemajuan sains dan teknologi, ideologi bervisi. Perkembangan dan kemantapan teknologi sains semakin memberi impak dari hari ke hari kepada rakyat malahan membuka mata seluruh dunia. Kebebasan negara dalam melahirkan pelbagai idea baru dan menghasilkan pelbagai produk, kesan gabungan pengaplikasian kedua-duanya telah membuka peluang pasaran yang besar. Sebagai contohnya, daripada kajian terbaharu, rupa-rupanya pokok vanilla yang tidak terdapat di negara kita juga telah ditanam dan hidup dengan subur di negara kita. Tegasnya, rakyat boleh menikmati kelebihan ini seperti buah-buahan tempatan kita juga. Tambahan pula, kita bukan lagi seperti pungguk rindukan bulan dan tidak lagi bermimpi di siang hari kerana gapaian jauh melepasi awan sudah dibuktikan menjadi kenyataan. Perkara ini dibuktikan dengan kelahiran anak merdeka yang bergelar angkasawan negara iaitu Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang berjaya dalam misi negara dengan membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara Russia dan Amerika Syarikat yang memang terkenal dalam bidang sains angkasa. Peristiwa besar seperti ini ialah catatan terbaik untuk dimuatkan sebagai kejayaan negara yang kini lebih diiktiraf dan dipandang tinggi oleh dunia. Dengan perkataan lain, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebenarnya telah berjaya melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Saudara dan saudari,

Indikator saya yang ketiga, semangat patriotisme penangkis neoimperialisme. Hal ini demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian, dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat perjuangan dan tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa yang bakal mewarisi negara. Sebagai contohnya, sewaktu kegawatan ekonomi melanda seluruh dunia pada tahun 1997, negara kita berjaya mengharunginya dengan semangat patriotisme yang tinggi dan perpaduan yang jitu dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara kita tanpa mengira kaum dan bangsa. Mahatma Gandhi pernah berkata, ”Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar kibaran jalur gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita, patriotisme Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua.

Para hadirin yang dihormati,

Indikator saya yang terakhir, Rukun Negara pembentuk bangsa merdeka dan berdaulat. Walaupun pada 31 Ogos 1970, ada sesetengah pihak yang menyifatkan Rukun Negara sebagai doktrin ketahanan nasional. Sebenarnya, Rukun Negara digubal melalui pelbagai dasar strategi sosioekonomi dan ketatanegaraan yang lebih komprehensif serta berkesan. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Melayu 16 Julai 1965 menyatakan penentangan adalah terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dengan perkataan lain, kewujudan Rukun Negara mampu mendepani zaman universal, holistik dan realistik kerana bisa menghakis seluruh prasangka kaum yang mungkin wujud di negara ini sebelum dan sesudah peristiwa 13 Mei 1969 yang begitu banyak memberikan pengajaran untuk kesejahteraan. Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki, lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah”. Marilah kita bersama-sama meniti hari-hari yang mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan sejahtera.

Cukuplah setakat ini sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon kemaafan sekiranya tersilap kata dan tersalah susun bicara semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.


Friday, May 20, 2011

Kolokium Kajian Tindakan Guru Pra-U Daerah Sepang 2011

Kolokium Kajian Tindakan guru-guru Pra-U daerah Sepang telah dijalankan pada 14 Mei 2011, di SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Kolokium ini telah dihadiri oleh guru-guru Pra-U daerah Sepang, iaitu guru-guru dari SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, SMK. Sungai Pelek, dan SMK. Cyberjaya. Majlis perasmian ringkas telah dilakukan oleh Penolong PPD Sepang, iaitu Tn. Haji Sailan Misran. Kolokium ini turut dihadiri oleh Pengetua SMK. BBST, 4 orang pegawai dari PPD Sepang, beberapa orang guru aliran perdana, dan dua orang guru pelatih UPSI.

Slot pertama iaitu sesi perkongsian ilmu tentang Konsep dan Prosedur Kajian Tindakan telah disampaikan oleh Cikgu Mohd. Khir Kassim, Ketua Unit Penyelidikan Pra-U SMK. BBST. Slot Kedua pula ialah sesi pembentangan laporan Kajian Tindakan oleh guru-guru pra-U SMK. BBST. Sebanyak lapan pembentangan telah disampaikan oleh guru-guru Pra-U SMK. BBST, termasuk pembentangan oleh Pengetua Cemerlang SMK. BBST, iaitu Tuan Haji Muskamal Mohamad Jonan yang telah berkongsi pengalaman tentang Kajian Tindakan.

             Tn. Hj. Muskamal Mohamad Jonan, Pengetua Cemerlang
Pn. Rohani Othman, PK. Tingatan 6
Pn. Puvana
Pn. Azidah
Pn. Noor Razalina
Pn. Junaida
Pn. Anida

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru kepada semua guru, terutamanya rakan-rakan blogger Bahasa Melayu seperti Cikgu Zaki, Cikgu Razak, Cikgu Chai Loon Guan, Cikgu Taufiq, Cikgu Bukharis, Cikgu Nawi, Cikgu Fariza, Cikgu Juilis Mokujal, Cikgu Shuhaimi, Cikgu Ghalib, Cikgu Azmi Misron, dan Dr. Ghazali.


Saturday, April 23, 2011

Program Pemantapan Sahsiah Pendidik di USIM

Pada 9 April yang lepas, saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) iaitu daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  yang akan menjalani latihan  mengajar di sekolah tidak lama lagi.

Dalam majlis perkongsian pengalaman ini, saya banyak menyentuh aspek persediaan untuk menghadapi murid-murid yang terdiri daripada pelbagai tahap pencapaian di sekolah. Selain itu, saya juga menyentuh ciri-ciri Guru Cemerlang dan langkah-langkah untuk menjadi Guru Cemerlang. Saya berharap agar perkongsian pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada bakal guru daripada USIM untuk bersiap sedia bagi berhadapan dengan murid-murid semasa menjalani latihan mengajar nanti. Semoga semuanya akan menjadi guru pelatih yang cemerlang dan akan menjadi Guru Cemerlang suatu hari nanti, Insya-Allah. 


  

Monday, March 28, 2011

Sajak Tingkatan 5 - Di Bawah Langit yang Sama

Maksud


Rangkap 1
Di bawah langit yang sama kita bernafas tanpa mengira tempat atau lokasinya sama ada di Beirut ataupun di Kuala Lumpur.

Rangkap 2
Penyajak menyukai gerimis di Kota London dan terpesona dengan angin dingin yang mencengkam tubuhnya di Washington yang di kelilingi oleh pepohon yang menghijau dan beraneka warna yang tiada bezanya.

Rangkap 3
Tidak kira sesiapapun yang menghuni Australia ataupun Afrika, semuanya sama kerana berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 4
Penyajak ingin menyeberangi Laut Cina Selatan dan melayari lautan teduh yang merentasi laluan sutera yang berkongsi siang dan malamnya. Penyajak menyeru manusia agar memupuk perasaan cinta dan harapan yang sama dalam kalangan warga dunia kerana semuanya berada di bawah langit yang sama.

Rangkap 5
Peta-peta itu cuma memisahkan sempadan negara dan jangan ditutup pos sempadannya. Visa hanya merupakan keperluan rasmi buat seketika di samping dokumen penting seperti pasport. Kita masih mendakap mimpi yang sama untuk menggapai hasrat agar menghapuskan perasaan kebencian dan melupakan peristiwa silam yang buruk di bawah langit yang sama.

Tema
Hakikat persamaan antara manusia walaupun di mana sahaja mereka berada.

Persoalan
1. Persamaan dalam semua aspek kehidupan manusia tanpa mengira tempat.
2. Keamanan sejagat perlu disuarakan oleh semua warga dunia.
3. Lupakan persengketaan dan sejarah silam untuk mewujudkan kemanan.
4. Semua manusia sama sahaja di dunia ini

Gaya Bahasa
1. Personifikasi – Anyam cinta pelangikan zaman
2. Metafora – sejarah hitam
3. Pengulangan – Aku, Di bawah langit
4. Sinkof – Beirutmu, Kuala Lumpurku
5. Asonansi – Sesama kita – warga dunia
6. Aliterasi – Lebur kebencian kuburkan sejarah silam

Nada
Romantis

Nilai
1. Hormat-menghormati
2. Mematuhi peraturan
3. Kesaksamaan
4. Keamanan

Pengajaran
1. Kita haruslah memahami keadaan yang sama antara setiap warga dunia ini.
2. Semua manusia yang hidup di dunia ini memiliki persamaan dalam semua perkara tanpa mengira sempadan dan negaranya.
3. Kita hendaklah mewujudkan dan mengekalkan keamanan sejagat.
4. Kita perlulah melupakan peristiwa silam yang tidak baik.

Wednesday, March 16, 2011

Sinopsis Buku 2 Novel Interlok

Keluarga Cing Huat

1
Lee Kim Lock berasal dari negara China, iaitu di suatu desa di kawasan perlembahan gunung. Penduduk desa itu menanam padi untuk menyara hidup mereka. Walau bagaimanapun, mereka selalu berhadapan dengan masalah apabila padi mereka musnah akibat banjir dan padi mereka dimakan oleh belalang. Oleh itu, Kim Lock mengatakan bahawa mereka terpaksa pergi ke kota untuk mencari kerja. Mereka akan pergi ke Cangcow untuk memulakan kehidupan baharu. Namun begitu, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana Paman Kok Leng menceritakan bahawa mereka boleh mendapat wang dengan mudah kalau pergi ke Rantau Selatan. Dia sudah memiliki lombong dan mengatakan mereka perlulah rajin berusaha untuk mengumpul kekayaan.

Akhirnya Kim Lock bersetuju untuk mengikut Paman Kok Leng dan mambawa anaknya Cing Huat bersama-sama dengannya. Isterinya pula akan tinggal bersama-sama dengan adiknya di desa itu. Paman Kok Leng mengenakan bayaran lima puluh ringgit untuk setiap orang dan Cing Huat dikenakan bayaran sebanyak dua puluh lima ringgit. Paman Kok Leng mendahulukan wangnya dan mereka terpaksa memberikan surat tanah kepadanya dan jika pinjaman wang itu tidak dilangsaikan dalam tempoh yang ditetapkan, tanah itu akan menjadi miliknya. Seramai sepuluh orang yang sudah memberikan persetujuan untuk mengikut Paman Kok Leng.

Mereka meneruskan perjalanan ke kota Cangcow dan seterusnya mereka akan menaiki kapal ke Amoy. Selepas itu mereka singgah di Pelabuhan Swatow dan menaiki sebuah kapal lain yang lebih besar di Pelabuhan Hong Kong. Semasa di dalam kapal itu, Kim Lock dan Cing Huat mengalami pelbagai pengalaman seperti tubuh mereka basah kuyup akibat terkena hujan dan Cing Huat muntah kerana mabuk laut. Mereka akan sampai ke negeri yang hendak dituju itu dalam masa lebih kurang tiga belas hari lagi. Pada petang hari yang ketiga belas, mereka tiba di Sin-cia-pu ataupun Singapura. Mereka memanggil orang di Singapura itu Huan Na.

Dua hari berada di Singapura Cing Huat mendapat kerja di sebuah kedai kopi. Bapanya pula masih belum mendapat kerja lagi dan akhirnya selepas hari keempat Kim Lock memulakan kerja dengan menarik lanca. Dia terpaksa membayar sewa sebanyak dua puluh sen sehari kepada tauke lanca itu.

2
Kim Lock dan Cing Huat sudah berada di Singapura selama tiga puluh bulan dan dia sudah melakukan beberapa jenis kerja seperti kuli mengangkat najis selain menarik lanca. Dia lebih suka akan kerja sebagai kuli mengangkat najis kerana gajinya tetap iaitu sebanyak sepuluh ringgit sebulan. Cing Huat pula bekerja di kedai runcit yang dimiliki oleh seorang penduduk desanya yang bernama Gim Thong.

Pada suatu hari, Kim Sui mengajaknya ke seberang dan Kim Lock mengatakan bahawa dia terpaksa membawa Cing Huat bersam-sama dengannya kerana anaknya itu masih kecil. Kim Lock, Cing Huat, dan Kim Sui menaiki tongkang untuk ke Ma-la-ca. Walau bagaimanapun, tongkang itu tidak pergi ke Melaka tetapi singgah di Bandar Maharani. Kemudian, seorang tauke lombong dari Lukut menawarkan kerja kepada Kim Lock dan tanpa berfikir panjang, dia menerima tawaran tersebut. Kim Lock bekerja selama hampir dua bulan di lombong itu tetapi setelah mengetahui Paman Kok Leng juga menjadi rakan kongsi tauke lombong itu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja. Kim Lock dan Cing Huat seterusnya menaiki tongkang menuju ke utara. Setelah beberapa bulan lamanya Kim Lock tinggal di Pulau Pinang, dia bertemu semula dengan Kim Sui yang membuka kedai di Kubang Kerbau.

3
Kim Lock membeli sebuah kedai kepunyaan orang Melayu di pekan Simpang Empat. Dia memulakan perniagaannya dengan berjual beli ikan basah yang dibawa oleh nelayan setiap hari. Kemudian, dia menjaja barang-barang runcit di kampung-kampung dan Cing Huat juga diajarnya berniaga. Kim Lock dan Cing Huat rajin bekerja dari pagi hingga malam. Dalam jangka masa beberapa bulan sahaja, kedai mereka itu menjadi kedai runcit yang lengkap. Di samping itu, Kim Lock tidak lupa untuk menghantar wang ke desanya setiap bulan selepas memiliki kedai runcit itu. Hubungan antara Kim Lock dengan Kim Sui pula terus berjalan dengan baik dan Kim Lock berniat untuk mengahwinkan Cing Huat dengan anak perempuan tiri Kim Sui yang bernama Lim Tua Tao.

4
Kim Lock sudah berumur lebih empat puluh tahun dan dia sudah mempunyai wang yang banyak. Walau bagaimanapun hasratnya untuk membawa isterinya dari desa masih belum tercapai. Kim Lock telah diperkenalkan oleh Kim Sui dengan seorang perempuan Cina yang bernama Mei Hwa yang suka menghisap madat. Kim Lock juga sudah mula menghisap candu dan dia membeli udutan candu, lampu, dan candu untuk dibawa ke kedainya di Simpang Empat. Hal ini menyebabkan Cing Huat terkejut dan kecewa kerana tidak menyangkakan ayahnya yang anticandu itu sudah menjadi tahi candu pula. Tubuh Kim Lock yang tegap dan berisi sudah menjadi semakin kurus dan dia tidak menghiraukan urusan kedainya lagi. Cing Huat meminta bantuan Kim Sui untuk menasihati bapanya supaya berhenti daripada menghisap candu. Akan tetapi, Kim Sui mengatakan orang yang ketagih candu memang tiada ubatnya. Selepas itu, Kim Lock membawa Mei Hwa tinggal bersama-sama dengannya di Simpang Empat.

Cing Huat pula mendapat berita tentang kematian ibunya di desa dua bulan lepas melalui surat yang dibaca oleh Ah Kun. Bapanya tidak menghiraukan berita kematian isterinya itu malahan memarahi Cing Huat pula kerana dia sedang menghisap candu. Cing Huat terkejut dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Mei Hwa pada pagi esoknya dan dia membuat persiapan untuk memberikan persembahan kepada ibunya itu. Kim Lock tidak mahu memakai toha tetapi Cing Huat dan Mei Hwa memakai baju berkain hitam. Cing Huat kemudiannya berkahwin dengan Tua Tao dan majlis perkahwinan itu diadakan mengikut adat resam orang Cina. Selepas sebulan perkahwinan mereka, ayah Cing Huat meninggal dunia dan tidak lama selepas itu, Tua Tao pula menemui Mei Hua yang sudah meninggal dunia di dalam tandas di belakang kedai mereka.

5
Orang-orang Cina bermesyuarat untuk mendirikan sekolah mereka sendiri dan Cing Huat mendermakan wangnya sebanyak lima ratus ringgit. Setelah sekolah Cina itu siap, tiga orang anak Cing Huat menjadi murid yang pertama di sekolah itu. Cing Huat berasa gembira kerana anak-anaknya sudah tahu menulis dan membaca walaupun dia tidak bersekolah. Dia mahu anak-anak dan cucunya nanti mengamalkan budaya nenek moyangnya dan dia menggalakkan mereka menggunakan barang-barang dari negara China. Pada masa itu pula peperangan sudah tercetus, dan orang-orang Jepun menyerang daratan negara China dan menakluki beberapa buah kota besar di sana. Perkara ini menyebabkan cita-citanya untuk pulang ke negara asalnya tidak menjadi kenyataan. Cing Huat mahu anak-anaknya menjadi orang yang pandai dan dia tidak suka akan anaknya, Yew Seng yang suka berkawan dengan anak-anak orang Melayu kerana dia bimbang kalau anaknya itu juga akan menjadi malas seperti mereka.

6
Pada suatu hari Cing Huat memarahi Yew Seng kerana dia masih berkawan dengan anak-anak Melayu. Cing Huat mengatakan bahawa dia tidak suka anak-anaknya mengikut anak-anak Melayu itu kerana mereka malas dan tidak tahu mencari wang. Dia berasa puas hati dengan perniagaannya yang semakin maju dan kedainya bertambah besar berbanding dengan kedai-kedai lain. Dia menjual pelbagai jenis barang seperti perkakas dapur, perkakas rumah, perkakas pertanian, ikan basah dan sayur-sayuran. Cing Huat berasa gembira apabila melihat Yew Seng sudah berubah pada hari itu kerana dia sudah rajin membaca buku. Poh Eng pula rajin membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk di samping mengambil air bersih dari paip di tepi jalan.

7
Poh Eng merupakan anak yang rajin bekerja, iaitu selepas menolong ibunya, dia mengambil sulamannya dan menyulamnya dengan tekun. Sementara itu, Yew Seng pula teringat akan hubungannya dengan orang-orang Melayu lebih erat, terutamanya dengan Lazim. Sebagai buktinya, dia berasa seperti dirinya yang dipukul sama kalau Lazim dipukul orang dan dia sanggup berkorban untuk membela Lazim jika keadaan memaksanya. Pada masa itu juga, Seman datang ke kedai Cing Huat dan menyatakan rasa tidak puas hatinya kerana terpaksa keluar dari rumahnya itu.

Cing Huat sebenarnya sudah melantik Pak Cin menggantikan tempat Pak Musa sebagai orang tengahnya. Kadir, anak Pak Cin itu pula akan disuruh tinggal di rumah yang akan ditinggalkan oleh Seman. Pada malam itu Cing Huat memarahi anaknya, Yew Seng kerana anaknya itu mengatakan bahawa dia telah bertindak dengan kejam terhadap Seman. Yew Seng menjelaskan bahawa bapa Seman sudah banyak berjasa kepada bapanya itu. Oleh itu, bapanya itu perlu berperikemanusiaan sedikit terhadap Seman. Perkara itu menyebabkan Cing Huat semakin marah dan menampar muka anaknya itu dengan sekuat-kuat hatinya. Kemudian, isterinya turun dari loteng dan bertindak untuk meleraikan suaminya itu. Cing Huat seterusnya bertindak menghalau Yew Seng dari rumahnya itu. Kemudian, isterinya memujuk Yew Seng dan mengajaknya tidur di atas loteng. Cing Huat memarahi anaknya itu kerana Yew Seng menyebelahi orang Melayu dan dia mahu Yew Seng meninggalkan rumahnya itu pada esok harinya juga.